www.majalahsains.com

2/27/09

Lagi tentang menentang PPSMI

Temubual Dato' Dr. Anwar Ridhwan dengan akhbar Siasah Edisi 22-28 Februari 2009

Mereka yang Mengkritik Dasar PPSMI Bukan anti Bahasa Inggeris

(Di salin dari blog Faisal Tehrani)


ISU Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) di dalam bahasa Inggeris akan terus dibantah selagi Kementerian Pelajaran tidak mengembalikan semula ke bahasa Melayu.Bantahan terbesar bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 7 Mac oleh beberapa NGO yang mewakili masyarakat dan pejuang bahasa Melayu.Ia ditegaskan oleh Datuk Dr Anwar Ridhwan,Pengerusi Jemaah Pesara, Dewan Bahasa dan Pustaka di dalam temubual dengan wakil Siasah Zain A Ghani di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 16 Februari baru-baru ini.Temubual itu dapat mendedahkan lagi kelemahan hujah mereka yang mempertahankan PPSMI di dalam bahasa Inggeris:

Bagaimana perkembangan mutakhir isu PPSMI ini, kenapa pihak berwajib masih di dalam kekelam-kabutan dan lambat membuat keputusan; sedangkan ia suatu yang amat penting?

Sangat menghairankan bagaimanakah suatu dasar seperti PPSMI ini yang akan melibatkan nasib masa depan ratusan ribu atau jutaan pelajar dan bagaimana sebuah kementerian boleh melaksanakan suatu dasar yang bertentangan dengan Perkara 152(1) dan 152 (6) Perlembagaan Persekutuan.

Ia juga melanggar dan bertentangan dengan seksyen 17(1) Akta 550,-Akta Pendidikan 1996. Rakyat tentu musykil bagaimana Kementerian Pelajaran telah memperkosa Akta Pendidikannya sendiri, dan memperkosa Perlembagaan Persekutuan, untuk suatu dasar penuh kontroversial.

Mungkin pada masa itu Perdana Menteri yang ada sangat berkuasa dan tidak ada orang Melayu di kalangan pemerintah yang berani membantah?

Ya, mungkin itu suatu perkara, tetapi pada masa yang sama banyak orang menyoal; kenapa diletakkan pengajaran itu kepada Sains dan Matematik.Jika mahu memahirkan anak-anak pelajar kita di dalam bahasa Inggeris, kenapa tidak baiki sahaja pedagogi pengajaran bahasa itu? Anak-anak kita didedahkan dengan bahasa Inggeris selama sebelas tahun di sekolah; iaitu mulai Tahun Satu sehinggalah ke Tingkatan Lima.Itu bermakna ada sesuatu yang tidak kena.

Padahal jika pergi keluar negara untuk belajar bahasa itu, tiga atau enam bulan sudah memadai. Jadi kenapa harus menumpang (memparasitkan) bahasa Inggeris ini kepada dua subjek tadi.Ada juga orang kata kerana beberapa sebab yang lain yang di luar daripada itu.

Bercakap tentang dasar kementerian ia tentulah dasar yang dibuatnya melangkaui dari Perlis hingga Long Pasia atau ke hulu-hulu di seluruh Semenanjung.Pada masyarakat bandar atau kepada anak-anak menteri, mungkin mereka tidak bermasalah kerana penggunaan bahasa Inggeris di rumah dan pelbagai kemudahan yang dapat diakses sebagai alat membantu pembelajaran.Tetapi bagaimana dengan anak-anak miskin dan tiada kemudahan di tempat yang sebutkan tadi?

Hasil daripada dasar yang sudah berjalan lebih kurang enam tahun; saya dengar peratus keputusan peperiksaan Sains dan Matematik menurun, tetapi mereka terpaksa memanipulasi nisbah untuk menunjukkan peningkatan-sesuatu yang tidak sepatutnya terjadi.

Pada pandangan Dr, bilakah tamadun bahasa Melayu bermula di negara kita?

