11/22/13

Hadir ke Program Memasyarakatkan Sains melalui Media




Baru-baru ini saya dijemput menghadiri dua program Komunikasi Sains atas kapasiti blogger sains bebas melalui laman web MajalahSains.Com yang diasaskan sejak tahun 2009. Yang pertama anjuran Akademi Sains Malaysia dan British Council di KL Convention Centre dan yang kedua anjuran MABIC di ABI Serdang. Program pertama saya ikuti dari awal hingga akhir dan yang kedua hanya separuh jalan apabila melihat programnya hampir sama.

Kedua-dua program tersebut sangat baik membantu pemahaman bagaimana untuk menghubungkan sains dan masyarakat melalui media. Kebetulan pula tagline MajalahSains.Com, Jambatan Sains & Teknologi untuk Masyarakat.

Melalui dialog dalam kumpulan (anjuran ASM-British Council) yang diketuai oleh wartawan The Star dan 2 ahli panel dari UK, kami berborak mengenai permasalahan sistem penyampaian sains di Malaysia. Agak serius juga perbincangan walaupun saya rasa kerdil dalam komuniti media mainstream yang besar.

Kesimpulan yang boleh saya buat, program seumpama ini perlu juga dibuat dalam Bahasa Kebangsaan sebagai mewakili majoriti penutur bahasa itu di Malaysia. Mungkin DBP dan akhbar-akhbar berbahasa Melayu boleh memainkan peranan untuk mewujudkan program seumpama ini.

Saya mempunyai banyak idea untuk menyebarluaskan program memasyarakatkan sains melalui media. Jadi sekiranya ada sesiapa yang singgah di blog ini yang sudi membantu, dipersilakan menghubungi saya melalui emel di bawah:




11/10/13

Pelawaan kolaborasi

Baru-baru ini, saya selaku pengasas laman MajalahSains.Com diajak untuk bekerjasama dengan Amanz.my. Pertemuan dengan saudara Aman Firdaus selaku co-founder Amanz berlansung di The Mines, Seri Kembangan.

Beliau menawarkan supaya MajalahSains.Com bergabung dengan mereka dan mewujudkan satu kolaborasi mantap mengembangkan usaha memantapkan sumber maklumat berbahasa Melayu di internet.

Walaubagaimanapun, selepas berbincang dengan ahli MajalahSains, kami sebulat suara menolak pelawaan tersebut memandangkan kami sendiri mempunyai agenda lebih besar untuk menyebarluaskan maklumat dunia sains dan teknologi serta meningkatkan kadar literasi sains.

Untuk Amanz.my, selamat maju jaya & terus sukses!

9/5/13

Dua kegembiraan bulan September


Bulan September adalah antara bulan-bulan yang sangat menarik ketika saya berada di Montreal Kanada suatu ketika dahulu. Bulan ini menandakan musim panas bakal berakhir digantikan dengan musim luruh. Kami sebagai 'pelancong' di kotaraya itu, musim panas tidaklah begitu mengujakan seperti yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat tempatan. Kami lebih teruja untuk menikmati musim bunga dan musim luruh. Musim sejuk dan panas begitu perit.

September adalah musim ladang-ladang epal mula meranum dan bersedia untuk dipetik buahnya. Pertengahan September juga penanam labu bergembira untuk menuai hasil di bulan Oktober, diikuti dengan tradisi haloween mereka. Gambar-gambar banyak saya rakam dan diabadikan di facebook. (Sekarang ia diprivasikan bagi mengelakkan perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir penagih facebook yang mencuri gambar tanpa kebenaran.)

Di Malaysia saya menikmati kegembiraan bulan september kerana dua rencana sudah dan akan tersiar. Yang sudah tersiar berjudul "Penuaian Tenaga Manfaatkan Tenaga Terbuang" di Dewan Kosmik. Satu lagi ialah rencana mengenai pengalaman menjejak lorong-lorong dan jalan sekitar Montreal dan berkongsi mengenai kisah Mafia Montreal. Judulnya "Legasi Mafia Montreal" yang akan terbit tidak lama lagi di majalah indie POSTO #2 (terbitan kedua). Ini sangat mengujakan.
Dalam terbitan pertama POSTO#1, saya menulis tentang 'Demonstrasi Pelajar yang meruntuhkan Kerajaan Liberal Quebec".

Saya masih dalam proses mengumpul tulisan-tulisan eceran tentang pengalaman selama berada di Montreal. Mood menulis kadang-kadang tumpul dan tidak begitu menjadi. Justeru, 2 tulisan September ini mengembalikan semangat untuk saya mencatat sesuatu.

Terima kasih September.


8/6/13

Gelagat-gelagat di Facebook

Hari ini Insyaallah hari terakhir umat Islam berpuasa. Sekiranya diumumkan oleh Penyimpan mohor besar raja-raja, Insyaallah esok, Khamis 8 Ogos 2013 maka umat Islam di Malaysia khususnya akan menyambut idulfitri.

