www.majalahsains.com

12/31/09

Tahun Baru & Pergantian Umur


Salam Tahun baru Masihi 2010..

Sejak faceboook dan Twitter mula menjadi fenomena baru selepas dominasi Google, blog semakin jarang dikemaskini. Namun Google tetap A+ dalam banyak perkara terutamanya untuk Tukang Catat blog ini:-)

Banyak aplikasinya menjadi keperluan wajib bagi sesetengah orang. Lihat sahaja contoh di blog ini .Suatu masa dahulu, jika tidak mempunyai blog akan dianggap tertinggal di belakang dalam perlumbaan siber. Sekarang tidak mempunyai facebook dan Twitter mengundang rasa hairan dari rakan-rakan.

Di masa hadapan, akan muncul lagi teknologi-teknologi baru yang akan mendominasi dunia hasil kreativiti manusia. Di dalam majalah Technology Review terbitan MIT misalnya, setiap tahun mereka akan menyenaraikan hasil-hasil penyelidikan di makmal yang akan dikomersilkan. Inovasi dan kreativiti mereka dalam membuat penyelidikan begitu mengkagumkan. Begitu juga dengan laporan dan penyebaran maklumat melalui blog, laman web dan juga penerbitan buku dan majalah.

Menurut satu sumber, tahun 2010 akan diisytiharkan sebagai Tahun Inovasi di dalam negara kita. Harapannya ialah untuk melahirkan masyarakat yang kreatif dan inovatif dalam melakukan sesuatu dari pentadbiran negara hinggalah kepada pengurusan diri. Semoga kita termasuk sama di kalangan orang-orang yang kreatif dan suka melakukan inovasi :-)

Salam Tahun Baru 2010 !

12/9/09

Putihnya salji

Salji telah turun. Bermula dengan ribut salji pada hari pertama secara rasminya ia turun, warna putih telah menyelubungi Montreal dan kawasan-kawasan lain di Kanada dan sebahagian di Amerika. Kata orang ini musim ekstrem. Sejuk dan sukar. Namun sejuk dan kepayahan ini menjadi cabaran yang kadang-kala mungkin enak untuk ditempuhi.

Masih saya ingat kata-kata seorang warga Montreal yang menyatakan, musim sejuk harus dilalui dengan seronok. 'Let's embrace the winter and enjoy it', katanya. Dalam kedinginan saya membayangkan, bagaimana kental dan kuatnya fizikal dan mental warga yang tinggal di negara-negara yang mengalami cuaca melampau seperti Kanada dan negara-negara lain seumpamanya. Begitu jugalah saya mengingatkan diri saya sendiri supaya mempelajarai sesuatu dari penduduk yang budayanya amat jauh berbeza dengan budaya kita di Malaysia. Mari kita berdepan dengan cabaran!


p/s: Sempena kedatangan musim sejuk kedua bagi kami di Montreal, saya sudah menyiapkan satu artikel tentang fenomena salji menurut sains. Terima kasih kepada sahabat maya saya saudara Khairusy Syakirin Has-Yun yang suatu ketika dahulu pernah menyarankan saya menulis tentang ini.

p/s/s: Sedang berkira-kira juga ke mana mahu menghantar artikel ini selain MajalahSains.Com =).

12/7/09

Catatan pinggir :-)

Sebenarnya saya ada 'janji' di blog mundarmandir2 . Janji untuk mengulas buku. Pertama buku Kenang-kenangan Hidup Hamka (kenyataan ini sudah banyak kali diulang ) dan yang kedua ialah Novel Transgenesis, karya Amir Hussaini. Buku kedua saya bercadang untuk mengulasnya di kolum resensi buku di MajalahSains.Com sesuai dengan genre Sai-Fai nya. Buku pertama hanya untuk mengisi masa lapang dan melatih diri membuat ulasan buku. Cuma buku pertama ini genre nya agak berlainan dengan apa yang saya sedang tekuni sekarang [baca sains & teknologi] , jadi kemungkinan ia mengambil sedikit masa. Walaubagaimanapun sebahagiannya sudah saya tulis dan letakkan di dalam 'draft' di sini. Masih banyak untuk ditambah di sana-sini sebelum di 'publish'.

