www.majalahsains.com

8/26/10

Warga FELDA Bangkit


Saya terkejut bila menyelak akhbar. Sebenarnya tuntutan peneroka FELDA ini sudah sekian lama. Bila mahkamah memutuskannya hari ini, ia seolah-olah satu kemenangan bagi warga yang tertindas. Rezeki ramadhan juga barangkali. Untuk mereka yang menang, ucapkanlah syukur kepada Allah Pemberi Rezeki kepada makhlukNya.

Sebagai anak peneroka generasi kedua FELDA, sedikit sebanyak saya mempunyai pengalaman hidup sebagai anak peneroka tanah rancangan. Saya tidak ingin menulis kenangan-kenangan yang ditempuh sepanjang berada di sana. Cuma ingin memfokuskan isu terbaru hal saman-menyaman dan warga FELDA ditindas dan ditipu seperti yang dilapor dalam akhbar.

Ringkasnya cara menipu peneroka ialah,

- memberi gred yang rendah terhadap hasil tuaian buah kelapa sawit 
- memaksa peneroka membeli benih dan baja dari FELDA
- memaksa peneroka menjual hasil tuaian kepada FELDA

Akhirnya peneroka kekal dengan pendapatan yang rendah, walaupun harga sawit melambung tinggi di pasaran. Rata-rata warga FELDA (peneroka) tidak mengetahui apa yang berlaku di peringkat atasan, walaupun keringat mereka ditagih siang dan malam. Ramai juga yang masih hidup dalam kedaifan, buta huruf, tidak berpelajaran dan macam-macam masalah sosial yang lain.

Satu hal lain yang dikesalkan ialah ketelusan membantu peneroka. Saya mempunyai pengalaman yang tidak pernah diceritakan kepada sesiapa termasuk adik beradik saya yang lain kecuali diri saya sendiri, ibu dan ayah.

Ceritanya begini, suatu waktu dahulu, sebahagian tanah ladang kelapa sawit milik kami diambil oleh syarikat bekalan air untuk membina tangki air untuk disalurkan kepada seluruh penduduk di FELDA kami. Masalah timbul apabila soal pampasan dilengahkan sejak sekian lama. Saya sendiri tidak dapat memantau apa yang berlaku disebabkan jarang berada di kampung, kecuali waktu-waktu cuti panjang dan melalui telefon.

Bila terfikir hal tersebut, saya bertanyakan keluarga tentang perkara itu. Menurut mereka, ia sudah lama dibawa ke peringkat atasan, namun tiada tindakan susulan dan seolah-olah tiada apa yang berlaku, sedangkan hasil tuaian kelapa sawit semakin berkurangan akibat pengambilan tanah tersebut. Dengan tidak membuang masa, saya dan ayah terus ke pejabat FELDA berjumpa dengan pengurus (yang telah meninggal dunia) dan berbincang. Mereka mengakui kesilapan mereka lambat memproses urusan tersebut, dan bersikap acuh tak acuh melayan kami. Mereka silap! Saya juga ada tahap kesabaran yang sudah lama terpendam.
Sekali jerkah, akhirnya kami mendapat kepastian.

Selepas beberapa minggu peristiwa tersebut, saya mendapat khabar berita bahawa pampasan tersebut telah diluluskan dan diproses. Tidak lama selepas peristiwa tersebut, ibu dan ayah mendapat berita gembira.

Rupanya kerja pihak pengurusan di atas perlu disusuli dengan 'jerkah' barulah ia bergerak.

Tidak dinafikan, banyak jasa FELDA kepada warga peneroka. Namun hak sebagai rakyat dan pembanting tulang siang dan malam mengkayakan FELDA, janganlah diabaikan.

Kepada penduduk FELDA Kemahang, Kelantan, tahniah diucapkan! Kemenangan anda di bulan ramadhan yang mulia.

