www.majalahsains.com

6/26/08

Salah seorang Personaliti Terbilang Malaysia

Akhir-akhir ini saya agak ‘kemabukan’ bahan bacaan. Ruang kecil di rumah untuk menempatkan buku-buku, majalah serta bahan bacaan lain sudah melimpah ruah. Semalam dapatlah juga menunaikan hajat yang tertangguh sekian lama untuk mendapatkan sebuah rak buku yang sesuai untuk menempatkan ‘harta’ yang bertimbun. Kebetulan pula Carefour Alamanda memberikan banyak pilihan. Saya memilih untuk tidak terus memasangnya pada malam tadi.

Dalam banyak-banyak bahan bacaan yang berlonggok, ada satu yang sangat menarik perhatian. Sebuah buku (sebenarnya dua) yang baru tiba dari Sarawak melalui pos yang dibeli dari penulisnya sendiri iaitu Jeniri Amir berjudul 50 Personaliti Terbilang Malaysia. Dalam buku tersebut tersenarai 50 personaliti unggul di Malaysia merentasi pelbagai bidang termasuk hiburan, sasterawan, jutawan, ahli akademik, ahli politik dan sebagainya.

Sambil membelek satu demi satu tokoh yang tercatat, saya terpandang satu nama yang agak terkenal iaitu Muhd Kamil Ibrahim. Penulis buku memilih Profesor Dr Muhd kamil Ibrahim sebagai salah seorang personality di dalam buku beliau yang terbaru. Kebanyakan blogger dan pembaca kebanyakannya sudah mengenali Prof Muhd kamil yang lebih dikenali dengan Prof Kamil atau Prof MKI. Apatah lagi mereka yang sudah pun memiliki buku terbaru beliau yang berjudul Travelogue Haji:mengubah Sempadan Iman. Saya sendiri mendapatkan buku tersebut di bilik beliau semasa beliau bertugas di Uitm Shah Alam sebelum berhijrah ke UiTM Johor. Kisah tersebut diceritakan di sini.

Menurut Jeniri Amir, Prof Kamil seorang yang berbakat dan menguasai pelbagai bidang melalui tulisan dan rencananya yang dimuatkan di dalam pelbagai media massa utama seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, Dewan Ekonomi (1994-1996), Dataniaga, Massa dan Dewan Masyarakat. Selain itu artikel dan penulisan yang beratus-ratus jumlahnya merentasi pelbagai disiplin seperti motivasi, alam sekitar dan semestinya bidang tugas beliau yang hakiki iaitu perakaunan. Selain rencana Prof Kamil juga menulis buku-buku motivasi seperti Motivasi Minda Pelajar (1995), Kecemerlangan Remaja(1996) dan Pelajar Cemerlang(1996). Beliau juga menjadi penulis tamu Utusan Sarawak sepanjang 1994-1996 semasa bertugas di UiTM Sarawak. Yang mengkagumkan, buku beliau yang terbaru Travelogue Haji:mengubah Sempadan Iman (September 2007), sudah diulang cetak sebanyak 6 kali!

Di dalam buku ini, turut diceritakan asal-usul Prof Kamil dan serba sedikit latartbelakang beliau yang cemerlang sejak dibangku sekolah lagi. Falsafah beliau ialah Kita perlu mendongak ke atas dengan penuh pengharapan dan jangan lupa melihat ke bawah mengingati asal usul kita. Dan janganlah lakukan sesuatu yang kita tidak suka orang lakukan pada kita. Dia (Allah) sentiasa memerhatikan kita.Kehidupan kita seharusnya bermula daripada keikhlasan diri. Hati yang ikhlas akan menyelamatkan kita di dunia dan akhirat". Khabarnya beliau sedang menyiapkan sebuah lagi buku terbaru yang akan diterbitkan sedikit masa lagi.

Sesungguhnya buah tangan terbaru Jeniri Amir ini patut dimiliki oleh setiap individu yang mencintai kecemerlangan dan kejayaan dalam hidup. Kehidupan 50 Personaliti Terbilang Malaysia ini memberi bukan sedikit suntikan semangat kepada mereka yang membacanya terutamanya golongan belia dan remaja.

