www.majalahsains.com

5/31/09

Cerita Musim Bunga di Montreal

Bertempat di Parc Jean Drapeu, kira-kira 20 minit dari Metro Verdun minggu lepas kami mengadakan sekali lagi aktiviti 'gathering' kecil-kecilan bersama sahabat-sahabat dari Malaysia dan rakan-rakan lain di sini. Aktiviti yang menyeronokkan, menghirup udara bersih di taman yang kehijauan dengan rumput-rumput serta daun-daun pokok yang sedang galak tumbuh melata :-).




Lagi gambar di laman facebook dan flickr

5/30/09

2 memorandum

Kassim Ahmad menulis 2 memorandum penting untuk direnungi oleh kerajaan demi mengembalikan kekuatan dan kemegahan kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional. Walaupun Kassim Ahmad merupakan seorang penulis dan pemikir kontroversi (menurut sesetengah golongan), pandangan beliau wajar dikaji dan diberi perhatian. Di sini saya turunkan semula memorandum yang dipetik dari blog beliau selepas dizinkan oleh beliau sendiri untuk berbuat demikian. Semoga bermanfaat!


Memorandum Pertama: untuk Menteri Pendidikan


Yang Berhormat,
Tan Sri Muhyiddin Yassin,
Menteri Pendidikan Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia,
62250 Putrajaya, Selangor,
Malaysia.

Tuan,

Memorandum untuk Pembaikan Sistem Pendidikan Nasional

1. Pelajaran Bahasa Kebangsaan, Bahasa Ibunda dan Bahasa-bahasa Lain

Tiga tahun pertama di sekolah perlu ditumpukan kepada pengajaran Bahasa Kebangsaan, dan Bahasa Ibunda (bagi murid-murid bukan-Melayu). Bahasa Inggeris sebagai bahasa asing yang terpenting diajar pada tahun ketiga. Amalan sekarang mengajar Bahasa Inggersi dari tahun pertama telah menenggelamkan Bahasa Kebangsaan/Bahasa Melayu. Ini salah dan harus diperbetulkan segera.

2. Pelajaran Bahasa-bahasa selain Inggeris

Bahasa-bahasa asing, selain Inggeris, (Arab, Tamil, Mandarin, Perancis, Jerman, Rusia dan lain-lain) boleh diajar dari Tingkatan III selama 2 tahun. Tujuan pelajaran bahasa-bahasa ini untuk mendidik mereka yang ingin melanjutkan perlajaran yang memerlukan bahasa-bahasa ini, atau yang ingin memasuki Perkhidmatan Diplomastik. (Bahasa-bahasa Mandarin dan Tamil diajar untuk menggalakkan perpaduan kaum di Malaysia.)

3. Selesaikan Sukatan Pelajaran dalam Masa 5 Hari Sekolah

Sukatan pelajaran hendaklah diselesaikan dalam masa 5 hari persekolahan tiap-tiap minggu. Amalan sekarang mengadakan kelas-kelas tambahan pada hari Sabtu dan kadang-kadang Ahad mengganggu hari-hari rehat murid-murid dan juga progrem ibu-bapa yang ingin membawa anak-naka mereka pergi berjalan-jalan sambil belajar, seperi melawat museum, zoo dan sebagainya. Guru-guru juga tidak harus membebankan murid-murid dengan terlalu banyak kerja rumah. Murid-murid tidak harus disuruh membawa semua buku tiap-tiap hari ke sekolah, seperti amalan sekarang, dan dengan itu membebankan murid-murid dengan masalah “beg berat”.

4. Matlamat Pelajaran Mestilah Jelas

Membaca, mengira dan menulis – ini matlamat asas. Bangsa kita ingin menghasilkan murid-murid dalam ilmu-ilmu asas supaya mereka dapat memperoleh pekerjaan untuk menyara kehidupan keluarga mereka, dan menghasilkan rakyat yang berfikiran kreatif, kritikal, dinamik dan beramanah supaya mereka boleh menjadi rakyat yang bertanggungjawab dan berguna. Sistem sekarang yang terlalu mementingkan peperiksaan dan pencapaian akademik harus diubah.

5. Hapuskan Campur-tangan Politik

Sistem pendidikan kita mestilah dilaksanakan secara professional, tanpa campur-tang politik yang menghalang pelaksaan professional ini. Apa saja yang perlu dilakukan bagi mendidik guru-guru, menggalakkan guru-guru bekerja dengan penuh dedikasi, memelihara disiplin murid-murid, dan mendapatkan cadangan-cadangan pembaikan dari persatuan-persataun guru-guru dan persatuan-persaatuan ibu-bapa dan guru-guru (PIBG) perlu dilakukan.

