www.majalahsains.com

7/28/10

Kita terus lemah dan lembik kalau ...

Kewujudan teknologi internet dan penyebaran ilmu di dalamnya seharusnya lebih meningkatkan kefahaman dan persaudaraan kita sebagai umat terbesar di muka bumi. Setiap hari ada sahaja ilmu-ilmu dan maklumat tentang bagaimana untuk memahami agama yang ditulis dan disebarkan di dalam internet. CUMA, sebagai umat Islam yang mempunyai akal perlu menyaring, maklumat BAGAIMANA kah yang boleh dijadikan sumber rujukan dan boleh pula disebarkan kepada orang lain.


Sekarang ini kita sedia maklum, walaupun umat Islam adalah umat terbesar di dunia yang dianggarkan seramai 1.6 bilion di seluruh pelosok dunia, namun kesatuan dan kefahaman kita dalam kehidupan beragama boleh dikatakan bercempera (berkecai-kecai) sehingga senang musuh (baca: Zionis &  Materialis melampau) merobek-robek kita sebagaimana yang berlaku di Palestin, Afghanistan, Iraq, Selatan Thailand dan sebahagian wilayah muslim di Afrika. Puncanya kerana apa ?


Ambil sahaja contoh-contoh keutamaan yang perlu diberikan perhatian khusus dalam mengembalikan keagungan Islam tetapi gagal dihayati. Antaranya ialah perkara remeh temeh yang tiada rujukan dari Al-Quran dan As-Sunah. Soal ibadat misalnya.


Baru-baru ini saya pernah menegur secara terbuka beberapa rakan Facebook yang begitu giat menyebarkan amalan karut yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah dan tidak dalil sahih dalam Al-Quran dan Hadis. Antaranya ialah amalan-amalan membuang masa beribadat tanpa dalil dalam bulan-bulan seperti Rejab dan Syaaban. Tidak perlu saya bersyarah panjang tentang amalan ini di sini. Cukup sahaja dengan meng'google' di internet kita akan menemuinya. Beribadat sudah tentu tidak salah, akan tetapi ia perlu mengikut Nabi Muhammad dan dalil yang sahih dari Al-Quran. Kalau tidak, ia hanya sia-sia dan membuang waktu, sedangkan pada masa yang sama kita boleh melakukan perkara utama dalam kehidupan seharian. Membaca dan menulis sesuatu yang baru misalnya. Ataupun fokus pada bidang yang ditekuni.


Satu lagi contoh ialah penyebaran emel/artikel yang tidak diketahui sumbernya dengan berlapikkan Islam sebagai perasa atau penyedap yang boleh menarik perhatian orang lain. Ini dinamakan 'hoax'. Di tahun-tahun 80-an dahulu heboh mengenai 'surat berantai' yang kononnya ditulis oleh imam besar Masjidil Haram, yang menulis sekiranya surat itu tidak disebarkan kepada sekian ramai orang lain, sesuatu yang tidak diingini akan berlaku kepada penerima surat tersebut.


Anehnya di abad milenium ini masih ada yang menyebarkan berita 'hoax' kononnya Adolf Hitler bersimpati dengan Islam dalam usahanya menghapuskan kaum Yahudi semasa Perang Dunia -II dahulu. Dan artikel ini tersebar dengan rancak di laman-laman web sosial serta emel. Anehnya malah, ramai juga yang terpengaruh termasuk golongan yang boleh dikatakan terpelajar. Saya sendiri telah membuat sedikit semakan pantas melalui beberapa buah buku tentang Hitler (7 buah kesemuanya) . Hampir kesemua buku tersebut
tiada menyebut tentang simpati Hitler kepada Islam. Bagaimana kita boleh mempercayai satu artikel yang tidak bersumber berbanding tulisan-tulisan di dalam buku yang penuh dengan rujukan.