6/24/08

Seminar Buku

[Ini entry hebahan, entry terbaru sila scroll down ke bawah]


"SEMINAR BUKU AGUNG DAN KARYA PERDANA DALAM TAMADUN ISLAM DAN PERADABAN MELAYU"

12-13 OGOS 2008


ANJURAN INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA, IKIM

BERTEMPAT DI DEWAN BESAR, IKIM KUALA LUMPUR

Untuk maklumat lanjut sila hubungi
Sarina Othman di sarina@ikim.gov.my
Tel: 03 62046320 / 323
Fax:03 62046201

6/23/08

Artikel terbaru

Artikel terbaru dalam Estidotmy berjudul : Cuaca Dunia Tidak Menentu di blog Mikronano

Politik, Buku & Durian

Seingat saya pada tahun 1998 (betulkan saya sekiranya tersilap), bekas perdana menteri Malysia Tun Dr M telah mengutarakan slogan Malaysia Boleh sempena penganjuran Sukan Komanwel 98. Hasilnya atlet Malaysia memperolehi 10 pingat emas dalam pelbagai disiplin sukan. Suatu kejayaan amat membanggakan pada waktu itu. Selepas kejayaan atlet Malaysia meraih 10 emas, bermulalah semangat anak Malaysia untuk mencipta rekod dunia menjalankan misi yang dianggap mustahil dan bodoh oleh pengkritik. Maka dengan semangat Malaysia Boleh, Gunung Everest dapat ditawan, penjelajahan ke kutub Utara dan selatan, kewujudan putrajaya, pelayaran solo merentas lautan dunia oleh Datuk Azhar Mansor dan sebagainya. Waktu itu kebanyakan warga Malaysia begitu bersemangat untuk melakukan apa sahaja yang dianggap boleh membanggakan negara dan dapt membuktikan bahawa anak Malaysia juga BOLEH melakukan sesuatu yang sebelum itu dianggap misi mustahil.

Selepas perletakan jawatan Tun M, dan sehingga kini adakah semangat MALAYSIA BOLEH masih membara dalam hati dan minda warga Malaysia. Selepas pertukaran tampuk kepimpinan negara, gema kata-kata semangat ini semakin lama semakin tenggelam dan diterusjkan dengan tema baru yang kelihatan kosong dan tidak bermaya.

Pulang ke Kuala Pilah Jumaat lepas, saya sempat singgah di sebuah kedai buku yang agak terkenal di Bandar Seremban. Sebetulnya isteri yang ajak ke sana untuk mencari beberapa buah buku untuknya. Kedai buku tersebut banyak menjual buku-buku sekolah peringkat kanak-kanak sehingga sekolah menengah. Namun, di suatu sudut kelihatan sebuah rak kecil buku-buku ‘general interest’. Saya terus menuju ke situ. Kelihatan buku-buku lama dan baru dipamerkan. Kelihatan juga buku-bukui biografi Lee Kuan Yew, Lesson: An Autobiography oleh Dr Wang ( yang saya sudah miliki 3-4 tahun lepas). Saya amati beberapa buah buku lain, kemudian terpandang sebuah buku berjudul Wing of Fire: An Autobiography APJ Abdul Kalam. Buku ini sebenarnya saya sudah cari di MPH dan Kinokuniya secara online. Tetapi keluar “search item not found’! termasuk juga sebuah lagi buku beliau berjudul Ignited Minds: Unleashing the Power Within India, yang saya tempah dari Amazon.com. Sambil menunggu ketibaan buku kedua tersebut, tak sangka pula saya akan menemui buku pertama yang ternyata amat menarik isi kandungannya. Buku yang meceritakan tentang kejayaan seorang saintis roket yang diangkat menjadi presiden India yang ke-7. Saya sempat membaca buku ini hingga bab 3 setakat ini.

Musim durian sudah bermula. Ahad lepas, pulang ke Bangi dari Kuala Pilah saya sekeluarga melalui Jalan Bukit Putus yang terkenal dengan selekoh-selekoh tajamnya. Saya sempat singgah di salah sebuah gerai durian di tepi jalan di celah-celah Bukit Putus. Selepas membayar harga durian yang ‘masih’ agak mahal, terus memecut ke Bangi. Hasilnya!

6/15/08

Minyak Naik, Rakyat Naik Angin


Seminggu dua ini, akhbar, majalah, TV dan blogger kebanyakannnya mengulas tentang isu kenaikan harga minyak. Ramai orang termasuk tukang catat mengeluh tentang kenaikan mengejut yang diumumkan oleh PM. Tidak cukup dengan keluhan, ramai yang turun melepaskan rasa amarah di jalanraya. Terbaru di kampung Baru KL, selepas solat jumaat minggu lepas. Keesokan harinya dilaporkan akan diadakan satu bantahan kenaikan harga minyak oleh Gabungan Memprotes Harga Minyak (PROTES) di Seremban dan seterusnya akan digerakkan di seluruh negara. Kemuncak bantahan rakyat ialah pada 12 Julai nanti yang akan menghimpunkan 100, 000 rakyat berdemonstrasi membantah keputusan kerajaan menaikkan harga minyak. GAMIS pula akan menggerakkan 5000 mahasiswa untuk turut serta dalam perhimpunan raksaksa tersebut ( baca akhbar SIASAH terkini).
(gambar dari harakahdaily)