Peminat buku di luar sana juga digalakkan mendapatkan buku Kenang-kenangan Hidup ini untuk sama-sama melihat dugaan dan rintangan ulama dan pengarang besar nusantara bernama Haji Abdul Malik Karim Amrullah a.k.a HAMKA untuk dibandingkan dengan sekelumit kisah 'tauliah' Dr.Maza.

Semalam saya membeli buku dan majalah lagi. Aktiviti rutin di awal bulan :-).




p/s..gambar sekadar hiasan
~Verdun, Montreal~

12/4/09

Khutbah di Montreal

Hari ini saya ke Freemason Centre untuk bersolat jumaat. Sudah agak lama tidak mendengar khutbah yang menarik perhatian. Kebetulan pula hari ini khutbahnya agak menarik. Sudah beberapa kali berpeluang mendengar khutbah bermutu dari khatib yang sama, cuma masih belum berpeluang untuk bersalaman dan kerkenalan. Saya kira beliau pelajar dari Timur Tengah yang menuntut di Concordia University.

Namun sedikit kecewa apabila terlewat sampai dan hanya sempat mendengar khutbah jumaat kedua. Antara butiran lontaran khutbah tadi ialah berkenaan dengan kembali mengingati Allah. Sudah lama manusia lupakan Allah selepas begitu banyak nikmat yang dikurniakanNya. Kita manusia terlalu banyak lalai dan pelupa dan fungsi khutbah jumaat setiap minggu adalah mengingatkan kembali tujuan manusia hidup. Khatib memberikan beberapa tips menarik tentang kaedah mendekatkan diri dan mengadu nasib kepada Allah antaranya ialah:

1. Berdoa dengan insaf selepas waktu subuh sambil bermuhasabah diri

2. Menunaikan solat sunat selepas terbit fajar dengan penuh rasa keinsafan

3. Membaca Al-quran dan memahami setiap tafsiran ayat-ayatNya ( Beliau
memberikan contoh golongan yang menghafal dan membaca al-quran walaupun 3
helai sehari, tidak akan menyamai pahala yang diberikan Allah kepada mereka
yang memahami Al-Quran walaupun satu ayat )

4. Sentiasa berselawat kepada Rasullullah

5. Melakukan qiamullail di 2/3 malam.

6. Bersedekah

Tambahan (oleh saya), beristighfar!

Selesai khutbah, khatib yang sama mengimamkan solat jumaat dengan bacaan ayat Quran dengan tenang serta suara yang jelas. Cukup tenang dan tawaduk berbanding semasa menyampaikan isi khutbah 'tanpa teks' yang penuh semangat.

Insyaallah suatu hari nanti saya ingin berkenalan dengan khatib ini.

12/2/09

Promo Kosmik Disember



Saya tidak tahu berapa ramai pembaca atau peminat yang melanggan/membeli Dewan Kosmik. Untuk makluman, Dewan Kosmik ialah majalah sains popular pertama di Malaysia terbitan DBP yang telah menemui pembacanya seawal tahun 1993 kira-kira 16 tahun yang lepas. Saya antara penggemar majalah ini sejak di zaman persekolahan dahulu walaupun tidak melangganinya secara berkala.

Kesukaran mendapatkan Dewan Kosmik dan majalah-majalah terbitan DBP yang lain adalah antara komen-komen yang selalu saya dengar dari rakan-rakan, malah ada juga yang tidak pernah mengetahui tentang kewujudannya. Ya, itu semua adalah cabaran dan dugaan dalam bisnes penerbitan. Menjadi tanggungjawab pihak penerbit untuk melakukan sesuatu sebagai langkah mempromosikan produk mereka. Dengan kemajuan teknologi jaringan sosial internet seperti Facebook, Twitter, Blog, Youtube dan sebagainya saya kira tidaklah begitu sukar untuk mempromosikan produk. Internet marketing adalah kata kuncinya. Yang paling mustahak ialah skills dan teknik promosi.

Di laman facebook misalnya sudah menjadi platform yang baik untuk mengetengahkan sesuatu produk bahkan sudah muncul pelbagai buku yang menghuraikan konsep internet marketing melalui jaringan sosial internet. Nah, peluang terbuka luas. Laut biru kata orang sekarang. Rebutlah!

p/s:- Artikel terbaru Tukang Catat muncul di Dewan Kosmik dengan tajuk Gentian Optik Sepantas Cahaya yang menceritakan kisah pemenang Hadiah Nobel Fizik 2009, Charles Kao.