6. Kesimpulan

Sistem pendidkan nasional suatu alat dan kaedah yang penting bagi melahirkan sebuah bangsa Malaysia yang beratu-padu, maju, kreatif, kritikal, dinamik, produktif dan bertanggungjawab. Dalam memorandum ini kami kemukakan cadangan-cadangan untuk pertimbangan Tuan. Moga-moga cadangan-cadangan ini ada manfaatnya.




Memorandum Kedua: Pemulihan UMNO

Yang Amat Berhormat,
Datuk Seri Najib Tun Razak,
Presiden UMNO, merangkap
Perdana Menteri Malaysia,
Jabatan Perdana Menteri,
62250 Putrajaya, Selangor,
Malaysia.

1. Kursus Politik yang Saintifik

Seperti yang Tuan katakan, UMNO mesti berubah. Walaupun keanggotaan UMNO sekarang 3.2 juta, yang penting ialah mutu anggota-anggota itu, bukan bilangannya. Anggota-anggota dan kader-kader parti mesti melalui kursus politik yang saintifk Kursus-kursus politik ini perlu menghuraikan (a) Nasionalisme Melayu, (b) Nasionalisme Malaysia, (c) Demokrasi, atau pemerintahah berdasarkan perundingan, (d) konsep pemerintahanh yang adil, dan (d) konsep masyarakat antarabangsa, atau kemanusiaan universal.

Melalui kursus-kursus ini, anggota-anggota parti boleh menjadi pengawas kepada parti dan Kerajaan serta menghalang kedua-duanya dari penyelewengan. Inilah konsep parti menguasai Kerajaan. Parti terdiri dari orang-orang perjuangan dari kalangan rakyat pelbagai kaum. Mereka berjuang secara sukarela. Kerajaan ialah institusi utama yang digajikan oleh rakyat untuk melaksanakan misi dan tugas bangsa yang ditetapkan oleh parti secara demokratik

2. Perubahan Organisasi

Seperti yang telah kita katakan di atas, parti merupakan orang-orang perjuangan sukarela dari kalangan rakyat pelbagai kaum. Kerajaan ialah institusi utama yang digajikan oleh rakyat untuk melaksanakan misi dan tugas bangsa yang ditetapkan oleh parti secara demokratik

UMNO mesti mengamalkan demokrasi. Semua anggota yang layak (dari segi kebolehan dan akhlak) boleh dicalonkan untuk menandingi apa jawatan juga, termasuk jawatan Presiden. Seorang pencadang dan seorang penyokong sudah mencukupi.

Parti tidak perlu dan tidak boleh berpecah kerana pertandingan yang sihat. Perpaduan parti tegak di atas falsafah perjuangannya, bukan di atas kebolehan pemimpin. Pertandingan perlu untuk memilih pimpinan yang terbaik

Perhimpunan Agung ialah institusi parti yang tertinggi yang membuat dasar. Majlis Tertinggi menjalankan peranan ini semasa Perhimpunan Agung tidak bersidang. Semua institusi parti di semua peringkat mesti mengamalkan demokrasi, yakni perundingan.

3. Perubahan dasar

Dasar Kerajaan dibuat oleh parti secara demokratik. Dasar ini, secara keseluruhan, merangkumi semua bidang kehidupan bangsa (ekonomi, kewangan, politik, kemasyarakatan, intelektual, moral dan spiritual). Dasar ini mesti bertujuan untuk mengadakan suatu kehidupan yang aman, maju, progresip dan bahagia untuk semua rakyat, tidak kira kaum, jantina dan agama.

Dasar ini mesti memastikan tiada pembaziran, rasuah dan apa juga bentuk penyelewengan. Semua rakyat, termasuk yang kurang upaya, mesti diberi hak dan peluang (dari segi pendidikan dan gaji atau upah) untuk menikmati suatu kehidupan yang selesa. Upah dan gaji mesti disusun sedemikian rupa supaya tiada rakyat (individu atau kumpulan) yang berada di bawah garis kemiskinan. Seperti yang diketahui, kemiskinan boleh membawa kepada banyak kejahatan, seperti jenayah dan rasuah. Hapuskan jenayah dan rasuah melalui sistem ganjaran yang adil dan rasional.

Dasar dan sistem pendidikan nasional penting untuk melahirkan sebuah masyarakat negara-bangsa yang dinamik, kreatif, kritikal, produktif, bersatu dan bertanggungjawab. Segala usaha mesti dilakukan untuk mewujudkan sistem pendikian nasional ini.

