www.majalahsains.com

2/27/08

Dua kegembiraan

Hari ini saya dapat merasai 2 makna kegembiraan.

Satu, artikel pertama saya berjudul " Kecil itu Indah" muncul di majalah sisipan Utusan Malaysia Estidotmy yang terbit di setiap hujung bulan. Peluang menulis dalam ruangan kecil sisipan ini boleh dikatakan sebagai 'datang bergolek' apabila wartawan dan jurugambar Utusan bertandang ke 'tempat saya bertugas' membuat liputan tentang penyelidikan terkini dalam bidang yang semakin menarik minat ramai iaitu Nanoteknologi. Kesempatan berkenal-kenalan dengan wartawan sains utusan yang hebat itu tidak disia-siakan begitu sahaja :-) selanjutnya sila ke SINI

Terima Kasih Utusan!!


Dua, buku Kuras-kuras Kreatif karya Azizi Hj Abdullah sampai juga ke tangan melalui UjanaIlmu. Buku ini merupakan karya terbaru Cikgu Azizi Hj Abdullah yang merupakan sebuah catatan pengalaman beliau bagaimana proses menjadi salah seorang pengarang tersohor tanahair. Buku ini menyingkap latar, proses, kepayahan dan kejayaan beliau dalam mengharungi dunia penulisan. Terlalu banyak karya beliau untuk disenaraikan dan antara yang masih kukuh melekat di minda saya ialah novel "Seorang Tua di Kaki Gunung" yang saya baca berulang kali seawal usia belasan tahun dahulu..



Pujian diberikan kepada En. Shukri yang 'sangat efisien' menjalankan tugas. Kepada rakan-rakan lain, sekiranya ingin memiliki buku-buku hebat dari gedung UjanaIlmu tanpa memikirkan masalah parkir, bersesak-sesak di jalanraya, tol dan minyak kereta yang semakin mahal, sila lah berkunjung ke UjanaIlmu. Paling menarik dengan pembelian buku dari sini kali ini ialah, sebuah penanda buku dengan kata-kata

" apabila membayar harga buku di Ujana Ilmu, anda bukan sahaja membeli kertas & tinta, sebaliknya mendapat sebuah kehidupan"


Saya sedang menunggu kegembiraan ketiga, hehe! sebuah novel fiksyen melayu berjudul Sayap Adinilia


Suatu hari yang baik!

2/24/08

Perlu rak buku baru

Nampaknya ruang ini memerlukan sebuah ( atau dua) rak buku baru..
Ermm!!



2/21/08

Panas, hujan dan hidup

Hampir 3 minggu hujan kelihatan silu untuk turun..rumput-rumput di padang kelihatan layu dan sedikit-sedikit kelihatan kering. Matahari terik pancarannya, langit biru bersih dengan tompok-tompok kecil awan yang malas untuk bergabung membentuk titisan hujan..hampir tiga minggu panas membara..kesan pemanasan global! kata saintis, bala Tuhan! kata sesetengah golongan, sampai musim! getus kaum tani..

Tiba-tiba hari ini, tompok-tompok kecil awan yang sebelumnya berkumpul dan menurunkan hujan yang lebat di sekitar Bangi dan beberapa kawasan yang lain..

Alhamdulillah!!

Rumput-rumput dan pokok akan segar dan bunga akan kembali kembang..hidup pun kembali bersemangat!

Teringat satu kuliah subuh HAMKA melalui rakaman yang boleh di perolehi hasil carian google yang kurang lebih berbunyi,

"begitulah kehidupan manusia di dunia, sentiasa dilambung ombak kehidupan..kadang-kadang merasa susah, kadangkala senang. Sebentar manusia itu sibuk kemudian surut kembali tenang".
Panas! sampai waktunya akan turun juga hujan, gelora di lautan, tidak kekal begitu..ada masanya akan tenang"..itulah tamsil kehidupan manusia.

############################################################

"meskipun iman tidak terpisah dari amal dan ibadah, bukanlah ertinya kerana telah beriman dan beribadah itu kita telah maksum, suci dan tidak pernah bersalah lagi. Kita ini manusia, terjadi daripada jasmani, rohani dan nafsu iaitu tubuh, nyawa dan nafsu.

Kita bukan lah malaikat yang semata-mata rohaniah. Kitapun bukan iblis yang semata-mata api yang penuh kenafsuan. Begitu pula kita pun bukan semata-mata binatang

Sebab kita dapat menimbang mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang manfaat dan mana yang berbahaya" ....HAMKA ( dari buku Iman & Amal Soleh )

2/17/08

Pesta Buku UKM 2008



Khamis 14 Februari baru-baru ini berakhir Pesta Buku yang diadakan di UKM selama 5 hari bermula 9 Feb. Beberapa buah buku memikat hati Tukang Catat blog ini untuk dimiliki sebagai bahan bacaan dan koleksi.
Antaranya

  • Gulat di Jakarta .. Bung Pram
  • Perburuan .. Bung Pram
  • Subuh .. Bung Pram
  • Merintis Jalan ke Antartika .. Mashor Mansor
  • Jejak-jejak di Pantai Zaman .. Prof Diraja Ungku Aziz
  • A Young Muslim's Guide to The Modern World .. Seyyed Hossein Nasr
Cuit sikit..
..seperti tahun-tahun yang sudah sejak 1998, Pesta Buku tidaklah semeriah Pesta ICT, Battle of The Band, Pesta Konvokesyen dan segala macam pesta-pesta yang lain..mungkin kerana kurangnya minat siswa siswi membaca, Kempen Membaca di Universiti di adakan pada tahun lepas...Aneh bukan!!

