www.majalahsains.com
Showing posts with label Hebahan. Show all posts
Showing posts with label Hebahan. Show all posts

9/5/13

Dua kegembiraan bulan September


Bulan September adalah antara bulan-bulan yang sangat menarik ketika saya berada di Montreal Kanada suatu ketika dahulu. Bulan ini menandakan musim panas bakal berakhir digantikan dengan musim luruh. Kami sebagai 'pelancong' di kotaraya itu, musim panas tidaklah begitu mengujakan seperti yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat tempatan. Kami lebih teruja untuk menikmati musim bunga dan musim luruh. Musim sejuk dan panas begitu perit.

September adalah musim ladang-ladang epal mula meranum dan bersedia untuk dipetik buahnya. Pertengahan September juga penanam labu bergembira untuk menuai hasil di bulan Oktober, diikuti dengan tradisi haloween mereka. Gambar-gambar banyak saya rakam dan diabadikan di facebook. (Sekarang ia diprivasikan bagi mengelakkan perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir penagih facebook yang mencuri gambar tanpa kebenaran.)

Di Malaysia saya menikmati kegembiraan bulan september kerana dua rencana sudah dan akan tersiar. Yang sudah tersiar berjudul "Penuaian Tenaga Manfaatkan Tenaga Terbuang" di Dewan Kosmik. Satu lagi ialah rencana mengenai pengalaman menjejak lorong-lorong dan jalan sekitar Montreal dan berkongsi mengenai kisah Mafia Montreal. Judulnya "Legasi Mafia Montreal" yang akan terbit tidak lama lagi di majalah indie POSTO #2 (terbitan kedua). Ini sangat mengujakan.
Dalam terbitan pertama POSTO#1, saya menulis tentang 'Demonstrasi Pelajar yang meruntuhkan Kerajaan Liberal Quebec".

Saya masih dalam proses mengumpul tulisan-tulisan eceran tentang pengalaman selama berada di Montreal. Mood menulis kadang-kadang tumpul dan tidak begitu menjadi. Justeru, 2 tulisan September ini mengembalikan semangat untuk saya mencatat sesuatu.

Terima kasih September.


1/30/11

Krisis di Mesir, Malaysia perlu cepat bertindak



Baca berita dari Mesir, kita simpati terhadap penuntut Malaysia di sana. Sama-sama kita berdoa semoga mereka selamat. Ikuti perkembangan warga Malaysia di Mesir melalui laman blog


Kita juga menyeru agar kerajaan segera bertindak untuk menyelamatkan warga Malaysia yang khabarnya berjumlah 8000 lebih di sana. Contohilah negara maju yang lain.

8/20/09

Tentang MajalahSains.Com

Terasa ingin menguar-uarkan projek terbaru. Sekarang saya dan seorang sahabat telah mewujudkan satu laman khas yang dikenali sebagai MajalahSains.Com dan bertindak sebagai editor manakala sahabat saya bertanggungjawab menguruskan hal ehwal teknikal. Secara rasmi, ia telah dilancarkan pada hari Selasa bersamaan 16 Jun 2009.

Laman ini diwujudkan untuk memuatkan rencana-rencana sains dan teknologi atas kesedaran bahawa masih terlalu banyak lompang yang perlu diisi untuk memupuk budaya saintifik dan budaya membaca di kalangan kita. Rencana-rencana tersebut merupakan koleksi yang ditulis oleh saya sendiri dan juga sumbangan penulis-penulis sains lain yang ikhlas dalam memperjuangkan sains untuk masyarakat Malaysia mengikut kemampuan diri masing-masing. Sehingga kini sudah ada 34 artikel yang dimuatkan di MajalahSains.Com dan bertambah dari semasa ke semasa insyaallah.

Berikut adalah beberapa komentar terpilih tentang kewujudan MajalahSains.Com

Assalamualaikum,
Saya berbangga dengan usaha keilmuan untuk masyarakat seperti yang sdr usahakan. Semoga berjaya dan diberikan ganjaran serta rahmat-Nya. Teruskan kerja yang mulus ini

Dato’ BahaZain



Tahniah. Saya pun suka membaca MajalahSains.com. Buatlah yang baru untuk bahasa dan bangsamu.
Lebih-lebih lagi apabila seluruh bangsamu sudah mula lupa.

