www.majalahsains.com
Showing posts with label Ulasan Buku. Show all posts
Showing posts with label Ulasan Buku. Show all posts

7/27/11

Tuhan Manusia....Faisal Tehrani

Lebih kurang 7-10 hari berulang-alik melalui bas dan STM Metro (keretapi bawah tanah), dari rumah ke tempat kerja buku ini selesai saya kerjakan secara purata 4-5 mukasurat setiap hari. Karya Sasterawan Muda, Faisal Tehrani ini saya dapatkan dari UjanaIlmu dan dikirimkan oleh saudara dari Malaysia ke Montreal pada pertengahan musim sejuk yang lalu sekitar bulan Februari 2011.

Saya mula cuba bersungguh-sungguh untuk memahami makna Islam Liberal melalui sebuah buku berjudul Islam Liberal: Isu dan Cabaran. Tuhan Manusia pula adalah buku kedua berbentuk fiksyen yang sarat dengan maklumat dan pencerahan tentang apa makna liberalisme yang amat berbahaya terhadap akidah dan agama.

Tuhan Manusia berkisar tentang seorang pemuda Ali Taqi yang bergelut dengan isu abangnya Talha, yang telah meninggalkan agama Islam (MURTAD) akibat termakan hasutan penjajahan baru agama yang dinamakan Islam liberal dan berakhir dengan perpindahan agama. Ia diburukkan lagi dengan bantuan En. Aris, seorang liberalis agama tanahair yang menyokong kemurtadan abangnya.

Ali Taqi yang selalu menghayati pesanan arwah ibunya yang berbunyi
"Andai kota itu peradaban, rumah adalah budaya dan tiang serinya adalah agama" sentiasa mencari makna kata-kata ibunya sehingga beliau dewasa dan menjadi seorang ilmuan terkenal menggeluti bidang falsafah.

Novel padat ilmu ini ditutup dengan berita kematian Talha akibat dilanda taufan misteri sebagai manifestasi kemurkaan Allah terhadap kemurtadannya.

Antara pengajaran penting yang boleh dikutip dari novel ini ialah:-

  • kekaguman kita umat Islam terhadap kemajuan barat perlu disaring dan ditapis dengan ilmu dan pergaulan yang sihat
  • Barat sentiasa datang dengan agenda mereka untuk merosakkan pemikiran umat Islam dengan istilah-istilah yang mengelirukan seperi globalisasi, liberalisasi, Hak Asasi Manusia dan kebebasan berfikir
  • Titik persamaan dalam kepelbagaian mazhab dan pemikiran Islam perlu ditonjolkan dan bukan sebaliknya (perbezaan pendapat) dalam usaha untuk menghadapi musuh Islam

    12/7/09

    Catatan pinggir :-)

    Sebenarnya saya ada 'janji' di blog mundarmandir2 . Janji untuk mengulas buku. Pertama buku Kenang-kenangan Hidup Hamka (kenyataan ini sudah banyak kali diulang ) dan yang kedua ialah Novel Transgenesis, karya Amir Hussaini. Buku kedua saya bercadang untuk mengulasnya di kolum resensi buku di MajalahSains.Com sesuai dengan genre Sai-Fai nya. Buku pertama hanya untuk mengisi masa lapang dan melatih diri membuat ulasan buku. Cuma buku pertama ini genre nya agak berlainan dengan apa yang saya sedang tekuni sekarang [baca sains & teknologi] , jadi kemungkinan ia mengambil sedikit masa. Walaubagaimanapun sebahagiannya sudah saya tulis dan letakkan di dalam 'draft' di sini. Masih banyak untuk ditambah di sana-sini sebelum di 'publish'.

    Peminat buku di luar sana juga digalakkan mendapatkan buku Kenang-kenangan Hidup ini untuk sama-sama melihat dugaan dan rintangan ulama dan pengarang besar nusantara bernama Haji Abdul Malik Karim Amrullah a.k.a HAMKA untuk dibandingkan dengan sekelumit kisah 'tauliah' Dr.Maza.