Terdapat pembaziran yang ketara dalam Perkhidmatan Awam sekarang. Bilangan anggotanya (1.2 juta) terlalu ramai. Sebagian perlu dikeluarkan, diberi latihan dan ditempatkan di sektor-sektor yang memerlukan tenaga dan kepakaran mereka, seperti pertanian.

Ponteng, tiada amanah, ketidak-cekapan dan birokrasi merupakan empat penyakit institusi Perkhidmatan Awam kirta sekarang. Penyakit-penyakit ini perlu diobati segera.

4. Kesimpulan

Seperti yang diketahui, UMNO dan gabungan Barisan Nasional, telah menderita kekalahan yang teruk dalam Pilihanraya Umum ke-12, kerana UMNO telah menyeleweng dari perjuangan nasionalnya yang asal dan pimpinanya telah menjadi golongan elit yang terpisah daripada rakyat. Untuk memulih semula peranan mereka sebagai pejuang bangsa, UMNO perlu kembali kepada asas-asas pejungannya yang asal dan mendedikasikan dirinya semula kepada perjuangan bangsanya dalam masa sesingkat mungkin.

Kita harap cadangan-cadangan yang diberikan dalam memorandum ini berguna untuk tujuan tersebut.


Salam Takzim
Kassim Ahmad

p/s: Di salin dari blog beliau

5/28/09

Internet: Antara ketagih dan manfaat

Sejauh manakah kita memanfaatkan kemudahan teknologi internet dalam kehidupan. Internet secara fakta merupakan sebuah sungai maklumat. Sungai misalnya mempunyai pelbagai rahsia hidupan di dalamnya. Selain ikan-ikan dan mungkin batu permata yang bernilai, sungai juga dihuni oleh ular-ular berbisa dan mungkin juga pirana. Naga Loch Ness mustahil dan hanyalah cerita dongeng. :-)

Begitu juga internet. Setiap hari ada sahaja aplikasi terbaru muncul di dunia maya yang mengasyikkan. Sebut sahaja Facebook, youtube, blog dan lain-lain, semuany mendatangkan ketagih yang bukan sedikit.

Oleh itu, sama-samalah kita berfikir dan mengambil manfaat di sebalik menggunakan internet tanpa tujuan. Misalnya berlatih menulis, belajar menyaring maklumat, bisnes online (bagi yang berminat), berhubung dengan rakan-rakan sealiran dan sebagainya. Terlalu banyak kebaikan yang boleh diperolehi melalui intenet. Jadi manfaatkanlah secara bijak!

p/s: terpanggil untuk tulis tentang internet bila facebook dikotori dengan kuiz-kuiz bodoh. Yang hairan, ada mereka yang boleh dikategorikan sebagai cerdik juga terbabit sama. Setakat ini sudah tukang catat berjaya meminimumkan gangguan kuiz tersebut melalui greasemonkey.

Jenayah makin parah #3

Selain BERDOA dan BERDOA, marilah kita sama-sama MEMIKIRKAN dan BERTINDAK membanteras gejala jenayah di kalangan masyarakat supaya kes-kes seperti Sharlinie, Nurin Jazlin dan kanak-kanak lain tidak berulang. Selain itu masalah dadah, jenayah seksual, rempit, ragut, cabul, bunuh, bermusuh, buli dan macam-macam 'rangaian setan' ini tidak lagi membarah di Malaysia.

Kita percaya, masyarakat ramai yang sudah muak, menyampah, benci dan boring dengan janji-janji bohong politikus, polis dan penguatkuasa mengenai usaha membanteras jenayah. Masing-masing termasuk kita sendiri sudah terjebak dalam dunia MEMENTINGKAN PERUT SENDIRI tanpa peduli lagi masyarakat. Jangan nanti kita tidak lagi percaya pada polis dan bertindak mengikut undang-undang rimba yang ternyata surut ke belakang, sedangkan dunia sedang menuju ke hadapan.

Kepada pemerintah, dengarlah rintihan rakyat marhain yang mengundi anda. Pada masa yang sama, jangan pekakkan telinga dan butakan mata, dengan tidak mempedulikan nasihat dan pandangan ulama' dan cerdik pandai yang IKHLAS memberi teguran kepada kerajaan. Hormati, dengar dan bertindaklah sewajarnya menurut pandangan mereka supaya dapat sama-sama membawa rakyat ke arah kebaikan bukan sebaliknya.

Kita tahu, tidak ada negara utopia yang dapat diwujudkan. Masalah dan cabaran tetap datang dari luar dan dalam. Namun cabaran dalaman atau batang tubuh pemerintah jualah yang paling berat untuk dipikul. Jadi bertindaklah segera sebelum terlambat.

Kita semakin kalut dengan masalah-masalah yang datang tanpa bertindak membendung punca-punca berlakunya jenayah tersebut.

