7/31/09

Estidotmy Bulan Julai





Estidotmy merupakan sisipan akhbar Utusan Malaysia yang muncul setiap hujung bulan atau minggu keempat setiap bulan. Kebiasaannya pada hari rabu atau khamis.

7/27/09

Artikel terbaru

KRISIS demi krisis telah melanda dunia. Terbaru adalah wabak selsema babi (swine flu) atau H1N1 dan juga dikenali sebagai Influenza.A yang bermula di Mexico dan menjalar ke seluruh dunia mengorbankan lebih seribu nyawa secara mengejut. Malaysia dan negara-negara di sekitarnya juga tidak ketinggalan terkena tempias wabak ini dan berhempas pulas untuk mengawalnya dari merebak.


Sebelum wabak selsema babi, krisis tenaga dan makanan telah menggugah keharmonian penduduk dunia. Di sesetengah negara, kekacauan dan demonstrasi jalanan turut dikaitkan dengan krisis yang melibatkan minyak dan makanan yang tidak kunjung reda. Selain itu, alam semulajadi semakin banyak diterokai dan dimusnahkan atas nama pembangunan. Tidak ketinggalan juga bencana pemanasan global yang sedang dihadapi oleh berbilion-bilion penduduk dunia yang terjadi akibat pelepasan gas rumah hijau dan peningkatan paras karbon ke atmosfera. .....


Untuk bacaan selanjutnya dapatkan Dewan Kosmik Ogos, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka




7/26/09

Yasmin Ahmad (1958-2009)


Saya terkejut juga bila baca berita di akhbar-akhbar Malaysia. Sutradara filem terkenal Yasmin Ahmad meninggal dunia akibat koma dan terjatuh di Stesen TV3 semasa membentangkan projek-projek seni beliau di sana.

Terus terang, Tukang Catat tidak banyak menonton filem-filem Yasmin Ahmad sehinggalah baru-baru ini seminggu sebelum beliau meninggal, tergerak hati menonton Mukhsin dan juga Gubra. Mukhsin filem yang indah, cantik dan berseni terutamanya melalui gemersik alunan lagu 'Hujan' irama keroncong dendangan Adibah Noor manakala Gubra ada sedikit sisi negatif yang agak kontroversi. Namun Yasmin adalah pengarah yang unik dan kreatif dalam berkarya.

Lupakan sebentar kisah filem. Saban tahun, Petronas menerbitkan iklan-iklan bermutu tinggi sempena acara-acara besar di Malaysia. Sambutan Hari Raya Aidilfitri misalnya atau pun Tahun Baru Cina dan juga Deepavali. Tidak ketinggalan iklan-iklan Hari Kemerdekaan dan iklan-iklan penyatuan antara kaum-kaum utama di dalam negara.

Sekiranya kita memiliki sedikit jiwa dan perasaan halus (yang zaman sekarang ini semakin terhakis akibat pengaruh materialis), tentu hati kita akan disentuh dengan karya yang ditonjokan melalui iklan arahan Yasmin Ahmad. Beliau dapat melihat dari kacamata seni yang beliau miliki di mana daerah-daerah yang perlu diterokai oleh penonton yang terdiri dari pelbagai peringkat baik Pak Menteri sehinggalah Sang Petani untuk menyatupadukan kaum di dalam negara.

Kita akui, selepas 50 tahun merdeka pun, kita masih janggal dan sangsi dengan tetangga kita yang bermata sepet dan berkulit gelap. Entah bagaimana sikap mereka terhadap kita yang dikategorikan berkulit sawo matang pun kita tidak pernah ambil tahu melainkan yang buruk-buruk sahajalah menjadi tanggapan kita terhadap mereka.

Nah datanglah si Yasmin Ahmad dengan latarbelakangnya yang berwarna-warni membawa satu idea baru melalui filem bagaimana untuk merapatkan hubungan kaum dan mengembalikan nostalgia silam warga di Tanah Melayu untuk hidup bersama aman damai. Tahniah dan kami sebagai penonton berterima kasih!

Untuk gemulah Yasmin Ahmad, selamat beristirehat di alam yang kekal abadi. Hidup di dunia ini adalah mundar-mandir sebentar, sebelum kita dijemput pulang!