11/26/09

Estidotmy November





Estidotmy merupakan sisipan akhbar Utusan Malaysia setiap hujung bulan. Ia diterbitkan dengan kerjasama MOSTI-Utusan untuk meningkatkan kefahaman rakyat Malaysia mengenai sains dan teknologi.

11/4/09

Terbaru: Dewan Kosmik November


Kepada yang berminat, boleh dapatkan Dewan Kosmik di pasaran sekarang atau berlanggan di DAWAMA
Cadangan saya, berlanggan lebih baik :-)

p/s: pernah saya menulis status di facebook untuk menulis sedikit isi buku Kenang-kenangan Hidup, Prof Dr Hamka. Insyaallah suatu hari nanti akan muncul di blog ini.

10/31/09

Kontroversi terbaru cendekiawan dan profesional bidang agama...

[Update]..Dr Asri ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta polis dan dibebaskan sejam kemudian atas dakwaan berceramah tanpa permit dan dipercayai ada kaitan dengan gerakan wahabi. Sila ke laman mstar.com.my


Terkejut juga saya bila membaca kontroversi terkini antara Dr Asri dengan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Semalam seorang teman facebook yang memuatkan 'url' memorandum PGSM dari laman web PGSM kepada YDP Agung, saya mendapat maklum mengenai kritikan terhadap pendekatan dakwah Dr Asri dan isu tawaran perlantikan Yang DiPertua YADIM kepada beliau.

Apabila membaca keseluruhan isi kandungan memorandum tersebut, saya mula mengesyaki kecaman berupa fitnah telah dikenakan terhadap bekas mufti Perlis tersebut dengan pelbagai tohmahan yang bukan sahaja tidak benar malahan memperlihatkan ketidakmatangan ilmu yang ada pada ahli-ahli PGSM. Sambil-sambil menunggu jawapan balas Dr Asri melalui sidang media tergempar, sempat juga saya membaca artikel terbaru beliau yang saban minggu yang diterbitkan di Mingguan Malaysia.

Sejak pertama kali mendengar dan membaca tulisan Dr MAZA ini, terus terang saya dapat merasakan bahawa, beliau memiliki ciri-ciri ulama tajdid berani seperti yang dilakukan oleh ulama-ulama salaful soleh yang lain. Ciri-iri yang diperlihatkan beliau yang jelas ialah:-

(I) Kekuatan hujah dan nas-nas yang berasaskan Al-Quran dan Al-hadis,

(II) Kelantangan berceramah dan berpidato

(III) Pena tulisan beliau yang tajam dan tepat ke hati umat yang cintakan
pembaharuan berterusan di dalam islam.


Ketiga-tiga ciri ini wujud dalam diri ulama pembaharuan sepanjang sejarah seperti Ibnu Taimiah,
Sheikh Muhammad Abdul Wahab,
Sayyed Jamaluddin Al-Afghani,
Sheikh Muhamad Abduh,
Syed Sheikh Al-Hadi,
Sheikh Tahir Jalaluddin,
Haji Abdul Karim Amrullah (Hj Rasul),
Haji Abdul Malek Karim Amrullah (HAMKA),
Hj. Hassan Bandung
,
cendekiawan Tanah Melayu pendeta Za'ba dan puluhan lagi yang lain.

Sekiranya kita membaca kisah-kisah perjalanan hidup golongan ini, tiada satu pun di kalangan mereka yang tidak menerima ujian dan cubaan dari Allah. Dugaan tersebut datangnya dari golongan-golongan yang tidak sependapat dengan mereka dan merasa panas dengan kritikan golongan ulama sejenis ini (yang tidak bermuka-muka dan menjilat pemerintah)

Hamka misalnya dibungkam lebih 2 tahun di dalam penjara di Sukabumi akibat mengkritik Sukarno, Za'ba dituduh sebagai Kaum Muda dan dikritik habis-habisan oleh ulama tradisional. Haji Rasul pernah dibuang daerah dan nyaris-nyaris dipancung oleh Jepun. Sheikh Muhammad Abdul Wahab, digelar pelopor gerakan Wahabi dan pelbagai lagi cercaan dan ujian yang diterima mereka.