Di laman sosial Facebook/twitter/blog dan sebagainya maka berduyun-duyunlah ucapan selamat hari raya menerjah masuk menghubungkan silaturrahim yang terputus. Itu adalah sebahagian dari kebaikan laman sosial yang saya kira masih perlu sekiranya ia tidak membuang masa dan melalaikan.
Walaubagaimana canggih dan bermanfaat sekalipun medium maya internet,  ia tidak mampu ditandingi dengan alam nyata.

Seperti yang pernah saya tulis dan kongsikan sebelum ini, ( baca; Perihal Status Facebook dan Budaya Orang Kita ), masih ramai yang gagal untuk memanfaatkan teknologi ini ke arah yang lebih positif. Contoh yang paling mudah ialah gejala fitnah berleluasa ketika berlansungnya PRU-13 baru-baru ini. Waktu itu, saya sengaja menjauhkan diri dari melibatkan diri dalam hal ehwal politik. Tidak tertahan saya melihat rakan-rakan meletakkan posting fitnah yang kadang-kadang hampir tidak masuk akal. Begitu juga dalam kes terbaru mengenai fitnah anak-anak sekolah bukan Islam yang diarahkan makan di dalam tandas. Juga ia sukar diterima akal sihat. Natijahnya begitu buruk sekali pandangan bukan Muslim terhadap orang Islam. Dan banyak lagi contoh-contoh lain seperti membebel, mengadu nasib, menulis perkataan kesat, membesar-besarkan diri serta menunjuk-nunjuk dan macam-macam lagi lah!

Begitulah fitnah berlegar-legar di ruang maya. Saya perhatikan, ramai rakan-rakan yang kini sedar dengan keburukan yang ditawarkan oleh facebook dan bertindak menyahaktifkan akaun mereka. Tidak kurang pula kaki fitnah dan pembuang masa di FB yang turut meninggalkannya. Mungkin dengan cara itu, boleh menjadikan mereka lebih produktif dan membina semangat baru. Untuk saya, facebook masih banyak manfaatnya berbanding keburukan dengan syarat meletakkan akal di hadapan mendahului emosi dan persepsi. Dengan syarat itu, mudah-mudahan kita terhindar dari gejala negatif di facebook.

Saya bukanlah Tukang Bebel yang suka menegur semberono tanpa sebab. Namun cuba untuk mengingatkan rakan-rakan lain agar tidak terlibat dalam gejala ini. Saya tidak mahu mengulangi lagi kesilapan-kesilapan lampau menulis status facebook yang bukan-bukan yang tidak mendatangkan manfaat kepada sesiapa jua sekalipun.

Mohon ampun dan maaf. Minal aidil wal faizin!

Salam Aidilfitri
Taman Impian Putra, Bangi.

8/4/13

Klise Hari Raya

Tahun ini kami berpeluang menyambut aidilfitri yang bakal tiba 1 Syawal nanti di Malaysia. Jika sebelum ini, lima kali kami beraya di Montreal bersama rakan-rakan di perantauan, alhamdulillah dan Insyaallah aidilfitri kali ini disambut dengan sanak saudara dan rakan-rakan.

Beza syawal di Montreal dan Malaysia terlalu banyak. Di sana tiada ketupat rendang dan kuih muih raya Melayu yang meriah seperti di sini. Mercun dan bunga api (saya syorkan diharamkan  terus semuanya-membazir dan membahayakan) lansung tiada di sana, tapi begitu bingit di Malaysia, seolah-olah seperti tiada undang-undang dan peraturan lansung mengenai bahaya bermain barang terlarang ini. Zakat fitrah di sana hanya dimasukkan ke dalam tabung seperti tabung masjid. Di sini kita perlu akad dan membaca lafaz-lafaz tertentu.

Suatu yang ketara ialah takbir hari raya. Takbir raya di Malaysia begitu melankoli dan mendayu-dayu seolah-olah meratapi suatu pemergian. (mungkin juga sebab meratap pemergian ramadan, tapi tidak perlu sebenarnya). Hari raya adalah hari kemenangan dan perlu disambut dengan takbir yang menunjukkan saat kemenangan. Takbir raya versi melankoli mampu membuatkan jiwa-jiwa halus dan sensitif mengalirkan air mata. Entah air mata keinsafan atau air mata berduka lara kerana terkenangkan sesuatu atau merindukan tanah air. Paling mustahak, hari raya bukanlah hari bersedih-sedihan.

Salam Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam dan rakyat Malaysia. Maaf Zahir dan Batin kalau ada tersilap kata tersasul status di facebook dan sebagainya.

p/s : Hari Raya Bukan Hari Sedih tulisan Dr Mohd Asri Zainul Abidin

8/2/13

Ingatan Lama Tentang Puasa

Ramadan mengembalikan ingatan-ingatan lampau. Setiap hari saya berulang-alik dari rumah ke tempat kerja melalui jalan kampung. Di sebuah tapak pembinaan, saya memerhatikan buruh-buruh kontrak warga asing bertungkus lumus bekerja di bawah panas cahaya matahari. Saya membayangkan diri saya berada di tempat itu. Panas dan dahaga tentunya!