Lakukan pemulihan segera sebelum rakyat menghukum kerajaan dalam pemilihan kerajaan akan datang!

5/24/09

Jenayah makin parah #2

Jadi apakah idea-idea atau cadangan untuk kurangkan jenayah atau dengan kata yang lebih mudah, untuk mengisi kekosongan jiwa masyarakat. Mari kita senaraikan:

1. Sibukkan diri remaja dengan program-program yang tidak bersifat formal tapi mencabar. BTN, Rakan Muda dan segala macam program anjuran pihak kerajaan adalah baik, namun perlu pembaikan dan kreativiti berterusan. Belia secara semulajadi tidak berminat dengan program-program 'skema' yang tidak lansung tidak 'cool' menurut bahasa budak-budak sekarang. Jadi berkreatiflah pihak yang bertanggungjawab dalam menjalankan sesuatu program untuk anak-anak remaja.

2. Meningkatkan integriti pihak berkuasa termasuk pihak polis. Oh ya! Yang satu ini semua boleh bercakap tetapi pelaksanaannya sangat sukar. Berapa banyak saranan, kajian, hujah, tulisan dan pendapat yang dikemukakan oleh orang ramai dan pakar, namun integriti pihak polis semakin menjunam. Lihat sajalah indeks rasuah di kalangan polis. Siapa yang pernah di saman polis di lebuhraya atau jalan persekutuan yang tidak ditanya polis seperti ' Mahu bayar di sini atau di balai?..si naif akan jawab, "bayar di sini sajalah encik!..Padahal itu rasuah. Si pesalah juga tidak takut untuk menyatakan 'bayar di sini sajalah encik, senang kira!' Tengok, betapa sukar untuk kita membezakan rasuah dan kebaikan. Polis dan rasuah tidak boleh dipisahkan menurut kacamata masyarakat! (di tulisan akan datang kita bincangkan idea-idea untuk menambahbaik integriti pihak berkuasa)

3. Peranan ibu bapa. Sebagai ibubapa, kita kena insaf tentang halatuju anak dan keluarga. Balik dan tinjau semula peranan dan tujuan kita hidup di dunia ini. Kenapa Tuhan menjadikan kita di dunia. Nah, ia bukan secara kebetulan ya. Ada tanggungjawab dan urusan yang perlu kita bereskan sebelum kita mati. Ya, menjadi ibubapa bukanlah kerja yang senang. Banyak cabaran dan dugaan yang perlu kita tempuh dan hadapi mengasuh dan membesarkan anak-anak. Oleh itu, sebagai anak yang semua orang sudah melaluinya, hormatilah ibu bapa. Janganlah kecewakan ibubapa anda. Ibubapa mestilah sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa untuk berdepan dengan cabaran baru setiap hari. Sekarang zaman sukar dan mencabar dengan segala macam teknologi dan keghairahan hidup yang melalaikan.

4. Masyarakat dan kejiranan. Ini perlu dipupuk semula seperti zaman dahulu kala masyarakat Malaysia terutamanya kaum melayu beragam islam. Kalau diperhatikan, sikap bantu membantu, peduli jiran tetangga, kerukunan bermasyarakat semakin goyah dan semakin hilang. Tidak hairanlah sekiranya tetangga di sebelah penjenayah atau perompak pun kita tidak sedar akibat sikap 'enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing' (selfish)

5. Agama! Perlukah lagi diterangkan peranan kita sebagai umat islam. Namun prinsip islam adalah tegur menegur dan ingat mengingati. Oleh itu, marilah kita kembali kepada ajaran Quran yang sebenar, bukan ajaran quran yang diucapkan oleh penceramah-penceramah yang entah apa latarbelakangnya. Perangai penceramah juga satu macam. Masyarakat yang dahagakan ajaran-ajaran quran yang suci jadi keliru dengan penceramah semacam ini. Marilah kita belek semula bahagian terjemahan dan tafsiran al-quran buat menambah kefahaman tentang apa yang kita baca sejak dari kecil. Bacalah terjemahan Quran terlebih dahulu sebelum membelek buku hadis. Tumpukan sumber primer sebelum rujuk sumber sekunder, tertier dan sebagainya. Bila rasa sangsi, rujuklah orang yang lebih tahu. Dengan itu kita dapat belajar.

6.Asahlah fikiran setiap hari. Sangat kita hairan, betapa ramai manusia di dunia yang setiap hari mereka menyikat rambut, namun mereka tidak menyikat dan merapi minda mereka. Bagaimana untuk berfikir? Banyakkan membaca, memerhatikan alam sekeliling, bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan berjalanlah melihat tempat-tempat asing. Jadilah manusia kreatif. Bukankah Tuhan berpesan, di sebalik pergantian siang dan malam, ada tanda-tanda kebesaran Tuhan bagi mereka yang berfikir..

bersambung..

