www.majalahsains.com

6/19/10

Perang Teknologi : Islam lawan Barat | Bahagian 2

Kita umat Islam pada masa terdekat ini :


1. Tidak mampu memiliki kekuatan persenjataan yang hebat untuk memerangi Zionis-Israel dan segala ketidakadilan ke atas umat Islam dewasa ini

2. Tidak mampu untuk membentuk satu pakatan ekonomi yang kuat di kalangan negara-negara islam dalam erti kata ekonomi yang dituntut dalam agama. Sistem yang menguasai dunia pada hari ini ialah sistem kapitalis yang bersifat menindas dan penuh dengan riba'

3. Kita tidak mampu melahirkan ramai ilmuan moden yang dapat meraih kejayaan sehingga peringkat tertinggi dan dihormati dunia barat dan timur. (hadiah Nobel dalam bidang sains misalnya)

4. Kita belum mampu untuk mencetuskan idea-idea dan ilmu-ilmu baru dalam bidang sains dan teknologi melainkan mempelajari dan menirunya juga dari barat. Malah usaha penterjemahan bidang ilmu dalam bahasa asing ke Bahasa Melayu juga tidak dapat dilakukan secara agresif dalam masa kurang dari 20 tahun belakangan ini. Lebih terkebelakang adalah tindakan yang diambil untuk menggunakan bahasa asing dalam mengajar warga Malaysia mengenai ilmu-ilmu kritikal seperti Sains dan Matematik dan bukan bahasa yang mudah difahami oleh kaum tersebut.

5. Punca-punca ketidakmampuan ini terlalu banyak. Namun sikap pemerintah yang menguasai fikiran rakyat dengan 'minda yang tertawan dan terjajah' adalah faktor utama dan terbesar mengapa kita tidak mampu bangkit dalam tempoh-tempoh tertentu termasuk Wawasan 2020 yang tinggal 10 tahun lagi untuk digapai. Semua ini adalah retorik yang tidak berkesudahan jika dibandingkan dengan situasi semasa yang berlaku pada hari ini. Pemimpin berperanan menaikkan semangat rakyat untuk sama-sama membangun negara.

Oleh yang demikian, untuk menyatukan kembali kita sebagai umat yang satu pada pandangan saya buat masa ini ialah melalui internet. Gelombang kebangkitan umat dapat digerakkan dengan hujah-hujah dan pemikiran yang dapat mencetuskan rasa bangga dan 'gah' sebagai umat islam dalam menyaingi barat. Satu daripadanya ialah kemunculan Millatfacebook.

Facebook yang diasaskan oleh pemuda berketurunan Yahudi-Amerika lulusan Harvard iaitu Mark Zuckerberg sedang melonjak dengan begitu mendadak. Antara pengguna terbesar laman Facebook ialah umat Islam. Jadi kita boleh menggunakan laman ini sebagai 'senjata makan tuan' untuk mendidik sebahagian warga dunia yang anti Islam. (misalnya kejadian melukis karikatur nabi Muhammad baru-baru ini, atau hak-hak umat Islam yang dipertikaikan di beberapa belahan dunia barat seperti Perancis, Kanada dan sebagainya - isu tudung dan Burqa dan lain-lain.

bersambung bahagian 3

Perang Teknologi : Islam lawan Barat | Bahagian 1

Bercakap soal teknologi, kita sebagai umat islam akui bahawa kita banyak ketinggalan berbanding dengan negara-negara barat. Atau bahasa kasarnya umat Islam masih mundur pencapaiannya dalam bidang sains dan teknologi.Puncanya terlalu banyak untuk dihuraikan. Namun beberapa penyebab yang boleh kita tanamkan di dalam minda kita sebagai umat islam, untuk mencetuskan rasa ingin bangkit dari kelemahan ini antaranya ialah :

1. Tahap kebergantungan kita terhadap teknologi dan sains barat yang keterlaluan

2. Kesan dari penjajahan fizikal dan minda sejak sekian lama

3. Pemerintah atau daya inisiatif kerajaan yang lemah dalam menangani soal sains dan teknologi

4. Sistem pendidikan yang agak ketinggalan

5. Soal-soal kebudayaan setempat yang masih ditakuk lama

6. Penyusunan dan strategi pembangunan ekonomi negara (Islam) yang masih lemah

7. Kekurangan infrastruktur yang dapat menyokong pembangunan Sains dan Teknologi


Rujukan : Kemunduran Sains dan Teknologi : Merenung dan Bertanyakan Persoalan Asas, Azhar Ibrahim Alwee, Institut Pendidikan Nasional, Singapura.