Jadi kesimpulan yang boleh dibuat oleh Tukang Catat ialah, umat Islam masih lagi cepat terpedaya dengan apa sahaja karut-marut yang diselitkan dengan unsur agama. Asal sahaja berbunyi agama dan kelihatan membanggakan Islam, terus kita terpedaya dan tanpa segan silu mengakui bahawa ia sebahagian dari agama. Ramai di kalangan kita masih gagal menyaring maklumat yang bertebaran di dalam media baik internet atau pun bahan-bahan bacaan. Pengaruh 'sharing is caring' melalui khayalan dan perangkap laman-laman sosial masih lagi membelenggu umat yang jarang menggunakan akal dalam kehidupan seharian. Punca utamanya ialah membelakangi akal. Mengapa akal tidak digerakkan berpunca dari tidak bahan untuk difikirkan. Mengapa tiada bahan, disebabkan malas mencari bahan (membaca).


Dua contoh di atas adalah 'trend' yang berlaku sehari dua ini. Ia tidak termasuk soal-soal menulis perkara-perkara sampah di status Facebook, menyebar benda lucah, membuang masa tanpa arah tujuan dan berkhayal tentang hidup. Sedangkan banyak isu-isu besar yang perlu difahami terlebih dahulu sebelum mengajak rakan-rakan lain turut sama berfikir dan berhujah. Inilah yang menyegarkan budaya ilmu. Tidaklah salah menggunakan apa sahaja teknologi, demi untuk mengembangkan wacana.


Ini antara penyebab umat Islam kelihatan lembik dan tidak memiliki kekuatan untuk berhujah berdepan dengan akal fikiran rasional dari pihak musuh. Sedangkan mereka (musuh) terus membaca pergerakan dunia dan tindak tanduk umat Islam.

~Verdun ~
summer 10

7/17/10

Harga Barang Naik, Harga Diri Turun

Pesta kenaikan harga barang bermula lagi. Bermula dengan isu subsidi, kejatuhan ekonomi dunia , tadbir urus ekonomi dalam syarikat-syarikat gergasi Malaysia yang melibatkan kerajaan (GLC) yang dilaporkan mengalami kerugian, isu-isu politik dan juga sosial dalam negara rakyat Malaysia dikejutkan lagi dengan pengumuman dari Perdana Menteri tentang kenaikan harga 5 barang keperluan utama di Malaysia.

Sepintas lalu, kenaikan RM0.05 atau 5 sen ini tidak apa-apa atau tidak menjejaskan sesetengah golongan. Malah ada yang bongkak terus berkokok dan bersyarah menyatakan bahawa kenaikan ini tidak membebankan.  "Inilah realiti yang perlu dihadapi oleh rakyat dan negara untuk terus kekal bersaing pada masa hadapan"
Ini kata mereka. (orang-orang yang bongkak, takbur, dan sombong dengan kemewahan yang dimiliki).

Bagi saya, orang-orang sebegini, hati dan Tuhan mereka sudah mati. Golongan ini terdiri daripada 2 kelompok. Pertama mereka yang lahir dan membesar dengan kemewahan. Kedua ialah golongan yang lupa diri serta asal usul keturunan.

Bagi golongan marhaen dan rakyat biasa yang berpendapatan rendah, malah dikategorikan sebagai miskin seperti penerima bantuan dari PPRT -Projek Perumahan Rakyat Termiskin, JKM-Jabatan Kebajikan Masyarakat, peserta program BersamaMu, petani, Tukang Beca dan puluhan ribu rakyat miskin dalam negara, pengumuman PM semalam adalah satu malapetaka.

Apabila harga minyak naik, Teori Domino (Teori Sangkut Paut) akan berlaku dengan kenaikan harga barangan pengguna yang lain. Walaupun kerajaan terus menggula-gulakan rakyat dengan berita-berita akhbar dan TV dengan amaran kepada peniaga yang menaikkan harga barang, ketegasan kerajaan menangani harga dan segala macam pembohongan yang tidak larat untuk disenaraikan, kenaikan ini terus menindas rakyat.

Pernahkah golongan pembuat dan pemutus dasar ini menjenguk golongan miskin. Pernahkah terdetik di hati mereka bahawa masih ramai rakyat di dalam negara ini yang masih buta huruf, kais pagi makan pagi, masih berkaki ayam (orang asli) dan warga kampung yang tidak ketahuan punca rezeki mereka.  Pernahkah?