Namun Allah Taala tetap juga mengirimkan hambaNya yang soleh dan berani setiap zaman bagi membetulkan kompas umat islam yang terpesong jauh arah haluan.
Golongan nabi-nabi dan rasul juga lebih banyak menerima dugaan. Tidak terbanding! Rasul kesayangan umat islam, Muhammad SAW pernah dilempar batu dan najis unta dalam menjalankan dakwah, malah turut berjuang di medan perang dalam menegakkan agama. Nabi Zakaria di gergaji kepalanya sehingga mati ketika menyeru kaumnya menurut perintah Allah dan semua golongan yang mengaku hamba Allah akan diuji olehNya sebelum mereka benar-benar layak diakui sebagai hamba.

Maka fitnah besar ke atas Dr Asri pada hari ini adalah salah satu ujian berat yang datang kepada beliau. Sebagai umat islam dan pendokong gerakan tajdid (pembaharuan), marilah kita sama-sama berdoa agar beliau terus bertahan dan gigih dalam menyampaikan dakwah islamiah.

Sama-samalah kita menyelidik dengan saksama, supaya tidak tergolong dalam golongan yang buta mata hati.

p/s: Sehingga blog ini ditulis, memorandum dari laman web PGSM telah dibuang. Namun tuan-tuan masih boleh membacanya di laman web mstar.com.my







10/14/09

ThanksGiving a.k.a Kesyukuran

Ayam belanda panggang


Cerita hujung minggu.. Klik blog ini untuk cerita ThansGiving Party

10/7/09

Nobel Laureate in Physic 2009


Sehingga catatan ini ditulis, media-media cetak dan media elektronik di Kanada terus menerus membuat ulasan mengenai berita Pemenang Hadiah Nobel Fizik 2009. Akhbar The Gazzete hari ini misalnya memuatkan ulasan tersebut di muka hadapan. Lebih mengujakan bagi mereka ialah salah seorang penerima hadiah paling berprestij dalam bidang sains tersebut ialah warga Kanada.

Penuntut-penuntut di Universiti of McGill, Montreal, Canada tentunya berbangga kerana salah seorang alumni universiti tersohor tersebut telah diumumkan oleh Royal Swedish of Science, Sweden sebagai penerima Anugerah Nobel Fizik tahun 2009. Pelajar-pelajar Malaysia yang juga teman-teman Tukang Catat yang sedang belajar di sana juga, turut merasa bertuah berada di menara gading tempat di mana lahirnya pemenang Hadiah Nobel.

Semoga dengan tercatatnya sejarah gemilang tersebut, ia akan terus membakar semangat penuntut-penuntut dari Malaysia di McGill Universiti untuk terus berjuang menimba ilmu dan membawa pulang kejayaan gemilang untuk Malaysia suatu masa akan datang.

Laporan penuh penerima Hadiah Nobel ini boleh didapati di laman MajalahSains.Com

Faizal
Montreal, Kanada

10/6/09

Gambar-gambar aidilfitri di Montreal 2009









@ various places

- Verdun
- St. Anne
- Place Elgin
- des Hirondelles

Terima kasih untuk sahabat-sahabat di sini. Terasa macam kat Malaysia!

Lagi gambar di flickr

10/5/09

Estidotmy Oktober




Rencana ini ditulis 2 tahun lalu (2007), tetapi tidak pernah mendapat tempat di mana-mana penerbitan sehinggalah pihak Estidotmy meminta menulis sesuatu tentang apa sahaja yang berkaitan dengan Hadiah Nobel untuk terbitan Oktober 2009. Nah, kali ini ia mendapat tempat. Moralnya, jangan 'delete' dahulu artikel yang ditulis. Kemaskini, kemaskini dan kemas kini fail-fail lama!

10/2/09

Rencana Sains Terbaru

Baca artikel Dewan Kosmik Oktober. Dapatkan di DAWAMA dan kedai-kedai buku Dewan Bahasa & Pustaka seluruh negara.



faizal
Montreal, Canada
2 Oktober 09

10/1/09

Hujung bulan 30 September

Penghujung bulan adalah masa yang ditunggu-tunggu dan disukaii oleh pekerja-pekerja yang menerima gaji bulanan mereka. Maka banyaklah perancangan dan perkiraan yang perlu dilakukan untuk melihat ke mana duit gaji dibelanjakan.

