www.majalahsains.com

8/29/11

Salam Adilfitri 1432 Hijrah dari Montreal, Kanada

Kepada semua yang mengenali diri ini baik di luar atau di dalam internet, saya mengucapkan selamat hari raya aidilfitri maaf zahir dan batin.
Sama-sama kita menghayati Takbir Aidilfitri untuk membesarkan jiwa dan mengembalikan keagungan Islam sepanjang kita transit di dunia yang sementara ini.


Salam aidilfitri 1432 Hijrah

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar Yang Teramat Besar, 

Segala Puji bagi Allah Yang Teramat Banyak, 

Maha suci Allah pada waktu pagi dan petang, 

tiada Tuhan melainkan Allah, dan Tidak ada lain yang kami sembah melainkan Dia,

kami ikhlas kepadaNya (mengikuti ajaran agama Islam) sekalipun dibenci oleh orang-orang kafir, 

tiada Tuhan melainkan Allah Yang Tunggal, Yang Menepati janjiNya, Yang Menolong hambaNya, dan Yang Memuliakan tenteraNya dalam mengalahkan tentera al-Ahzab dengan sendiri (KekuasaanNya), 

Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya bagi Allah


8/26/11

Ramadhan, Air Tuak & Kenangan

Di daerah kami, bulan puasa dan air tuak jarang berpisah. Tiba sahaja bulan Ramadhan, maka tumbuhlah gerai-gerai di tepi jalan menjual air tuak. Tuak di daerah kami berbeza dengan istilah yang digunakan di Sarawak. Air tuak atau nira kelapa adalah sejenis minuman yang manis kelat, datangnya dari seludang kelapa yang dipotong hujungnya lalu ia mengeluarkan cecair. Cairan itulah yang ditadah dan dikumpulkan selama satu hari di dalam bekas buluh atau plastik yang dinamakan 'tukir'. Di dalam tukir ini dimasukkan sedikit kepingan kayu cengal yang dinamakan 'laghu' (laru) untuk mengelakkan ia cepat masam.Proses ini diulang sehingga seludang kelapa itu tadi sampai ke pangkal.

Air tuak atau nira boleh segera diminum segar atau disimpan sehingga bertukar menjadi cuka makan. Tapi awas, dalam proses pertukaran tuak segar kepada cuka yang memakan masa beberapa hari, ia akan melalui proses penapaian semulajadi atau diistilahkan sebagai 'tuak gila'. Tuak gila atau tuak masam inilah yang diminati oleh 'kaki minum' di beberapa daerah di Sabah dan Sarawak kerana ia adalah minuman yang memabukkan. Kandungan alkoholnya cukup tinggi. Tukang catat sendiri pernah melihat proses proses pertukaran tuak segar kepada 'tuak gila'. Ia akan berbuih-buih beberapa waktu, kemudian bertukar menjadi jernih. Cecair jernih itulah cuka makan yang enak.

Nira kelapa juga adalah bahan utama untuk membuat gula melaka. Selepas dikumpulkan dalam jumlah yang banyak, ia akan dimasak di dalam kawah sehingga cecair tuak tadi menjadi pekat likat berwarna keperangan. Cecair pekat tadi kemudiannya dituangkan ke dalam bekas berbentuk bulat yang diperbuat daripada daun mengkuang yang dinamakan 'kerek'. Setelah sejuk, terbentuklah kepingan-kepingan gula melaka atau dikenali sebagai 'nisan kerek' di daerah kami.

Saya tahu serba sedkit tentang 'air tuak' ini sejak dari kecil. Waktu itu 3 orang adik-adik saya masih belum lahir. Sekitar penghujung tahun 80-an. Ayah saya sebelum masuk ke tanah rancangan FELDA, dikenali sebagai tukang panjat pokok kelapa (Tok Nyadat) dan pembuat manisan yang handal. Masih saya ingat, sewaktu kami mendiami sebuah rumah papan kecil di Kampung Gong Ubi Keling, Besut saya memerhatikan ayah melakukan semua kerja-kerja menghasilkan gula melaka. Kadang-kadang kami diberikan sedikit cebisan manisan yang masih dalam proses pemanasan yang dikenali sebagai manisan cair. (nisan cair). Enak!. Ah betapa kenangan itu masih membekas di jiwa saya. Kami orang susah. Membeli gula-gula di kedai jarang sekali. Manisan itulah gula-gula kami.