Sebenarnya saya mempunyai pengalaman bekerja sebagai pekerja kontrak. 16 tahun yang lalu, sambil menunggu keputusan matrikulasi, saya mengikuti ayah bekerja sebagai buruh kontrak di daerah Maran, Pahang. Waktu itu puasa ramadan baru bermula. Tugas yang perlu diselesaikan ialah memasang pemegang tangga kayu cengal di sebuah bangunan milik kerajaan negeri Pahang. Tugas saya ialah menebuk lubang untuk dimasukkan bilah-bilah pemegang tangga kira-kira 180 - 250 lubang. Pahat dan penukul menjadi perkakas utama. Semuanya perlu dilakukan secara manual tanpa mesin dan peralatan lain. Bekerja di dalam bangunan mengurangkan panas terik matahari berbanding pekerja lain yang perlu berada di luar.Waktu itu, saya hanya ikut-ikutan sahaja menurut apa yang diarahkan oleh ayah. Waktu bekerja bermula seawal 8 pagi dan berakhir 5.30 petang. Selepas bekerja, kami bergegas pulang ke rumah kongsi kerana ayah perlu memasak untuk berbuka.

Bekerja sebagai buruh di bulan puasa, tidur di rumah kongsi berjiran dengan warga Madura dari Indonesia, rakyat Bangladesh, berkongsi mandi di kolah berbuka ala kadar adalah rutin harian sebulan bulan puasa di daerah Maran.

Apabila melalui kawasan pembinaan, terutamanya di bulan ramadan memori berpuasa 16 yang lalu kembali menjelma jelas di fikiran. Kenangan yang sukar dilupakan!

7/28/13

Mercun dan Budaya yang Gagal

Setiap tahun di bulan ramadan menjelang syawal, akhbar-akhbar Malaysia dihiasi dengan berita-berita anak-anak Melayu yang cedera, cacat dan masuk hospital akibat mercun. Mercun selain membahayakan diri, ia sangat mengganggu ketenteraman kejiranan. Setiap tahun, ada sahaja mercun jenis baru yang kononnya lebih kuat dan menyeronokkan.

Tidak sukar untuk kita menganalisa masalah ini. Ia berkaitan dengan minda dan sikap orang dewasa dan penguatkuasaan yang lemah. Ibubapa kadang-kadang membiarkan anak-anak malah turut sama membelikan bunga api dan mercun yang kononnya tidak membahayakan untuk hiburan di bulan ramadan. Selain bertujuan untuk menggembirakan hati anak-anak (kononnya), mainan mercun dan bunga api mampu membangkitkan nostalgia zaman remaja sang bapa (selaluya). Natijah dari sikap ini ialah permintaan bekalan akan sentiasa muncul setiap kali musim perayaan dan mangsa-mangsanya adalah zuriat kita sendiri.

Oleh itu, ibu bapa Melayu Islam terutamanya sejak dari awal perlu insaf dan berada dalam keadaan sedar bahawa apa sahaja mercun, bunga api atau selekeh-lekeh permainan yang merugikan tidak perlu diperkenalkan kepada anak-anak. Cukuplah berfikiran untuk menggembirakan anak dengan benda yang berbahaya. Lupakan nostalgia dan pengalaman lampau waktu remaja untuk diwariskan kepada anak-anak. Hentikan sikap sedemikian bagi memutuskan bekalan mercun dan buga api yang membahayakan generasi masa hadapan.

Di pihak penguatkuasaan pula, tindakan tegas perlu diambil dan sikap proaktif perlu diamalkan. Kifa faham bahawa penguatkuasaan di negara dunia ketiga masih lemah dan banyak ruang yang perlu diperbaiki.


p/s; terkesan dengan gambar-gambar yang dimuatnaik di FB oleh rakan-rakan trainer, peserta International Mathematical Olympiad, International Physics Olympiad dan Computing Olympiad mewakili Malaysia yag rata-ratanya berbangsa bukan Melayu. Dapatlah kita bayangkan di mana mereka akan berada 10 tahun akan datang. Di mana anak-anak Melayu?

7/26/13

Perihal membaca dan peristiwa turunnya Ayat Quran pertama


Semalam saya postkan satu status tentang nuzul Quran dan suruhan membaca dari Tuhan kepada manusia. Entah siapa yang berjaya menangkap mesej tersebut saya kurang pasti.

Sebenarnya tujuan status tersebut ialah untuk menjentik minda tentang kepentingan membaca dan memilih bahan bacaan. Ramai yang membaca. Statistik penerbitan bahan bacaan di Malaysia juga bertambah sepanjang tahun. Kedai-kedai buku juga meriah dengan bahan bacaan. Namun isi kandungannya masih belum mencapai tahap yang membanggakan.