Di sebalik segala kelemahan yang masih wujud dan sedang ditangani ini, ada satu teknologi yang sangat pantas berkembang dan memukau penghuni planet bumi sehingga kini. Tidak lain tidak bukan ialah INTERNET. Internet sebagai wadah menghubungkan segenap pelosok penghuni bumi ini juga turut dikuasai oleh sebahagian besar negara-negara Islam termasuk Malaysia. Walaupun pada asalnya, ia berasal dari US melalui penyelidikan ARPANET pada tahun 1940-an dahulu, kini ia bukan lagi menjadi milik mutlak kepada sesiapa. Teknologi internet turut memberi manfaat kepada seluruh manusia.

Apa yang ingin disampaikan ialah, tentang bagaimana cara untuk kita mengembalikan keghairahan umat menentang kuasa-kuasa jahat yang sedang berusaha untuk menghancurkan Islam. Antaranya ialah melalui kejahatan yang disebarkan melalui Internet (Facebook). Baru-baru ini kita dikejutkan dengan penyebaran tidak bertanggungjawab karikatur gambar Nabi Muhammad dengan niat mempersendakannya. Umat Islam meledak marah lantas sekumpulan pakar IT Pakistan mewujudkan laman Millatfacebook.com sebagai alternatif menyaingi Facebook ciptaan Mark Zuckerberg. Millatfacebook meningkat popularitinya dengan mendadak. Namun kekurangan dana menyebabkannya berlaku masalah teknikal. Jadi apa sebenarnay yang boleh dilakukan oleh umat Islam lain dalam usaha untuk meneruskan perang ini ?

Bersambung bahagian 2..

6/7/10

Sebuah Harapan Rakyat Marhaen Kepada Pemerintah

 Gambar : Saiz tanah air Palestin (hijau) yang semakin mengecil dirampas ganas oleh Zionis-Israel (putih)


Isu Palestin-Israel belum kendur.Walaupun ada sesetengah daripada kita yang pada mulanya bersemangat, kemudian mulai sejuk, dan akhirnya seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Saya percaya ramai di kalangan kita akan mula menyinga kembali, menyumpah seranah dan terbakar jiwa apabila suatu hari nanti, Zionis-Israel akan mula menembak atau membunuh warga Palestin semula seperti yang berlaku beberapa minggu lalu. Malah tidak kurang pula yang akan menukar gambar profil mereka di facebook, blog atau sebagainya sebagai tanda protes dan solidariti bersama warga Palestin nun jauh di timur tengah dan seminggu selepas itu mula menukar kembali profil seperti tiada apa-apa yang berlaku tanpa mahu belajar dari sejarah, apakah sebenarnya konflik yang menyebabkan bumi merdeka Palestin semakin lenyap.

Bagi saya, Israel hanya ingin menguji sejauh mana kekuatan Islam boleh mengancam mereka. Dan mereka mungkin mempunyai puluhan strategi bagi meningkatkan kekuatan ketenteraan rejim zionis untuk terus mencengkam kuku di bumi Palestin.

Jika kita tidak bertindak, bukan sahaja Palestin, malah mungkin Mekah, Arab Saudi, Jordan, Mesir, Indonesia, Malaysia pun akan habis ditelan Zionis kalau kita terus leka dan mengharapkan balasan Tuhan semata-mata tanpa berfikir dan mencari strategi.

Dalam isu ini, umat islam perlu berfikir secara rasional. Kutukan, kritik serta puluhan resolusi mengecam kekejaman Israel tidak dipandang pun oleh mereka malah memperlekehkan lagi. Israel-Zionis hanya akan serius apabila, musuh mereka (umat islam) mula mengangkat senjata dan mengancam keselamatan tentera serta penduduk awam Israel. Secara praktikal, setakat ini hampir mustahil umat islam akan dapat mengangkat senjata menentang Israel dan 'abang besar' mereka iaitu Amerika Syarikat. Lihat sahaja dialog ini dalam temuramah Larry King dengan Ehud Barak suatu masa dahulu (2003).

Larry King : 'How do you feel Mr. Prime Minister about the coming OIC gathering in Kuala Lumpur?'

Ehud Barack : 'What are they going to do in Kuala Lumpur that I should be concerned about?'

Larry King :'They are going to pass resolutions sto condemn you over your activities in Palestine.'...
...
Ehud Barak: 'Is that all?'

Larry King :'Yes, what do you think about that?'

Ehud Barak:'They have been doing that all this while, so many times ....... they can carry on doing it ........ I am not bothered.'