Prof Emeritus Abdullah Hassan



I am very busy but taking time to write to you as i applaud what you are doing.
I like what you are doing as this is what i have been pushing for.
We need to engage more of academics , Professors in what i call Communication of science to The Public. Personally i think, very few are interested in this

Prof. Datin Farida Shah (Molecular Biology, UTAR )


4/4/09

WACANA ILMU


WACANA ILMU


Tajuk : Upaya Bahasa Melayu Sebagai Wahana Ilmu Perubatan

Penceramah : Pengarah Pusat Perubatan UKM, Profesor Dato' Dr Lokman Saim

Tarikh : 10 April 2009
Masa : 9.00 pagi
Tempat : Dewan Seminar, Aras 2, Dewan Bahasa & Pustaka
Kuala Lumpur


Anjuran :
Persatuan Linguistik Malaysia
(PLM)
dengan kerjasama DBP


Maklumat lanjut sila hubungi Pn Zaiton Ismail (zaiton3@dbp.gov.my)/03-21482797
atau
Dr Zaitul Azma Zainon Hamzah (azmahamzah@yahoo.com)
sebelum 6 April 2009

2/27/09

Lagi tentang menentang PPSMI

Temubual Dato' Dr. Anwar Ridhwan dengan akhbar Siasah Edisi 22-28 Februari 2009

Mereka yang Mengkritik Dasar PPSMI Bukan anti Bahasa Inggeris

(Di salin dari blog Faisal Tehrani)


ISU Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) di dalam bahasa Inggeris akan terus dibantah selagi Kementerian Pelajaran tidak mengembalikan semula ke bahasa Melayu.Bantahan terbesar bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 7 Mac oleh beberapa NGO yang mewakili masyarakat dan pejuang bahasa Melayu.Ia ditegaskan oleh Datuk Dr Anwar Ridhwan,Pengerusi Jemaah Pesara, Dewan Bahasa dan Pustaka di dalam temubual dengan wakil Siasah Zain A Ghani di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 16 Februari baru-baru ini.Temubual itu dapat mendedahkan lagi kelemahan hujah mereka yang mempertahankan PPSMI di dalam bahasa Inggeris:

Bagaimana perkembangan mutakhir isu PPSMI ini, kenapa pihak berwajib masih di dalam kekelam-kabutan dan lambat membuat keputusan; sedangkan ia suatu yang amat penting?

Sangat menghairankan bagaimanakah suatu dasar seperti PPSMI ini yang akan melibatkan nasib masa depan ratusan ribu atau jutaan pelajar dan bagaimana sebuah kementerian boleh melaksanakan suatu dasar yang bertentangan dengan Perkara 152(1) dan 152 (6) Perlembagaan Persekutuan.

Ia juga melanggar dan bertentangan dengan seksyen 17(1) Akta 550,-Akta Pendidikan 1996. Rakyat tentu musykil bagaimana Kementerian Pelajaran telah memperkosa Akta Pendidikannya sendiri, dan memperkosa Perlembagaan Persekutuan, untuk suatu dasar penuh kontroversial.

Mungkin pada masa itu Perdana Menteri yang ada sangat berkuasa dan tidak ada orang Melayu di kalangan pemerintah yang berani membantah?

Ya, mungkin itu suatu perkara, tetapi pada masa yang sama banyak orang menyoal; kenapa diletakkan pengajaran itu kepada Sains dan Matematik.Jika mahu memahirkan anak-anak pelajar kita di dalam bahasa Inggeris, kenapa tidak baiki sahaja pedagogi pengajaran bahasa itu? Anak-anak kita didedahkan dengan bahasa Inggeris selama sebelas tahun di sekolah; iaitu mulai Tahun Satu sehinggalah ke Tingkatan Lima.Itu bermakna ada sesuatu yang tidak kena.

Padahal jika pergi keluar negara untuk belajar bahasa itu, tiga atau enam bulan sudah memadai. Jadi kenapa harus menumpang (memparasitkan) bahasa Inggeris ini kepada dua subjek tadi.Ada juga orang kata kerana beberapa sebab yang lain yang di luar daripada itu.

Bercakap tentang dasar kementerian ia tentulah dasar yang dibuatnya melangkaui dari Perlis hingga Long Pasia atau ke hulu-hulu di seluruh Semenanjung.Pada masyarakat bandar atau kepada anak-anak menteri, mungkin mereka tidak bermasalah kerana penggunaan bahasa Inggeris di rumah dan pelbagai kemudahan yang dapat diakses sebagai alat membantu pembelajaran.Tetapi bagaimana dengan anak-anak miskin dan tiada kemudahan di tempat yang sebutkan tadi?