    Semalam saya membeli buku dan majalah lagi. Aktiviti rutin di awal bulan :-).




    p/s..gambar sekadar hiasan
    ~Verdun, Montreal~

    7/4/09

    Isu Wahabi: Mari Kita Berbicang dan Mengkaji (4/5)

    Wahabi : Fakta dan Renungan Untuk Umat Islam

    Oleh : Mohd Faizal Aziz


    Bahagian keempat

    Cabaran dan rintangan yang dihadapi


    Penulis cuba untuk berlaku adil dalam tulisan ini dengan menyertakan juga cabaran dan rintangan yang ditempuhi oleh para pejuang agama termasuk SMAW sendiri. Seperti yang kita sedia maklum, pembaharu dalam bidang agama (islam) terlalu banyak menempuh dugaan hidup dan sentiasa mendapat tentangan dan cabaran dalam meneruskan tinggalan para nabi dan sahabat. Cubalah kita perhatikan golongan-golongan tajdid seperti Jamaluddin Al-Afghani, muridnya Syed Muhammad Abduh, Syed Muhammad Rasyid Redha, di Indonesia kita bertemu dengan HOS Cokrominoto, Haji AbdulKarim Amrullah, HAMKA, di tanah melayu sendiri Syeikh Tahir Jalaludin dan Syed Sheikh Al Hadi dan sebagainya yang kerap dituduh sebagai kaum muda yang merosakkan kesucian agama islam. Tetapi sememangnya sudah fitrah bahawa sifat orang beriman adalah diuji. Apa guna kita mengaku islam dan beriman kalau tidak di uji apatah lagi yang berlaku terhadap Syeikh Muhammad Abdul Wahab. Antara tentangan hebat yang dialami oleh beliau ialah :

    • Orang ramai menuduh SMAW dan pengikutnya membenci nabi Muhammad, menghina baginda dan nabi yang lainnya. Penentang beliau berkata bahawa SMAW telah berkata: “ bahawa nabi Muhammad SAW seumpama seorang yang tuli yang diutuskan kepada manusia untuk menyampaikan sesuatu perkara kemudian ia pulang” . Kemudian Alwi Al Haddad dalam kitabnya “Misbah Al An’am, SMAW dan pengikutnya telah berkata “ tongkat saya lebih baik daripada Muhammad kerana ia dapat membunuh ular dan seumpamanya. Sedangkan nabi Muhammad telah mati dan tidak terdapat manfaat sama sekali padanya”. Manakala Sayed Ahmad Zaini Dahlan pula berkata “ pengikut SMAW telah melarang daripada berselawat kepada Nabi Muhammad selepas azan di atas menara, sehinggakan apabila tukang azan yang buta berselawat kepada nabi Muhammad selepas azan ia dibawa kepada SMAW dan dibunuh.
    • Mendakwa SMAW dan pengikutnya telah berkata “ bahawa Nabi Muhammad SAW telah melaknat dan menghina negeri Najd serta melarang berdoa untuk ahlinya”
    • Menuduh SMAW dan pengikutnya melarang daripada membaca kitab ‘Dalai Al Khairat’ dan Syawariq AL Anwar’ yang banyak menghimpunkan fadhilat-fadhilat berselawat ke atas nabi Muhammad dan pelbagai selawat.
    • Mengharamkan umat islam menziarahi kuburan para nabi dan sahabat dan sebagainya

    Tuduhan-tuduhan ini dengan sendirinya terbatal sekiranya kita merenung kembali akidah pegangan SMAW seperti yang dicatatkan di pertengahan tulisan ini.


    Isu Wahabi: Mari Kita Berbicang dan Mengkaji (3/5)

    Wahabi : Fakta dan Renungan Untuk Umat Islam

    Oleh : Mohd Faizal Aziz


    Bahagian ketiga

    Akidah Syeikh Muhammad Abdul Wahab


    Dalam membincangkan soal akidah SMAW, penulis merujuk secara langsung kertas kerja yang dibentangkan oleh Abdul Qadeer Al-Mandeely dalam Wacana Tokoh-tokoh Mujaddid Islam, UTM julai 1994 yang dimuatkan di bahagian akhir buku kecil yang menjadi rujukan penulis dalam rencana ini. Soal akidah SMAW, merujuk kepada kitab karangan SMAW sendiri berbunyi:

    ‘’ Aku bersaksikan Allah SWT dan sekelian mereka yang hadir bersamaku daripada para malaikat dan aku bersaksikan kamu, “ bahawa aku beri’tikad sepertimana ‘itikad Ahlu-Sunnah Wal Jamaah, beriman dengan Allah dan para malaikat, kitab-kitabNya, hari kebangkita selepas mati serta qadar baik dan buruk. Aku beriman dengan Allah SWT, beriman dengan sifat yang Allah telah menyifatkan diriNya denganNya sepertimana yang dinyatakan dalam kitabNya (AL-Quran) dan yang datang melalui lidah rasulnya tanpa mengubah dan mengumpamakan. Bahkan aku ber’itikad bahawa sesungguhnya Allah SWT tidak ada sesuatu yang serupa denganNya dan Dia Maha Mendengar juga Maha Melihat”.