7/13/09

Sana Sini Montreal

Kali ini saya ingin berkongsi sedikit pengalaman tentang cara hidup dan cara pandang warga barat tentang hak dan kepentingan mereka. Di bawah beberapa contoh yang berlaku di depan mata sepanjang berada di Montreal. Perhatikan contoh-contoh berikut:-

1. Sedang saya beratur untuk membayar harga barang di kedai runcit, tiba tiba seorang pelanggan tiba-tiba bersuara tinggi dengan kata-kata yang kurang lebihnya berbunyi:

"Salah satu sebab kami datang ke kedai Muslim ialah kami mengharapkan kejujuran anda. Di mana kejujuran sebagai muslim kalau harga yang dipaparkan tidak sama dengan harga sebenar".

Sekonyong-konyong pekerja kaunter yang beragama islam memohon maaf atas kesilapan mereka melabelkan harga barang. Peristiwa ini merujuk kepada kesilapan pekedai yang cuai dalam kerja-kerja melabel dan menetapkan harga barang.


2. Sambil berjogging saya terserempak dengan satu situasi di mana seorang wanita bersama 2 orang anaknya memarahi seorang pemandu dengan nada yang tinggi dan kasar serta carut-marut versi 'orang putih'

" Hey pemandu bodoh, bolehkah kamu tunjukkan sedikit rasa hormat terhadap pejalan kaki. Pemandu seperti kamu tidak layak memandu di kawasan ini. &#$@# (carut marut).

Pemandu kereta itu menunjukkan rasa kesal bersungguh-sungguh apabila beberapa kali merapatkan kedua-dua belah tangan seolah-olah memohon ampun kepada wanita itu. Saya kira dia bukan warga tempatan. Wanita tersebut marah apabila pemandu itu tidak menghentikan kenderaan ketika dia dan anaknya melintas jalan.

Dua peristiwa kecil ini hanyalah sekelumit dari kisah-kisah biasa yang sering berlaku di sini. Setiap warga akan cuba mempertahankan hak masing-masing dengan sebaik-baik mungkin tanpa ada ragu-ragu. Banyak lagi contoh-contoh yang lebih signifikan untuk menceritakan soal mempertahankan hak asasi seperti hak sebagai rakyat atau pengundi, hak untuk meluahkan perasaan terhadap pemerintah, hak penyewa terhadap landlord, hak pembeli terhadap penjual, hak pejalan kaki, hak pembayar cukai dan pelbagai lagi hak asasi atau semulajadi manusia yang perlu dituntut dari semasa ke semasa dan ini memerlukan kefahaman dan kesedaran kepada yang ber'hak.

Apa ya hak kita

7/10/09

Natrah juga pulang ke tempat asal

Selepas sedikit reda dengan berita kematian mengejut Michael Jackson
akhbar-akhbar utama di Malaysia memaparkan pula kematian Natrah atau Maria Hertogh diusia 72 tahun. Sila rujuk di sini dan juga di sini

Siapa Natrah atau Maria Hertogh kepada kita? Tidak ramai generasi baru kini yang tahu siapa Natrah. Untuk mengetahui lebih lanjut, silalah periksa di laman-laman web, wikipedia, youtube dan sebagainya untuk mengetahui siapa beliau.

Apa yang saya boleh ceritakan ialah, suatu masa dahulu sentimen mempertahankan akidah umat islam adalah terlalu hebat dan menggerunkan pihak musuh. Pada tahun 1950, di Singapura telah berlaku rusuhan berdarah yang dahsyat yang dikenali sebagai Tragedi Natrah. Ia berlaku 19 tahun jauh sebelum Tragedi 13 Mei di Kuala Lumpur.

Tragedi Natrah adalah manifestasi kebangkitan umat mempertahankan kesucian agama apabila ada usaha-usaha memurtadkan orang islam. Rusuhan berdarah tersebut berakhir dengan penangkapan tokoh islam terkemuka iaitu Profesor Dr Burhanudin Al-Helmi.

Persoalan untuk direnungkan bersama ialah, sejauh mana sensitiviti umat islam zaman kini bila berdepan dengan kes-kes yang mencemarkan kesucian akidah seperti kes Lina Joy, gejala sosial, dan segala macam maksiat zaman moden.