Hasil daripada dasar yang sudah berjalan lebih kurang enam tahun; saya dengar peratus keputusan peperiksaan Sains dan Matematik menurun, tetapi mereka terpaksa memanipulasi nisbah untuk menunjukkan peningkatan-sesuatu yang tidak sepatutnya terjadi.

Pada pandangan Dr, bilakah tamadun bahasa Melayu bermula di negara kita?

Mengikut tulisan Ismail Raji al-Faruqi, apabila tauhid tiba ke sesebuah negara, maka datanglah bersama tamadun Islam itu.Tetapi jika sesesebuah masyarakat itu mempunyai teknologi yang tinggi, mempunyai bandar-bandar yang besar dan hebat di samping kehidupan yang makmur, namun jika tidak bertauhid ; ia masih tidak dapat dianggap sebagai bangsa yang bertamadun.

Merujuk kepada tamadun kita ia telah bermula pada kurun ke-11 atau ke-12M lagi.Di mana penggunaan tulisan Jawi telah digunakan, dan ia telah dianggap sebagai tamadun Islam.Sejak beratus tahun umpamanya di Aceh, juga di kepulauan Riau, kitab atau buku-buku kita telah membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan falsafah, tasauf dan agama secara mendalam.Di sini jelas menunjukkan bahasa Melayu berkemampuan dan terbukti sebagai bahasa ilmu.

Jadi cara terbaik ialah belajar apa sahaja ilmu termasuk Sains dan Matematik itu harus dengan bahasa ibunda supaya akhirnya memberi kesan besar?

Pakar pendidikan yang jujur menyatakan bahawa sesuatu ilmu itu lebih mudah diajar melalui bahasa sendiri. Tetapi Kementerian Pelajaran berlagak 'bodoh-sombong' sehingga tidak mahu mengakui hakikat bahawa pelajar kita harus belajar sesuatu melalui bahasa ibunda.Tampaknya sehingga hari ini, enggan menarik balik dasar PPSMI itu.

Bilakah kedegilan kementerian berkenaan akan menampakkan kesan besar kepada pelajar-pelajar atau anak-anak kita?

Oleh kerana dasar PPMSI melibatkan semua pelajar termasuk majoriti yang berada di luar bandar dan pedalaman, dasar itu akan membuat ratusan ribu atau jutaan pelajar (dalam jangka panjang) tidak menguasai ilmu Sains dan Matematik, padahal jika mendapat penguasaan ilmu itu besar kemungkinan akan dapat mengubah nasib masa depannya.

Akibatnya, dasar pelik ini hanya akan melahirkan generasi pekerja kelas dua atau kelas tiga, apabila mereka hanya layak 'makan gaji' (dalam bahasa kasar, sebagai 'kuli'- mungkin selama-lamanya) dalam sektor perkhidmatan; bukan sebagai pekerja kelas pertama yang berilmu dan dapat memanfaatkan ilmunya.

Pada jangka panjang ia akan memberi kesan besar kerana anak-anak ini akan tercicir di dalam pelbagai aspek kerana ilmu sains dan matematiknya agak dangkal kerana dasar yang kita sebutkan tadi.

Saya pernah berbual-bual dengan buruh, petani dan nelayan yang menyatakan kesukaran mereka untuk membantu 'kerja rumah' anak-anak mereka dalam bahasa Inggeris.

"Dulu masa sains dan ilmu hisab masih dalam bahasa Melayu, dapat juga pak cik tolong sikit-sikit. Sekarang pak cik tak faham apa-apa. Anak pak cik pun tak faham apa benda." Kalau begitu, dasar ini seolah-olah meneruskan dasar pendidikan zaman penjajahan dulu, yang hanya ingin melahirkan pelajar Melayu menjadi buruh. petani dan nelayan yang lebih berpelajaran sedikit daripada bapa mereka.

Saya difahamkan cendekiawan kita yang mendapat pendidikan melalui bahasa Melayu di UKM juga cemerlang dan tiada masalah menguasai Inggeris bahkan bahasa asing lain…

Tanyalah kepada lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baik dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan, dan lebih-lebih lagi dalam bidang sains dan teknologi, adakah prestasi mereka terhalang dek bahasa Melayu?

Mereka tiada masalah mendapatkan ilmu-ilmu melalui bahasa Melayu; sementara penguasaan bahasa Inggeris turut berkembang seiring dengan pengajian mereka. Sebab itu ramai lulusan UKM boleh melanjutkan pengajian di seberang laut dan mendapat kejayaan cemerlang di sana.

Kalau sistem dan dasar tersebut berjalan dengan baik, mengapa 'gatal tangan' sangat untuk mengubahnya sesuka hati?