Kita sedia maklum bahawa bahan bakar ini hampir mendominasi keseluruhan hidup manusia. Siapa yang berani mempertikaikan? Ura-ura kenaikan harga minyak melonjak ke paras lebih AS$200 setong tidak boleh dipandang ringan. Jika kenaikan ini berlaku, sudah tentu harga barang akan terus naik dan naik. Apa yang memeritkan ialah kesan rantaian yang akan menyebabkan harga barangan pengguna akan meningkat dan yang paling malang ialah golongan pertengahan dan miskin. Tak usah kita sebut tentang pemotongan 10% elaun menteri-menteri. Itu hanyalah gimik! apalah sangat 10% pemotongan berbanding 40% kenaikan harga minyak. Rebat minyak? Ya terima kasih..tapi berapa lama sangat akan bertahan..

(gambar dari harakahdaily)

Profesor Zaini Ujang memberikan 3 langkah utama dalam menangani kesan kenaikan harga minyak.

1. Mengelakkan pembaziran
2. Menukar teknologi pengeluaran tenaga kini kepada teknologi baru (Renewable energy)
3. Menambah kecekapan

Dalam 3 senarai di atas, no. 2 dan 3 adalah tanggungjawab kerajaan. Yang pertama semua pihak patut insaf.( tetapi Dr. Maza menegur juga sikap hipokrit orang kaya / menteri-menteri/ustaz-ustaz yang galak menyuruh orang lain berjimat, sedangkan mereka sendiri bersenang lenang)

Jadi apa yang perlu kita lakukan?..

6/10/08

Pedoman dalam kehidupan


Wahai Tuhanku, aku berlindung dariMu daripada
SUSAH dan DUKACITA,

Aku berlindung dariMu daripada
LEMAH dan MALAS,

Aku berlindung dariMu daripada
PENGECUT dan BAKHIL,

Aku berlindung dariMu daripada HUTANG dan KEKUASAAN ORANG LAIN KE ATAS DIRIKU

Doa di atas mengandungi 8 perkara yang dipohon kepada Allah agar dijauhi dalam kehidupan kita sehari-hari

Doa ini juga diajarkan oleh Nabi kita Muhammad SAW kepada seorang pemuda yang bermalas-malasan di dalam masjid kerana sudah putus harapan dalam hidup akibat hutang bertumpuk. Selepas mendengar nasihat Nabi, pemuda itu kembali bersemangat meneruskan kehidupan dengan menghayati dan memahami serta mengamalkan setiap ajaran di dalam doa tersebut.
Semoga kita juga tergolong di kalangan pemuda yang mendapat cahaya terang dari doa yang diajarkan oleh Nabi kita Muhammad SAW.

Kisah ini dibawakan oleh HAMKA lebih 20 tahun dahulu semasa menyampaikan kuliah subuh harian beliau yang dirakam dengan kaset. HAMKA yang terkenal dengan pidatonya yang memukau, bersuara tajam dan gemersik diiringi renungan tasaufnya yang dapat dicerna oleh orang awam mampu menggugah hati-hati kita yang kaku dan keras. Al fatihah untuk Buya HAMKA

6/8/08

Rencana Dr.MAZA tentang isu minyak dan sekitarnya

Rencana tuan mufti dalam Mingguan Malaysia Ahad 8/6/2008..

Tegas, berani dan sanggup menghadapi risiko..inilah ulama' pilihan rakyat. Tidak takut menegur kepincangan pemimpin melalui bahasa dan kolum beliau yang tajam..Harapnya para pemimpin insaf akan realiti kehidupan rakyat bawahan. Semoga kolum Pena Mufti tidak diusik oleh 'pemimpin'.

Sila ke www.drmaza.com

6/3/08

Bila pulang ke kampung #3

Saya kalau pulang ke Besut, tak sah kalau tak singgah di Pantai Rhu 10, Setiu untuk menikmati sotong, udang,ikan celup tepung dan juga air nyior muda. Apatah lagi sekarang musim mencandat sotong di Terengganu (tempat lain pun barangkali ada aktiviti mencandat).Makan-makan bersama keluarga sambil menikmati hembusan angin Laut China Selatan sememangnya satu nikmat anugerah Tuhan yang jarang diperolehi di tempat lain.