Kelihatan manusia semakin kaya dan bertambah kaya, namun semakin miskin soal-soal sensitiviti agama, moral, adab, tatasusila dan sikap tidak peduli nasib sesama insan.

Gambar: Buku kedua dari bawah adalah biografi Burhanuddin Al-Helmy karya Ramlah Adam. Sedikit sebanyak buku ini ada mengisahkan peranan beliau dalam menaikkan semangat orang islam dalam mempertahankan akidah Natrah

7/8/09

Alhamdulillah: Walupun terpaksa menunggu lagi 3 tahun

Keputusan Kementerian Pelajaran memansuhkan PPSMI disambut baik oleh majoriti rakyat Malaysia. Walupun ada segelintir yang masih cuba menegakkan benang basah, biarlah! Sudah adat ada penyokong dan pembangkang dalam mana-mana dasar yang diperkenalkan. Cuma satu nasihat, baca dan fikirkanlah dengan teliti kajian, saranan, pendapat serta buah fikiran majoriti cendekiawan dan orang ramai sebelum menyokong sesuatu dasar.

Terima kasih Kerajaan Malaysia!

7/4/09

Isu Wahabi: Mari Kita Berbincang dan Mengkaji (5/5)

Wahabi : Fakta dan Renungan Untuk Umat Islam
Oleh : Mohd Faizal Aziz

Bahagian kelima


Kesimpulan dan renungan
Dalam membincangkan isu wahabi ini, bukanlah niat penulis untuk berdebat membela golongan tertentu kerana pengetahuan penulis masih lagi cetek dan terbatas. Rujukan penulis hanyalah beberapa buah buku, tulisan-tulisan dari internet dan hasil perbualan serta pertanyaan penulis dengan sahabat-sahabat yang teguh pendirian mereka dalam memperjuangkan agama. Dan yang terbaru merupakan sebuah buku kecil ini yang menjadi sumber penting penulisan berkisar tentang gerakan wahabiah ini yang hangat diperkatakan dalam media perdana yang kononnya menjadi ikutan pemuda-pemudi islam di zaman sekarang. Kebetulan pula penulis masih merupakan seorang yang di anggap mentah dan masih belum mencapai tahap kematangan ilmu pengetahuan yang sebenar dalam membincangkan isu besar ini.
Kita letakkan segala pokok permasalahan di sisi sebentar dan cuba kita renungkan kembali senario yang berlaku pada masa kini. Islam merupakan suatu pegangan hidup yang lengkap yang meliputi soal kepercayaan dan ketauhidan kepada Allah Yang Satu serta mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan larangan Allah dalam segenap segi lapangan hidup. Dan di akhir-akhir ini umat islam sangat merasakan tekanan yang dilakukan oleh penjajah tehadap umat islam lain umpamanya di Palestin oleh kaum Yahudi, umat islam di seluruh dunia merasakan betapa hebat godaan dan ancaman-ancaman kaum bangsa-bangsa penjajah seperti yang berlaku di Iraq, Kosovo dan hampir kebanyakan negara-negara islam. Namun begitu apakah kita insaf dengan kejadian-kejadian ini. Apakah kita sedar bahawa kita sedang dan masih dijajah dalam pelbagai bentuk. Masih kah kita mahu berkelahi tentang perkara-perkara cabang. Kalau ditinjau dengan saksama, umat islam sudah berpecah kepada berpuluh-puluh puak dn pelbagai mazhab fiqah yang imamnya sendiri tidak menyuruh pengikutnya menurut tanpa menyelidik dan mengkaji. Masih kah lagi kita mahu berpecah kepada beberapa lagi puak yang akhirnya merugikan agama islam itu sendiri. Sesungguhnya islam itu adalah tunggal, tidak berpuak-puak dan apabila kita meyakini bahawa ‘tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan nabi Muhammad tu pesuruh Allah maka berusahalah kita melaksanakan keyakinan itu di muka bumi ini. Kita telah mempusakai Al-Quran dan al-hadis sebagai petunjuk sepanjang zaman dan para ulamak dan tabi’in yang ikhlas memperjuangkan agama yang berkewajipan menunjukkan jalan kebenaran yang hakiki kepada mereka yang masih meraba-raba mencari kebenaran. Janganlah di tambah kesengsaraan umat islam dengan mengulangi propaganda penjajah untuk membinasakan kaum muslimin di dunia ini.
Tentang golongan pemuda yang kononnya lebih selesa beribadat dan mengamalkan islam cara baru usahlah dituduh wahabi dan sebagainya, bahkan mereka yang berfikiran sedemikian merupakan pemuda yang hatinya sudah melekat di dunia dan lupa tentang kehidupan seterusnya di alam akhirat yang mencari-cari alasan untuk memisahkan kehidupan seharian dengan islam. Dengan itu jalan mudah yang diambil ialah beribadat mengikut selera sendiri tanpa mengetahui kaedah dan petunjuk yang diberikan. Namun begitu, usahlah dihukum golongan muda, kerana tidak lain mereka mengikut polemik perdebatan orang-orang yang lebih senior yang diangkat menjadi pentadbir bidang agama. Bukan kah islam itu agama yang lengkap mencakupi seluruh kehidupan di dunia ini. Perbuatan memisahkan agama dari kehidupan seharian boleh ditamsilkan sebagai mencabut nyawa dari jasad itu sendiri. Akhirnya diri manusia itu sendiri yang menderita. Oleh itu marilah kita sama-sama belajar dari kesilapan yang kita lakukan dan sama-sama bermuhasabah diri membetulkan apa yang sudah terlajak. Perumpamaan melayu “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya” tidak lah boleh dipakai di sini kerana kita insaf bahawa, tidak lah bernama manusia sekiranya semua yang kita lakukan itu sentiasa benar. Marilah kita merujuk Al-Quran dan hadis sebagai petunjuk sepanjang zaman dalam kita melayari kehidupan sebagai seorang muslim yang bertakwa kepada Allah. Sekian!