Larry King :'What would bother you then?'

Ehud Barak:"I would be bothered if they are providing enough funds or weapons for the Palestinians. Or send their tanks and soldiers to Palestine. As far as talking or passing resolutions is concerned, they can carry on. They have done that many times before.'



Hakikat yang nyata, Amerika, Britain dan negara-negara sekutu Israel akan terus mempertahankan anak emas mereka yang menjadi duri dalam daging umat islam di tengah-tengah masyarakat islam arab di Timur Tengah. Sebagai  seorang islam, tentulah harapan dan persoalan kita ialah bagaimana umat islam akan dapat menyelesaikan isu ini.

Bagi saya sebagai seorang rakyat marhaen yang mendoakan kebebasan Palestin, pembebasan Palestin AMAT MEMERLUKAN STRATEGI POLITIK DAN EKONOMI yang berkesan dari negara-negara islam. Antara yang boleh difikirkan ialah :-


1. Menamatkan hubungan dagang dengan beberapa entiti Zionis-Israel-Amerika yang bertapak di bumi Malaysia secara khusus dan boleh diikuti oleh negara islam lain secara umum. Bagi saya, kita masih boleh terus hidup dengan selesa tanpa TESCO, STARBUCK, McDonald dan Coca Cola. Isu peluang pekerjaan tiada langsung sekiranya kerajaan serius dan prihatin tentang nasib saudara seagama di sana. Penamatan hubungan ini boleh dibuat secara berperingkat, misalnya 5 tahun pertama untuk melihat keberkesanannya. Sudah tentu ia memerlukan keinginan politik yang kuat, tidak hanya retorik dan manis mulut sahaja.


2. Membentuk angkatan bersenjata negara-negara OIC. Walaupun kerapkali OIC dikritik, usul ini boleh sahaja dibentangkan oleh Malaysia.


3. Meningkatkan hubungan politik dengan negara-negara yang bermasalah dengan Amerika dan Israel, misalnya Iran, China, Russia dan Korea Utara. Hubungan ini boleh sahaja melibatkan pertukaran teknologi, hubungan dagang yang kukuh yang tidak terlalu bergantung pada Amerika dan juga hubungan ketenteraan.


4. Memikirkan semula dasar-dasar yang ditetapkan dalam Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dalam menangani isu antarabangsa. Ini kerana, banyak negara-negara NAM tidak begitu sebulu dengan Amerika.

5. Di dalam negara, isu-isu setempat seputar agama perlu dihentikan seperti kelompok-kelompok kecil agama yang masih bertengkar tentang isu remeh temeh wahabi, tajdid, modernis, liberal, tradisionalis, sufi, aurat, halal-haram, isu nama Allah, mazhab dan sebagainya. Ini semua melemahkan pengertian agama yang luas.


6. Menghentikan pergantungan ekonomi dengan matawang Amerika. Dahulu ada ura-ura untuk menggunakan dinar emas di negara-negara Islam. Tapi entah apa statusnya, kita kurang pasti.


7. Umat islam perlu kembali kepada Al-Quran dan memikirkan strategi berkesan untuk menangani masalah ini. Kita tidak boleh berterusan berdoa, berdemonstrasi, mengutuk dan mengecam Zionis-ISrael setiap kali timbul isu ini kerana, mereka tidak akan pernah berhenti berfikir bagaimana untuk menghapuskan Islam di muka bumi ini.


8. Sebagai rakyat yang prihatin, kita perlu terus mengkaji, membaca dan memahami isu palestin ini dengan lebih jelas tanpa dipengaruhi oleh emosi yang tidak terkawal. Emosi, amarah, geram dan tidak kurang ada yang bercita-cita untuk mati syahid berjihad, boleh! Tapi mesi dilakukan secara waras dan berstrategi.
Misi menghantar bantuan ke Palestin baru-baru ini adalah usaha berstrategi dan terpuji.

9. Secara individu, kita teruskan mencari fakta, membaca, bertanya dan sentiasa prihatin dengan nasib umat islam di Palestin dan menyokong gerakan-gerakan pembebasan Palestin dari penjajah durjana bernama Yahudi-Zionis.


Jadi sebagai rakyat, kita teruskan usaha mencari pemimpin yang benar-benar berazam untuk membantu saudara seagama tanpa bersikap hipokrit atau talam 2 muka. Ini hanyalah harapan saya sebagai rakyat marhaen yang cintakan kedamaian.

Ini hanya sebuah harapan!