Oh ya, saya sudah hampir separuh membaca buku "Growing Up in Trengganu" tulisan Awang Goneng semasa bercuti baru-baru ini. Buku ini mengimbau nostalgia beliau membesar di Terengganu dan begitu tajam sekali ingatan dan catatan penulis buku ini. Nanti saya akan ceritakan perihal buku Awang Goneng di 'entry' akan datang..Insyaallah. Buku yang sangat menarik dan saya syorkan supaya seluruh rakyat Terengganu terutamanya memiliki dan membaca buku ini..10 bintang untuk Awang Goneng!

Bila pulang ke kampung #2

Dalam keghairahan membelek timbunan majalah lama, terjumpa pula dengan dua buah majalah FANTASI terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd di celah-celah timbunan. Majalah ini rasanya sudah tidak lagi wujud di pasaran. Apa yang menarik di dalamnya ialah catatan pengembaraan ( atau pelarian politik) Hishamuddin Rais. Kebetulan pula kedua-dua majalah tersebut baru sahaja memuatkan 2 siri tulisan beliau. Sesiapa yang masih memiliki majalah FANTASI ini bolehlah menghubungi saya untuk berkongsi cerita.

Subjek Hishamuddin Rais ini menjadi minat penulis sejak zaman mahasiswa yang penuh dengan idealisme sekitar 1998-2001. Mungkin peminat politik kampus tidak perlu diperkenalkan lagi dengan HR.

Kebetulan pula saya sudahpun membaca buku beliau terbaru berjudul “Keganasan,Penipuan & Internet” terbitan SIRD. HR saya kira seorang yang berfikiran bebas ‘hampir’ tiada sempadan sejak zaman kegemilangan beliau sebagai mahasiswa sehingga terperosok ke London selama 20 tahun. Esei dan kritikan beliau dalam buku ini sahaja cukup untuk menggambarkan beliau sebagai seorang yang bebas melakukan apa sahaja tanpa ada sebarang halangan. Tulisan beliau juga 'tidak kering' dan penuh jenaka sinis yang kadang-kadang dapat menghangatkan topik perbicaraab semasa, terutamanya politik dan kebudayaan. Saya dapat menggambarkan beliau seorang yang unik dan mempunyai keberanian tersendiri.

Bila pulang ke kampung #1

Satu tabiat lama yang saya suka lakukan bila pulang bercuti di Besut ialah menyelongkar buku-buku dan majalah lama. Ada yang dibeli sendiri, majalah-majalah yang dibeli oleh abangdan kakak serta majalah-majalah lama bertulisan jawi serta rumi ejaan bahasa melayu lama yang masih disimpan. Tidak semuanya masih ada. Sebilangan sudah hilang entah ke mana.Penulis tertarik dengan majalah Dewan Masyarakat yang diterbitkan pada tahun 1988 yang dibeli oleh Abang Long. Di kulit depan tertera petikan ucapan Anwar Ibrahim yang pada ketika itu menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan. Antara lain beliau menyebut”

“Saya sangat bimbang apabila melihat masyarakat kita yang tidak ada tradisi membaca, yang tidak membaca,samada buku lama atau baru, boleh berasa tenang dan gembira,sedangkan orang lain yang jauh lebih maju daripada kita, yang tidak ada masalah tradisi membaca seperti di Amerika, Peranchis, Jerman dan negara-negara lain kini mula mempersoalkan rakyat mereka kerana tidak mahu membaca buku-buku yang penting dan utama dan mengikat diri mereka dengan sejarah, dalam usaha untuk membebaskan diri daripada tekanan dan kepalsuan hidup ini.

Jikalau benar kita ini berfikir, dan jikalau benar kita ini cendekiawan,sepatutnya kita berasa resah dan bimbang dengan suasana ini. Kita mesti mempunyai cita-cita dan idealisme untuk membetulkan kelemahan-kelemahan itu. Kita harus memaksa diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita meneruskan perjuangan untuk membawa perubahan dengan mempertahankan tradisi ilmu ini”…..

-ANWAR IBRAHIM

(Bekas Menteri Pendidikan, 1988).

Di dalam majalah dimuatkan ucapan penuh beliau berjudul “Tradisi Ilmu” di Pameran Buku Pengajian Tinggi pada bulan Disember 1987.

P/s: Sekarang sudah nampak kecenderungan masyarakat kita membaca dan memiliki buku. Contohnya pada KLIBF08 baru-baru ini mencatatkan bilangan melebihi 3.2 juta pengunjung. Bagi mereka yang masih belum mempunyai kesedaran membaca, masih belum terlambat untuk berbuat demikian.