Mudah sahaja alasan yang diberikan kerajaan. "Rasionalisasi subsidi atau penyelarasan subsidi". Istilah subsidi pun sudah cukup membingungkan warga marhaen. Mereka tidak mahu tahu semua itu, yang mereka perlukan ialah pembelaan dan keadilan yang saksama dari pemerintah yang berkuasa.

Saya berasal dari keluarga susah. Dilahirkan di sebuah kampung terpencil, berbelas tahun tinggal di rumah yang tidak mempunyai kemudahan elektrik dan air paip yang sempurna sewaktu zaman kanak-kanak. Talian telefon jauh sekali. Kemudian memasuki Tanah Rancangan FELDA dan alhamdulillah masih menjadi 'orang' sehingga setakat ini. Alhamdulillah pujian dipanjatkan kepada Allah SWT Tuhan Sarwa Sekalian Alam. Jadi saya boleh merasai sedikit sebanyak penderitaan warga miskin apabila harga gas memasak, gula dan petrol dinaikkan hanya untuk menyelamatkan beberapa kerat 'syaitan besar' yang menelangkupkan kekayaan negara.  

Bila isu kenaikan harga dan kelemahan kerajaan mentadbir dan menguruskan keperluan rakyat, hati saya mula resah mengenangkan golongan miskin yang tidak bernasib baik. Mereka tidak tahu hakikat yang sebenar apa yang berlaku di luar sana.

Gaya hidup siapa sebenarnya yang perlu diubah?
Siapa yang sebenarnya perlu lebih banyak berkorban dan berkhidmat untuk negara?
Kepada siapa subsidi-subsidi gula, minyak dan mungkin sektor lain harus diberikan?

Bukankah itu hak rakyat?

Maka tidaklah salah kalau Nik Aziz menggelarkan golongan ini sebagai golongan 'Celaka'
Memang tepat kritikan MB Kelantan, negeri yang dinafikan hak royalti minyak oleh pemerintah!

Astaghfirullah Al-Azeem!

7/14/10

Bekalan Semangat Untuk Mencapai Cita-cita


“Cita-cita hidup seseorang itulah yang menjadi ukuran kebesarannya. Apalah sebabnya maka ada manusia yang diberi gelaran ‘orang besar’ dan ada pula yang bergelar ‘orang kecil kalau bukan kerana cita-cita.

Macam macam segi kebesaran manusia, dan manusia manusia besar itulah yang menjadi pandu kemajuan masyarakat pergaulan hidup ini. Orang yang dinamakan besar ialah orang yang mempunyai suatu fikiran, suatu cita cita dan iradat, kemahuan untuk mencapai cita cita tersebut. Sebetulnya tiap tiap manusia ada mengandung suatu maksud yang mulia.
Setiap manusia ingin kaya, ingin ternama dan mengerjakan suatu pekerjaan yang mulia. Tetapi suatu cita cita yang tidak dituruti dengan perjuangan dalam kehidupan, dengan sakit dan senang, jatuh dan bangun lagi, hidup dalam pujian dan celaan, sanjungan dan hinaan dan tidak berani menghadapi banyak teman dan musuh adalah tidak mungkin menjadi orang besar. Cita-cita yang tidak diperjuangkan, terbenamlah dia dalam diri, dilingkungi oleh ragu, takut dan cemas, mundur – maju dan lain lain. Itulah yang menyebabkan tidak dapat maju dan tetap kecil.

Berbagai segi kebesaran itu, besar dalam politik, dalam peperangan, dalam filsafat dan dalam agama.
Untuk mengukur kebesaran, lihatlah alam yang berada dikeliling orang besar itu. Bagaimana dia melepaskan dirinya dari kesulitan dan merbahaya, dikelilingi oleh tali temali yang mengikat dan sebagainya.”
-----HAMKA----

7/11/10

Perbanyakkan bahan bacaan

'Tamadun yang hebat tercipta dari pemimpin dan rakyat yang gemar membaca dan cintakan ilmu'

&
Mendidik masyarakat membaca samalah seperti mendidik anak anda membaca. Longgokkan bahan bacaan untuk mereka!