Hari ini, saya ke kedai buku lagi dan seperti biasa ia menjadi rutin bulanan di sini. Terdapat beberapa kelebihan mengunjungi kedai buku di akhir atau awal setiap bulan. Antaranya ialah kita dapat melihat, memegang, meyelak-nyelak helaian majalah dan buku-buku terbaru. Paling baru dan masih panas ialah The Lost Symbol karya penulis tersohor Dan Brown. Tidak krang juga terdapat pulahan buku baru yang lain. Selain itu dapat juga menyaksikan sedikit kesesakan di kaunter-kaunter bayaran, dan kesesakan ini tidaklah merimaskan kerana sewaktu beratur untuk membayar, kita sendiri dapat membaca buku atau majalah yang ingin dibayar di kaunter. Jadi masa menunggu tidaklah terbuang begitu sahaja. Kadang-kadang setiap bulan susun atur buku juga berbeza dan kelihatan kreatif dan mampu menarik minat pengunjung. Tidak terkecuali setiap bulan ada sahaja buku-buku pelbagai genre yang dijual murah.

Saya melihat ketagihan membaca dan membeli buku (shopping buku) masyarakat di sini dengan penuh teruja. Pengunjung kebanyakannya memborong buku dalam kuantiti yang banyak. Semasa berbaris kebanyakannya membawa tidak kurang dari 3 buah buku untuk dibayar. Tidak hairanlah di kedai-kedai buku terpakai di sini, mereka banyak menjual buku-buku yang relatifnya masih baru di samping buku-buku lain yang telah berusia.

Jelas sudah, fenomena membaca, ketagihan buku, penggemar buku dan bahan bacaan,jumlah penerbitan terbaru, kreativiti, kesungguhan dan penulisan merupakan ciri-ciri utama budaya ilmu yang perlu ada untuk semua manusia.

Sekiranya kita belum teruja dengan situasi ini, Ayuh! Masih belum terlambat!

9/25/09

Selonggok juadah untuk jiwa & minda di bulan syawal

Beberapa buah buku kiriman dari Malaysia sudah tiba. Ada yang sedang dilayan mesra, ada yang dikesampingkan dahulu. Beberapa buah buku lain yang telah lama dibeli sudah tamat dibaca dan sedang menunggu untuk ditulis ulasannya. Rangka-rangka kasar telah pun ditulis di laptop dan diletakkan dalam foldernya yang tersendiri, cuma menunggu waktu dan 'nafsu membuak' untuk dicantikkan dan disedapkan lagi gaya tulisannya. Tidak terkecuali buku yang sudah lama dibeli, namun sehingga sekarang masih belum dibelek. Paling banyak ialah buku yang sebahagiannya sudah terusik namun belum mampu untuk dihabiskan bacaannya. Pada masa yang sama sedang merujuk silang beberapa majalah terbaru untuk tulisan-tulisan dan rencana akan datang.

Buku dan majalah begitu cepat sekali berada di rak-rak kedai buku. Ada sebahagiannya terlalu 'advanced' sehingga diawalkan sebulan ataupun separuh bulan tarikh penerbitannya. Penerbitan buku dan bahan bacaan di sini begitu pantas dan meriah! Sangat meriah!








9/19/09

Salam Aidilfitri 1430

Marilah sama-sama kita kembali ke fitrah asal kejadian manusia dengan merenung apa tujuan utama kita dijadikan oleh Tuhan di dunia ini.

Falsafah di sebalik sambutan hari raya ialah untuk meraikan kemenangan setelah menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa sebulan di bulan ramadan. Hakikat idulfitri ialah sambutannya yang khusus untuk penganut agama Islam dan bukan seperti sambutan-sambutan hari kebesaran yang lain. Oleh yang demikian, marilah kita menjernihkan kembali hikmah dan dan tujuan utama sambutan idulfitri.

Salam Eid Al-mubarak
Allahu Akbar..Allahu Akbar..Walillahilhamdu...

