www.majalahsains.com

12/31/09

Tahun Baru & Pergantian Umur


Salam Tahun baru Masihi 2010..

Sejak faceboook dan Twitter mula menjadi fenomena baru selepas dominasi Google, blog semakin jarang dikemaskini. Namun Google tetap A+ dalam banyak perkara terutamanya untuk Tukang Catat blog ini:-)

Banyak aplikasinya menjadi keperluan wajib bagi sesetengah orang. Lihat sahaja contoh di blog ini .Suatu masa dahulu, jika tidak mempunyai blog akan dianggap tertinggal di belakang dalam perlumbaan siber. Sekarang tidak mempunyai facebook dan Twitter mengundang rasa hairan dari rakan-rakan.

Di masa hadapan, akan muncul lagi teknologi-teknologi baru yang akan mendominasi dunia hasil kreativiti manusia. Di dalam majalah Technology Review terbitan MIT misalnya, setiap tahun mereka akan menyenaraikan hasil-hasil penyelidikan di makmal yang akan dikomersilkan. Inovasi dan kreativiti mereka dalam membuat penyelidikan begitu mengkagumkan. Begitu juga dengan laporan dan penyebaran maklumat melalui blog, laman web dan juga penerbitan buku dan majalah.

Menurut satu sumber, tahun 2010 akan diisytiharkan sebagai Tahun Inovasi di dalam negara kita. Harapannya ialah untuk melahirkan masyarakat yang kreatif dan inovatif dalam melakukan sesuatu dari pentadbiran negara hinggalah kepada pengurusan diri. Semoga kita termasuk sama di kalangan orang-orang yang kreatif dan suka melakukan inovasi :-)

Salam Tahun Baru 2010 !

12/9/09

Putihnya salji

Salji telah turun. Bermula dengan ribut salji pada hari pertama secara rasminya ia turun, warna putih telah menyelubungi Montreal dan kawasan-kawasan lain di Kanada dan sebahagian di Amerika. Kata orang ini musim ekstrem. Sejuk dan sukar. Namun sejuk dan kepayahan ini menjadi cabaran yang kadang-kala mungkin enak untuk ditempuhi.

Masih saya ingat kata-kata seorang warga Montreal yang menyatakan, musim sejuk harus dilalui dengan seronok. 'Let's embrace the winter and enjoy it', katanya. Dalam kedinginan saya membayangkan, bagaimana kental dan kuatnya fizikal dan mental warga yang tinggal di negara-negara yang mengalami cuaca melampau seperti Kanada dan negara-negara lain seumpamanya. Begitu jugalah saya mengingatkan diri saya sendiri supaya mempelajarai sesuatu dari penduduk yang budayanya amat jauh berbeza dengan budaya kita di Malaysia. Mari kita berdepan dengan cabaran!


p/s: Sempena kedatangan musim sejuk kedua bagi kami di Montreal, saya sudah menyiapkan satu artikel tentang fenomena salji menurut sains. Terima kasih kepada sahabat maya saya saudara Khairusy Syakirin Has-Yun yang suatu ketika dahulu pernah menyarankan saya menulis tentang ini.

p/s/s: Sedang berkira-kira juga ke mana mahu menghantar artikel ini selain MajalahSains.Com =).

12/7/09

Catatan pinggir :-)

Sebenarnya saya ada 'janji' di blog mundarmandir2 . Janji untuk mengulas buku. Pertama buku Kenang-kenangan Hidup Hamka (kenyataan ini sudah banyak kali diulang ) dan yang kedua ialah Novel Transgenesis, karya Amir Hussaini. Buku kedua saya bercadang untuk mengulasnya di kolum resensi buku di MajalahSains.Com sesuai dengan genre Sai-Fai nya. Buku pertama hanya untuk mengisi masa lapang dan melatih diri membuat ulasan buku. Cuma buku pertama ini genre nya agak berlainan dengan apa yang saya sedang tekuni sekarang [baca sains & teknologi] , jadi kemungkinan ia mengambil sedikit masa. Walaubagaimanapun sebahagiannya sudah saya tulis dan letakkan di dalam 'draft' di sini. Masih banyak untuk ditambah di sana-sini sebelum di 'publish'.

