www.majalahsains.com

2/21/07

Beberapa kata-kata hikmah tentang ’persahabatan’ ( Dari Almarhum Buya HAMKA ) yang dipetik dari buku ’Falsafah Hidup”


1. Persahabatan adalah satu-satunya pintu kemerdekaan kita. Banyak perkara yang tak dapat kita nyatakan kepada isteri kita sendiri sekalipun, tetapi dapat dinyatakan kepada sahabat. Sebab itu persahabatan yang jujur itu adalah salah satu dari tangga kejayaan

2. Supaya engkau beroleh sahabat, hendaklah engkau sendiri cekap buat menjadi sahabat orang

3. Sahabatmu suka kepadamu, tetapi tidaklah tiap-tiap orang yang suka kepadamu itu sahabatmu

4. Kesenangan hidpmu memperbanyakkan teman, tetapi pateri persahabatan yang setia adalah diwaktu menempuh kesukaran

5. Yang semulia-mulia kewajipan bersahabat ialah supaya engkau ketahui kehendak dan kemahuan sahabatmu sebelum dikatakannya. Dan engkau perkenankan permintaannya sebelum dimintanya.

6. Kalau jadi sahabat orang ramai, tidak boleh jadi sahabat orang seorang

7. Kalau sahabatmu tertawa, hendaklah dikatakannya apa sebab dia senang; kalau sahabatmu menangis, engkau mesti periksa apa sebab dia susah

8. Jika engkau memeberikan sesuatu kepada sahabatmu, bererti memeberikan kepada dirimu sendiri

9. Pengubat jerih hidup manusia adalah dua, pertama; Iman kepada Allah, kedua; percaya kepada sahabat

10. Bila orang telah merasa dirinya besar, dia lupa akan salahnya. Hanya sahabat yang setia yang sanggup membukakan matanya.

11. Teman yang ’ berudang di balik batu’ terhadap engkau adalah seumpama anjing di tepi jalan, yang ditujunya hanyalah tulang yang akan dilemparkan kepadanya, bukan tangan yang melemparkan tulang itu

12. Cemburu perempuan kepada perempuan, memutuskan tali persahabatan

13. Bila seorang perempuan telah sudi menghulurkan tangan persahabatan kepadamu, alamat bahawa umurmu telah lepas dari zaman bercinta.

Tahun Baru Cina @ Tahun Khinzir


Gong Xi Fat Choy kepada seluruh penganut agama Budhha yang merayakan sambutan Tahun Baru Cina minggu lepas. Di Kuala Pilah, penulis perhatikan kebanyakan kaum cina di sana tidak terlalu meraikan hari besar mereka. Pagi hari isnin 19/2/2007 pun mereka masih di pasar, kedai-kedai, gerai dan merata-rata tempat. Ada yang bertanya..kenapa masih berniaga?..belum cuti raya?..apa jawapan mereka!!..mahu cari duit lebih..hutang banyak..duit keluar lagi banyak dari yang masuk..kena cover duit yang bamyak keluar, ..petang-petang sikit baru jalan-jalan rumah saudara mara...ermm!! begitu lah sikap kaum cina terhadap duit dan harta benda berdasarkan pemerhatian rambang tukang catat ini semasa pulang ke kampung di Kuala Pilah sempena cuti panjang Tahun Baru Cina..sebuah daerah yang mempunyai 60% Melayu dan 40% kaum cina....

Ok, my next book is ’Rahsia Bisnes Orang Cina” oleh Ann Wann Seng... ;-)

2/15/07

Mutiara kata

”Tukang sapu seharusnya menyapu seperti Michaelangelo melukis, Beethoven mengubah lagu atau pun Shakespeare menulis sajak”..

Dr. Martin Luther King JR, Pemenang Hadiah Nobel Keamanan, 1964

2/12/07

Bahang!!


Sabtu hari minggu yang lalu, tukang catat blog ini ke Port Dickson dan Seremban2 atas satu urusan. Perjalanan dari Bangi ke sana dan pulang ke rumah seusai urusan tersebut, sangat terasa bahang kepanasan pancaran matahari yang tegak di kepala. Langit kelihatan cerah, biru, bersih dan amat sedikit sekali tompokan awan-awan yang sentiasa membawa mendung dan hujan. Matahari terus memberikan khidmatnya yang terbaik. Panas membahang!!

