www.majalahsains.com

4/26/09

Baca Koleksi Tulisan Dr Maza di Montreal

Dr.Mohd Asri Zainul Abidin sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi di Malaysia. bahkan ketokohannya terkenal di serata dunia yang memahami tulisan dan dakwah berbahasa melayu beliau yang dimuatkan dalam laman web drmaza.com. Namun begitu, secara peribadi saya lebih suka membaca rencana tulisan beliau dalam bentuk buku dan akhbar. Dahulu setiap ahad, saya kerap kali menggunting keratan akhbar yang memuatkan tulisan Dr Maza dan menyimpannya sebagai koleksi. Waktu itu, mungkin ramai pembaca termasuk saya yang mengharapkan tulisan-tulisan beliau yang dimuatkan dalam kolum Pena Mufti dalam Mingguan Malaysia sepanjang beliau menjawat jawatan mufti akan dibukukan. Kini harapan tersebut menjadi kenyataan dengan munculnya buku Mengemudi Bahtera Perubahan Minda terbitan Utusan Publication & Distributor.


Di sini (Montreal) syukur kepada Tuhan kerana menemukan buku ini yang dimiliki oleh seorang sahabat, penuntut dari Malaysia saudara Abdul Hadi yang membawa buku tersebut dari Malaysia sebagai bahan bacaan dan rujukannya. Jarang kita dapat menemui seorang yang relatifnya masih muda minat membaca tentang perkara-perkara agama dan bahan-bahan yang boleh mencetuskan minat mendalam untuk memahami agama dengan sebenar-benarnya. Buku ini adalah sebahagian daripadanya. Tahniah Hadi!

4/23/09

Rindu Pesta Buku Kuala Lumpur ke-13 2009 Bhg #2

Ramai pencinta buku, golongan yang menghayati budaya membaca, pencinta ilmu serta pemburu buku tertunggu-tunggu saat ini. Saban tahun pesta buku antarabangsa kuala lumpur di adakan di PWTC. Tukang catat pertama kali menghadiri pesta buku antarabangsa KL sejak berada di tahun pertama UKM pada tahun 1998. Waktu itu, kenderaan utama ke PWTC ialah dari stesen komuter UKM ke Stesen Putra PWTC. Selepas mempunyai motosikal (Yamaha 100) ACG 4007 (pembetulan, ACG 4997), motosikal itulah yang menjadi kenderaan tunggangan dari Bangi ke PWTC. Kadangkala berpanas, kadang-kadang berhujan.

Selepas memiliki kereta Wira Aeroback, WHD8446 pada tahun 2003, keadaan sedikit berubah. Dengan harga parkir di Stesen Putra berharga RM3.50 pada waktu itu, saya puas melayan buku di Pesta Buku. Di zaman bercinta, pernah beberapa kali membawa bakal isteri (baca:kini isteri ) meladeni pesta ilmu di sana. Mujurlah kami mempunyai minat dan hobi yang sama tentang buku. Sesekali, kalau pulang ke kampung isteri di Kuala Pilah di hujung minggu, kereta ditinggalkan di Stesen Komuter Seremban, dan berangkatlah saya ke PWTC bertemankan sebuah buku bahan bacaan sambil menunggu komuter sampai di sana. Berseluar 'cargo slack' (senang untuk masukkan pen dan buku catatan kecil) dan sebuah beg sandang, sambil membaca buku di dalam komuter kelihatan agak 'cool' kata orang muda sekarang. :-)

Saya pernah menghabiskan sebuah buku yang baru dibeli di PBAKL berjudul Dua Dunia: Anis Sabirin hanya dalam perjalanan pulang ke Seremban dari Pesta Buku 2008.

Tahun ini, peluang ke PBAKL tidak kesampaian kerana berada di benua lain. Insyaallah lain tahun saya ke sana lagi. Cemburu juga melihat ramai kaki buku yang sudah menulis sebuah buku. Saya masih lagi terkial-kial. :-)

Banyak kisah-kisah menarik Pesta Buku kali ini di paparkan dalam blog-blog lain yang tersohor..Sememangnya dunia buku dan keindahannya sangat-sangat menawan sanubari sesiapa yang mencintainya!

Aduhai..rindu Pesta Buku!

4/18/09

Sekitar buku dan tabiat


Banyak entry yang masih tertangguh. Sekarang mood Pesta Buku ke-23 di PWTC Kuala Lumpur (2009). Jadi kesempatan mood yang ada saya ingin selitkan kisah-kisah buku, tabiat dan amalan membaca rakyat Malaysia dan budaya ilmu.