Mengikut tulisan Ismail Raji al-Faruqi, apabila tauhid tiba ke sesebuah negara, maka datanglah bersama tamadun Islam itu.Tetapi jika sesesebuah masyarakat itu mempunyai teknologi yang tinggi, mempunyai bandar-bandar yang besar dan hebat di samping kehidupan yang makmur, namun jika tidak bertauhid ; ia masih tidak dapat dianggap sebagai bangsa yang bertamadun.

Merujuk kepada tamadun kita ia telah bermula pada kurun ke-11 atau ke-12M lagi.Di mana penggunaan tulisan Jawi telah digunakan, dan ia telah dianggap sebagai tamadun Islam.Sejak beratus tahun umpamanya di Aceh, juga di kepulauan Riau, kitab atau buku-buku kita telah membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan falsafah, tasauf dan agama secara mendalam.Di sini jelas menunjukkan bahasa Melayu berkemampuan dan terbukti sebagai bahasa ilmu.

Jadi cara terbaik ialah belajar apa sahaja ilmu termasuk Sains dan Matematik itu harus dengan bahasa ibunda supaya akhirnya memberi kesan besar?

Pakar pendidikan yang jujur menyatakan bahawa sesuatu ilmu itu lebih mudah diajar melalui bahasa sendiri. Tetapi Kementerian Pelajaran berlagak 'bodoh-sombong' sehingga tidak mahu mengakui hakikat bahawa pelajar kita harus belajar sesuatu melalui bahasa ibunda.Tampaknya sehingga hari ini, enggan menarik balik dasar PPSMI itu.

Bilakah kedegilan kementerian berkenaan akan menampakkan kesan besar kepada pelajar-pelajar atau anak-anak kita?

Oleh kerana dasar PPMSI melibatkan semua pelajar termasuk majoriti yang berada di luar bandar dan pedalaman, dasar itu akan membuat ratusan ribu atau jutaan pelajar (dalam jangka panjang) tidak menguasai ilmu Sains dan Matematik, padahal jika mendapat penguasaan ilmu itu besar kemungkinan akan dapat mengubah nasib masa depannya.

Akibatnya, dasar pelik ini hanya akan melahirkan generasi pekerja kelas dua atau kelas tiga, apabila mereka hanya layak 'makan gaji' (dalam bahasa kasar, sebagai 'kuli'- mungkin selama-lamanya) dalam sektor perkhidmatan; bukan sebagai pekerja kelas pertama yang berilmu dan dapat memanfaatkan ilmunya.

Pada jangka panjang ia akan memberi kesan besar kerana anak-anak ini akan tercicir di dalam pelbagai aspek kerana ilmu sains dan matematiknya agak dangkal kerana dasar yang kita sebutkan tadi.

Saya pernah berbual-bual dengan buruh, petani dan nelayan yang menyatakan kesukaran mereka untuk membantu 'kerja rumah' anak-anak mereka dalam bahasa Inggeris.

"Dulu masa sains dan ilmu hisab masih dalam bahasa Melayu, dapat juga pak cik tolong sikit-sikit. Sekarang pak cik tak faham apa-apa. Anak pak cik pun tak faham apa benda." Kalau begitu, dasar ini seolah-olah meneruskan dasar pendidikan zaman penjajahan dulu, yang hanya ingin melahirkan pelajar Melayu menjadi buruh. petani dan nelayan yang lebih berpelajaran sedikit daripada bapa mereka.

Saya difahamkan cendekiawan kita yang mendapat pendidikan melalui bahasa Melayu di UKM juga cemerlang dan tiada masalah menguasai Inggeris bahkan bahasa asing lain…

Tanyalah kepada lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baik dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan, dan lebih-lebih lagi dalam bidang sains dan teknologi, adakah prestasi mereka terhalang dek bahasa Melayu?

Mereka tiada masalah mendapatkan ilmu-ilmu melalui bahasa Melayu; sementara penguasaan bahasa Inggeris turut berkembang seiring dengan pengajian mereka. Sebab itu ramai lulusan UKM boleh melanjutkan pengajian di seberang laut dan mendapat kejayaan cemerlang di sana.

Kalau sistem dan dasar tersebut berjalan dengan baik, mengapa 'gatal tangan' sangat untuk mengubahnya sesuka hati?