Pemilihan bahan bacaan sangat penting. Ia mampu menggerakkan akal budi pembaca ke suatu tahap yang berbeda-beda bergantung pada bahan yang dibaca. Kalau banyak membaca bacaan sampah, sampah lah yang keluar. (garbage in garbage out). Begitu juga sebaliknya.

Zaman sekarang adalah zaman teknologi. Media sosial adalah medan untuk meluahkan segala-galanya tanpa rasa malu. Kadang-kadang kita boleh menilai tahap pemikiran seseorang melalui status-status twitter/facebook dan tulisan-tulisan di internet. Hanya akal yang waras dan sihat sahaja mampu mencetuskan status di media sosial yang bermanfaat dan boleh dinilai sebagai 'berguna'. Untuk itu, membaca bahan berkualiti sahajalah yang mampu menyaring minda kita.

Bacalah!

p/s: Hujung minggu ini saya meghabiskan masa membaca coretan blog Tun Dr Mahathir yang dibukukan berjudul "Blog Merentas Halangan", Hak Seorang Warganegara.



7/21/13

Puasa Ramadhan 1434 Hijrah (2013 Masihi)

Alhamdulillah.

Ramadhan kali ini menjengah dan kita masih mampu berpuasa dengan sempurna. Syukur pada Allah atas nikmat kesihatan, kemudahan dan keselesaan yang diberikanNya. Tahun 2013 merupakan Ramadhan pertama kami selepas 5 kali menyambut Ramadhan di perantauan.

Mengenang kembali pengalaman Ramadhan di tempat yang begitu asing, di negara empat musim Kanada, terasa begitu indahnya kehidupan. Berbeza tempoh puasa di Malaysia, yang relatifnya tetap dari jam 5.45 pagi hingga 7.30 petang, di Montreal kami berpuasa di musim panas. Waktu siang di musim panas lebih panjang manakala malamnya lebih singkat. Jadi tempoh berpuasa lebih panjang. Subuh sekitar jam 3 pagi dan maghrib jam 8.30 malam. Musim panas suhu agak tinggi sekitar 30-33 Celcius. Justeru, puasa sedikit mencabar dan kami mampu bertahan tanpa sebarang masalah.

Tahun 2013, selepas menjejak kaki ke tanah air Mac yang lalu, kini kami kembali menikmati suasana dan persekitaran yang agak baru. Mendiami rumah baru, rakan-rakan baru, jiran serta persekitaran yang boleh dikatakan agak baru. Persediaan untuk menghadapi segalanya baru juga harus dibentuk seawal mungkin sebelum kami pulang ke tanah air. ALhamdulillah segalanya lancar walaupun agak kelam kabut seawal sampainya di bumi Malaysia untuk urusan-urusan tertentu.

4 tahun 6 bulan tidaklah lama. Namun ia mampu memberi sedikit sebanyak perbezaan sebelum dan selepas. Namun puasa tetap sama. Menahan lapar dan dahaga di siang hari. Seluruh dunia meraikan lapar dan dahaga sebagai manifestasi menurut perintah Ilahi. Mungkin golongan bukan muslim, tidak mengerti kenapa perlu seseorang muslim berpuasa. Pernah ditanya oleh seorang rakan dari Brazil, "are you doing ramadhan?" (merujuk kepada puasa). Di tempat kerja juga pernah ditanya soalan yang sama. Kebetulan saya berkawan dengan seorang Turki muslim yang menetap di Montreal, ketika ditanya kenapa perlu berpuasa, beliau cekap memberikan jawapan.

Untuk saya, hikmah puasa masih perlu dicari dan digali. Tidak cukup dengan senarai 5-6 hikmah puasa seperti yang dipelajari dalam matapelajaran agama Islam di sekolah dahulu. Lapar dan dahaga sebenarnya memberi kesan mendalam terhadap jiwa dan persekitaran. Alangkah malang sekiranya hati dan perasaan masih belum berubah walaupun 30 hari genap kita berlapar dan dahaga.

Salam Ramadhan 1434 Hijrah!

2/28/13

Hari Akhir di rumah 408.

Hari ini adalah hari terakhir kami berada di rumah bernombor 408, 4th ave, Verdun Montreal. Esok pada 1 Mac kami akan terbang pulang ke tanahair Malaysia. Dari bulan Ogos 2008 hingga 28 Februari 2013, kami belum pernah berpindah. Penduduk Montreal(Quebec) terkenal dengan warganya yang suka berpindah randah, hinggakan satu hari dalam setahun diisytiharkan sebagai sebagai 'Moving day' yang jatuh pada 1 Julai setiap tahun bertepatan dengan Canada Day.

Bagi kami di sini adalah kediaman sementara yang cukup menarik. 2 minit jalan kaki ke Pusat Jagaan Kanak-kanak )Daycare), 5 minit ke sekolah, 5 minit ke stesen Metro, kemudahan bas yang superb, kedai-kedai runcit dan pasaraya yang sangat convenience, beberapa taman permainan dan paling menyeronokkan berdekatan pula dengan satu-satunya sungai yang menjadi nadi kehidupan warga Montreal iaitu Sungai St Lawrence.