Baru-baru ini dikhabarkan budaya membaca di Malaysia berkembang subur. Baca di sini. Maklumat dari Pesta Buku ke-22 (2008) juga menunjukkan pertambahan mendadak pengunjung ke Pesta Buku. Kesimpulan awal ialah, mereka hadir melihat, membeli dan membaca buku. Sangat menarik untuk kita perhatikan suasana ini. Tetapi aspek mana perkembangan ini dilihat perlu diperhatikan dengan teliti. Misalnya,
  • apakah jenis bahan bacaan yang paling banyak dibaca
  • gerai buku manakah/apakah yang paling ramai dikunjungi
  • apakah hubungkait tabiat membaca dengan perkembangan intelektual di Malaysia
  • bagaimanakah tahap berfikir dan menilai kehidupan yang sedang dilalui oleh rakyat Malaysia
  • bagaimana pula dengan situasi jatuh bangun penerbitan bahan-bahan bacaan ilmiah yang sarat ilmu berbanding bahan bacaan ringan ( Baca kisah tamatnya riwayat majalah Massa (2004)oleh Ku Seman Ku Hussein di sini) juga fakta-fakta menarik dari Majalah-I (2004) di sini
  • pengaruh internet dan media online terhadap tabiat membaca
  • hubungkait tabiat membaca dan menulis

Banyak yang ingin dikongsikan tentang bagaimana tabiat membaca, penerbitan, kedai buku, tahap berfikir dan bertindak di negara maju yang boleh dibawa dan diamalkan di dalam negara..insyaallah bersambung lagi entry ini nanti..

4/9/09

Rindu Pesta Buku Antarabangsa KL 2009 ke 28 Bhg Pertama

Bagi pencinta buku, pemburu ilmu dan pencari kebenaran kebanyakannya sudah mengetahui dan mencatat di dalam kalendar bahawa setiap tahun akan diadakan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Tahun ini merupakan tahun ke 28 Pesta Buku ini diadakan di Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PDDP) bermula 17-26 April. Sejak 1998, tahun ini merupakan tahun pertama Tukang Catat terlepas mengunjungi 'pesta' ilmu gilang gemilang yang mengalahkan sebarang acara-acara lain di televisyen mahupun di mana-mana sahaja (mengikut ukuran pengunjung pesta ini).

Oleh itu di bahagian pertama kisah Pesta Buku ini saya turunkan fakta-fakta menarik tentang Pesta Buku dan perubahan pola membaca di Malaysia seperi yang dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14 Julai 2008. Fakta ini bertujuan untuk memberi lebih semangat dan keyakinan kepada seluruh rakyat Malaysia tentang peri pentingnya tabiat membaca dan mengembalikan kegemilangan tamadun ilmu yang suatu masa dahulu kita umat islam adalah juaranya.

Renungkan fakta-fakta berikut:


Fakta Perubahan Tabiat Membaca di Malaysia

  • pesta buku pertama diadakan pada tahun 1982 di Changkat Pavilion, KL jumlah pengunjung hanya 40,000

  • lebih sejuta pengunjung menghadiri Pesta Buku Antarabangsa KL ke 27 pada tahun 2007

  • 1.5 juta pada pesta buku antarabangsa KL 2008

  • kajian PNM (Perpustakaan Negara Malaysia) mendapati 98.8 peratus rakyat Malaysia membaca sekurang-kurangnya dua buah buku dalam tempoh setahun (data ini mungkin sudah tidak tepat)

  • sebanyak 56% peratus membaca antara 4-10 buah buku setahun dan 33.1 % membaca 12 buah buku setahun

  • jumlah pendaftaran ahli baru perpustakaan meningkat bagi lima bulan pertama 2007 seramai 15,396 orang manakala dalam tempoh yang sama dalam tahun 2008 seramai 17,551 orang

  • secara kumulatif, sehingga 5 julai lalu, sebanyak 788,541 rakyat Malaysia menjadi ahli perpustakaan

  • kerajaan berhasrat mencapai 100% kadar literasi pada tahun 2020

  • kempen gerakan membaca 1980, tahun membaca 1988, program budaya sekolah-sekolah terengganu 1992, projek bacaan awal universiti kebangsaan Malaysia 1995 dan program Nada Ilmu Amalan Membaca (NILAM) 1998

  • menurut kajian tempatan kadar literasi pada tahun 1957 adalah 57 peratus dan meningkat sehingga 74 peratus pada 1974

  • pada tahun 2005, profil membaca menunjukkan tahap kadar literasi rakyat yang berumur 5 tahun keatas lebih 90 %

  • pada peringkat umur 7 tahun, 97.8% kanak-kanak sudah mengenal huruf dan hampir 87.2 % boleh membaca dengan kelancaran sederhana

  • kerajaan terus giat membudayakan kegiatan membaca antaranya pelancaran kelab membaca kebangsaan yang dinamakan sinar pintar oleh raja permaisuri agung pada 2 julai 2008. ia diadakan sempena Festival Membaca 2008 di PWTC hasil kerjasama PNM dan perpustakaan awam seluruh Malaysia



bersambung ke bahagian seterusnya ...

4/5/09

Antara berita-berita yang meresahkan!

