7/19/12

Ramadhan di Perantauan 1433 H

                                                  Gambar : http://sukardi-tkjim.blogspot.ca/2012/07/jadwal-imsakiyah-dan-sholat-ramadhan.html


SYUKUR
pada Allah kerana dengan izinNya kita masih lagi bernafas dan menghirup udara anugerah ilahi. Tahun ini juga adalah tahun-tahun seterusnya kita berjaya bertemu kembali bulan Ramadhan yang mulia. Saban tahun, Ramadhan yang datang kita sebagai umat Islam yang akil baligh dan mukallaf diwajibkan berpuasa. Sudah tentu puasa kita berbeza mengikut peringkat umur dan tingkat kefahaman masing-masing. Tahun ini kali ke-lima kami berpuasa Ramadhan di Montreal, jauh dari sanak saudara dan suasana kemeriahan di Malaysia.

Di zaman kanak-kanak, tentunya bulan puasa tergambar hidangan makanan yang banyak dan meriah ketika berbuka. Malamnya pula berduyun-duyun ke masjid menunaikan solat sunat terawih kemudian disudahi pula dengan jamuan makan-makan atau 'moreh' menurut istilah dari pantai barat semenanjung Malaysia. Keesokkan harinya kita meneruskan puasa sehingga genaplah sebulan dan bergembira pula untuk menyambut hari raya.

Ragam berpuasa pula macam-macam. Ada yang mampu lakukan separuh hari. Ada yang berpura-pura puasa. Ada juga yang menelan seteguk dua air ketika mandi di siang hari, kemudian terus bertahan sehingga waktu maghrib, termasuklah Tukang Catat. Kalau tidak, tak dapatlah menjamah makanan yang enak-enak bersama orang dewasa sewaktu berbuka. Penghujung Ramadhan, suasana sekeliling mula hingar bingar dengan mercun dan bunga api. Sampai satu Syawal tamatlah puasa, dan diulangi pula di tahun-tahun seterusnya. Itulah erti puasa di zaman kanak-kanak.

Meningkat dewasa, kita mula membaca dan belajar erti berpuasa sebenar. Allah berfirman, dalam surah Al-Baqarah ayat 183 berbunyi,

Wahai orang-orang yang beriman, diperintahkan kamu berpuasa, seperti mana kami perintahkan ke atas umat-umat terdahulu sebelum kamu, supaya kamu bertakwa
.

Takrif puasa tentu kebanyakan orang sudah memahaminya iaitu menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa, dari terbit fajar hingga terbenam matahari disertai dengan niat. Namun takrif takwa mungkin belum begitu jelas. Apa kaitannya berpuasa dengan takwa?

Ramai ulamak membahaskan konsep takwa. Menurut ustaz di sekolah, takwa bermaksud 'takut' kepada azab Allah, melakukan suruhanNya serta meninggalkan segala laranganNya. Ada ulamak yang membuat huraian maksud takwa dengan pecahan huruf-huruf arab/jawi ejaan takwa iaitu Ta', Qa, Wau, dan Ya'. Huraian ini saya dengar melalui kaset ceramah Kiyai Hj Zainuddin M.Z (Allahyarham) yang dibeli oleh ayah lama ketika saya masih di peringkat sekolah.

Huruf Ta' bermaksud TAWADUK atau rendah hati, Qaf pula bermakna QANAAH (berasa cukup dengan apa yang dianugerahkan Allah tanpa berhenti berusaha), Wau untuk WARAK ( terpelihara dari perbuatan keji dan munkar serta perbuatan yang syubhah). Huruf terakhir Ya pula bermaksud YAKIN iaitu yakin dengan perintah Allah dan ajaran Rasulullah.

Oleh yang demikian, berpuasa seperti yang diperintahkan Allah bertujuan untuk mendapat ke-empat-empat sifat seperti yang disebut di atas. Tentunya, huraian ulamak tentang takwa ada pelbagai. Setakat ini, itulah konsep takwa yang saya faham.