8/24/10

Al-Quran Bukan Sekadar Untuk dibaca (dan dilagukan)

3 hari lagi (waktu Kanada) akan sampai ke tarikh 17 Ramadhan 1431 Hijrah. Di sini saya turunkan satu khutbah menarik dari JAKIM yang dipetik dari blog Dato' Mokhtar Petah.

Sama-sama kita belajar, fikir dan renungkan.




********************************************************************

(Di sampaikan oleh khatib pada 20 OGOS 2010 / 10 RAMADHAN 1431H)


Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Hari ini adalah hari ke 10 bulan Ramadhan. Selari dengan bulan Ramadhan yang berkat ini saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ialah: “AL-QURAN BUKAN SEKADAR UNTUK DIBACA”.


Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Tarikh 17 Ramadhan merupakan satu tarikh yang selalu diperingati oleh umat Islam. Pada tarikh inilah masjid-masjid dipenuhi dengan ceramah Nuzul al-Quran dan media massa, surat khabar serta televisyen tidak akan terlepas menyiarkan berita serta rancangan atau kuliah sempena memperingati Nuzul al-Quran. Memang benar bahawa setiap muslim sepatutnya memperingati tarikh penurunan al-Quran. Al-Quran merupakan sebuah kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk disampaikan kepada umat manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185:


Maksudnya: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah”


Imam al-Qurthubi menjelaskan, bahawa Allah SWT menurunkan al-Quran untuk menjadi petunjuk dan penjelasan bagi umat manusia. Menjelaskan kepada mereka yang halal dan haram, peringatan dan hukum-hakam, serta pembeza antara yang haq dan yang batil. Dengan demikian al- Quranlah yang seharusnya memandu dan memimpin kehidupan umat manusia.


Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Sempena Nuzul Al-Quran ini, marilah kita dengan penuh iman dan takwa bermuhasabah diri kita, apakah kita selama ini telah mengambil al-Quran sebagaimana yang Allah perintahkan atau selama ini kita hanya beriman dengan sebahagian dari al-Quran atau telah mengabaikan al-Quran? Apakah selama ini al-Quran telah benar-benar kita jadikan petunjuk,sumber hukum sekaligus sebagai penyelesai kepada segala masalah kehidupan kita?, ataukah sebaliknya, kita malah meninggalkan dan mencampakkannya?.

Berdasarkan pemerhatian mimbar, kebanyakan kita berusaha menjaga jasad al-Quran. Kita tidak akan meletakkan al-Quran di lantai atau di kerusi atau lain-lain tempat yang kita rasakan tidak sesuai. Kita akan marah jika mendapati sesiapa sahaja yang tidak menjaga al-Quran. Kita turut sensitif dan merasa amat marah apabila mendengar dan melihat al-Quran dipijak, dibakar atau dibuang di dalam tandas. Kita juga tidak akan berdiam diri jika al-Quran dihina, diremeh atau dipermainkan di dalam apa bentuk sekalipun. Kita memang akan menjaga kemurnian dan kesucian al-Quran dari segala bentuk penodaan dan pemalsuan. Sebenarnya segala usaha ini sangat baik dan memang sudah menjadi tugas dan kewajiban kita yang harus kita tunaikan. Bagaimanapun kita amat merasa kesal terdapat umat Islam berusaha untuk menjaga jasad al-Quran, tetapi tidak berusaha untuk menghayati isi kandungannya dan menerapkan hukum-hakamnya. Umat Islam marah apabila al-Quran dihina, tetapi mereka sendiri seolah-olah seperti ‘menghina atau mengenepikan’ al-Quran dengan tidak mengamalkan hukum hukum yang terdapat di dalamnya.

Mimbar juga amat bimbang terdapat dikalangan umat Islam yang hanya menjadikan al-Quran sebagai perhiasan, disimpan baik-baik di rumah dan hanya digunakan untuk hal-hal yang berunsurkan mistik, misalnya menjadikannya sebagai azimat, tangkal, pelaris, penolak bala, pengusir syaitan dan sebagainya. Mereka juga lebih suka mengambil al-Quran sebagai sebuah ‘kitab magik’ yang boleh menguntungkan jualan, memurahkan rezeki, berubat, menghalau hantu dan pelbagai kepentingan peribadi lainnya.


Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Mimbar ingin mengingatkan kita semua bahawa Allah SWT menurunkan al- Quran bukan sekadar untuk dibaca, malah lebih dari itu. Membaca al-Quran adalah ibadah (sunat) dan InsyaAllah kita akan beroleh pahala kerananya, tetapi mengamalkan isi kandungannya adalah WAJIB dan sesiapa sahaja mengabaikannya maka ia telah melakukan kesalahan dan boleh sampai ke tahap berdosa besar. Siapa sahaja yang yang tidak mengamal dengan apa yang Allah telah perintahkan, maka azab Allah akan diturunkan atau menantinya di akhirat! Bagi mereka yang tidak memikul amanat Allah yang telah diturunkan-Nya melalui al-Quran, maka Allah telah membuat satu perumpamaan yang hina ke atas mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Jumu’ah ayat ayat 5:


Maksudnya: “Bandingan orang yang dipikulkan kepadanya Kitab Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya, samalah seperti keldai yang memikul Kitab-kitab besar. Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim”


Melalui ayat ini, Allah SWT menghina kaum yang tidak memikul tanggungjawab melalui wahyu yang diturunkan-Nya dengan perumpamaan seperti keldai. Bayangkanlah jika ada orang yang mengatakan kepada kita, “Anda ini seperti keldai!” Apakah perasaan kita? Apalagi yang menyatakan seperti itu ialah Allah SWT yang kita harapkan keredhaan dan keampunan-Nya. Orang yang benar-benar beriman, bertakwa dan mengharapkan redha Allah sudah tentu akan merasa takut dan gementar akan perumpamaan tersebut.


Mimbar suka mengingatkan bahawa sesungguhnya peluang untuk menghayati al-Quran serta mengambil pedoman di dalamnya adalah kewajipan umat Islam sendiri. Persoalan besar di sini ialah apakah jawapan kita apabila Allah SWT melontarkan soalan kepada mereka yang membaca al-Quran seperti di dalam ayat 101 surah Ali-Imran:

Maksudnya: “Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w.)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus)”.

Ayat ini menunjukkan kepada kita terdapat di kalangan orang Islam menjadi kafir sedangkan al-Quran dan Sunnah berada di sisinya. Ini adalah disebabkan mereka tidak dapat menerima petunjuk Allah, justeru mereka ingkar kepada ayat Allah akan menjadi kafir.


Sesungguhnya Allah SWT memberikan penghormatan kepada kita sebagai manusia dengan kemuliaan-Nya, agar kita menjadi golongan yang mulia. Salah satu pendekatan yang mengangkat martabat umat ini ialah dengan mengamalkan ajaran al-Quran secara menyeluruh dengan menjadikan al-Quran sebagai acuan kehidupan. Oleh itu, mimbar menyeru semua pihak di dalam keberkatan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita sama-sama mengambil manfaat untuk meningkatkan ketakwaan dan mengubah segala kelakuan buruk dengan mengamalkan segala isi kandung al-Quran agar kehidupan kita lebih diredhai Allah SWT. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam surah faatir ayat 10:

Maksudnya: “Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada-Nyalah naik segala perkataan yang baik dan amal yang soleh pula di angkat-Nya naik. Dan orang yang merancang kejahatan, adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka akan rosak binasa”.


(Khutbah ini dikeluarkan oleh JAKIM).

8/10/10

Bulan berkat, bulan ibadat ...ramadhan kareem!