Mereka yang mengkritik PPSMI bukan anti bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa dunia yang lain. Jadi untuk memperkuatkan penguasaan sesuatu bahasa, perbaiki pedagogi pengajaran bahasa.

Bukan memparasit subjek sains dan matematik. Kita mahu anak-anak kita mengusai bukan sahaja bahasa Inggeris. Kalau boleh mereka boleh kuasai bahasa Arab, Mandarin, Itali, Sepanyol, Perancis dan sebagainya.

Penguasaan bahasa-bahasa asing kini semakin penting, kerana kerajaan bukan lagi majikan terbesar di negara ini. Justeru itu, pengajaran bahasa-bahasa asing mesti dilakukan dengan kaedah yang lebih sistematik dan berkesan; bukan memparasit subjek lain.

Bagaimana pandangan Dr tentang bahasa kebangsaan di negara-negara maju?

Di mana-mana negara di seluruh dunia, kerajaannya akan mengembangkan bahasa kebangsaan sendiri sebagai bahasa ilmu pengetahuan, bahasa nasional, dan bahasa antarabangsa. Aneh apabila terdapat dasar kerajaan yang dilihat menyekat bahasa kebangsaan menjadi bahasa ilmu, bahasa nasional, dan lebih jauh lagi menjadi bahasa antarabangsa.

Kecualilah negara-negara kecil seperti Singapura yang tidak mempunyai ‘akar’ sendiri dan hanya mementingkan komersil semata-mata.Tetapi negara-negara yang mempunyai ‘akar’ sendiri seperti Jepun, Korea atau Perancis, mereka mahu memantapkan bahasa kebangsaan sendiri.Itu yang tidak berlaku di negara kita sehingga dianggap ‘pelik dan ajaib.’

Temubual ini telah tersiar di Siasah edisi 22-28 Februari 2009

1/31/09

Berani dan terpuji


Keberanian Perdana Menteri Turki, Tayyip Recep Erdogan meninggalkan perbahasan dalam Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland selepas menyelar Presiden Israel, Simon Peres secara bersemuka minggu lepas sedikit sebanyak mengubat luka hati umat islam selepas Gaza dibedil teruk baru-baru ini. Agaknya, siapa lagi pemimpin negara-negara islam yang lain berani berbuat sedemikian dalam acara-acara besar dunia yang disiarkan secara langsung di TV. Situasi tersebut memberikan kemenangan moral kepada umat islam di atas keberanian dan kejujuran Tuan Tayyip Recep Erdogan. Tahniah!!

Ayuh, beranikan diri menentang kejahatan zionis dalam apa jua lapangan pekerjaan yang kita lakukan.

1/24/09

Lagi Pencerahan Dari Dr Maza

Bagi mereka yang tinggal di negara-negara beriklim 4 musim, sudah tentu pendapat Dr Asri menjadi rujukan dan semacam satu kelegaan dalam aspek menyempurnakan ibadat terutamanya solat di musim sejuk. Ya memang diakui, waktu siang di negara-negara beriklum 4 musim begitu pendek sehingga solat pun terkejar-kejar dengan masa. Bagi pelajar sudah tentu mereka terikat dengan waktu kuliah, peperiksaan dan sebagainya. Jadi Dr. MAZA dalam artikelnya yang terbaru dalam Mingguan Malaysia, menyatakan bahawa boleh dilakukan "solat jamak tanpa qasar" untuk solat zuhur-asar dan maghrib-isyak.

Itulah keluasan dan kemudahan di dalam Islam..

Untuk artikel penuh boleh merujuk di Mingguan Malaysia dalam kolum Rencana yang berjudul Tegas Berakidah, Luas dalam Fikrah

1/22/09

Syarahan Umum di UKM



Majlis Syarahan Umum FST oleh YBhg. Prof. Dato' Dr. Mohd Yusof Hj. Othman

Dimaklumkan bahawa Majlis Syarahan Umum Fakulti Sains Teknologi, UKM oleh oleh YBhg. Prof. Dato' Dr. Mohd Yusof Hj. Othman yang bertajuk Memartabatkan Sains dan Matematik melalui Acuan Bahasa akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 28 Januari 2009 (Rabu)
Masa: 2:30 petang
Tempat: Dewan Anuwar Mahmud, UKM

Keterangan lanjut sila hubungi Tel: 03-8921 5423.

1/13/09

Hobi baru

Sebenarnya hobi lama, tapi mencuba benda baru..membaca novel genre sains fiksyen atau sai-fai.