9/10/09

Catatan ramadan ke-21

Tukang Catat berterima kasih kepada rakan-rakan yang pulang bercuti musim panas di Malaysia baru-baru ini.Kesempatan mereka pulang ke lubuk, tidak lupa juga dititip beberapa buah buku dari tanahair untuk santapan di bulan ramadan kali ini. Antara buku yang sempat dikirim termasuklah:

-Trangenesis (Novel)
-Panggil Aku Melaju (Novel)
-Jatuhnya Sebuah Tamadun (Sejarah pemerintahan Khalifah Islam)

Dan sedang menunggu beberapa buah buku lagi yang khabarnya dalam perjalanan. Semoga pengembaraan 'sahabat-sahabatku' itu melalui jalan laut dan udara selamat sampai seadanya di tanah bekas jajahan Perancis di benua Amerika Utara ini.

Alhamdulillah, buku sejarah sudah selesai. Ia sebuah buku yang agak baik bagi pemula yang ingin belajar sejarah ketamadunan islam sejak kelahiran nabi muhammad sehinggalah tersungkurnya pemerintahan khalifah islam terakhir di Turki pada tahun 1924. Susur galur perjalanan sejarah islam diringkaskan dengan rapi untuk memudahkan pembaca oleh penulisnya Mohamad Nurhakim, warga indonesia. Jadi tidak hairanlah dalam bab terakhir kemasukan islam di nusantara banyak memperincikan tentang kerajaan islam di indonesia berbanding di tanah melayu. Namun sejarah tersebut tetap berkait antara satu sama lain. Persembahan buku ini saya berikan 3 bintang.

II
Sesekali saya menjenguk juga perihal politik tanahair. Tidak banyak yang menarik, hanya seputar perebutan dan mencari pengaruh sahaja lagak ahli politik kita. Riak-riak kecil di dalam mangkuk tandas politik juga hilang begitu sahaja bila berdepan dengan isu yang lebih besar terutamanya yang melibatkan masalah kaum di Malaysia. Ahh, di negeri Terengganu DaruIman juga politik 'taik-kucing' sedang membusuk antara 2 kumpulan. Juga tiada apa-apa! Hanya hangat-hangat tahi sahaja kedua-dua pihak. PAS sedang menunggu peluang! Mudah-mudahan semuanya berbaik-baik sahaja lah di bulan ramadan yang penuh barokah ini.

III
Musim luruh kedua kami di Montreal baru tiba. Maka ramailah penuntut-penuntut baru tiba mencari rezeki belajar di negara asing. Alhamdulillah, beberapa rakan dan kenalan baru pun sudah selamat tiba di sini. Kami mengucapkan selamat datang dan selamat berjuang kepada pejuang-pejuang minda dan mata pena dari Malaysia. Sama-samalah kita mencari ilmu dan kebenaran di dunia barat ini untuk di sesuikan dengan budaya timur bumi Malaysia bila pulang ke tanahair kelak. Mudah-mudahan segalanya baik-baik sahaja dan dirahmati Allah perjalanan hidup kita ini.

IV
Banyak hadis-hadis mencatatkan tentang dalil-dalil lailatulqadar. Bagaimana pemahaman kita tentang lailatulqadar? Apakah masih sama dengan apa yang kita dengar di waktu mendengar syarahan atau keterangan-keterangan agama di waktu zaman kanak-kanak dahulu?Atau sedikit berubah dengan pembacaan dan pengkajian kita yang lebih jauh sedikit daripada terperangkap dengan minda kanak-kanak? Semakin lama semakin ramai orang yang membicarakan perihal menunggu kedatangan lailatulqadar. Ramai juga yang beranggapan ia adalah di 10 malam terkahir ramadhan..apakah ini benar? Wallahua'alam..yang pasti lailatulqadar adalah malam yang lebih baik daripada 1000 bulan yang menentukan arah dan haluan hidup kita di dunia ini. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan lailatulqadar..

Nota:// Sila rujuk Al-Quran surah Al-Qadar untuk mendapat gambaran yang jelas tentang lailatulqadar. Berhati-hati membaca hadis-hadis mengenai lailatulqadar untuk mengelakkan kita keliru..

8/29/09

Estidotmy Ogos 09



Estidotmy adalah sisipan Utusan Malaysia yang diterbitkan setiap hujung bulan dengan kerjasama MOSTI-Akademi Sains Malaysia (ASM). Koleksi percuma estidotmy boleh diperolehi dari laman ASM