Isu Wahabi: Mari Kita Berbicang dan Mengkaji (4/5)

Wahabi : Fakta dan Renungan Untuk Umat Islam

Oleh : Mohd Faizal Aziz


Bahagian keempat

Cabaran dan rintangan yang dihadapi


Penulis cuba untuk berlaku adil dalam tulisan ini dengan menyertakan juga cabaran dan rintangan yang ditempuhi oleh para pejuang agama termasuk SMAW sendiri. Seperti yang kita sedia maklum, pembaharu dalam bidang agama (islam) terlalu banyak menempuh dugaan hidup dan sentiasa mendapat tentangan dan cabaran dalam meneruskan tinggalan para nabi dan sahabat. Cubalah kita perhatikan golongan-golongan tajdid seperti Jamaluddin Al-Afghani, muridnya Syed Muhammad Abduh, Syed Muhammad Rasyid Redha, di Indonesia kita bertemu dengan HOS Cokrominoto, Haji AbdulKarim Amrullah, HAMKA, di tanah melayu sendiri Syeikh Tahir Jalaludin dan Syed Sheikh Al Hadi dan sebagainya yang kerap dituduh sebagai kaum muda yang merosakkan kesucian agama islam. Tetapi sememangnya sudah fitrah bahawa sifat orang beriman adalah diuji. Apa guna kita mengaku islam dan beriman kalau tidak di uji apatah lagi yang berlaku terhadap Syeikh Muhammad Abdul Wahab. Antara tentangan hebat yang dialami oleh beliau ialah :