5/23/09

Jenayah makin parah #1

Saya baru membaca tulisan terbaru Dr Asri tentang kebimbangan beliau mengenai peningkatan kadar jenayah yang berlaku dalam negara kita yang tercinta. Beliau merenung dari jauh (UK) tentang gejala-gejala jenayah yang diperolehinya dari pelbagai sumber berita dalam negara.

Memang tidak dapat dinafikan, kadar jenayah yang dilaporkan semakin teruk dan bertambah setiap hari baik yang dilakukan oleh rakyat tempatan atau warga asing.
Kami sesama warga Malaysia di sini juga kadang-kadang dalam pada bersembang-sembang mengenai isu semasa, terselit juga isu-isu jenayah dalam negara.

Baru-baru ini, seorang rakan yang baru beberapa hari pulang bercuti di Malaysia, turut menjadi mangsa ragut seperti yang ditulis di laman Facebook beliau.

Punca dan akibat peningkatan perlakuan jenayah dari semasa ke semasa turut dibentangkan oleh pakar-pakar. Begitu juga kaedah-kaedah untuk menanganinya. Namun sejauh mana penghayatan dan keazaman kita dan pihak berkuasa untuk menghapuskan atau mengurangkan jenayah terus menjadi persoalan dan perbualan masyarakat.

Di sini saya turut ingin menyuarakan pendapat dan pandangan tentang gejala jenayah dan mungkin sedikit sebanyak kaedah pencegahan:

1. Jenayah berlaku akibat kosongnya jiwa si pelaku ( remaja dan dewasa)

2. Jiwa kosong disebabkan kurangnya didikan dalam keluarga, terlalunya banyak menonton TV, kurang bergaul dengan masyarakat, pengaruh internet yang keterlaluan, tidak gemar membaca bahan berfaedah, tidak solat, sukakan hiburan-hiburan mengarut, ORANG DEWASA yang tidak mendorong TETAPI SUKA MENYALAHKAN, terlalu banyak mendengar muzik tanpa berminat untuk jadi pencipta (lagu dan muzik), dan lain-lain ( yang boleh ditambah kemudian)

3. Akibat jiwa kosong, mulalah golongan ini ( terutamanya remaja) mencari keseronokan dengan cara tersendiri misalnya, berkawan dengan kutu-kutu jalanan, kaki motor (yang tidak berniat menjadi mekanik misalnya), perokok, kaki betina, penagih dadah

4. Dari situlah mulanya pengaruh kejahatan yang datang dalam diri akibat terdorong dan dicabar melakukan benda-benda yang karut oleh rakan-rakan sealiran.

5. Punca-punca ini adalah punca dalaman yang sentiasa menjerumuskan manusia terutamanya remaja yang selalu dikaitkan dengan salah laku jenayah

6. Punca luaran pula disebabkan oleh ketidakpedulian (apeduli) masyarakat, kerajaan dan pihak berkuasa tentang perihal kebajikan anggota

7. Cuba kita perhatikan, sekian banyak kejadian jenayah yang berlaku adalah perkara-perkara yang berulang.

8. Di situ pun kita boleh perhatikan betapa tidak seriusnya anggota masyarakat, kerajaan dan pihak berkuasa dalam membanteras gejala ini. Misalnya dadah!
Sejak sekian lama dadah menjadi musuh nombor wahid negara namun kelihatan ia tidak pernah berkurang..

bersambung..

5/21/09

Aktiviti musim bunga

Gambar Spring 2009

Sebahagian warga Malaysia di Montreal

Tebing Sungai

Pokok dan bunga

Aiskrim

Main layang-layang

Bunga ceri
Pokok ceri

Flying kite

Layang-layang

Lagi gambar di facebook dan flickr

5/13/09

Hijaukan bumi, hindari bahang


Satu masa dahulu Tukang Catat ada menulis satu entry berjudul 'bahang' yang merujuk tentang haba panas dan soal-soal kehidupan sekitarnya. Kali ini, diberitakan suhu persekitaran di tanah air Malaysia, akan kekal panas dan mencecah 35 darjah celcius sehingga bulan september nanti. Panas dan berbahang menimbulkan suasana yang tidak selesa. Bukan Malaysia sahaja yang merasai kesan ini, hampir seluruh pelosok dunia mengalami situasi yang sama tapi dalam bentuk yang berlainan. Di kutub, lapisan ais banyak yang telah cair. Ada kajian yang menyatakan keluasan ais di kutub utara semakin mengecil, dan paras air laut semakin meningkat

Punca-punca panas dan cuaca tidak menentu kini saya kira ramai yang sudah sedia maklum iaitu disebabkan oleh pemanasan global (global warming). Puncanya ialah banyak gas rumah hijau terperangkap di atmosfera bumi. Dari mana datangnya gas-gas (CO2, NiO2 dan lain-lain) yang banyak ini kalau bukan manusia lah penyebabnya.