Apabila kita menilik ke dalam diri kita sendiri, selama kita hidup tentu sukar untuk mendapat perasaan dan suasana ketakwaan seperti yang disebut di atas. Walaubagaimanapun, di bulan ramadhan kita berpuasa sepanjang waktu siang, ditambah pula dengan ibadat-ibadat lain seperti membaca Al-Quran, mengingati Allah, bertarawih, berzakat dan sebagainya sedikit sebanyak sifat-sifat yang tersebut di atas muncul dalam diri walaupun di peringkat minimum. Puasa juga bolehlah diibaratkan sebagai kalibrasi kompas kehidupan kita, dan waktu yang baik untuk kita bermuhasabah tentang mengapa kita dilahirkan di di dunia ini, apa tugas yang diperintahkan oleh Allah serta ke mana kita akan pergi setelah menghembuskan nafas terakhir nanti. Semoga dosa-dosa kita diampuni Allah dan sentiasa diberi petunjuk kebenaran olehNya sepanjang kehidupan kita di dunia.

Berpuasa di negeri empat musim hanya sedikit berbeza berbanding Malaysia terutamanya waktu mula puasa dan berbuka. Sekarang musim panas di mana waktu subuhnya lebih awal iaitu sekitar 3.30 pagi manakala waktu meghrib pula sekitar jam 8.40 malam. Jadi waktu untuk bersahur lebih awal, dan jadual seharian agak berlainan dari kebiasaan. Lain-lain tidak banyak yang berbeza.

Saya sekeluarga dari Montreal, mengucapkan selamat berpuasa Ramadhan kepada seluruh umat Islam tak kita di mana berada semoga kita berada dalam peliharaan Allah sentiasa.

Salam Ramadhan 1433 Hijrah

Faizal & Famili
Verdun, Montreal


p/s:- Beberapa catatan lama tentang bulan ramadhan.


http://mundarmandir2.blogspot.ca/2009/08/juadah-berbuka.html

http://mundarmandir2.blogspot.ca/2007/10/buah-tangan-terbaru-prof-muhd-kamil.html

http://mundarmandir2.blogspot.ca/2009/09/catatan-ramadan-ke-21.html

http://mundarmandir2.blogspot.ca/2007/09/1-ramadhan-1428h2007.html

http://mundarmandir2.blogspot.ca/2011/08/ramadhan-air-tuak-kenangan.html

http://mundarmandir2.blogspot.ca/2010/09/surah-al-qadar-menurut-tafsir-al-azhar.html

http://mundarmandir2.blogspot.ca/2010/08/ulang-tahun-nuzul-al-quran.html

http://mundarmandir2.blogspot.ca/2010/08/bulan-berkat-bulan-ibadat-ramadhan.html

7/16/12

Belajar dari Ladang Kelapa Sawit

Kelapa Sawit siap untuk dituai

Tukang Catat membesar di Felda. Sebuah Felda kecil di Daerah Besut Terengganu. Berpindah dari sebuah kampung berhampiran ke tanah rancangan Felda pada tahun 1985. Kehidupan di Felda waktu itu sangat mencabar. Jalan-jalan masih tidak berturap menghubungkan kawasan penempatan peneroka dengan kampung-kampung di luar. Kalau hujan lebat, alamat berselut dan kaki terbenam di dalam becak dan lumpur  ketika berjalan masuk. Kalau bermotosikal atau basikal, hampir separuh tayar akan tenggelam di dalam selut.

Bekalan elektrik masih belum ada. Sumber pencahayaan kami hanya menggunakan lampu gasolin. Telefon ketika itu tidak usah bermimpi. Terlalu asing bagi kami. Air dibekalkan oleh kerajaan melalui saluran paip di tepi jalan berkongsi antara 3-4 buah rumah. Saya masih ingat, kadang-kadang mandi berbogel sahaja di tepi jalan. Ah! zaman kanak-kanak! Ada yang menggali perigi di belakang rumah. Kalau ingatan saya masih kuat dan tidak silap, pernah ada kejadian bersetentang dengan  rumah kami, seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat terjatuh ke dalam perigi.