Kejiranan pula boleh dipuji. Tidak ada masalah besar yang berlaku melainkan sedikit gangguan bunyi muzik anak-anak muda di penghujung kami mendiami tempat ini ini.

Entry-entry blog Tukang Catat selepas ini banyak berkisar mengenai pengalaman kami di sini.

Jumpa lagi!

2/25/13

Memajukan Diri



Saya tertarik dengan tulisan Datuk A. Kadir Jasin yang berjudul Tangisan Generasi yang Sesat yang disiarkan di akhbar Berita Harian. Tulisan tersebut menceritakan masalah kaum Melayu Malaysia yang ketinggalan dari segi kemajuan dan ketamadunan. Walaupun tercicir, masih juga tidak sedar dan tidak mengubah nasib diri. Beliau juga memberi contoh pengalaman dirinya dan orang-orang di sekeliling yang mendapat peluang dan kemudahan yang sama, namun disebabkan masalah sikap, mereka jauh ketinggalan.

Bila membaca kisah yang dipaparkan oleh Datuk A. Kadir Jasin, saya merenung perjalanan diri. 4-5 hari yang lalu, kakak saya meminta pertolongan supaya menasihatkan anaknya yang mendapat tawaran belajar di MRSM yang agak jauh dari kediaman. Di sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia. Anaknya mengalami masalah 'inferiority complex' (lemah semangat dan rasa diri ketinggalan berbanding orang lain)  bila berhadapan dengan suasana dan budaya hidup yang baru di sekolah berasrama. Hampir seminggu dia mengadu kepada ibunya untuk keluar dari sana dan bersekolah di tempat lain. Saya cuba menasihatinya dengan kadar kemampuan yang ada dan serba sedikit bercerita pengalaman dan pengetahuan selok belok hidup di tempat baru.

Tahun 1994, selepas tamat PMR saya juga bercita-cita memohon masuk ke sekolah berasrama penuh MRSM. Angan-angan tersebut begitu menebal selepas bersembang dengan rakan-rakan serta membaca keseronokan belajar di tempat sedemikian di dalam akhbar dan majalah. Walaupun keputusan peeriksaan tidak begitu memberansangkan, terutamanya dalam Bahasa Inggeris dan Matematik (yang menjadi syarat utama kemasukan ke MRSM), saya masih belum berhenti mencuba. Ditemani ayah, menaiki bas dari Besut ke Kuala Terengganu, kami memanjat tangga pejabat MARA Terengganu dengan harapan diberi borang untuk diterima masuk ke MRSM. Saya sudah menjangkakan bahawa proses tersebut sukar dan saya sebenarnya tidak layak memohon. Saya gagal ditawarkan ke MRSM. Dalam hati saya menangis hiba.

Dunia kini sudah berubah. Orang berlumba-lumba mengejar kemajuan dan memburu peluang. Hidup tidak boleh lagi didendangkan lagu lama bahawa "dunia adalah neraka bagi muslim, dan syurga bagi kafir". Pegangan tersebut yang acapkali saya dengar sewaktu kecil dibaca oleh Tukang Ceramah. Dan ia ternyata fatal dan menyesatkan. Kesudahannya, muslim Melayu terus terbuai-buai dengan angan-angan masuk syurga walaupun menderita kesusahan dan kemiskinan di dunia. Manakala bangsa lain terus mendominasi dunia, di bumi Malaysia khususnya.

Dua subjek yang begitu saya tidak minat di zaman persekolahan iaitu Matematik (Sains) dan Bahasa Inggeris kini menjadi subjek utama untuk menguasai dunia logik dan antarabangsa. Tidak dapat tidak, kita perlu menguasainya. Sekurang-kurangnya menjadi BERANI untuk bertutur walaupun salah. Sehingga sekarang, saya masih terus belajar untuk menguasai bahasa Inggeris dan Sains. Ternyata bahan bacaan berbahasa Inggeris jauh lebih maju dan terkehadapan dalam semua lapangan. Kita akan ketinggalan sekiranya sudah berhenti untuk belajar dan mencari ilmu pengetahuan.

Tidak lama lagi saya akan pulang ke tanah air. Sepanjang 4 tahun 6 bulan berada di Kanada dan pernah merantau ke sebahagian besar Amerika Syarikat,  banyak pengalaman dan pelajaran yang saya kutip. Ternyata, kebergantungan hidup kepada orang lain, ketaksuban terhadap parti politik tidak lagi menjadi syarat penting untuk memajukan diri. Saya perhatikan imigran bangsa-bangsa Cina, Arab, Italy, Afrika, Amerika Selatan dan lain-lain di sini  berlumba-lumba memajukan diri. Kaum-kaum pribumi di sini terus ketinggalan dengan segala macam masalah sosial yang mereka hadapi.