Mereka yang mengkritik PPSMI bukan anti bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa dunia yang lain. Jadi untuk memperkuatkan penguasaan sesuatu bahasa, perbaiki pedagogi pengajaran bahasa.

Bukan memparasit subjek sains dan matematik. Kita mahu anak-anak kita mengusai bukan sahaja bahasa Inggeris. Kalau boleh mereka boleh kuasai bahasa Arab, Mandarin, Itali, Sepanyol, Perancis dan sebagainya.

Penguasaan bahasa-bahasa asing kini semakin penting, kerana kerajaan bukan lagi majikan terbesar di negara ini. Justeru itu, pengajaran bahasa-bahasa asing mesti dilakukan dengan kaedah yang lebih sistematik dan berkesan; bukan memparasit subjek lain.

Bagaimana pandangan Dr tentang bahasa kebangsaan di negara-negara maju?

Di mana-mana negara di seluruh dunia, kerajaannya akan mengembangkan bahasa kebangsaan sendiri sebagai bahasa ilmu pengetahuan, bahasa nasional, dan bahasa antarabangsa. Aneh apabila terdapat dasar kerajaan yang dilihat menyekat bahasa kebangsaan menjadi bahasa ilmu, bahasa nasional, dan lebih jauh lagi menjadi bahasa antarabangsa.

Kecualilah negara-negara kecil seperti Singapura yang tidak mempunyai ‘akar’ sendiri dan hanya mementingkan komersil semata-mata.Tetapi negara-negara yang mempunyai ‘akar’ sendiri seperti Jepun, Korea atau Perancis, mereka mahu memantapkan bahasa kebangsaan sendiri.Itu yang tidak berlaku di negara kita sehingga dianggap ‘pelik dan ajaib.’

Temubual ini telah tersiar di Siasah edisi 22-28 Februari 2009

2/21/09

Gemulah Sudirman Hj Arshad


Hari ini genaplah 17 tahun allahyarham Sudirman Hj Arshad (1954 - 1992) meninggal dunia. Mungkin ada yang berpendapat apa guna mengenang pemergian artis. Lagi pun tidak ada kena mengena dengan kita yang hidup di dunia ini. Lebih baik mengingati pemergian para anbia', ulama', saudara mara dan lain-lain..pun betul juga dan sebaik-baiknya begitulah. Tapi biarlah mereka yang berpendapat sedemikian. Bagi saya, hidup ini indah dan penuh warna warni. Ia perlu diraikan! :-)

Bagi mereka yang berminat, sila lah dengar dan perhatikan bait-bait lagu Hujan, Ayah dan Ibu, Warisan dan puluhan lagi yang lain. Insyaallah, sedikit sebanyak hati kita terusik!

Alfatihah untuk allahyarham Sudirman Hj Arshad

2/19/09

Menentang PPSMI

Menurut hukama, salah satu tanda akan runtuhnya tamadun peradaban bangsa ialah penguasa yang mengabaikan nasihat cendekiawan, alim ulama', ilmuan, cerdik pandai dan apa sahaja istilah yangmengaitkannya dengan orang yang berilmu. Di dalam negara kita Malaysia, kita tidak kalah dengan bangsa asing untuk mencari pakar atau ilmuan yang boleh dirujuk untuk memberi pandangan dan pendapat tentang permasalahan umat. Yang menjadi masalah ialah sanggup kah penguasa mendengar nasihat mereka ini yang kadang kala tegas dan pedas. Masalah kedua ialah, berapa ramai di kalangan umat yang dapat menilai siapakah golongan ilmuan berbanding dengan artis?