Alhamdulillah..tahun ini merupakan tahun ketiga kami berpuasa di bumi Kanada.
Mengikut perkiraan, kami dijangka mula berpuasa pada hari rabu 11 Ogos. Masih jelas di ingatan, 1 ramadhan 1429 Hijrah yang jatuh pada 1 September 2008 adalah hari penerbangan kami dari Kuala Lumpur – London – Toronto – Montreal. Jumlah keseluruhan tempoh perjalanan termasuk transit di Kota London dan Toronto sebelum tiba di Montreal ialah sekitar 23 jam. 

Dalam penerbangan, kami dinasihatkan oleh flight attendan beragama Islam (tapi masih menuang arak ke gelas penumpang non-muslim) untuk tidak meneruskan puasa.  Memang sudah dalam perancangan kami untuk tidak terus berpuasa selama dalam perjalanan kerana hampir mustahil untuk tujuan itu  dan jelas ia mendapat keringanan (rukhsoh)  dari segi hukum. 

Kisah puasa di perantauan ini, saya bercadang untuk menulisnya secara berasingan dalam satu blog khas yang dinamakan ‘Travelogue Montreal’ yang masih lagi di peringkat ‘offline’ kandungannya di dalam laptop. :-)

Ramai rakan dan saudara mara dari Malaysia yang bertanya tentang perihal puasa di negara empat musim. Sepintas lalu, kelihatan puasa di sini sedikit memenatkan terutamanya bila bulan ramadhan jatuh pada musim panas seperti sekarang. Di musim panas, waktu subuhnya kira-kira pukul 4.10 pagi dan waktu maghrib pukul 8.10 dan waktu siangnya agak panjang berbanding waktu malam. Tapi pepatah melayu ada menyebut, alah bisa tegal biasa. Jadi bagi saya, tidak ada apa-apa yang aneh. Penat dan letih berpuasa adalah mainan psikologi semata-mata  Penat yang betul-betul penat seperi bekerja di dalam keadaan terik matahari dan seumpamanya.

Dari segi juadah berbuka, kebiasaannya kami memulakannya dengan buah tamar (ruttob). Di Montreal, ramai warganya beragama islam yang datang dari Timur Tengah. Jadi tamar atau kurma ini tidak bermusim dan ada sepanjang tahun. Tamar juga sudah menjadi budaya global dan tidak terhad kepada warga muslim. Banyak juga kuih muih warga tempatan menggunakan tamar dalam resepi mereka. (maklumat dari majalah dan TV).

Solat sunat terawih dilakukan di rumah sahaja walaupun ada masjid yang berdekatan. Pernah dahulu saya mendengar ceramah dari Dato’ Hassan Din Al-Hafiz, kata beliau ‘ solat sunat terawih lebih afdhal dilakukan di rumah bersama keluarga (bagi yang berkeluarga)‘. Untuk yang bujang mungkin sunat di masjid lebih baik, kerana dapat bertemu mata dengan rakan-rakan dan sahabat handai di samping menunaikan ibadat sunat yang berganda-ganda pahalanya.

Dalam bulan ramadhan ini juga ada satu malam yang sangat istimewa iaitu lailatul-qadar. Malam yang lebih baik dari seribu bulan. Menurut pemahaman saya yang sedikit, lailatul-qadar adalah malam yang membetulkan kompas hala tuju kehidupan manusia menurut apa yang ditentukan oleh Allah. HAMKA dalam satu keterangan beliau, mempunyai pandangan yang sedikit berbeza. Lihat di SINI.

Kesempatan kedatangan bulan ramadhan yang mulia ini, sama-samalah kita memohon keampunan dan keredhaan Allah dan mengharapkan ramadhan terbaik untuk kita berbanding sebelum ini. Setiap manusia sihat dan normal mempunyai harapan dan cita-cita. Jadi harapan saya  untuk tahun ini ialah untuk menunaikan ibadat puasa sebaik-baik mungkin, mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan.

Salam Ramadhan 1431 Hijrah kepada seluruh umat islam di dunia terutama untuk sanak saudara dan sahabat handai di tanah air.

~Verdun, Montreal~
Summer 2010