Saya menelefon dan berbual-bual dengan anak saudara yang baru memasuki alam baru di MRSM yang serba-serbi mencabar baginya. Saya memberi nasihat, bercerita pengalaman dan cuba mencetuskan gerak hatinya supaya memikirkan masa hadapan yang masih jauh. Nasihat yang sama diberikan oleh kedua ibubapa saya sewaktu bertungkus-lumus mengutip buah relai dan mengangkat pelepah sawit di ladang kami 15-20 tahun yang lalu. Alhamdulillah! Hasilnya positif. Khabarnya sekarang sudah mula berasa seronok di sana.   

 

2/10/13

Selamat Tahun Ular

Saya kira, kalendar tahunan cina agak unik. Ia dikaitkan dengan haiwan seperi naga, anjing, monyet babi dan tahun Baru Cina kali ini bertepatan dengan Tahun Ular. Saya tidak tahu sangat apa kaitan haiwan-haiwan ini dengan kalendar cina dan ramalan-ramalan Feng Shui tentangnya. Malah kepercayaan tersebut bercanggah pula dengan kita sebagai orang Islam.

Datuk A.Kadir Jasin menulis dalam blog beliau, ramalan ahli nujum Taiwan yang mengaitkan Tahun Ular dengan pergolakan politik. Mengikut perkiraan, sebenarnya tahun apa pun, politik sentiasa bergolak. Sejak orang mula mengenal makna politik, tentu sahaja pergolakan yang datang dahulu di mata mereka. Politik adalah perebutan. Apa yang tidak bergolak kalau berlaku acara rebut-merebut pengundi, pangkat, jawatan dan punca ekonomi.

Berasal dari kampung dan bergelumang dengan suasana kehidupan orang kampung, membolehkan saya mengenali sedikit sebanyak alam semulajadi, termasuklah ular. Seperti pengalaman Datuk A. Kadir Jasin, saya juga mengenali jenis-jenis ular seperti katam tebu, senduk, ular lidi, ular pucuk, kapak dan sawa. Tentunya yang paling berbisa ialah ular tedung atau senduk. Di namakan senduk mungkin kepalanya yang kembang seperti senduk nasi ketika merasakan dirinya terancam.

Pernah satu ketika, sewaktu membantu ayah di ladang sawit, saya dan abang terserempak dengan satu ular tedung yang masiah kecil.Abang tengah saya mengambil sebatang kayu kecil dan melemparkan ke ular tersebut, tepat ke kepala ular dan terus mati. Entah abang saya masih ingat atau tidak peristiwa tersebut, saya kurang pasti. Yang jelas, kenangan tersebut masih kekal dalam ingatan saya.

Di ladang juga ayah Tukang Catat mengajar banyak perkara termasuk kaedah menghalau ular. Salah satu caranya ialah dengan menggunakan limau purut. Di satu kawasan di ladang kami, beberapa anak pokok limau purut tumbuh melata. Daunnya yang unik menarik minat saya untuk bertanya. Si ayah menerangkan, buah limau purut diletakkan di dalam lubang ular. Baunya yang kuat akan menghalau ular dari mendekatinya. Buah tersebut akhirnya bertunas dan bercambah. Saya mengambil beberapa pokok dan menanamnya di rumah. Tidak pasti pokok tersebut masih wujud atau pun tidak.Di kamung isteri di Kuala Pilah, saya turut menanam beberapa batang pokok limau purut. Khabarnya sekarang sudah besar dan berbuah lebat.

Anak lelaki jiran di hadapan rumah saya di kampung seorang pengangkap ular yang handal. Namanya Rosli dan berambut kerinting halus. Pantang terjumpa atau dipanggil untuk menangkap ular, si Rosli akan muncul. Entah keberanian luar biasa apa yang dimilikinya saya kurang pasti.

Ular menurut orang-orang tua begitu takut dengan buluh dan batang ubi kayu. Ini saya anggap sebagai mitos dan kepercayaan turun temurun sahaja. Bagi saya, haiwan akan berasa terancam sekiranya rasa terganggu. Jadi kalau terserempak ular, saya terlebih dahulu menjauhkan diri. Kalau ia mengancam, barulah diusahakan untuk membunuh atau menghalaunya.

Selamat Tahun Baru Cina kepada warga Malaysia yang menyambutnya. Gong Xi Fat Chai!

Ular Tedung Selar


Daun limau purut yang unik

2/2/13

Penyakit Lupa dan Amalan Mencatat

Sering kita dengar orang mengatakan "bila usia meningkat, penyakit lupa mula hinggap". Lupa yang dimaksudkan di sini bukanlah pikun atau istilah Melayunya nyanyuk, tetapi lupa kecil-kecilan seperti lupa nama orang, tertinggal sesuatu akibat lupa, lupa temujanji, dan macam-macam jenis penyakit lupa lain. Mungkin orang lain juga mengalami situasi yang sama seperti Tukang Catat. Biasalah, bila umur meningkat macam-macam perkara boleh berlaku. Otak kita pun ada had dan sempadan juga. Ada istilah saintifik untuk hal ini tentunya. Tapi saya lupa dan malas untuk bertanya abdul Google atau brader wiki.