Mengimbau kenangan lama, hati saya jadi hiba. Sementelah pula kenangan ini muncul di penghujung Ramadhan. Teringat kenangan-kenangan sewaktu zaman kanak-kanak. Teringat pula Sang Ayah yang bertungkus-lumus mencari rezeki menyuap dan membesarkan kami adik beradik. Bermacam-macam jenis pekerjaan pernah dilakukan. Bersawah, memburuh sampai jauh di Singapura, membela ikan di kolam tanah rancangan, menanam tembikai, berladang sawit. Sehingga kini pun di usia senja, ayah masih belum pernah berehat walaupun sudah tiada apa yang perlu dikejarkan. Anak-anak semua sudah besar dan kebanyakannya sudah berkeluarga. Mungkin tidak betah duduk diam berehat hasil kerja kuat sejak dari zaman remaja.

Beberapa hari lagi kita akan menyambut syawal. Salah satu cita-cita agung khidmat bakti kepada ayah dan bonda yang saya impikan ialah ingin menghantar mereka ke Tanah Suci Mekah. Mudah-mudahan hajat murni Tukang Catat ini dipermudahkan Tuhan..

Salam Syawal 1432 Hijrah untuk seluruh ahli keluarga di Besut dan Kuala Pilah, dan umat Islam di seluruh dunia. Semoga puasa kita diterima Allah Taala.

   

Pemanjat kelapa (Tok Nyadat)

Nira (tuak) yang sedang dikumpulkan dari seludang kelapa

Proses memasak nira kelapa untuk dijadikan gula melaka

Gula melaka (Nisan Kerek)

Verdun, Montreal
Summer, 2011

8/3/11

Ukuran orang berakal

Saya bukan pro mana-mana kumpulan agama (baca :kelompok-kelompok dalam Islam), politik, bangsa dan kenegerian. Saya juga tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan yang kelihatannya betul tetapi sebenarnya melakukan kesalahan serta membodohkan orang lain. Tapi saya cenderung memilih untuk berfikir secara rasional berasaskan fakta dan kesahihan malumat serta cuba menjadi yang terbaik walaupun masih jauh untuk mencapai tahap yang boleh dibanggakan.

Semalam saya membaca satu isu di akhbar portal Malaysiakini tentang isu yang dibangkitkan oleh Majlis Keselamatan Negara baru-baru ini tentang keganasan Wahabi. Jelas sebenarnya ia mengelirukan ramai pihak, namun Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man telah menjelaskannya melalui laporan ini. [ KLIK SINI ]

Apa yang ingin saya tekankan ialah komen-komen pembaca berita tersebut yang tidak berpandukan pada fakta malah boleh menghina junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Antara komen kebencian terhadap Wahabi yang sempat saya perhatikan dimulakan dengan

"Amalan Kaum Wahabi Menurut Hadis" kemudian diikuti dengan senarai-senarainya (lihat gambar di bawah.

Sejak bila pula ada hadis yang menceritakan perihal wahabi sedangkan pemimpin gerakan itu lahir 1133 tahun selepas kelahiran Nabi.

Inilah contoh kebencian yang melampau terhadap sesuatu kumpulan lain kemudian tanpa berfikir panjang lancar sahaja keluar dari hati menuduh sehinggakan tidak dapat membezakan makna istilah Hadis dan siapa Sheikh Muhammad Abdul Wahhab.

Mudah-mudahan kita terpelihara dari sikap taksub melulu tanpa berfikir panjang. Kita cukup bimbang golongan kurang fakta ini berkembang dalam masyarakat sehingga boleh mengelirukan orang lain yang juga kurang membaca.

Salam Ramadhan 1432 Hijrah

p/s: Rencana-rencana yang boleh dibaca semula untuk memahami istilah Wahabi

1. Takut Hantu Wahabi oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
2. Isu Wahabi: Mari kita Berbincang dan Mengkaji - Ulasan buku (5 bahagian)