Kelapa sawit adalah sumber pendapatan utama warga Felda. Tapi bagi yang rajin, masih banyak peluang-peluang lain untuk mencari rezeki. Ayah saya misalnya pernah membela ikan di kolam, menanam tembikai dan bertukang. Kadang-kadang masih pulang ke kampung asal kami mengerjakan sawah. Maklum sahajalah, kelapa sawit tidak dituai setiap hari. Hasil sawit sahaja tidak cukup untuk perbelanjaan kami adik beradik 7 orang ketika itu. (Adik saya yang bongsu ke-8 lahir ketika zaman suasana sudah berubah). Seingat saya ia dituai 2 atau 3 kali sebulan. Musim menuai kelapa sawit, sangat mencabar, terutamanya pengalaman Tukang Catat sendiri. Tiba musim menuai, ayah saya mula mengasah sabit dan parang. Kami turut dikerah ke ladang, membawa sedikit bekal dan air minuman. Paling mencabar bagi saya ialah apabila melihat banyak buah sawit kemerah-merahan yang sudah mula meluruh dari tandan. Tukang Catat waktu itu membayangkan "kalaulah ada satu alat yang boleh mengait buah sawit tanpa jatuh ke tanah, tentu sangat menyenangkan". Ketika di sabit, tandannya jatuh ke tanah dan memercikkan banyak buah-buah relai. Bayangkan setandan sawit berbuah relai, disabit kemudian bergolek dari atas bukit sampai ke bawah cerun bukit, jenuh kami mengutipnya. Itu baru setandan. Itu juga belum lagi termasuk tangan atau kaki tercucuk duri pelepah sawit, gigitan pacat di musim hujan, terserempak babi hutan, tebuan tanah, buah terkena najis lembu dan lain-lain.

Melihat kami tercungap-cungap memikul buah sawit, ayah selalu berpesan. "kalau tidak mahu susah bekerja di ladang sawit, sekolahlah rajin-rajin". Saya simpan dan semat betul-betul pesanan itu di dada. Ketika itu usia saya sekitar 9-12 tahun.

Saya agak lemah dalam matematik. Kira-kira mudah pun boleh membuatkan saya penat berfikir mencari jalan menyelesaikannya. Satu hari, selepas berpenat-lelah, kami  berehat sebentar di bawah pokok sawit. Ayah saya menunjukkan satu kaedah mengira nombor besar dalam operasi darab. Contohnya mendarab nombor yang mempunyai banyak nilai kosong dihujung. Cth 9000 x 200. Kata ayah, kirakan sahaja berapa nombor kosong kemudian tuliskan bilangan kosong di belakang hasil darab 9 x 2. Jadi jawapannya 1,800,000. Wah!..Jawapan itu sangat memudahkan saya. Apatah lagi sifir 9 mudah sahaja dikira menggunakan petunjuk dari jari tangan sahaja. Saya masih ingat, ayah saya menunjukkan kaedah itu di atas pelepah kelapa sawit yang baru sahaja disabit. Cerita tentang kreativiti dan kerajinan ayah, saya akan tulis kemudian.

Selain kami adik beradik, emak turut serta membantu di ladang. Ketika di asrama sekolah, saya terbayangkan emak dan ayah terbongkok-bongkok di ladang menuai kelapa sawit. Bila terkenang, kadang-kadang saya jadi sedih. Itulah kehidupan kami di Felda waktu itu.

Update terbaru: Baru semalam saya menelefon emak di kampung bertanya khabar. Di usia senja sebegini mereka masih mengusahakan tanah-tanah pertanian. Selain kelapa sawit, ayah dan emak mula menanam getah. Terkejut juga saya bila dapat tahu, 500 batang getah dikerjakan berdua sahaja. Kalau saya di kampung, mahu saya turut serta.