Baru-baru ini di selatan tanah air, hujan mencurah turun menenggelamkan hampir keseluruhan Johor Baharu. Bumi basah dan air melimpah ruah memaksa penghuni berpindah ke tempat yang lebih selamat. Ribuan penduduk JB yang menderita kepayahan menghadapi bencana banjir.
Di Jakarta, sebuah kota dengan populasi penduduk yang padat, hujan juga mengakibatkan 75% daripada kota itu tenggelam. Tidak kurang dari 50 orang meninggal dunia akibat mangsa banjir. Di sebahagian Eropah dan Amerika Syarikat, lain pula yang berlaku. Salji yang tebal disertai ribut salji membuatkan sebahagian warga mereka tidak dapat meneruskan aktiviti seharian. Tidak kurang juga yang menemui ajal akibat kesejukan dan kemalangan.

Memerhatikan fenomena alam yang berlaku saban tahun dan semakin meningkat akhir-akhir ini, mengingatkan penulis tentang salah satu daripada 8 perkara yang disebut oleh Prof HAMKA dalam kuliah subuhnya di Masjid agung Al-Azhar. Kuliah ini boleh didapati dalam talian internet dengan beberapa ketikan tetikus komputer di enjin carian Google. Dalam kuliah subuh tersebut HAMKA membacakan suatu doa yang diajarkan oleh Rasulullah kepada seorang pemuda yang memandang hidup ini dengan mata dukacita dan kepayahan. Doa tersebut berbunyi:

Ya Allah ya Tuhanku, lindungilah diriku dari kesusahan dan dukacita, Engkau lindungilah aku dari sifat lemah dan malas, peliharalah diriku dari sifat bakhil dan pengecut dan Engkau peliharalah diriku dari hutang-piutang dan kekuasaan orang lain ke atas diriku.

Dari doa di atas, salah satu yang diminta supaya Tuhan jauhi dari pemuda tadi ialah kesusahan. Apakah sebenarnya yang kita mahu di dalam hidup ini selain kesenangan, kemudahan, keselesaan dan kebaikan serta kebajikan yang lain. Dengan kata lain kebahagiaanlah yang menjadi kemuncak segala tujuan dan kemuliaan dalam hidup sebelum menempuh hidup yang sebenar di alam akhirat. Tetapi apakah kebahagiaan itu dapat dicapai dengan tidak melalui kesusahan terlebih dahulu.

Kita maklum bahawa hakikat kehidupan di dunia ini tidaklah semuanya senang. Seperti kata HAMKA ”di dalam kehidupan tidak ada jalan yang lurus yang ditaburi bunga-bungaan mewangi di sepanjang jalan”. Tidak ada! Sebaliknya hidup dipenuhi gelombang , mendaki, menurun cerun yang dalam, hujan ribut dan sebagainya. Tetapi tidak ada gelombang yang kekal menggulung, kadang-kadang ia tenang, tidak ada keadaan mendaki dan menurun kalau tidak disertai dengan kawasan yang landai, tidak ada kusut yang tidak dapat diselesaikan. Banjir, sampai masanya akan surut, panas akhirnya akan sejuk begitulah seterusnya kitaran alam ciptaan Tuhan. Begitu jugalah dengan makhluk bernama manusia.
Pokoknya kita kena meyakini bahawa asal sahaja yang bernama kehidupan bagi manusia mestilah menemui kepayahan sebelum mencapai tingkat kebahagiaan. Berbagai bentuk kepayahan yang sering dihadapi oleh mahkluk seperti musibah Tsunami, kemiskinan yang membantutkan cita-cita murni, banjir, panas dan sebagainya.
Sebagai seorang muslim, jika direnungi siapakah yang paling banyak mendapat dugaan dalam kehidupan sebelum mencapai tingkat kemuliaan dan kebahagiaan di sisi Allah Yang Agung. Tidak lain tidak bukan adalah Nabi Muhammad SAW itu sendiri. Jadi kalau diperhatikan, apa kah kita sebagai umat yang mengaku sebagai pengikut Rasulullah sejati akan mengeluh dan bermuram durja sekiranya ditimpa kesusahan sedangkan dugaan ke atas nabi Muhammad SAW sahaja pun kita boleh membuatkan air mata menitik mengenangkannya.
Oleh itu, panas yang dihadapi sekarang bukanlah satu alasan untuk kita bermalas-malas di rumah dan tempat-tempat yang dingin. Ayuh kita kerjakan apa yang patut. Bukan kah hidup ini untuk berjuang kerna kita telah ditakdirkan menjadi pejuang..

Ya Allah Ya Tuhanku, berilah kekuatan kepada hambaMu ini yang sentiasa lemah menghadapi ujian.

2/6/07

Sisi lain seorang ’blogger’









Sakit mata baca ‘blog’ A.Kadir Jasin secara online, teruja beli buku ini di MPH Seremban2..

Kreatif, informatif & Menarik!!