1. Saya lupa darimana kata-kata ini dipetik, tetapi jelas ia dari sebuah buku. Masakan tidak, wahyu pertama yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad untuk umat manusia ialah suruhan membaca. Sudah tentu bahan bacaan adalah mengikut tahap fikiran dan objektif masing-masing. Juga membaca tidak terhad kepada bahan berbentuk tulisan, mungkin ia boleh datang dalam bentuk jelmaan objek untuk difikirkan, penaakulan terhadap alam ciptaan Tuhan dan kejadian di sekeliling.

2. Jawapan mengapa kita perlu banyak membaca ialah supaya setiap gerak langkah dan tindak tanduk kita dalam menentukan setiap keputusan adalah mengikut logik akal yang munasabah, mengurangkan kadar kesilapan, dan berakhir dengan kebahagiaan dan kepuasan dengan tindakan tersebut. Bukanlah tindakan semberono yang melibatkan hati dan perasaan semata-mata tanpa disusuli dengan akal waras.

3. Sesetengah daripada kita, kadangkala masih keliru bila akal itu berfungsi dan bila pula hati yang menguasai tindakan. Amat sukar membezakannya. Di dalam ajaran agama, kerapkali kita mendengar ungkapan ' jangan difikirkan lagi tentang itu dan ini', ia sudah termaktub hukum-hakamnya'. Iya kan sahaja tanpa banyak soal. Adakah benar begitu ? Jawapan kepada setiap persoalan akan dapat dijawab bila kita gemar dan mencari masa untuk membaca. Inilah yang selalu dimiliki oleh orang yang tidak beragama. Di barat misalnya.

4. Baiklah, mari kita lihat satu contoh. Penerbitan buku dan kegiatan ilmiah dewasa ini banyak dimonopoli oleh negara-negara bukan islam. McGraw Hill, Oxford Press, Cambridge, Barron's, Harper Business dan ribuan lagi yang lain. Setiap tahun statistik penerbitan buku dari barat jika dibandingkan dengan negara Islam, terlalu jauh bezanya. Bahkan jarang sekali kita mendengar syarikat penerbitan buku dari negara Islam yang tersebar luas. Mengapa ia tidak banyak muncul disebabkan tidak banyak permintaan. Dari siapa? Dari umat islam itu sendiri. Jadi jelas, secara mudah boleh kita katakan kadar membaca dan mencari kebenaran di kalangan umat Islam masih jauh berbanding dengan negara-negara barat maju yang lain. 

5. Bila tahap membaca ini kurang dan ketinggalan, maka akan wujudlah apa yang dinamakan kelemahan-kelemahan dalam tindakan. Perundangan misalnya, masih lagi kucar-kacir di tangan pemimpin dan pengamal undang-undang negara-negara yang dikatakan Islam. Bila perundangan dan pentadbiran lemah, maka banyaklah ketidakadilan yang berlaku. Korupsi berleluasa, jenayah bertambah dan persekitaran rimas dan tidak memberansangkan.

6. Kita lihat di barat. Misalnya negara yang saya diami buat sementara waktu ini. Budaya membaca, penerbitan buku, kedai buku, masyarakat, persekitaran, perundangan mereka cukup jelas. Mereka tidak mempunyai agama. Namun begitu teratur hidup mereka. Berita korupsi susah sekali untuk ditemui dalam akhbar. Pemimpin mereka hidup sederhana. Budaya meminum minuman keras (heavy drinkers) di kalangan warga Canada dihadkan di dalam premis kediaman atau pub sahaja. Peraturan jalanraya, menghormati warga tua, kebersihan dan puluhan lagi amalan-amalan mulia mereka perlu dicontohi oleh masyarakat di timur dan beragama Islam.

7. Semua ini datangnya dari budaya membaca. Tabiat membaca boleh dibentuk sejak di zaman kanak-kanak. Ibu bapa yang membaca dan menghimpunkan bahan bacaan di rumah secara tidak lansung akan menggalakkan anak-anak membaca. Terlalu  banyak contoh yang boleh dijadikan teladan. Itulah doa dan harapan kami. Melahirkan keluarga yang cintakan ilmu pengetahuan berbanding karut marut yang lain. Berjaya atau tidak, itu urusan lain, yang penting mulakan dari diri dan keluarga sebelum tabiat ini merebak ke dalam masyarakat.

 ~faizal~
11.15 malam
Verdun, Summer 2010