Tentang isu yang sedang hangat untuk masa depan bangsa dan negara kita Malaysia iaitu Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, PPSMI, saya turunkan kata-kata Prof Dr Mohd Yusof Haji Othman yang di petik dari kertas kerja beliau yang berjudul Penerbitan Akademik Dalam Bahasa Melayu, yang dibentangkan di Konvensyen Penerbitan Kebangsaan ke-2 anjuran DBP, 1999:

Perihal dan hakikat bahasa

  • bahasa jiwa bangsa
  • bahasa membina budaya bangsa
  • bahasa membina kaedah berfikir bangsa
  • bahasa membina citra dan jatidiri bangsa dan negara
  • bahasa bukan sekadar alat komunkikasi, tetapi dalam bahasa ada harga diri
  • tiada satu bangsapun boleh bangun dengan citra bangsa lain
  • tiada satu bangsapun yang boleh bangun dengan acuan bangsa lain
  • tiada satu bangsapun yan boleh bangun dalam budaya bangsa lain
  • tiada satu bangsapun boleh bangun dengan perspektif bangsa lain
  • tiada satu bangsapun boleh bangun dengan cara berfikir bangsa lain
  • nilai budaya terdapat dalam berbahasa

Dan Ingatlah !!


  • sekiranya kita tidak merancang dan berusaha memajukan bahasa kita, kita sebenarnya merancang untuk memundurkannya
  • sekiranya kita tidak merancang dan berusaha membangunkan bahasa kita, kita sebenarnya merancang untuk merobohkannya
  • sekiranya kita tidak merancang dan berusaha mendaulatkan bahasa kita, kita sebenarnya merancang untuk meminggirkannya
  • sekiranya kita tidak merancang dan berusaha memartabatkan bahasa kita, kita sebenarnya meancang untuk menghinanya
  • sekiranya kita tidak merancang dan berusaha menggunakan bahasa kita, kita sebenarnya merancang untuk menguburkannya


Prof Dr Yusof Hj Othman



Dan kepada mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang kenapa kita perlu menentang PPSMI silalah merujuk ke ruangan tokoh-tokoh ini

Prof Dr Shaharir Mohd Zain

Prof Emeritus Dr Adullah Hassan


dan juga petikan akhbar Berita Harian


Selain itu, kita juga menunggu ulasan dan hasil kajian daripada penyokong PPSMI untuk sama-sama menilai hujah siapakah yang lebih 'masuk akal' !


Sekian!


~tukang catat~ (faizal)



2/13/09

Ungku Aziz


Profesor Di Raja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid atau lebih dikenali dengan Prof Ungku Aziz (Pak Ungku) merupakan cendekiawan terulung yang pernah dilahirkan dalam negara kita. Beliau terdidik dalam disiplin ilmu yang ketat sejak di zaman persekolahan dan mendapat ijazah tertinggi dalam bidang ekonomi dari Universiti Waseda, pada tahun 1964 di Jepun selepas menamatkan pengajian peringkat ijazah di Universiti Malaya pada tahun 1951 yang ketika itu berada di Singapura.

Sewaktu zaman belajar di UKM dahulu, saya pernah meminjam sebuah buku yang membicarakan serba sedikit tentang Ungku Aziz..seakan-akan biografi, tetapi menurut hemat saya belum lengkap diangkat sebagai karya biografi kerana masih banyak yang belum lengkap. Maaf, saya sudah lupa apa judul buku tersebut, namun antara intipati penting yang terdapat dalam buku itu yang saya masih ingat ialah kaedah-kaedah dan amalan beliau tentang penjagaan kesihatan badan dan minda. Siapa tidak tahu, sehingga kini Ungku Aziz sudah berusia 87 tahun dan masih sihat tubuh badan serta mempunyai akal dan minda yang sangat cerdas. Banyak idea-idea seperti penubuhan Tabung Haji, Angkasa, Dewan bahasa & Pustaka dan sebagainya adalah hasil buah fikiran beliau.

Antara petua-petua kecerdasan minda dan kesihatan jasmani yang dianjurkan dalam buku itu ialah menjaga pemakanan (mengharamkan gula dalam pemakanan dengan menganggap gula sebagai racun, perbanyakkan makan buah-buahan segar dan beliau menyukai betik, jangan minum kopi dan lain-lain), mengamalkan senaman dan beliau sehingga kini dilaporkan masih kuat berjoging dan yang terakhir ialah banyakkan membaca serta berfikir. Itu yang terdapat dalam buku yang saya baca mengenai Ungku Aziz kira-kira 10 tahun lalu yang dipinjam di Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM.

