www.majalahsains.com

9/25/09

Selonggok juadah untuk jiwa & minda di bulan syawal

Beberapa buah buku kiriman dari Malaysia sudah tiba. Ada yang sedang dilayan mesra, ada yang dikesampingkan dahulu. Beberapa buah buku lain yang telah lama dibeli sudah tamat dibaca dan sedang menunggu untuk ditulis ulasannya. Rangka-rangka kasar telah pun ditulis di laptop dan diletakkan dalam foldernya yang tersendiri, cuma menunggu waktu dan 'nafsu membuak' untuk dicantikkan dan disedapkan lagi gaya tulisannya. Tidak terkecuali buku yang sudah lama dibeli, namun sehingga sekarang masih belum dibelek. Paling banyak ialah buku yang sebahagiannya sudah terusik namun belum mampu untuk dihabiskan bacaannya. Pada masa yang sama sedang merujuk silang beberapa majalah terbaru untuk tulisan-tulisan dan rencana akan datang.

Buku dan majalah begitu cepat sekali berada di rak-rak kedai buku. Ada sebahagiannya terlalu 'advanced' sehingga diawalkan sebulan ataupun separuh bulan tarikh penerbitannya. Penerbitan buku dan bahan bacaan di sini begitu pantas dan meriah! Sangat meriah!








9/19/09

Salam Aidilfitri 1430

Marilah sama-sama kita kembali ke fitrah asal kejadian manusia dengan merenung apa tujuan utama kita dijadikan oleh Tuhan di dunia ini.

Falsafah di sebalik sambutan hari raya ialah untuk meraikan kemenangan setelah menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa sebulan di bulan ramadan. Hakikat idulfitri ialah sambutannya yang khusus untuk penganut agama Islam dan bukan seperti sambutan-sambutan hari kebesaran yang lain. Oleh yang demikian, marilah kita menjernihkan kembali hikmah dan dan tujuan utama sambutan idulfitri.

Salam Eid Al-mubarak
Allahu Akbar..Allahu Akbar..Walillahilhamdu...

9/10/09

Catatan ramadan ke-21

Tukang Catat berterima kasih kepada rakan-rakan yang pulang bercuti musim panas di Malaysia baru-baru ini.Kesempatan mereka pulang ke lubuk, tidak lupa juga dititip beberapa buah buku dari tanahair untuk santapan di bulan ramadan kali ini. Antara buku yang sempat dikirim termasuklah:

-Trangenesis (Novel)
-Panggil Aku Melaju (Novel)
-Jatuhnya Sebuah Tamadun (Sejarah pemerintahan Khalifah Islam)

Dan sedang menunggu beberapa buah buku lagi yang khabarnya dalam perjalanan. Semoga pengembaraan 'sahabat-sahabatku' itu melalui jalan laut dan udara selamat sampai seadanya di tanah bekas jajahan Perancis di benua Amerika Utara ini.

Alhamdulillah, buku sejarah sudah selesai. Ia sebuah buku yang agak baik bagi pemula yang ingin belajar sejarah ketamadunan islam sejak kelahiran nabi muhammad sehinggalah tersungkurnya pemerintahan khalifah islam terakhir di Turki pada tahun 1924. Susur galur perjalanan sejarah islam diringkaskan dengan rapi untuk memudahkan pembaca oleh penulisnya Mohamad Nurhakim, warga indonesia. Jadi tidak hairanlah dalam bab terakhir kemasukan islam di nusantara banyak memperincikan tentang kerajaan islam di indonesia berbanding di tanah melayu. Namun sejarah tersebut tetap berkait antara satu sama lain. Persembahan buku ini saya berikan 3 bintang.

II
Sesekali saya menjenguk juga perihal politik tanahair. Tidak banyak yang menarik, hanya seputar perebutan dan mencari pengaruh sahaja lagak ahli politik kita. Riak-riak kecil di dalam mangkuk tandas politik juga hilang begitu sahaja bila berdepan dengan isu yang lebih besar terutamanya yang melibatkan masalah kaum di Malaysia. Ahh, di negeri Terengganu DaruIman juga politik 'taik-kucing' sedang membusuk antara 2 kumpulan. Juga tiada apa-apa! Hanya hangat-hangat tahi sahaja kedua-dua pihak. PAS sedang menunggu peluang! Mudah-mudahan semuanya berbaik-baik sahaja lah di bulan ramadan yang penuh barokah ini.

III
Musim luruh kedua kami di Montreal baru tiba. Maka ramailah penuntut-penuntut baru tiba mencari rezeki belajar di negara asing. Alhamdulillah, beberapa rakan dan kenalan baru pun sudah selamat tiba di sini. Kami mengucapkan selamat datang dan selamat berjuang kepada pejuang-pejuang minda dan mata pena dari Malaysia. Sama-samalah kita mencari ilmu dan kebenaran di dunia barat ini untuk di sesuikan dengan budaya timur bumi Malaysia bila pulang ke tanahair kelak. Mudah-mudahan segalanya baik-baik sahaja dan dirahmati Allah perjalanan hidup kita ini.

IV
Banyak hadis-hadis mencatatkan tentang dalil-dalil lailatulqadar. Bagaimana pemahaman kita tentang lailatulqadar? Apakah masih sama dengan apa yang kita dengar di waktu mendengar syarahan atau keterangan-keterangan agama di waktu zaman kanak-kanak dahulu?Atau sedikit berubah dengan pembacaan dan pengkajian kita yang lebih jauh sedikit daripada terperangkap dengan minda kanak-kanak? Semakin lama semakin ramai orang yang membicarakan perihal menunggu kedatangan lailatulqadar. Ramai juga yang beranggapan ia adalah di 10 malam terkahir ramadhan..apakah ini benar? Wallahua'alam..yang pasti lailatulqadar adalah malam yang lebih baik daripada 1000 bulan yang menentukan arah dan haluan hidup kita di dunia ini. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan lailatulqadar..

Nota:// Sila rujuk Al-Quran surah Al-Qadar untuk mendapat gambaran yang jelas tentang lailatulqadar. Berhati-hati membaca hadis-hadis mengenai lailatulqadar untuk mengelakkan kita keliru..