Tukang Catat
Verdun, Montreal

7/9/12

Komuniti Islam Montreal

Montreal didiami oleh ramai imigran dari seluruh pelosok dunia. Sebahagian besar datangnya dari negara-negara jajahan Perancis. Warga asia barat beragama Islam yang pernah berada dalam jajahan Perancis seperti Algeria, Morocco, Syria dan lain-lain begitu ramai di sini. Justeru itu, kami tidak mengalami kesulitan untuk berinteraksi dan mempunya rakan sesama muslim di sini.

Di akhir khutbah Jumaat lepas, khatib mengingatkan bahawa komuniti Islam Montreal semakin membesar dan populasinya semakin meningkat. Situasi ini memerlukan tempat yang sesuai yang boleh dijadikan masjid atau tempat yang lebih selesa untuk kegiatan kaum muslimin di negara barat ini. Untuk makluman, kebanyakan masjid atau tempat bersolat di sini belum mencapai tahap yang selesa seperti yang terdapat di negara-negara Islam seperti di Malaysia. Kebanyakannya masih menyewa rumah kediaman, dewan universiti dan basement.

Khatib kemudian mengingatkan agar jemaah supaya menyumbang sedikit derma ikhlas sebagai usaha untuk mengumpul dana membeli bangunan atau hartanah yang sesuai untuk didirikan masjid. Dari khutbah tersebut, timbul sedikit rasa sedih di hati memandangkan saya sendiri bukanlah orang 'berduit' yang boleh menyumbang dalam jumlah yang besar melainkan sedikit-sedikit sahaja. Ya betul. Sedekah jariah yang sedikit tapi konsisten itu pun cukup, cuma sedikit kesal kerana tidak dapat membantu dengan lebih banyak.

Namun begitu saya yakin, sekiranya satu usaha gerakan yang dijalankan secara tersusun mampu menarik golongan kaya-raya Islam seluruh dunia melihat keperluan umat Islam di dunia barat. (Tidak dilupakan negara-negara Islam lain yang miskin) Serentak dengan itu, mereka turut dapat menyumbang.

Hari ini, saya berjalan-jalan di sekitar kawasan kediaman di Rue Wellington, dan meninjau-ninjau projek pembelian gereja lama milik imigran Russia atau Poland (saya lupa), yang ingin dibeli oleh komuniti Islam Verdun. Kelihatan gereja tersebut sudah tiada, dan kerja-kerja membersihkan hartanah di situ kelihatan sedang berjalan. Satu perkembangan positif dijalankan oleh komuniti Islam masjid Verdun. Saya mungkin tidak berpeluang untuk melihat masjid ini berdiri megah, tapi muncul rasa bangga kerana usaha komuniti Islam di sini kelihatan sudah membuahkan hasil.

Masih saya ingat perbualan saya dengan Brother Aidil (imigran Syria yang sudah menetap di Montreal lebih 20 tahun) yang memiliki sebuah restoran Pizza di sini. Kata beliau, mereka berharap kalau-kalau saya boleh membantu menyebarkan usaha murni membina masjid kepada warga Malaysia melalui cara apa sekalipun termasuk internet dan facebook. Perbualan tersebut berlaku 2 tahun yang lalu. Sekarang usaha mereka sudah berhasil. Untuk makluman, bakal masjid yang akan didirikan di tapak gereja Russia tersebut berada tepat di belakang restoran Pizza Brother Aidil. Semoga ia akan menjadi kenyataan

Alhamdulillah!



Tukang Catat di hadapan Verdun Islamic Centre, sejurus selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri 2011 yang lalu. Sebuah bangunan apartment yang di sewa dijadikan masjid.


Catatan dari :-

408, 4th avenue
Verdun
Montreal