    Di tempat lain pula, SMAW menulis:

    “ Aku beriman bahawasanya nabi kita Muhammad SAW adalah penutup para nabi dan Rasul. Tidak sah iman seseorang sehinggalah ia beriman kepada risalahnya dan bersaksi dengan kenabiannya. Aku mengasihi sekelian para sahabat Rasululullah SAW, sentiasa menyebut kebaikan mereka, meminta ampun untuk mereka, menahan diri daripada menyebut keburukan mereka dan diam dalam perkara yang diperselisihkan antara mereka. Aku berdoa dengan keredhaan Allah SWT bagi ummatul mukminin yan bersih daripada setiap kejahatan. Aku mengakui keramat para wali, tetapi mereka tidak berhak dengan sesuatu daripada hak Allah SWT. Aku tidak bersaksi dengan syurga dan tidak juga neraka bagi mana-mana muslimin, melainkan mereka yang telah disaksikan Rasululullah. Tetapi aku berharap kebaikan bagi orang yang berbuat baik dan aku takut atas oarng berbuat kejahatan. Aku tidak mengkafirkan seseorang islam lain dengan sebab dosanya dan aku juga tidak mengeluarkannya daripada golongan islam”

    Daripada petikan kenyataan beliau mengenai akidah yang dianuti oleh beliau, tidak syak lagi bahawa SMAW merupakan pemegang akidah “Salafu As Soleh” yang merupakan pegangan akidah bagi imam-imam mazhab dan imam-imam muhaddisin. Untuk lebih mendalami pengetahuan tentang SMAW, elok lah juga kita para umat islam di akhir zaman ini memperbanyakkan bacaan dan penggalian ilmu-ilmu tinggalan ulama-ulama terdahulu bagi memantapkan akidah dan pegangan terhadap agama islam tercinta ini disamping dapat menangkis sebarang bentuk godaan dan cabaran hidup di zaman moden.


    Isu Wahabi: Mari kita berbincang dan mengkaji (1/5)


    Hari ini, Mingguan Malaysia di dalam rencana Pena Dr Asri, telah mengutarakan persoalan yang sering bermain di minda orang islam di Malaysia tentang isu Wahabi.

    Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang sentiasa dituduh wahabi telah menulis dengan agak jelas tentang isu ini. Boleh dibaca di sini dengan tajuk Misteri Istilah Wahabi.

    Tukang Catat blog mundar mandir ini semenjak di zaman universiti (1998-2001)lagi telah mula mendengar isu wahabi. Terpanggil untuk mengetahui apakah sebenarnya wahabi, saya telah menulis sebuah ulasan buku tentang isu Wahabi pada tahun 2007. Di bawah diturunkan semula catatan yang agak panjang itu untuk tatapan bersama:

    *****************************************************


    Wahabi : Fakta dan Renungan Untuk Umat Islam
    Oleh : Mohd Faizal Aziz

    Bahagian Pertama

    Penulis merasa terpanggil untuk melibatkan diri dalam perbincangan suatu topik yang hangat diperkatakan dalam media perdana akhir-akhir ini berkaitan persoalan wahabi atau pun gerakan wahabiah yang agak kontroversi dan berkait rapat dengan kita sebagai seorang muslim yang taat beragama. Tulisan ini bersumberkan satu buku kecil yang bertajuk Wahabi Dan Reformasi Islam Internasional karya Drs, Zainal Abidin Syihab dari Jakarta Timur pada tahun 1988 dan diterjemahkan semula ke dalam bahasa melayu oleh Ibnu Hussein dengan tajuk Gerakan Islah Muhammad ‘Abd Al-Wahab, Kenyataan dan Tohmahan dan dicetak pertama kali dalam bahasa melayu pada bulan Mei tahun 1997 oleh Penerbitan Nuur Publication, Kajang. Perlu disebutkan juga bahawa di bahagian akhir buku ini dilampirkan satu kertas kerja berjudul Syeikh Muhammad Abd Al-Wahab dan dakwahnya hasil tulisan Abdul Qadeer Mandeely dari Pejabat Am Hal Ehwal Agama dan Masjid Al Haram Makkah Al-Mukarramah, dalam siri Wacana Tokoh-tokoh Mujaddid Islam bertempat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 10 Julai 1994. Pertama kali mendengar persoalan tentang wahabi atau gerakan wahabiah ialah pada tahun-tahun pertama pengajian penulis di sebuah universiti tempatan dan kerap kali ia didengari dari mulut ke mulut dengan pandangan serong sehingga pada satu masa sehingga mencetuskan rasa ingin tahu tentang persoalan wahabi ini. Setelah hampir lapan tahun isu ini timbul kembali dan kesempatan ruang masa yang ada penulis cuba untuk sama-sama membincangkan isu wahabi ini dengan dada lapang dan sama-sama mengajak pembaca dan umat islam berterusan mencari ilmu tentang apa saja persoalan penting yang boleh menggoncang nikmat hidup beragama .