Walaubagaimanapun, ada kaedah-kaedah yang boleh membantu mengatasi tabiat (atau penyakit) kelupaan. Antaranya menulis catatan.Saya banyak mengamalkan kaedah ini. Sejak zaman belajar di universiti lagi sehingga kini, saya mempunyai buku kecil yang di bawa ke mana-mana untuk mencatit apa sahaja yang terlintas di dalam kepala. Sehingga catatan ini ditulis, tidak kurang 30 buku-buku catatan yang terkumpul. Sebahagiannya sudah hilang atau dibuang.

Semalam, sambil mengemas barang-barang simpanan koleksi peribadi, terjumpa buku-buku kecil lama tempat saya mencatat sesuatu sejak tinggal di sini 4 tahun yang lalu. Macam-macam tulisan yang saya jumpa. Antaranya

- "beli ayam 3 ekor"
- "tapau nasi beriani kambing 2 bungkus"
- "topup kad metro"
- "deadline artikel Dewan Kosmik"
- "Mohamad Syamsul Alam, kawan baru dari Bangladesh" (catatan terbaru 1 Feb 13)
- "ke rumah sister Sabariah"
- "potluck Jean Drapeu"
- "cari buku PTS & DBP"
- " contact sheikh shah rizan cari buku"

dan macam-macam lagilah termasuk kata-kata hikmah menarik yang dipetik dari wall facebook dan juga isi penting khutbah jumaat. Bila dicatatkan, sudah tentu ia akan kekal dan tidak membebankan otak untuk mengingatinya kembali. Pernah tak anda rasa seperti ingat-ingat lupa tentang sesuatu dan bersusah payah cuba ingat kembali. Tersiksa juga jiwa jika keadaan itu berlaku.

Oh ya, waktu sekolah dulu di Ittifakiah Jerteh, saya juga peminat dan pengumpul keratan 'Pesan Bistari' dari akhbar Utusan Malaysia. Entah ke mana koleksi tersebut saya pun sudah 'lupa'.

Sebenarnya apabila usia sudah meningkat saya akan kembali mengingati pantun lama nukilan Hamka yang kurang lebih berbunyi

Bila uban sudah bertabur,
Bila kulit sudah kendur,
Bila gigi sudah gugur,
Siap sedialah ke pintu kubur.


p/s ; umur Tukang Catat baru diusia awal 30-an. Terlalu awal untuk menulis hal-hal mengenai tua, berumur dan sebagainya. Tukang catat juga sangat mengkagumi Prof Diraja Ungku Aziz terutama dalam hal-hal penjagaan kesihatan dan amalan membaca beliau.

1/29/13

Hari-hari akhir di negeri asing


Insyaallah awal bulan Mac nanti kami akan berangkat meninggalkan Montreal menuju tanahair tercinta. 4 tahun terpisah antara dua benua yang sangat ketara perbezaan iklim dan persekitarannya sangat memberi kesan. Sedikit sebanyak ada perasaan sayu meninggalkan tempat anak membesar dan bersekolah, tempat menimba banyak pengalaman, pergaulan dan pertemuan dengan ramai kawan dan sahabat dan bermacam ragam pe'el kehidupan.

p/s~ sekarang dalam mood packing barang dan menyelesaikan beberapa urusan penting.

1/23/13

Sejuk membeku di Montreal

Suhu yang dicatatkan hari ini.



Keluar hantar anak ke sekolah terpaksa jadi ninja. Muka yang tak bertutup boleh jadi kebas. :-)
Oh Montreal!

1/21/13

Keunikan Sirap Maple

Pernah dahulu saya tulis tentang nira kelapa dan sedikit sebanyak proses penghasilan gula melaka dari nira tersebut. Kali ini saya ingin berkongsi keunikan pokok maple dan penghasilan sirap maple yang diperolehi dari pokoknya. Ia juga merupakan keunikan dan keaslian produk Quebec yang saya perhatikan sepanjang berada di sini. Rugi rasanya kalau tidak ditulis pengalaman unik yang diperolehi yang tiada di kawasan lain melainkan di bahagian Timur Canada (Quebec & Ontario) dan sebahagian kawasan di New England (US).

Sirap maple dihasilkan dari cecair yang dikumpul dari pokok maple ketika musim bunga. Cecair tersebut merupakan sejenis kanji(gula) yang yang terkumpul di dalam batang pokok maple sebagai bekalan makanan sewaktu musim sejuk. Tiba musim bunga, kanji tersebut bertukar menjadi cecair yang dikenali sebagai 'sap'. Proses pertukaran kanji kepada cecair merupakan satu anugerah alam ciptaan Maha Esa.

