www.majalahsains.com

5/4/14

Datang lagi ke Montreal



Selepas setahun pulang kembali ke tanah air, rezeki menjemput kami datang semula ke Montreal. Bagi isteri, kedatangan kali ini ialah untuk menyelesaikan peringkat terakhir kajian PhDnya atau istilah popularnya ialah 'viva' (mempertahankan hasil kajian melalui pembentangan di hadapan panel pemeriksa). Untuk saya pula, kesempatan diambil untuk menjalani latihan beberapa peralatan saintifik di makmal mikrofabrikasi di universiti di sini.

Montreal tidak banyak berubah sejak 5 tahun yang lalu. Kami datang ke sini pada tahun 2008, pulang pada 2013 dan kembali semula pada April 2014. Satu perjalanan yang relatifnya panjang dan kaya dengan pengalaman. Saya sentiasa berangan-angan untuk membukukan pengalaman ini. Beberapa catatan pendek sudah terbit di beberapa penerbitan. Tahun ini di Pesta Buku Antarabangsa KL, sebuah buku projek pakatan 50 penulis yang menceritakan perihal buku telah terbit dan dijual di sana.
Saya sendiri turut mencatat di halaman 42 tentang pengalaman berkunjung ke kedai-kedai buku di Montreal sepanjang berada di sini sejak 2008 yang lalu. Buku tersebut berjudul KAPSUL NURANI

Di akhir catatan tersebut saya menulis,

"Masyarakat Montreal barangkali tidak memerlukan acara besar untuk meraikan buku seperti pesta-pesta buku di Kuala Lumpur, kerana setiap hari mereka berpesta dengan budaya membaca buku di mana-mana sahaja".

Kunjungan ke sini kali ini membenarkan catatan di atas, dan Tukang Catat tidaklah begitu ralat tidak hadir ke PBAKL kali ini, kerana budaya buku di sini mengatasi pesta-pestaan meraikan buku.Budaya ilmu subur dan mekar di sini. Suasana intelektual begitu terasa, sesuailah seperti apa yang diungkapkan oleh Prof Muhammad Hj Salleh tentang keadaan ini seperti yang saya rakam di blog suatu masa dahulu.

Untuk rekod, Tukang Catat tidak pernah gagal hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sejak 1998.

Dapatkan kapsul nurani di PBAKL dan ejen-ejen buku terdekat. Hubungi sekretariat Kapsul Nurani di https://www.facebook.com/BukuCelikHuruf