    Sejarah Ringkas

    Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab atau nama sebenarnya ialah Muhammad Abdul Wahhab bin Sulaiman bin Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Rasyid bin At-Tamimi dilahirkan di ‘Uyainah, di sebuah daerah di Utara Riyadh pada tahun 1115 H (1703 M). beliau membesar di bawah jagaan ayahnya yang juga seorang qadi di daerah tersebut. Menurut sejarah Syeikh Muhammad Abd Wahhab telah menghafal Al-Quran sebelum mencapai umur 10 tahun dan ini merupakan satu tanda kecerdasan otak beliau sebagai seorang muslim pada waktu itu. Beliau telah mempelajari Fiqh Hambali, tafsir Al-Quran, hadis dan sebagainya daripada bapanya. Sememangnya beliau sejak dari kecil amat menggemari membaca kitab-kitab tafsir, hadis, akidah serta menumpukan banyak perhatian beliau pada tulisan-tulisan karya syeikhul islam terkenal Ibn Taimiyah dan Al-Hafiz Ibnu Qayyim.

    Setelah itu beliau berangkat ke tanah suci Makkah menunaikan ibadat haji seterusnya ke Madinah Al Munawarrah menziarahi masjid nabawi, menziarahi maqam rasululullah dan para sahabat. Selanjutnya mengikut sejarah, Syeikh Muhammad Abdul Wahhab mendalami pelbagai ilmu agama dari ulamak madinah seperti Syeikh Abdullah bin Ibrahim bin Saif, Syeikh Ali Afandi Ad Daghastani, Syeikh Muhammad Hayat As Sindi dan ramai lagi. Selepas itu beliau berangkat pulang ke Najd dan terus ke Basrah. Beliau tinggal di sana beberapa waktu dan mendalami ilmu agamanya daripada para ulamak terkenal di Basrah seperti Syeikh Muhammad Al Mujmu’I dan Al Allamah Malla Hamdu Al Jamil. Dalam perjalanan pulang kembali ke Najd, beliau sempat berhenti di Al Ahsaa’ dan mendalami pengetahuan agamanya dari Syeikh Muhammad bin Abdul Latif As Syafie.

    Ketika pulang ke negerinya, beliau melihat telah banyak berlaku kemungkaran, kesyirikan dan kesesatan berleluasa di negeri Najd yang dilakukan oleh kaum muslimin pada waktu itu. Diriwayatkan pada satu masa beliau melihat dan mendengar orang meminta pertolongan dengan Rasululullah ( di makamnya) dan bukannya dengan Allah SWT lagi, lantas beliau bertanyakan gurunya tentang perkara itu. Lantas gurunya menjawab “sesungguhnya celekalah mereka itu dengan apa yang mereka itu padanya dan kekarutan yang mereka kerjakan”. Pada tahun 1158 H, beliau berangkat ke Dar’iah dan amir Dari’ah pada waktu itu iaitu Muhammad bin. Saud Amir Ad Dar’iah telah bersetuju dengan cadangan Muhamad Abdul Wahhab untuk berjuang berjihad di jalan Allah bagi melaksanakan tuntutan ‘amar ma’ruf dan nahi mungkar’ serta menegakkan kembali syiar islam yang semakin hari semakin dilitupi kegelapan. Walaupun ramai yang menaruh minat terhadap gerakan tajdid (pembaharuan) yang dibawa oleh beliau, tidak dinafikan beliau juga menerima tentangan dari pelbagai sudut untuk menghalang gerakan beliau. Orang awam sering terpengaruh dengan golongan penentang beliau disebabkan beberapa faktor seperti:

    • Pihak penentang beliau telah menulis surat kepada kerajaan Uthmaniah bagi meminta bantuan ketenteraan bagi memerangi gerakan Syeikh Muhammad Abdul Wahhab (SMAW). Mereka menakutkan kerajaan uthmaniah bahawa jika gerakan in tidak dibendung, kekuasaan kerajaan Uthmaniah lama kelamaan boleh lenyap
    • Menabur fitnah dusta menuduh SMAW telah membuat mazhab kelima, tidak mencintai Rasululullah, tidak menghormati wali dan merosakkan kuburan para tabi’in dan wali allah.
    • Golongan yang terikut dengan tradisi lama menghormati dan memuliakan kuburan para sahabat Rasulullah mennetang habis-habisan gerakan yang di bawa oleh SMAW demi untuk menjaga sumber rezeki mereka.
    • Sesetengah ulama’ tidak mendapat gambaran yang jelas dan tepat tentang SMAW dan dakwahnya. Mereka hanya mendengar daripada orang-orang yang hasad dan memburukkan SMAW tanpa merujuk terus kepada kitab-kitab karangan SMAW dan pegangan akidah beliau.

    SMAW meninggal dunia pada 29 Syawal 1206 H (1793 M) dalam usia 90 tahun setelah mengabdikan diri selama lebih 46 tahun dalam memangku jawatan sebagai menteri penerangan Kerajaan Arab Saudi yang terkenal sebagai kerajaan wahabiah.

    Bersambung di bahagian selanjutnya. Ikuti link di bawah



    3/12/09

    Ulasan Buku di Dewan Kosmik

    Rencana buku berjudul Ignited Minds:Unleashing the Power Within India tersiar di Majalah Dewan Kosmik bulan Mac. Ini pertama kali saya menulis ulasan buku dalam majalah sains dan teknologi berbahasa Melayu yang tersohor ini.Buku ini dipesan dari amazon tahun lalu selepas membaca tentangnya dalam akhbar New Straight Times dalam kolum yang ditulis oleh Naib Canselor USM Prof. Tan Sri Dato' Dr. Dzulkifli Abd Razak.

    Buku ini bagi saya sangat menarik kerana ditulis oleh seorang bekas presiden yang juga saintis ulung India iaitu APJ Kalam. Buku ini kecil sahaja tetapi mempunyai gagasan besar penulisnya. Saya baca berulang kali dan terakhir semasa dalam perjalanan panjang KL-Montreal 6 bulan yang lalu.



    4/3/08

    Blogger:A.Kadir Jasin



    Teknologi komputer dan internet sekali lagi memberi peluang kepada mereka yang memanfaatkannya sebaik mungkin ke jalan yang betul seterusnya memberikan manfaat yang bukan sedikit kepada orang ramai.

    Terbaru ialah buah tangan seorang penulis, pemberita, pemikir, pengkritik dan wartawan yang tidak asing lagi yang telah sekian lama menghambakan diri dalam dunia penulisan sejak tahun 1969 sehingga kini. Buah tangan yang dimaksudkan ialah sebuah buku berjudul ”Blogger A. Kadir Jasin”. Di dalam negara nama A Kadir Jasin tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia akhbar dan penerbitan.

    Dalam sejarah kerjaya, beliau pernah menyandang jawatan penting dalam dunia penerbitan dan akhbar antaranya ialah Editor Kumpulan NST Sdn Bhd, Ketua Editor NSTP Sdn Bhd dan Ketua Editor sebuah syarikat penerbitan terkenal , Berita Publishing Sdn Bhd.

    Beliau pernah mencurahkan buah fikiran dan ideanya berbentuk tulisan dalam sebuah kolum yang tersendiri “Other Thots” di dalam majalah Malaysian Business sewaktu ketika dahulu. Selain itu beliau juga merupakan penulis beberapa buah buku yang menarik seperti Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006) dan terkini ialah Blogger A. Kadir Jasin (2006).

    A.Kadir Jasin telah mengambil inisiatif untuk melebarkan tulisan dan pandangan beliau melalui blog beliau di internet (www.kadirjasin.blogspot.com) ke dalam bentuk buku untuk dikongsi bersama dengan pembaca di Malaysia dengan judul ”Blogger A Kadir Jasin”.

