www.majalahsains.com

3/30/11

Kisah Hadiah Nobel Fizik 2010


Andre Geim, 51 dan Konstantin Novoselov, 36 kedua-duanya dari University of Manchester, United Kingdom berkongsi hadiah paling berprestij ini dari The Royal Swedish Academy of Sciences yang diumumkan pada  bulan Oktober tahun lalu berikutan kajian mereka tentang karbon dan menemui bahan baru yang dikenali sebagai grafin. Penemuan bersejarah ini pertama kali dilaporkan dalam jurnal sains oleh mereka seawal bulan Oktober 2004 lagi dengan judul Electric Field Effect in Atomically Thin Carbon Films...
                                                              ...........Dewan Kosmik April 2011


Alhamdulillah, selepas agak lama berehat dari menulis di media bercetak, kali ini artikel saya berjudul Grafin dan Hadiah Nobel Fizik 2010 diterima untuk terbitan April 2011.

Spring 2011
~Verdun~
Montreal

3/16/11

Selepas Tsunami, krisis nuklear pula...tapi........



Satu dunia kini gempar apabila loji nuklear Fukushima yang membekalkan tenaga elektrik di sebahagian besar kawasan di pesisir timur laut Jepun meletup kesan dari gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu. Penjelasan kronologi letupan tersebut boleh dibaca di sini.Setiap hari ada laporan dari pelbagai sumber berita mengemaskini status reaktor nuklear terbabit. Ada yang sahih, tapi banyak juga yang mengarut menyatakan sumber. Contohnya:

PESANAN PENTING DARI SAHABAT FB Mr XYZ: 
"A nuclear power plant in Fukumi, Japan exploded at 4:30 AM today. If it rains tomorrow or later, don't go outside. If you are outside, be sure that you have rain protectors. It's acid rain. Don't let it touch you. You may burn your skin, lose your hair or have cancer. Please pass, stay safe and remind everyone you know."

Ini sangat popular, sehinggakan ibu saya di kampung pun menelefon ke Kanada bertanyakan khabar tentang isu ini. Orang kita memang cukup hebat kalau menyampaikan berita yang tidak ketahuan asal usulnya. Jika dahulu waktu emel mula rancak sebelum muncul SMS, facebook twitter dan sebagainya, setiap hari akan ada sahaja kaki-kaki meng'forward emel yang merapu dan mengarut tentang konspirasi itu dan ini. Sekarang facebook dan twitter pula termasuk SMS yang masih hangat digunakan.

Di zaman yang penuh dengan simpang siur teknologi maklumat serba canggih ini, fungsi akal WAJIB digunakan secara maksimum untuk menepis dan menyaring sebarang maklumat. Akal juga mesti dipenuhi dengan ilmu pengetahuan yang baik. Tidak dapat tidak, kewajipan dan kemahiran membaca perlu sentiasa dipertingkatkan untuk mengisi minda. Jika kita tidak menguasainya, maka akan muncullah mesej-mesej atau catatan facebook yang menyebarkan,

- Facebook akan menutup operasinya pada 15 Mac 2011 kerana tekanan pengurusan
- hujan asid dan hujan radiasi akan sampai di Malaysia
- kisah anak beribu bapakan khinzir
- larilah ke masjid apabila berlakunya tsunami
- kiamat berlaku pada tahun 2012

dan ratusan lagi khabar yang tidak masuk akal menerjah ke dalam fikiran dan jiwa kita, terutamanya bangsa Melayu. Justeru itu, berhati-hatilah apabila menerima maklumat. Gunakan minda anugerah Allah yang tidak ternilai ini sebaik mungkin.

P/S : Sumber tenaga nuklear adalah anugerah Allah untuk dimanfaatkan oleh umat manusia. Kepakaran mengendalikannya adalah tugas manusia untuk mengeksploitasikan sumber tenaga tersebut bagi mempelbagaikan sumber tenaga konvensional yang semakin berkurangan. Tidak sahaja nuklear, biogass, solar, angin dan air juga perlu dimanfaatkan.