Verdun, Montreal

6/2/10

Sejak bila Isu Palestin-Israel menerjah minda anda?

Jawapan kepada tajuk soalan di atas adalah relatif. Ia bergantung pada tahap umur, minat untuk tahu (curiousity),  kesedaran, kebertanggungjawaban serta kefahaman tentang isu ini.

Penulis misalnya mula mendengar perkataan Palestin, Rejim Tel Aviv dan Israel sejak berusia 10 atau 11 tahun. Waktu itu, persekitaran yang paling banyak mempengaruhi keinginan untuk tahu sesuatu benda datangnya dari peti televisyen. Tiada hiburan yang paling membahagiakan kanak-kanak seperti saya ketika itu selain televisyen. Bahan bacaan, masih terlalu kurang. Ketika di usia tersebut, TV di rumah kami hanyalah sebuah TV hitam putih berjenama TELEFUNKEN. Keluarga kami juga banyak menonton berita setiap pukul 8.00 malam di RTM atau pun Dunia Jam 10 yang selalunya dibaca oleh Harjit Singh Hullon, Marry Anne Massilamany ataupun Farid Ismet Emir mengikut jadual masing-masing. Dari situlah saban malam, saya mendengar tiga perkataan di atas yang di ulang-ulang setiap kali membacakan berita mengenai dunia luar. Yang paling kerap dan melekat di telinga saya ialah istilah 'rejim Tel Aviv'. Abang sulung saya, antara yang selalu menukar-nukar istilah baru menjadi istilah yang pelik dan mudah di ingat. Akhirnya Rejim Tel Aviv menjadi 'Anjing Tak Habih'.

Selepas meningkat dewasa, memasuki asrama, banyak terdedah dengan bahan bacaan seperti akhbar, majalah dan buku-buku kecil, saya mula membaca tentang apa sebenarnya yang berlaku di Palestin. Pada peringkat awal, saya mula menjejaki di mana kedudukan negara Palestin melalui peta dunia melalui sebuah buku. Satu majalah kecil milik pakcik yang bersekolah di S.M. Tengku Mahmud, Besut (melihat nama yang tercatat di majalah tersebut) yang kami panggil Ayoh Ngoh dengan judulnya 'Roh Islam' memuatkan satu artikel tentang isu Palestin. Malangnya penulis sebenar rencana tersebut saya lupa namanya. Roh Islam memuatkan tulisan-tulisan pemuka Islam abad -20 seperti Maryam Jameelah (seorang yahudi memeluk islam, lantas menjadi wanita yang hidup matinya hanya kerana islam dengan menulis banyak buku-buku penting dalam gerakan memartabatkan agama), Sayyid Abul A'la Al Maududi, ulamak Pakistan yang terkenal dan beberapa lagi yang lain. Majalah Roh Islam saya baca ketika berusia 13 tahun. Entah bagaimana majalah kecil ini berada di rumah saya, itu saya kurang pasti. Dari rencana itu, mula timbul kesedaran mengapa Palestin begitu penting kepada umat Islam.

Semakin usia meningkat dewasa, bersekolah, berada di asrama, berjinak-jinak dengan perpustakaan, kedai buku dan bahan-bahan bacaan, saya mula membaca dan tentang sedikit sebanyak cuba mengkaji mengapa Israel begitu rakus merampas tanah dan membunuh rakyat Palestin yang beragama Islam. Jelas bahawa, Yahudi merupakan bangsa yang licik dalam sejarah. Berapa ramai nabi-nabi yang dibunuh mereka. Betapa taksubnya mereka dengan mantra 'bangsa pilihan Tuhan'. Kemunculan idealogi Zionisme semakin menyemarakkan lagi usaha Yahudi untuk mendirikan negara palsetin yang akhirnya tegak di tanahair Palestin merdeka pada tahun 1948 menyaksikan pembantaian dan pembunuhan kejam berlaku di sana.

Kemunculan internet, memberikan banyak manfaat kepada manusia termasuk Tukang Catat. Pada tahun 2009, saya mewujudkan satu laman blog dedikasi khusus untuk memuatkan isu-isu Palestine-Israel-Yahudi yang dinamakan.