    Buku kecil terbitan 2006 setebal 241 halaman ini dimulakan dengan pengenalan tentang budaya menulis dan salah satu produk kecanggihan teknologi internet iaitu blog. Blog ataupun weblog menurut takrifan wikipedia, sebuah ensiklopedia percuma dalam talian merupakan laman web yang memuatkan bahan-bahan yang berbentuk dan bergaya jurnal atau diari oleh individu atau berkumpulan.

    Penulis blog yang dikenali sebagai blogger akan memuatkan hasil karya dan tulisan mereka yang dinamakan tampalan (posting) ke dalamnya mengikut gaya dan kemampuan mereka yang tersendiri.

    Penulisan di blog atau weblog ini bersifat rencam dan pelbagai. Ada yang menulis sekadar suka-suka tanpa ada sebarang tujuan tertentu atau sekadar untuk tidak tertinggal di belakang dalam kelimpahan teknologi internet. Ada yang menulis sekadar untuk mencari kawan dan hiburan serta mencatat aktiviti harian mereka. Ada juga penulis blog yang sudah dikenali ramai di luar, namun masih menggunakan saluran alternatif melalui weblog untuk meyampaikan buah fikiran, gagasan dan idea mereka melalui medium internet. Kebanyakan mereka ini mempunyai peminat dan penggemar setia yang selalu mengikuti perkembangan tulisan penulis-penulis ini baik di luar mahupun di dalam talian.

    Ini lah yang dilakukan oleh A. Kadir Jasin. Beliau yang sudah pun mempunyai nama besar di luar menggunakan medium ini untuk terus menyampaikan pandangan dan pendapat beliau melalui teknologi internet yang mempunyai pengikutnya yang tersendiri dan hasilnya ialah sebuah blog yang segar, menarik, kritis dan kadang kala menyengat. Gaya tulisan beliau yang cermat, spontan, mesra dan bermaklumat terus meruntun minat pembaca untuk terus mengikuti tulisan-tulisan beliau lewat blog di internet.

    Selain itu menurut penulis, blog merupakan media baru penyampaian selain akhbar, radio dan televisyen hasil dari pekembangan teknologi ICT sejak tahun 1990-an lagi. Tulisan berbentuk blog adalah lebih murah, cepat dan mudah serta boleh dilakukan di mana-mana sahaja selagi ada kemudahan telekomunikasi internet. Dengan cara ini beliau boleh terus berinteraksi dengan pembaca dengan lebih pantas dan mesra.

    A Kadir Jasin memulakan tulisan pertama beliau di blog pada 28hb Februari 2006 dengan judul ”Mengatasi Beban Kenaikan Harga Minyak”. Sejak itu beliau telah menulis lebih dari 130 buah rencana berbahasa melayu dan inggeris mengenai pelbagai topik dan isu yang berlaku di dalam negara. Buku yang memuatkan tulisan beliau ini merupakan jilid pertama dari dua jilid yang akan diterbitkan. Di dalam keluaran ini dimuatkan 16 rencana tulisan beliau dengan pelbagai judul menarik dengan 4 daripadanya berbahasa Inggeris dengan tajuk ”Apologize and You Shall be Pardoned”, Can We Not Be a Vulgar?’, Cut Down on the Debate” dan ”Every Generation Has Its Heroes”. 12 lagi kupasan beliau yang mendapat perhatian pembaca menerusi tajuk-tajuk antaranya ialah “Rakyat dan Kakitangan Awam Sama Penting”, PM Janji Agihan Adil”, Bumiputera Terus Ketinggalan dan “Apabila Ahli Politik Bergegas ke Mahkamah”.

    Apa yang menarik ialah, beliau turut memuatkan komentar-komentar bernas dari pembaca yang berkongsi pendapat dan pengalaman mereka tanpa sebarang suntingan disebabkan limitasi teknikal pelayan web blogger. Namun begitu kebanyakan komen dan pendapat ini dilakukan dengan jujur dan berhemah sesuai dengan saranan penulis supaya setiap pembaca dan pengkritik hendaklah berani dan jujur dalam memperkatakan sesuatu.

    Buku ini merupakan produk yang baik hasil dari kecanggihan teknologi internet yang ditangani dengan berkesan oleh seorang penulis berwibawa dan berkarisma seperti A Kadir Jasin. Ia sesuai dibaca oleh semua golongan yang berminda terbuka dan berminat dengan isu-isu semasa yang berlegar sekitar Malaysia tanah air tercinta.


    p/s : Ulasan buku ini ditulis tahun lepas. Pernah cuba dihantar ke media, tapi gagal!! hehe ;-)