Jadi mari kita hidupkan semula tradisi nenek moyang kita iaitu menanam pokok-pokok hijau di sekeliling rumah atau di mana-mana sahaja yang ada ruang lapang yang bertanah bertujuan untuk mewujudkan semula zon penampan (buffer zone) suhu bumi yang semakin meningkat.

Teknologi sememangnya ada penyelesaian, tapi menunggu solusi global warming melalui teknologi, memakan masa! Jadi mengapa tidak kita mulakan dengan diri kita!

Ayuh, bertanamlah!

Artikel ini tersiar di Estidotmy Jun 2008


p/s: Sebelum menjejak kaki ke benua Amerika Utara ini, Tukang Catat ada menanam 3 batang durian (biji benih dari baka durian Bukit Putus Kuala Pilah), 3 batang limau kasturi (dari Besut), 2 anak benih kelapa(Benih dari Besut) di Ampang Tinggi dan Senaling K.Pilah. Khabarnya hidup segar..Alhamdulillah

p/s/s: sedang mengusahakan satu lagi artikel seputar tentang teknologi, isu-isu global warming dan idea penyelesaiannya. Artikel terdahulu pernah dimuatkan dalam estidotmy Jun 2008

p/s/s/s; Ya, di sini cuaca agak nyaman selepas berhempas pulas dengan kesejukan melampau. Maha Suci Allah Tuhan yang menjadikan alam!

5/6/09

Kisah Solat Jumaat Bahagian-3

Sebelum dilanjutkan kisah solat jumaat di Grand Lodge Freemason di downtown Montreal, eloklah kita ambil tahu serba sedikit tentang sejarah kewujudannya yang dipetik dari laman web mereka dan juga laman ensiklopedia terbesar internet iaitu wikipedia.

Kuil Peringatan Masonic Montreal / Montreal Masonic Memorial Temple dibuka secara rasmi pada tahun 1929 dan diisytiharkan sebagai salah satu tapak bersejarah di Kanada pada tahun 2006. Ia juga merupakan salah satu contoh bangunan yang unik dan elegan di Kanada yang termasuk dalam kategori Beaux-Arts architecture.

Menurut sejarah, Kuil Mason ini dibina dan dijadikan pusat segala aktiviti ahli freemason dan juga sebagai tempat peringatan dan perlindungan semasa Perang Dunia Pertama.




Freemason menurut kaca mata islam

Menurut satu buku yang berjudul 'Gerakan Freemasonry, Musuh Dalam Menghancurkan Islam' kumpulan ini dipelopori oleh gerakan zionis dengan agenda menghancurkan Islam di seluruh dunia berselindung di sebalik kegiatan kemanusiaan, kebajikan dan keamanan di seluruh dunia sehingga musuh tidak sedar akan fahaman Yahudi yang cuba disebarluaskan.

Kegiatan dalam bidang pendidikan, politik, budaya dan sosial, turut dijadikan landasan untuk menyusup masuk ke fahaman, agama dan bangsa lain, tetapi di luar sedar mereka, hakikatnya taat setia mereka sebenarnya adalah pada gerakan terbabit.

Lima rukun gerakan Freemason ialah monotheisme bermaksud kesatuan Tuhan dan nasionalisme yang cenderung kepada fanatik bangsa seperti Yahudi serta humanisme, iaitu kemanusiaan yang digula-gulakan dengan konsep adil dan beradab, tetapi sebenarnya merujuk ajaran Talmud.

Rukun keempat ialah demokratisme atau penyatuan suara, manakala rukun terakhir ialah sosialisme, iaitu keadilan sosial tetapi ia hanya ditujukan kepada Yahudi atau Yahudi diangkat menjadi pemimpin.

Buku ini turut mendedahkan perhatian yang diberikan gerakan Freemason kepada aktiviti sosial dengan tumpuan kepada aktiviti kemanusiaan dan bantuan serta memberi penghargaan kepada individu cemerlang. Segala-galanya ini berlaku secara biasa sehingga unsur gerakan Yahudi tidak kelihatan, lalu kehadiran persatuan yang mengagung-agungkan kemanusiaan diterima ramai seperti penerimaan Pertubuhan Bahaiyah, Kelab Rotary Antarabangsa, Kelab Lions dan Pertubuhan Yoga di negara ini.