Sebelum ini saya jarang membaca novel kecuali beberapa novel tulisan karya Shahnon Ahmad, Azizi Abdullah, Dr Tuah Iskandar dan juga karya roman buya Hamka seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk, Merantau Ke Deli dan Di Bawah Lindungan Kaabah . Oh ya, pernah juga membaca kisah Benawi oleh Aripin Said, Senjakala (Baharuddin Kahar), Lasykar Pelangi (Andrea Hinata), Tunggu Teduh Dulu (Faisal Tehrani) dan beberapa buah lagi.

Seingat saya, novel fiksyen yang dibaca dan dihadam dengan baik ialah karya pengarang terkenal tanahair saudara Faisal Tehrani berjudul 1515[Kombat]. Kisah futurustik kegemilangan tentera islam menentang musuh.

Sesekali elok juga mencuba sains fiksyen bak kata motivator terkenal Dr Tuah " membaca novel boleh mendidik minda menjadi kreatif".

Jadi sekarang saya mula mengorak langkah membaca genre fiksyen. Sebelum ini pening kepala dengan plot berbelit-belit Neal Stephenson dengan Cryptonomicon dan Snow Crash'nya saya beralih arah ke Richard A. Clarke dengan judul 'Breakpoint'. Nampaknya ia agak serasi dengan jiwa saya. Sudah hampir separuh novel 'tangan kedua' ini diulit..Mengkagumkan!

Lain-lain yangbelum terusik ialah The Best of Isaac Asimov, Einstein Brain (Mark Olshaker), 2061 (Arthur C.Clarke) dan The Machineries of Joy (Ray Bradbury).

Rindu dengan fiksyen melayu, saya menempah beberapa buah buku dari seorang rakan maya baru, pemilik kedai buku online 'OREN-JI' yang juga penulis sai-fai saudari Suri Mawarne. dengan novelnya Virus L.

Semoga rindu buku terubat..hehe!



Selingan! ehehe! auww

12/17/08

Letaklah sesuatu di tempat yang betul


Presiden US yang baru, Barrack Obama melantik Steven Chu sebagai Energy Secretary' nya yang baru. Steven Chu merupakan pemenang Anugerah Nobel Fizik pada tahun 1997 dan menjawat jawatan sebagai pengarah di Lawrence Berkeley National Laboratory.

Steven Chu merupakan seorang yang aktif memperjuangkan kaedah saintifik bagi mengatasi dua masalah utama yang dihadapi dunia sains iaitu Pemanasan Global dan Penggunaan Tenaga Keterbaharuan (renewable energy).

Di negara-negara maju, kesedaran tentang dua masalah ini giat disebarkan baik dari kumpulan penyelidikan saintifik mahupun orang awam melalui rencana-rencana di akhbar ataupun majalah. Baru-baru ini penulis menerima 2 risalah berjudul AWAKE dari pertubuhan Kristian di sini yang menulis tentang 'Global Warming'. Pengedar-pengedar risalah tersebut terdiri dari golongan 'tua' yang menjadi ahli pertubuhan tersebut!

Berbalik kepada perlantikan Steven Chu sebagai Setiausaha Tenaga Amerika yang baru, ia suatu petanda bahawa kaedah saintifik sangat diperlukan dalam menangani masalah-masalah yang berkaitan dengan sains dan teknologi atau dengan kata lain meletakkan sesuatu biarlah kena pada tempatnya.

Masyarakat saintifik melihat perlantikan ini sebagai satu penghormatan besar kepada golongan saintis dalam pentadbiran tertinggi sesebuah kerajaan. Kita lihat apa yang akan dilakukan oleh Profesor Steven Chu pada penggal akan datang.

Sesuatu yang boleh dipelajari dari perlantikan ini.

1/10/08

Wacana Fizik dan Metafizik

Ini entry hebahan, entry terbaru sila klik di bawah
Walaupun Kerajaan Negeri Selangor tidak membenarkan aktiviti islam hadhari di adakan, tetapi atas dasar ilmu dan budaya keilmuan wacana ini tetap diadakan merentasi batas politik dan kepuakan.


Tajuk
Fizik dan Metafizik: Jambatan Penting untuk dihuraikan oleh Sufisme dan Mekanik Kuantum

Penceramah
Prof. Dr. Shahidan Radiman

Tarikh & Tempat
14 Julai 2008 ( tarikh terkini setelah 3 kali dipinda)
Khamis, 2.30 Petang, Bilik Mesyuarat Bangunan Sains Nuklear, UKM


Jom ramaikan majlis ilmu