  • Orang ramai menuduh SMAW dan pengikutnya membenci nabi Muhammad, menghina baginda dan nabi yang lainnya. Penentang beliau berkata bahawa SMAW telah berkata: “ bahawa nabi Muhammad SAW seumpama seorang yang tuli yang diutuskan kepada manusia untuk menyampaikan sesuatu perkara kemudian ia pulang” . Kemudian Alwi Al Haddad dalam kitabnya “Misbah Al An’am, SMAW dan pengikutnya telah berkata “ tongkat saya lebih baik daripada Muhammad kerana ia dapat membunuh ular dan seumpamanya. Sedangkan nabi Muhammad telah mati dan tidak terdapat manfaat sama sekali padanya”. Manakala Sayed Ahmad Zaini Dahlan pula berkata “ pengikut SMAW telah melarang daripada berselawat kepada Nabi Muhammad selepas azan di atas menara, sehinggakan apabila tukang azan yang buta berselawat kepada nabi Muhammad selepas azan ia dibawa kepada SMAW dan dibunuh.
  • Mendakwa SMAW dan pengikutnya telah berkata “ bahawa Nabi Muhammad SAW telah melaknat dan menghina negeri Najd serta melarang berdoa untuk ahlinya”
  • Menuduh SMAW dan pengikutnya melarang daripada membaca kitab ‘Dalai Al Khairat’ dan Syawariq AL Anwar’ yang banyak menghimpunkan fadhilat-fadhilat berselawat ke atas nabi Muhammad dan pelbagai selawat.
  • Mengharamkan umat islam menziarahi kuburan para nabi dan sahabat dan sebagainya

Tuduhan-tuduhan ini dengan sendirinya terbatal sekiranya kita merenung kembali akidah pegangan SMAW seperti yang dicatatkan di pertengahan tulisan ini.


Isu Wahabi: Mari Kita Berbicang dan Mengkaji (3/5)

Wahabi : Fakta dan Renungan Untuk Umat Islam

Oleh : Mohd Faizal Aziz


Bahagian ketiga

Akidah Syeikh Muhammad Abdul Wahab


Dalam membincangkan soal akidah SMAW, penulis merujuk secara langsung kertas kerja yang dibentangkan oleh Abdul Qadeer Al-Mandeely dalam Wacana Tokoh-tokoh Mujaddid Islam, UTM julai 1994 yang dimuatkan di bahagian akhir buku kecil yang menjadi rujukan penulis dalam rencana ini. Soal akidah SMAW, merujuk kepada kitab karangan SMAW sendiri berbunyi:

‘’ Aku bersaksikan Allah SWT dan sekelian mereka yang hadir bersamaku daripada para malaikat dan aku bersaksikan kamu, “ bahawa aku beri’tikad sepertimana ‘itikad Ahlu-Sunnah Wal Jamaah, beriman dengan Allah dan para malaikat, kitab-kitabNya, hari kebangkita selepas mati serta qadar baik dan buruk. Aku beriman dengan Allah SWT, beriman dengan sifat yang Allah telah menyifatkan diriNya denganNya sepertimana yang dinyatakan dalam kitabNya (AL-Quran) dan yang datang melalui lidah rasulnya tanpa mengubah dan mengumpamakan. Bahkan aku ber’itikad bahawa sesungguhnya Allah SWT tidak ada sesuatu yang serupa denganNya dan Dia Maha Mendengar juga Maha Melihat”.

Di tempat lain pula, SMAW menulis:

“ Aku beriman bahawasanya nabi kita Muhammad SAW adalah penutup para nabi dan Rasul. Tidak sah iman seseorang sehinggalah ia beriman kepada risalahnya dan bersaksi dengan kenabiannya. Aku mengasihi sekelian para sahabat Rasululullah SAW, sentiasa menyebut kebaikan mereka, meminta ampun untuk mereka, menahan diri daripada menyebut keburukan mereka dan diam dalam perkara yang diperselisihkan antara mereka. Aku berdoa dengan keredhaan Allah SWT bagi ummatul mukminin yan bersih daripada setiap kejahatan. Aku mengakui keramat para wali, tetapi mereka tidak berhak dengan sesuatu daripada hak Allah SWT. Aku tidak bersaksi dengan syurga dan tidak juga neraka bagi mana-mana muslimin, melainkan mereka yang telah disaksikan Rasululullah. Tetapi aku berharap kebaikan bagi orang yang berbuat baik dan aku takut atas oarng berbuat kejahatan. Aku tidak mengkafirkan seseorang islam lain dengan sebab dosanya dan aku juga tidak mengeluarkannya daripada golongan islam”

Daripada petikan kenyataan beliau mengenai akidah yang dianuti oleh beliau, tidak syak lagi bahawa SMAW merupakan pemegang akidah “Salafu As Soleh” yang merupakan pegangan akidah bagi imam-imam mazhab dan imam-imam muhaddisin. Untuk lebih mendalami pengetahuan tentang SMAW, elok lah juga kita para umat islam di akhir zaman ini memperbanyakkan bacaan dan penggalian ilmu-ilmu tinggalan ulama-ulama terdahulu bagi memantapkan akidah dan pegangan terhadap agama islam tercinta ini disamping dapat menangkis sebarang bentuk godaan dan cabaran hidup di zaman moden.