Tragedi letupan loji nuklear Jepun adalah satu manifestasi kelemahan manusia dalam merancang. Semua itu adalah proses dan cabaran untuk terus mara menghadapi masa hadapan. Takziah dan simpati kita kepada Jepun.

3/13/11

Orang Boleh Jatuh Sekelip Mata...

ZOY adalah ilustrator dan pengkartun yang popular. Sewaktu Tukang Catat di bangku sekolah dahulu, beliau melukis siri ilustrasi Pendekar Si Jangkang. Kemudian diikuti dengan beberapa lagi siri seperti Seladang Tunggal, Si Takluk Jagat dan lain-lain. Kebanyakan lukisannya berkisar tentang dunia kepahlawanan Melayu.

Bagi peminat beliau tentu sukar melupakan watak-watak ciptaannya seperti Macan Semarang, Lang Kuik Si Kuda Hitam dengan seni Ilmu Apungan Angin serta ilmu Apungan Dewa hasil imaginasi beliau.  Ilustrasinya cantik dan berseni sekali. Ramai pembaca akhbar Berita Harian tidak sabar menunggu setiap minggu untuk mengikuti siri tersebut sehinggakan seorang rakan senior saya di S.M A Ittifakiah Jerteh dahulu sanggup menghabiskan duit menggunting menampal dan memfotostat karya-karya ZOY dalam siri  tersebut untuk dijadikan buku. 2-3 siri juga yang terkumpul.
Sedap dibaca!

Saya sudah lama tidak mengikuti akhbar Malaysia bercetak secara 'live'. Sekadar membaca secara 'online' sejak datang ke Montreal. Kalau tidak, akhbar adalah bahan santapan harian terutamanya di hujung minggu. Kebetulan pula di ofis saya melanggan Berita Harian dan The Stars dan siri pahlawan Melayu karya ZOY tetap menjadi tatapan selain rencana-rencana berkualiti yang lain.

Hari ini reputasi ZOY seorang pengkartun dan ilustrator terkenal juga Berita Harian jatuh merudum akibat satu lukisannya yang tidak sensitif dengan penderitaan yang menimpa rakyat Jepun lewat tragedi Tsunami dan gempa bumi baru baru ini. Mudah-mudahan Berita Harian lebih waspada tentang isu-isu dunia dan lebih sensitif penderitaan orang lain.



p/s: Saya mengesan ada seorang lagi wartawan kanan berpangkat besar yang saya kagumi yang juga rakan Facebook menulis status yang menunjukkan sensitiviti beliau berada di tahap yang rendah.

Terlaju perahu boleh diundur, terlajak pena reputasi tersungkur.

Tidak sensitif

Walau apapun, Berita Harian telah memohon maaf secara terbuka. Harap kesilapan ini tidak berlaku lagi selepas 'siri-siri' kesilapan yang dilakukan oleh media. Tentu anda masih ingat kisah Santa Pak Haji oleh TV3 Ramadhan dahulu.  

Bersabar lah Zoy!

3/4/11

Beginilah masyarakat kita..

Dulu kisah remaja hilang dilarikan jin. Sekarang pokok petai menangis pula. Siap ada yang puja memuja. Dah hilang akal agaknya.


Orang lain sudah ulang alik naik turun ke angkasa, kita masih leka dengan karut marut tahyul. Khabarnya baru-baru ini ada si bodoh yang merancang menganjurkan pameran hantu dan jin di sebuah negeri yang bergelar Darul Iman untuk membodohkan rakyat negeri yang melahirkan tokoh ulama nusantara nun di semenanjung Tanah Melayu. Kalau perkara ini berlaku, penganjur wajar disumbat ke penjara. Tapi sayang, tiada akta yang membolehkan si bodoh dibicarakan.Baca di SINI

Mari kita berdoa agar diri kita dan seluruh ahli keluarga serta masyarakat tidak terlibat dalam melakukan khurafat dan karut marut ini.