2/11/08

Biografi Pak Sako



Tukang Catat memiliki 2 buah biografi Pak Sako atau nama sebenarnya Ishak Hj. Muhammad. Pertama ialah karangan WAHBA berjudul Hidup Meniti Ranjau, Biografi Pak Sako dan kedua Memoir Pak Sako, Putera Gunung Tahan terbitan UKM...

Antara petikan yang terdapat di kulit belakang buku pertama tentang Pak Sako ialah

“Sejak di bangku sekolah, dia dianggap budak berotak geliga. Rajin membaca dan pintar. Dia adalah anak Pahang yang pertama lulus peperiksaan Senior Cambridge dan pernah menjadi majistret kelas tiga di Kuala Lumpur.

Sekiranya dia mahu hidup senang dan mewah dengan kelulusan dan kepintarannya sebagai seorang pegawai kerajaan, dia mampu memperolehinya tetapi yang anehnya dia memilih hidup untuk meniti ranjau. Mengapa? Pengalaman suka dukanya dan pahit getir yang pernah dialaminya sejak muda dulu teradun dalam buku ini.

Di sini juga diturunkan kritikan beliau lewat sajak yang berbunyi


Bapak rugged, anak groovy,
Sedang membiak di sana sini,
Di pantai memakai bikini,
Di kubur memakai mini.
Orang-orang kampung menghadap Kiblat,
Mereka membawa komik-komik Barat,
Bermain karate, ganti bersilat,
Makan anggur, menggantikan langsat,
Gasing dibuang, dimajukan bowling,
Berasmara mereka kata necking,
Bercumbu-cumbu mereka kata pecking,
Buang Mak Inang, menggantikan dansing,
Tetapi, bila bergula dalam kencing,
Barulah teringat nak makan jering,
Terkenang kepada petai dan kerdas,
Barulah nak belajar mandi hadas.
Melayu bukan, Malaysian pun bukan,
Cina bukan, Indian pun bukan,
Inikah akar-akar yang mangaku rotan?
Atau kaca-kaca yang mengaku intan?

– Pak Sako (Dr. Ishak Haji Muhammad)

Membaca kedua-dua biografi ini menemukan kita tentang makna nasionalis bangsa, penulis, wartawan, orang melayu dan bijak pandai yang begitu merendah diri dalam segenap aspek kehidupan. Ada banyak sifat beliau yang boleh dicontohi kalaupun bukan semua !

2/10/08

Peranan iklan

Hampir setiap kali sambutan hari perayaan ada-ada sahaja iklan menarik. Kali ini sempena Tahun Baru Cina 2008, Pengarah tersohor Yasmin Ahmad sekali lagi diberi kepercayaan oleh Petronas untuk mengarahkan sebuah iklan pendek dengan durasi lebih kurang 3 minit yang mengisahkan seorang kanak-kanak berbangsa cina yang tidak pernah menyambut Tahun Baru bersama keluarga disebabkan yatim piatu.

Ahh..Ia sebuah iklan yang menyentuh perasaan!

2/3/08

Isi khutbah Jumaat Masjid UKM 1 Februari

Khutbah jumaat bau-baru ini disampaikan oleh pegawai agama di Pusat Islam UKM Ust Khuzairi yang juga kenalan penulis. Beliau terkenal dengan gaya berceramah dan membaca khutbah yang penuh semangat dan jelas setiap intipati khutbah yang disampaikan. Dalam khutbah tersebut, beliau memulakannya dengan sebuah hadis sahih muslim berkenaan pertanyaan malaikat Jibril kepada Rasulullah SAW tentang Iman, Islam dan Ihsan. Tiga perkara pokok ini merupakan tunjang akidah dan syariah islam yang kita junjung sejak kedatangan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah. Ringkasnya huraian mengenai iman ialah akidah yang menjadi keyakinan dan pegangan umat islam iaitu rukun iman yang tercatat enam perkara manakala islam merupakan syariat yang terkandung dalam rukun islam yang 5. Ihsan pula merujuk kepada keikhlasan dalam menyembah diri kepada Allah Yang Maha Esa seolah-olah kita nampak akan kewujudan Tuhan. Sekiranya tidak terlihat oleh kita akan kewujudanNya, yakinlah bahawa Allah sentiasa memerhatikan gerak laku setiap hambaNya.

Jelas sudah bahawa 3 perkara pokok tersebut merupakan tunjang kekuatan umat islam.

Namun begitu, khatib secara bijak dan cermat mengajak sidang pendengar khutbah supaya merenung situasi semasa umat islam berbanding ajaran yang terkandung di dalam islam yang di bawa oleh Nabi Muhammad lebih 1500 tahun dahulu. Khatib mengingatkan bahawa realiti semasa umat islam sekarang semakin jauh dan meruntuh dengan cepat baik dari segi akidah, syariah dan akhlak. Majoriti kehidupan umat isalm sekarang semakin tersasar dari ajaran islam dan seruan Al-Quran. Beliau juga memberikan contoh-contoh terkini kebejatan moral dan kelakuan orang islam yang saban hari dilihat semakin terkebelakang berbanding umat lain.

p/s. Khutbah sebegini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak daripada kalangan pemimpin sehinggalah golongan yang terbiar dalam hierarki masyarakat.