Isu Wahabi: Mari Kita Berbincang dan Mengkaji (2/5)

Wahabi : Fakta dan Renungan Untuk Umat Islam

Oleh : Mohd Faizal Aziz


Bahagian kedua

Bingkisan dakwah SMAW.

Perlu disebutkan juga bahawa bekas tangan para pendakwah dan pelopor gerakan tajdid bukan hanya meninggalkan kesan dakwah mereka tetapi juga kitab-kitab, buku,surat-surat dan syarahan serta khutbah-khutbah sebagai panduan untuk umat islam selepas zamannya. Cuma yang agak menghairankan peninggalan ini bukan di ambil manafaatnya oleh umat islam itu sendiri, tetapi dikaji dengan dengan bersungguh-sungguh dan teliti oleh kaum orientalis buat menggagalkan gerakan dan amalan umat islam seluruh dunia. Di sini penulis menyalin semula sebahagian antara peninggalan kitab serta syarahan SMAW dalam pelbagai bidang termasuk sains. Senarai peninggalan ilmu ini dapat diperolehi dari buku karangan Dr. Saleh Al Abbud (1407/1987M) berjudul ”Aqidah Sheikh Muhammad Abdul Wahhab dan Kesannya ke Seluruh Dunia Islam ”. Dicatatkan juga bahawa tidak kesemuanya penulisan SMAW di bukukan melainkan ada yang tidak tersebar dan selebihnya merupakan khutbah beliau termasuk khutbah hari raya sebanyak 75 tajuk. Antara karangan SMAW ialah:


1. Bersihkan tauhid anda dari noda dan syirik

2. Kitab Tauhid, Hak-hak Allah SAW

3. Mengikis segala keraguan dan kesamaran

4. Kitab syarahan hadis-hadis terdiri dari 4 jilid, (satu jilid lebih 600 halaman)

5. Kitab fiqah terdiri dari 3 jilid yang kesemuanya hampir 2000 halaman

6. Kitab risalah-risalah dakwah

7. Kitab Tafsir

8. Kitab ringkasan Zadul Ma’ad

9. Kitab syarahan kepada kitab sirah nabi

10. Kitab ringkasan sirah nabi

11. Kitab-kitab asas iman

12. Fadilat dan keutamaan islam

13. Fadilat dan keutamaan al-quran

14. Kitab ringkasan kitab fathul Bari, syarahan Kitab Hadis Sahih Bukhari, Ibnu Hajar Askalani

15. Etika dan adab menuju tempat ibadah

16. Menjawab tuduhan-tuduhan Syiah

17. Kitab kumpulan-kumpulan fatwa

18. Siri khutbah jumaat dan hari raya

Karya dan karangan SMAW telah menunjukkan kepakaran dan keluasan ilmu beliau dalam gerakan memurnikan kembali akidah islam yang tercemar. Amat jarang kita dapati ulamak yang berkebolehan menulis puluhan atau mungkin ratusan karangan tanpa menguasai dan mendalami bidang tersebut terlebih dahulu lebih-lebih lagi beliau merupakan seorang reformer yang aktif sebagai mujahid membela agama. Perlu diingatkan juga bahawa kejayaan besar SMAW ialah memanjangkan dakwahnya ke istana-istana sultan setelah bertungkus lumus berusaha ke arah itu. Beliau hanya meneruskan tuntutan dakwah Nabi Muhammad SAW dan sahabat dan para rasul serta nabi sebelumya untuk menegakkan ajaran tauhid yang murni dan mengikis darinya amalan syirik, khurafat dan bidaah sesat (dhalalah) yang berleluasa. Kalau ditinjau dengan mendalam dan saksama , pegangan kaum muslimin pada masa kini juga tidak terlapas dari syirik dan khurafat. Kita lihat berapa ramai lagi umat islam yang masih mempercayai bomoh dan jampi, mempercayai amalan karut turun temurun dalam masyarakat melayu dan sebagainya. Ini juga menuntut satu usaha berterusan agar kemurnian akidah islam itu tidak terjejas.