Buku ini mengemukakan bukti pendedahan itu berdasarkan kajian 2002 yang menunjukkan 60 peratus daripada kakitangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) adalah anggota Freemanson, selain mereka bergiat secara aktif dalam organisasi penting di Amerika Syarikat (AS) dan Britain serta negara Eropah.

Gerakan Freemason menguasai pemikiran masyarakat di negara ini dengan konsep pecah dan perintah serta pembahagian kuasa, menyerahkan urusan pemerintahan negara kepada orang politik, manakala agama dan istiadat kepada orang agama.

Gerakan Freemason menjadi agenda jahat Yahudi sejak sekian lama seawal usaha menghapuskan agama Islam melalui kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyah, Kerajaan Islam yang kuat dan unggul.

Sekian petikan ulasan buku Gerakan Freemasonry, Musuh Dalam Menghancurkan Islam


Hukum bersolat jumaat di Montreal Masonic Memorial Temple

Wah..Ini persoalan berat yang menuntut pengetahuan dan pengkajian yang mendalam. Saya tidak arif tentang ini, tapi mungkin MSA Concordia boleh membantu. Insyaallah saya akan kemukakan emel untuk mereka bertanyakan situasi tersebut. Penting juga untuk tahu tentang signifikannya bersolat jumaat di sini.
Situasi di Montreal ini yang agak sukar untuk mendapatkan ruang yang lapang dan selesa untuk bersolat jumaat, pada hemat saya yang dangkal ini, wajar untuk umat islam dapatkan suatu tempat yang sesuai untuk beribadat. Masjid sememangnya ada tetapi agak jauh dan seperti entry saya sebelum ini ia kecil dan sempit. Dengan bilangan para jemaah yang ramai dan bertambah saban hari, kadang-kadang (baca selalunya) jemaah terpaksa mengadakan 2 sesi solat jumaat. Jadi persoalan hukum, sekali lagi menurut saya adalah wajar dan dibolehkan dengan niat tidak berhenti berusaha mencari tempat yang sesuai.

Menurut Puan Sabariah yang telah bermastautin di Montreal lebih dari 20 tahun, bukan tidak ada usaha untuk mendapatkan dana dan kawasan sesuai untuk membina masjid di tengah-tengah metropolitan Montreal, tetapi kita sedia maklum dengan pentadbiran negara bukan islam ini. Ya, mungkin suatu hari nanti akhirnya akan berjaya juga. Melihat kepadapertambahan komuniti muslim di sini , saya yakin usaha ini akan berjaya, lambat atau cepat itu kita serah kepada Allah. Kalau Dia mahu, tetap akan jadi. Kun Fayakun itu tetap berlaku menurut hukum Tuhan.

Mudah-mudahan Allah mempermudahkan urusan umat islam di mana sahaja mereka berada.

5/2/09

Kisah Solat Jumaat Bahagian-2

Antara komuniti islam terbesar di Montreal ini ialah Muslim Student Association of Concordia yang dijalankan oleh pelajar-pelajar University of Concordia. Tempat di mana isteri saya menjalankan penyelidikan PhDnya. Antara aktiviti-aktiviti MSA ini ialah menyediakan kemudahan untuk umat islam Montreal menunaikan solat jumaat, menyediakan ruang solat di universiti, menganjurkan ceramah berkaitan isu semasa umat islam dan sebagainya yang berkaitan dengan kebajikan umat islam di sini.
Salah satu sumbangan MSA ialah menyewa ruang solat jumaat di Grand Lodge Freemason .

Pada mulanya, Tukang Catat agak hairan dan tertanya-tanya mengapa Freemason? Sebelum ini, kita di Malaysia dan kebanyakan umat islam secara umumnya agak khuatir dengan segala aktiviti yang berkaitan dengan Freemason. Ironinya pada masa yang sama kami di Montreal bersolat jumaat dan mendengar khutbah di pusat kegiatan Freemason terbesar dan bersejarah di sini. Sehingga sekarang saya masih tertanya-tanya kenapa di sini.


Sedikit sebanyak info tentang Grand Lodge Freemason ini ialah, ia terletak dipersimpangan jalan St. Marc dan Rue Sherbrooke. Bangunan ini agak unik dan mempunyai dewan yang agak besar seolah-olah ruang utama masjid. Di dinding-dinding depan-belakang dan kiri-kanan dewan terdapat gambar harimau dan logo besar Freemason. Lampu utamanya begitu klasik dan unik. Sayangnya saya dilarang untuk mengambil gambar di dalam ruang dewan.