Blog ini memuatkan koleksi artikel tulisan ramai penulis tentang isu yang sentiasa membuatkan umat islam menjeruk rasa mengenangkan nasib saudara seagama di Palestine. Artikel-artikel ini dikumpulkan sejak tahun 2006, menggunakan Zotero. Harapan saya hanya satu, iaitu cuba mengajak rakan-rakan di luar sana yang prihatin tentang isu Palestin-Israel ini benar-benar memahami di mana kedudukan kita sebenar sebagai umat Islam. Di mana kelemahan umat islam. Apa yang perlu dilakukan oleh individu, masyarakat, organisasi mahupun pimpinan-pimpinan kerajaan. Melalui rencana yang ditulis oleh mereka yang mempunyai autoriti dalam bidang inilah, sebenarnya kita dapat membaca, memahami dan menilik bagaimana rejim Israel ini hanyalah 'kudis kecil' di tubuh umat Islam yang boleh diubati sekiranya bahagian tubuh yang lain sihat. Atau dengan kata lain, Yahudi-Israel adalah terlalu kecil berbanding berbilion-bilion umat Islam. Bertitik dari situlah kita perlu mencari penyelesaian.

~Faizal~
Verdun, Montreal

6/1/10

Kita 'Wajar' Malah 'Wajib' Marah

Memang perasaan meluap-luap dengan api kemarahan apabila mendapat khabar berita terbaru dari perairan antarabangsa di Turki apabila armada Mavi Marmarra yang menganggotai misi kemanusiaan Freedom Flotilla ke Gaza, bertumbuk dengan komando IDF-rejim haram Israel.

Berita melaporkan 19 maut dan selebihnya ramai yang cedera parah. Lebih menyedihkan apabila konvoi kapal laut tersebut disertai juga oleh sukarelawan Malaysia yang sangat berani. Hati tersentuh seketika apabila melihat Jalur Gemilang berkibaran di dek kapal Mavi Marmarra melalui paparan melalui kaca televisyen Canada di hampir semua saluran berita. Kebetulan pula syaitan Benjamin Netanyahu sedang berada di sini, dalam rangka lawatan ke Kanada dan US. Kemudian memutuskan untuk membatalkan kunjungannya ke White House dan kembali ke Asia Barat bermesyuarat mencari alasan untuk menipu dunia. Semua ini membuatkan jiwa gementar geram, pedih, membuak-buak dengan ketidakadilan yang berlaku pada umat Islam.


Banyak komentar dan status di blog serta facebook menzahirkan amarah ini. Dan hanya itulah yang terdaya oleh kita setakat ini. Tidak terkecuali Si Tukang Catat. Kepada yang turun berdemonstrasi, silakan.

Amarah umat Islam terhadap ketidakadilan dunia antarabangsa terhadap isu Palestine ini telah lama tercetus sejak Israel diwujudkan secara tipu muslihat pada tahun 1948. Lebih 60 tahun. Bayangkan selama 62 tahun ini, kita sebagai umat yang paling ramai menghuni planet bumi (1.57 bilion), tidak mampu berbuat apa-apa apabila rejim Zionis yang hanya berjumlah 7 juta orang merobek dada-dada bersih pemuda-pemudi Palestin dan merampas tanah air mereka.

Gelombang kebangkitan umat Islam terus dizahirkan apabila setiap kali pertumpahan darah berlaku di sana melalui siri-siri demonstrasi, bantahan dan kutukan. Hasilnya tidak lah begitu ketara, malah setiap saat, seinci demi seinci bekas kiblat pertama umat Islam dirampas secara tidak bertamadun.

Di sebalik kemarahan dan bantahan ini, marilah kita bertanyakan diri, meredakan gelodak jiwa yang panas dengan pertanyaan : -

1. Faham kah kita mengapa Zionis-Israel ini wajib di tentang ?

2. Bilakah masalah ini akan dapat diselesaikan ?

3.Bagaimana sejarah kelahiran negara Israel?

4. Adalah semua bangsa Yahudi jahat ?

5.Apalah perbezaan Yahudi dan Zionis serta hubunganya dengan Israel?

6. Apakah tanggungjawab kita terhadap pemimpin yang tunduk kepada Zionis ?


Saya berkeyakinan, ramai yang sudah tahu akan jawapan kepada persoalan di atas dan langkah-langkah yang wajar di ambil. Namun persoalan BESAR yang perlu ditanya kepada pemimpin Islam ialah BILA LAGI MAHU BERTINDAK ?

Untuk rakyat dan masyarakat yang prihatin, marilah kita bereaksi secara terpelajar melihat isu ini. Baca, kaji dan fikir di mana kita boleh menyumbang. Isu ini tidak akan selesai dengan hanya berdemonstrasi. Ingat, Palestin adalah tanggungjawab umat Islam! Akan dituntut dan ditanya oleh Tuhan di akhirat kelak kalau kita mengabaikannya.

~faizal~
Verdun