Sambungan

Bahagian ketiga: Akidah Syeikh Muhammad Abdul Wahab

Isu Wahabi: Mari kita berbincang dan mengkaji (1/5)


Hari ini, Mingguan Malaysia di dalam rencana Pena Dr Asri, telah mengutarakan persoalan yang sering bermain di minda orang islam di Malaysia tentang isu Wahabi.

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang sentiasa dituduh wahabi telah menulis dengan agak jelas tentang isu ini. Boleh dibaca di sini dengan tajuk Misteri Istilah Wahabi.

Tukang Catat blog mundar mandir ini semenjak di zaman universiti (1998-2001)lagi telah mula mendengar isu wahabi. Terpanggil untuk mengetahui apakah sebenarnya wahabi, saya telah menulis sebuah ulasan buku tentang isu Wahabi pada tahun 2007. Di bawah diturunkan semula catatan yang agak panjang itu untuk tatapan bersama:

*****************************************************


Wahabi : Fakta dan Renungan Untuk Umat Islam
Oleh : Mohd Faizal Aziz

Bahagian Pertama

Penulis merasa terpanggil untuk melibatkan diri dalam perbincangan suatu topik yang hangat diperkatakan dalam media perdana akhir-akhir ini berkaitan persoalan wahabi atau pun gerakan wahabiah yang agak kontroversi dan berkait rapat dengan kita sebagai seorang muslim yang taat beragama. Tulisan ini bersumberkan satu buku kecil yang bertajuk Wahabi Dan Reformasi Islam Internasional karya Drs, Zainal Abidin Syihab dari Jakarta Timur pada tahun 1988 dan diterjemahkan semula ke dalam bahasa melayu oleh Ibnu Hussein dengan tajuk Gerakan Islah Muhammad ‘Abd Al-Wahab, Kenyataan dan Tohmahan dan dicetak pertama kali dalam bahasa melayu pada bulan Mei tahun 1997 oleh Penerbitan Nuur Publication, Kajang. Perlu disebutkan juga bahawa di bahagian akhir buku ini dilampirkan satu kertas kerja berjudul Syeikh Muhammad Abd Al-Wahab dan dakwahnya hasil tulisan Abdul Qadeer Mandeely dari Pejabat Am Hal Ehwal Agama dan Masjid Al Haram Makkah Al-Mukarramah, dalam siri Wacana Tokoh-tokoh Mujaddid Islam bertempat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 10 Julai 1994. Pertama kali mendengar persoalan tentang wahabi atau gerakan wahabiah ialah pada tahun-tahun pertama pengajian penulis di sebuah universiti tempatan dan kerap kali ia didengari dari mulut ke mulut dengan pandangan serong sehingga pada satu masa sehingga mencetuskan rasa ingin tahu tentang persoalan wahabi ini. Setelah hampir lapan tahun isu ini timbul kembali dan kesempatan ruang masa yang ada penulis cuba untuk sama-sama membincangkan isu wahabi ini dengan dada lapang dan sama-sama mengajak pembaca dan umat islam berterusan mencari ilmu tentang apa saja persoalan penting yang boleh menggoncang nikmat hidup beragama .

Sejarah Ringkas

Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab atau nama sebenarnya ialah Muhammad Abdul Wahhab bin Sulaiman bin Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Rasyid bin At-Tamimi dilahirkan di ‘Uyainah, di sebuah daerah di Utara Riyadh pada tahun 1115 H (1703 M). beliau membesar di bawah jagaan ayahnya yang juga seorang qadi di daerah tersebut. Menurut sejarah Syeikh Muhammad Abd Wahhab telah menghafal Al-Quran sebelum mencapai umur 10 tahun dan ini merupakan satu tanda kecerdasan otak beliau sebagai seorang muslim pada waktu itu. Beliau telah mempelajari Fiqh Hambali, tafsir Al-Quran, hadis dan sebagainya daripada bapanya. Sememangnya beliau sejak dari kecil amat menggemari membaca kitab-kitab tafsir, hadis, akidah serta menumpukan banyak perhatian beliau pada tulisan-tulisan karya syeikhul islam terkenal Ibn Taimiyah dan Al-Hafiz Ibnu Qayyim.