Peminat buku di luar sana juga digalakkan mendapatkan buku Kenang-kenangan Hidup ini untuk sama-sama melihat dugaan dan rintangan ulama dan pengarang besar nusantara bernama Haji Abdul Malik Karim Amrullah a.k.a HAMKA untuk dibandingkan dengan sekelumit kisah 'tauliah' Dr.Maza.

Semalam saya membeli buku dan majalah lagi. Aktiviti rutin di awal bulan :-).




p/s..gambar sekadar hiasan
~Verdun, Montreal~

12/4/09

Khutbah di Montreal

Hari ini saya ke Freemason Centre untuk bersolat jumaat. Sudah agak lama tidak mendengar khutbah yang menarik perhatian. Kebetulan pula hari ini khutbahnya agak menarik. Sudah beberapa kali berpeluang mendengar khutbah bermutu dari khatib yang sama, cuma masih belum berpeluang untuk bersalaman dan kerkenalan. Saya kira beliau pelajar dari Timur Tengah yang menuntut di Concordia University.

Namun sedikit kecewa apabila terlewat sampai dan hanya sempat mendengar khutbah jumaat kedua. Antara butiran lontaran khutbah tadi ialah berkenaan dengan kembali mengingati Allah. Sudah lama manusia lupakan Allah selepas begitu banyak nikmat yang dikurniakanNya. Kita manusia terlalu banyak lalai dan pelupa dan fungsi khutbah jumaat setiap minggu adalah mengingatkan kembali tujuan manusia hidup. Khatib memberikan beberapa tips menarik tentang kaedah mendekatkan diri dan mengadu nasib kepada Allah antaranya ialah:

1. Berdoa dengan insaf selepas waktu subuh sambil bermuhasabah diri

2. Menunaikan solat sunat selepas terbit fajar dengan penuh rasa keinsafan

3. Membaca Al-quran dan memahami setiap tafsiran ayat-ayatNya ( Beliau
memberikan contoh golongan yang menghafal dan membaca al-quran walaupun 3
helai sehari, tidak akan menyamai pahala yang diberikan Allah kepada mereka
yang memahami Al-Quran walaupun satu ayat )

4. Sentiasa berselawat kepada Rasullullah

5. Melakukan qiamullail di 2/3 malam.

6. Bersedekah

Tambahan (oleh saya), beristighfar!

Selesai khutbah, khatib yang sama mengimamkan solat jumaat dengan bacaan ayat Quran dengan tenang serta suara yang jelas. Cukup tenang dan tawaduk berbanding semasa menyampaikan isi khutbah 'tanpa teks' yang penuh semangat.

Insyaallah suatu hari nanti saya ingin berkenalan dengan khatib ini.

12/2/09

Promo Kosmik Disember



Saya tidak tahu berapa ramai pembaca atau peminat yang melanggan/membeli Dewan Kosmik. Untuk makluman, Dewan Kosmik ialah majalah sains popular pertama di Malaysia terbitan DBP yang telah menemui pembacanya seawal tahun 1993 kira-kira 16 tahun yang lepas. Saya antara penggemar majalah ini sejak di zaman persekolahan dahulu walaupun tidak melangganinya secara berkala.

Kesukaran mendapatkan Dewan Kosmik dan majalah-majalah terbitan DBP yang lain adalah antara komen-komen yang selalu saya dengar dari rakan-rakan, malah ada juga yang tidak pernah mengetahui tentang kewujudannya. Ya, itu semua adalah cabaran dan dugaan dalam bisnes penerbitan. Menjadi tanggungjawab pihak penerbit untuk melakukan sesuatu sebagai langkah mempromosikan produk mereka. Dengan kemajuan teknologi jaringan sosial internet seperti Facebook, Twitter, Blog, Youtube dan sebagainya saya kira tidaklah begitu sukar untuk mempromosikan produk. Internet marketing adalah kata kuncinya. Yang paling mustahak ialah skills dan teknik promosi.

Di laman facebook misalnya sudah menjadi platform yang baik untuk mengetengahkan sesuatu produk bahkan sudah muncul pelbagai buku yang menghuraikan konsep internet marketing melalui jaringan sosial internet. Nah, peluang terbuka luas. Laut biru kata orang sekarang. Rebutlah!

p/s:- Artikel terbaru Tukang Catat muncul di Dewan Kosmik dengan tajuk Gentian Optik Sepantas Cahaya yang menceritakan kisah pemenang Hadiah Nobel Fizik 2009, Charles Kao.