Hari ini Prof Ungku Aziz mengulangi lagi petua kejayaan, kecerdasan dan kesihatan beliau semasa menyampaikan syarahan yang bertajuk 'The Quest for Success' di Pusat Konvensyen Centre Kuala Lumpur, sempena pemilihan beliau sebagai penerima Anugerah Merdeka 2008 dalam kategori Pendidikan dan Komuniti.

Semoga Ungku Aziz sentiasa diberi perlindungan Allah atas segala jasa dan baktinya dan dikurniakan kesihatan yang berpanjangan. Inilah yang dinamakan berkat umur panjang.

Sumber : Berita Harian

p/s: ada sesiapa yang sudah memiliki buku mengenai Ungku Aziz yang terbaru berjudul The University in Pantai Valley: Glimpses of the past terbitan tahun 2009 ?

p/s/s: saya 'mungkin' memulakan azam baru untuk berhenti minum kopi untuk kesekian kalinya..heheh

2/9/09

Berburu buku lagi di Kota Montreal

Peluang berada di Montreal ini cuba dimanfaatkan sebaik mungkin. Salah satunya ialah berkunjung ke kedai-kedai buku serta mencari pengalaman baru. Semalam (ahad 8/2/09) dengan cuaca yang tidak terlalu sejuk sekitar 3 darjah celcius , saya ke St.Aviature West yang menempatkan sebuah kedai buku terpakai yang sememangnya terkenal kepada peminat-peminat buku. Satu pengalaman menarik berada di sini ialah melihat kecintaan luar biasa penduduk di sini terhadap buku. Di mana-mana sahaja kita boleh melihat orang membaca dan memegang buku samada di tempat awam, di dalam metro atau bas dan di mana-mana sahaja. Aktiviti membaca juga boleh dilihat ketika mereka sedang menunggu sesuatu, sambil berjalan, makan dan sebagainya. Ringkasnya kegilaan membaca penduduk atau budaya ilmu warga Montreal ini agak unik pada pandangan mata orang melayu Malaysia seperti saya.

Sepanjang perjalanan menaiki bas no.80 dari Place De's Arts ke St. Aviature, saya menikmati pemandangan sebahagian kotaraya Montreal yang putih diliputi salji terutamanya di sekitar Mont Royal. Dari jauh kelihatan beberapa orang sedang meluncur salji. Di kiri kanan jalan yang tidak dipenuhi bangunan pencakar langit, orang ramai menikmati keindahan musim sejuk.

Di Rue St. Aviature West ini menempatkan kedai buku S.W Welch Bookstore. Kedudukannya bersebelahan dengan sebuah kedai roti bagel yang sesak dengan pelanggan. Di sini kita boleh melihat ribuan jenis buku pelbagai kategori bermula dari buku kanak-kanak sehinggalah buku yang berkaitan dengan seks dan budaya popular barat. Di suatu sudut juga kelihatan buku-buku yang dikategorikan sebagai buku-buku tentang agama, budaya dan falsafah Yahudi. Ada di antaranya yang bertulisan hebrew dan buku-buku ini sesetengahnya agak tebal dan berjilid-jilid. Tidak dapat dinafikan bahawa, kawasan ini juga didiami oleh ramai kaum Yahudi yang terkenal dengan budaya ilmu mereka. (Ahh..muslim pun terkenal juga..hati saya memberontak!)
Tidak ketinggalan juga buku-buku dari Asia Tenggara yang kebanyakannya buku catatan kembara dan juga tempat-tempat pelancongan. Tidak ada pula buku berbahasa melayu ! bisik hati kecil..

Di rak yang terletak di belakang petugas kaunter pembayaran, tersusun berjilid-jilid buku-buku lama yang saya kira bernilai tinggi berdasarkan kulit luarnya yang kelihatan berlainan daripada buku biasa. Terasa juga untuk melihat-lihat buku apa sebenarnya yang diletakkan di situ, tetapi tidak tergerak hati untuk bertanya penjaga kaunter. Lain kali mungkin!