Di musim bunga, suhu pada waktu malam masih sejuk dan air diserap dari bumi oleh pokok maple. Manakala pada waktu siang, kesejukannya berkurangan akibat pancaran cahaya matahari dan peredaran bumi. Waktu siang yang panas ini menghasilkan tekanan yang akan menolak kembali cecair yang diserap ke pangkal batang. Cecair (sap) inilah yang di ambil dan dikumpul untuk menghasilkan sirap maple.

Kaedah pengambilan cecair ini juga unik. Sedikit lubang ditebuk dan ditadah menggunakan bekas khas. Tebukan dibatang pokok ini tidak merosakkan pokok. Proses ini dipanggil penuaian cecair maple. Selepas dituai dan dikumpulkan dalam jumlah tertentu, ia akan dihantar ke tempat pemprosesan untuk dimasak sehingga mencapai kepekatan tertentu. Dianggarkan 40 liter cecair maple yang terkumpul akan dimasak sehingga mencapai jumlah isipadu 1 liter. Setelah siap ia akan dibotolkan dan dijadikan perlbagai produk.

Melihat proses pembuatannya, tidak mustahil harga produk-produk dari maple sirap agak mahal dan terkawal. Tapi rasanya cukup enak! :-)

Sedikit gambar pelbagai sumber dari internet.

Pengumpulan cecair (sap) dari pokok maple di musim bunga

Corong khas direka untuk mengumpul cecair ke dalam bekas

Sirap maple siap dibotolkan


Proses penghasilan

1/16/13

Seberkas kenangan


I

Saya menyelak-nyelak entry lama mencari mood untuk mencatat sesuatu di blog yang kian lama terbiar dek hasutan facebook. Antara catatan yang signifikan bagi saya ialah apabila menulis pertama kali pengalaman menjejak kaki ke tanah yang begitu asing bagi saya dan keluarga. Catatan tersebut dibuat setelah 2 minggu berada di Montreal. Kini lebih 4 tahun kami mendiami 'bumi sejuk' ini. Di bulan-bulan terakhir kami di sini, saya mula membayangkan betapa pengalaman banyak mendewasakan manusia baik dari segi mengenal erti persahabatan, pergaulan dan seputar segalanya tentang erti kehidupan di bumi asing. Dari tanggal Ogos 2008 kami meninggalkan Malaysia, kini sudah masuk Januari 2013. Insyaallah, kalau dipanjangkan usia dan diperkenankan oleh Allah, kami akan kembali ke tanah air tercinta pertengahan bulan Mac nanti. Di doakan segalanya dipermudahkan Allah segala apa jua urusan.

II

Isu nama Allah dalam kitab injil kembali bergema. Dahulu pada tahun 2010 saya telah menulis dua entry mengenai isu ini. Waktu itu, tidak banyak saya membaca dan berfikir. Semberono sahaja saya menyokong tulisan bekas mufti Perlis Dr Maza mengenai isu ini yang turut ditulisnya dalam website beliau berjudul Beza Antara Merebut Nama Allah dan Mempertahankan Akidah. Walaubagaimanapun, setelah saya membaca, meneliti dan mendengar pandangan pelbagai pihak, terutamanya dari agamawan tempatan yang lain, saya terpanggil untuk kembali merenung apakah benar isu ini sangat lekeh. Rupanya tidak. Ia suatu huraian ilmu dan falsafah yang mendalam. Oleh yang demikian, saya menarik kembali dua tulisan saya yang terdahulu mengenai isu nama Allah ini. Kini saya berpihak kepada kumpulan yangTIDAK REDHA NAMA ALLAH di MASUKKAN KE DALAM INJIL. Semoga Allah mengampuni kesilapan saya terdahulu.

III

Permulaan musim sejuk kali ini agak mencabar. Di minggu pertama, ribut salji melanda Montreal dan sebahagian kawasan di utara Quebec. Pihak berkuasa tempatan mengambil masa hampir dua minggu untuk membersihkan jalan-jalan dari salji yang membukit. Bagi pemilik kereta, keadaan begitu mencabar. Kami tidak memiliki kenderaan di sini. Oleh itu, tidak banyak masalah yang perlu dihadapi melainkan membersihkan salji tebal di tangga dan kawasan kediaman. Sepanjang 4 tahun lebih kami di sini, inilah salji paling tebal pernah kami alami. Walauapapun tiada kejadian yang buruk berlaku. Semuanya telah bersedia. Alhamdulillah

IV

Kini kami dalam mood mengemas dan bersedia untuk menghantar barang-barang di Montreal untuk dihantar ke Malaysia. Tidak banyak barang besar melainkan buku-buku yang jumlahnya anggar hampir 250 buah. Ingin ditinggalkan atau dihantar ke kedai buku terpakai, agak sayang. Buku bagi saya adalah sesuatu yang unik dan penuh kenangan. Jadi kami memutuskan untuk membawa pulang walaupun kos penghantarannya mungkin menjadi agak tinggi.