Khutbah di sini disampaikan dalam bahasa inggeris dan kadar kefasihan serta kejelasan khutbah yang disampaikan bergantung kepada khatib jemputan yang setiap minggu bertukar ganti. Minggu lalu, saya mendengar khutbah yang disampaikan oleh brother Lutfi (menurut seorang rakan dari University Concordia) yang sangat jelas cara penyampaiannya.

Isi khutbah adalah tentang cabaran mendidik dan memberikan pelajaran agama dan iman kepada generasi yang akan mewarisi islam pada masa akan datang. Ketika khutbah disampaikan saya teringat puteri saya dirumah Ain Edleen yang sekarang berusia 2 tahun yang sedang membesar di negara barat. Cabarannya bukan sedikit dan saya kira setiap keluarga yang memiliki zuriat, akan terfikir perkara yang sama.

Mudah-mudahan Allah menunjukkan kami dan seluruh ahli keluarga kami jalan yang sebenar dalam mendidik dan membesarkan anak-anak!

Khatib memberikan contoh-contoh raliti semasa kebejatan moral anak-anak muda terutamanya umat islam yang semakin hanyut dengan budaya barat dan hedonisme. Cabaran mungkin lebih berat di kalangan umat islam di barat. Tidak mustahil aka merebak dengan pantas ke timur. Sekarang pun tanda-tanda tersebut sudah jelas!

Menurut beliau, hanya didikan iman yang sempurna yang dapat menyelamatkan anak-anak muda islam yang sejak dari kecil perlu dipupuk dan dibajai dengan iman dan takwa kepada Allah.

Bersambung bahagian 3..tentang pertubuhan Freemason

Kisah Solat Jumaat Bahagian-1

Di Montreal, kami solat jumaat sehari lebih lewat akibat perbezaan waktu selama 12 jam dengan Malaysia. Ada beberapa catatan menarik tentang solat jumaat di sini. Di kawasan kejiranan Tukang Catat, sebuah kawasan bersejarah yang dinamakan Verdun, terdapat sebuah masjid kecil yang dikawal selia oleh warga Algeria yang dinamakan Masjid Abu Hurairah. Masjid ini sebenarnya hanyalah sebuah rumah yang dijadikan tempat pusat aktiviti keagamaan. Setiap Jumaat, Solat Aidilfitri&Aidiladha, hari minggu, masjid ini meriah dengan jemaah. Pernah seketika, jemaah melimpah ruah sehingga ada yang terpaksa solat jumaat untuk sesi kedua.Hari minggu pula digunakan oleh kaum wanita sebagai tempat mengajar bahasa arab dan pelajaran agama islam untuk anak-anak kecil. Kelihatan aktiviti di masjid kecil ini agak meriah walaupun warga muslim adalah minoriti. Pada hari-hari biasa, masjid ini dikunci. Entah mengapa saya pun kurang pasti.

Pada hari jumaat setiap minggu, khutbah jumaat akan diadakan tepat pada pukul 1.15 tengahari . Di sini khutbah kebanyakan disampaikan dalam bahasa arab. Khutbah dua hari raya pula disampaikan dalam dwibahasa (Arab-Inggeris). Mungkin kerana pada waktu itu, bilangan jemaah bertambah dua kali ganda sehingga ke tingkat bawah tanah dan disertai oleh ramai warga asing dari kebanyakan negara yang tidak berbahasa arab seperti India, Bangladesh, Pakistan dan Tukang Catat sendiri warga Malaysia. Di Montreal, kebanyakan warga muslim datangnya dari timur tengah yang. Kebanyakan mereka berbahasa Perancis seperti warga Algeria yang majoritinya penduduk di Kanada..

Oh ya, di seberang Jalan Verdun (Rue de Verdun) berdekatan Masjid Abu Hurairah ini, tersergam sebuah gereja besar yang hampir setiap hari locengnya berbunyi. Namun tidak pernah pula saya tengok gereja ini dikunjungi orang ramai walaupun pada hari ahad. Yang ada hanya segelintir warga tua yang mungkin masih yakin dengan agama kristian bertuhan satu dalam tiga dan tiga dalam satu. Aneh! Namun yang pasti, warga barat sudah tidak lagi peduli akan keperluan agama tetapi pada masa yang sama mencari-cari suatu kepercayaan yang boleh dianuti untuk menenangkan jiwa.

Di akhir-akhir ini, terdorong untuk memahami inti pati khutbah yang disampaikan setiap jumaat, Tukang Catat memilih untuk ke sebuah lagi tempat solat jumaat di tengah-tengah kota metropolitan Montreal. Di sini agak unik, kerana bukan masjid yang menjadi destinasi, tetapi sebuah dewan dan pusat kegiatan Freemason..

..bersambung..