Perasaan masuk ke kedai buku baik yang terkini atau pun kedai-kedai buku terpakai sememangnya aneh. Apa tidaknya, dengan bau buku-buku dan helaian kertasnya yang nikmat, memegang dan membelek serta membelai..aduh..sukar digambarkan dengan tulisan!

Hampir dua jam berada di sana, saya pulang dengan 3 buah buku

The Cuckoo's Eggs: Tracking a Spy Through the Maze of Computer Espionage ..Cliff Stoll (1989)

Why do People Hate America? ..Ziauddin Sardar & Merryl Wyn Davies (2002)

The Scorpion's Gate ..Richard A. Clarke (2006)


2/8/09

Luncur ais

Jumaat lepas, kami ke Old Port Montreal atau lebih tepat ke Quais Du Vieux-Port untuk menikmati pemandangan tasik beku dan juga merasai pengalaman meluncur ais di atasnya. Tempat ini merupakan kawasan terawal Montreal yang mempunyai bangunan-bangunan lama berusia lebih 350 tahun yang dijaga rapi. Tempat ini juga menjadi tarikan utama di Montreal.Sesiapa yang berjiwa seni akan terpegun menikmati keindahan kawasan ini. Seorang arkitek tentu akan mengkagumi senibina bangunan dan pelbagai monumen yang tersergam indah. Malah yang buta seni macam saya sekalipun akan bergetar juga hati memuji sambil menikmati hasil binaan manusia ini. Cantik sekali pemandangannya!

Oh ya, tasik beku yang dikhaskan untuk meluncur ais di musim sejuk ini merupakan sebahagian kecil daripada Sungai St.Laurent yang terkenal itu. Ini merupakan pengalaman pertama saya meluncur ais. Ya sudah tentu jatuh tergolek adalah perkara biasa bagi sang pemula..haha!



Lagi gambar di facebook dan flickr

2/5/09

Macam najis

Tajuk entri pun orang dah boleh agak apa sebenarnya yang nak diceritakan..jadi kalau dah tahu tak nak lah cerita, kutuk, komen lebih-lebih..lagi pun tukang tulis blog ni pun bukannya reti sangat politik..Cuma satu jer lah yang boleh ditulis sekadar nak melepaskan geram dengan suasana politik 'orang-orang kita'..

BUSUK DAN MENGGELIKAN! enuf said!

#eof

2/1/09

Bumi dipijak langit dijunjung

Semalam telah diadakan majlis makan-makan kecil bersama 'Education Attache' yang baru bertugas di Malaysia Student Department, MSD. Puan Zalillah Haron bersama keluarga serta pemandunya datang ke Montreal dari kediaman mereka di Ottawa sebagai permulaan dalam siri pertemuan bersama pelajar-pelajar Malaysia di Kanada.
Majlis makan tengah hari tersebut berlangsung di sebuah restoran India, Maharaja North Indian Buffet di tengah-tengah Downtown Montreal.

Pujian harus diberikan kepada Pn. Zalilah kerana beliau sangat mesra dan bercakap sepenuhnya dalam Bahasa Melayu walaupun hampir separuh daripada pelajar di sini bukan kaum melayu.

Jangan jadi macam di sesetengah tempat, termasuk di UKM, kalau ada seorang sahaja penuntut asing di dalam kumpulan pelajar Malaysia, secara automatik pensyarah atau tenaga pengajar akan terkial-kial menukar bahasa pertuturan mereka. Kononnya untuk mengelakkan penuntut asing terpinga-pinga.

Berbeza dengan bangsa-bangsa lain, kalau sesama mereka sekiranya kita tidak meminta mereka bertutur dalam bahasa yang boleh difahami oleh semua orang, mereka tidak segan silu menggunakan bahasa ibunda mereka untuk bertutur tanpa mempedulikan orang lain.

Adakah orang melayu sememangnya 'baik budi' atau 'terlalu menjaga hati orang lain' sehingga bahasa sendiri terpinggir? ( rujuk PPSMI dan juga entri terdahulu di sini )

Walau apapun, terima kasih dan tahniah kepada Puan Zalilah sekeluarga dan selamat datang ke Kanada. Salam perkenalan!

Makanan semalam sangat mengujakan! :-)



Gambar-gambar lain di facebook!