Setelah itu beliau berangkat ke tanah suci Makkah menunaikan ibadat haji seterusnya ke Madinah Al Munawarrah menziarahi masjid nabawi, menziarahi maqam rasululullah dan para sahabat. Selanjutnya mengikut sejarah, Syeikh Muhammad Abdul Wahhab mendalami pelbagai ilmu agama dari ulamak madinah seperti Syeikh Abdullah bin Ibrahim bin Saif, Syeikh Ali Afandi Ad Daghastani, Syeikh Muhammad Hayat As Sindi dan ramai lagi. Selepas itu beliau berangkat pulang ke Najd dan terus ke Basrah. Beliau tinggal di sana beberapa waktu dan mendalami ilmu agamanya daripada para ulamak terkenal di Basrah seperti Syeikh Muhammad Al Mujmu’I dan Al Allamah Malla Hamdu Al Jamil. Dalam perjalanan pulang kembali ke Najd, beliau sempat berhenti di Al Ahsaa’ dan mendalami pengetahuan agamanya dari Syeikh Muhammad bin Abdul Latif As Syafie.

Ketika pulang ke negerinya, beliau melihat telah banyak berlaku kemungkaran, kesyirikan dan kesesatan berleluasa di negeri Najd yang dilakukan oleh kaum muslimin pada waktu itu. Diriwayatkan pada satu masa beliau melihat dan mendengar orang meminta pertolongan dengan Rasululullah ( di makamnya) dan bukannya dengan Allah SWT lagi, lantas beliau bertanyakan gurunya tentang perkara itu. Lantas gurunya menjawab “sesungguhnya celekalah mereka itu dengan apa yang mereka itu padanya dan kekarutan yang mereka kerjakan”. Pada tahun 1158 H, beliau berangkat ke Dar’iah dan amir Dari’ah pada waktu itu iaitu Muhammad bin. Saud Amir Ad Dar’iah telah bersetuju dengan cadangan Muhamad Abdul Wahhab untuk berjuang berjihad di jalan Allah bagi melaksanakan tuntutan ‘amar ma’ruf dan nahi mungkar’ serta menegakkan kembali syiar islam yang semakin hari semakin dilitupi kegelapan. Walaupun ramai yang menaruh minat terhadap gerakan tajdid (pembaharuan) yang dibawa oleh beliau, tidak dinafikan beliau juga menerima tentangan dari pelbagai sudut untuk menghalang gerakan beliau. Orang awam sering terpengaruh dengan golongan penentang beliau disebabkan beberapa faktor seperti:

  • Pihak penentang beliau telah menulis surat kepada kerajaan Uthmaniah bagi meminta bantuan ketenteraan bagi memerangi gerakan Syeikh Muhammad Abdul Wahhab (SMAW). Mereka menakutkan kerajaan uthmaniah bahawa jika gerakan in tidak dibendung, kekuasaan kerajaan Uthmaniah lama kelamaan boleh lenyap
  • Menabur fitnah dusta menuduh SMAW telah membuat mazhab kelima, tidak mencintai Rasululullah, tidak menghormati wali dan merosakkan kuburan para tabi’in dan wali allah.
  • Golongan yang terikut dengan tradisi lama menghormati dan memuliakan kuburan para sahabat Rasulullah mennetang habis-habisan gerakan yang di bawa oleh SMAW demi untuk menjaga sumber rezeki mereka.
  • Sesetengah ulama’ tidak mendapat gambaran yang jelas dan tepat tentang SMAW dan dakwahnya. Mereka hanya mendengar daripada orang-orang yang hasad dan memburukkan SMAW tanpa merujuk terus kepada kitab-kitab karangan SMAW dan pegangan akidah beliau.

SMAW meninggal dunia pada 29 Syawal 1206 H (1793 M) dalam usia 90 tahun setelah mengabdikan diri selama lebih 46 tahun dalam memangku jawatan sebagai menteri penerangan Kerajaan Arab Saudi yang terkenal sebagai kerajaan wahabiah.

Bersambung di bahagian selanjutnya. Ikuti link di bawah