Banyaknya nak jadi artis

Utusan Online (5/4/09)

Setiap kali ada pertandingan mencari penyanyi baru, berduyun-duyun anak-anak muda yang layaknya menjadi pelajar mencuba nasib. Tengoklah berapa banyak yang menyertai saringan awal Akademi Fantasia 7 (AF7). Begitu juga dengan pertandingan bakat yang lain...

Selanjutnya baca di
Sini

Inilah antara bahana hiburan keterlaluan, lemahnya budaya ilmu, memeluk globalisasi secara membuta tuli tanpa adanya tapisan iman dan jatidiri bangsa yang kuat hinggakan apa sahaja bentuk hiburan yang datang dari barat, akan dikejar oleh anak muda bersungguh-sungguh.

Warga barat sememangnya sudah sarat dengan tamadun kebendaan mereka. Sebutlah apa sahaja, muzik, filem, fesyen, sains, teknologi, budaya ilmu, budaya kebersihan, pantas, cekap, bersungguh-sungguh kesemuanya sudah padat dan sarat di dalam fikiran dan tindakan warga barat. Oleh itu, mereka mencari alternatif untuk menghiburkan diri maka timbul lah bermacam-macam hiburan segera ciptaan mereka. American Idol, So You Think You Can Dance, Dacing With the Star dan puluhan lagi yang lain.

Umat islam, di Malaysia khususnya, kita belum lagi mencapai tahap tertinggi dalam ketamadunan 'benda' & keilmuan, malah masih lagi jauh tertinggal di belakang barat. Namun ramai anak muda melayu beragama islam sudah mula lupa akan falsafah hidup dan tujuan hidup mereka. Akibat pengaruh dari barat yang mengasak siang dan malam.


Saranan:

Marilah kita kembali merapatkan barisan umat dengan membetulkan balik apa yang sudah bengkok dalam mengenal erti hidup. Saya sarankan anak-anak remaja, pemuda-pemudi islam membaca buku di atas dan juga buku-buku lain mengikut tahap keupayaan diri masing-masing untuk mengenal jatidiri dan pegangan kita. Semoga kita tidak terjerumus ke lembah kehancuran dengan budaya hiburan keterlaluan (hedonistik).

Moga Allah jualah yang memberi hidayah!

~faizal~
Montreal, Kanada

4/4/09

Untuk mereka yang suka membaca dan berfikir

Dipetik dari laman web ASASI

Oleh:
Profesor Dr. Shaharir Mohamad Zain

Mentaliti Kita Terhadap Bahasa Inggeris Sesat dan Menyesatkan



Umumnya, temuramah ini banyak membicarakan kedudukan Bahasa Melayu dalam konteks pendidikan tinggi di negara kita. Dengan bahasa yang santai-santai, dan tentunya menghiburkan, Shaharir Mohammad Zain, mantan Presiden ASASI telah memaparkan bagaimana betapa sesatnya cara fikir masyarakat Melayu terhadap ketaksuban penggunaan Bahasa Inggeris. Banyak tamsil dan misalan keadaan yang ditunjukkannya, yang sememangnya tampaknya kena sekali. Di samping itu, mantan Timbalan Naib Canselor UKM ini juga turut mendedahkan bahawa bukanlah sesuatu yang mustahil untuk Bahasa Melayu turut berkembang global pada zaman globalisasi ini, terutamanya apabila Melayu itu disekutukan dengan Alam Melayu. Malah, baginya, ada negara yang berjaya menghadapinya, meskipun mereka adalah negara-negara kecil sekalipun. Maka, elok sangat kita jelajahi idea-idea profesor matematik-fizik ini tentang nasib Bahasa Melayu dewasa ini.

ASASI: Sewaktu mula-mula dasar Bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik ini dilaksanakan, sejauh mana anda pernah berurusan dengan Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir Mohammad, untuk memaklumkan pandangan anda?


SMZ: Saya dua kali bertemu (bersama dengan dua kumpulan cendekiawan Melayu yang berasingan) dengannya berkenaan soal tersebut. Akan tetapi semuanya setelah akhbar perdana menghebahkan dasar pendidikan Sains dan Matematik Sekolah yang baru itu sahaja dengan mendadaknya. Menteri-Menteri dalam UMNO termasuk menteri Pelajaran kononnya terkejut juga. Itulah kehebatan Mahathir! Dr. Mahathir sebenarnya telah membuat keputusan mukamadnya sendirian sebelum bersedia menemui mereka dijangkanya tidak akan bersetuju dengan dasarnya itu (yang dicapnya sebagai “ultra-nasionalis” itu). Namun, Dr. Mahathir bersetuju “berdialog” dengan kumpulan beberapa buah kumpulan ini (secara senyap kerana tidak disiarkan dalam akhbar, suatu tektik kerajaan supaya orang Melayu tidak mengetahui reaksi sebenar cendekiawan Melayu) walaupun sebenarnya dia lebih mahu memberi taklimat sebab-sebab beliau mahu dasar baru pendidikan Sains dan Matematik Sekolah itu. Dia memberi peluang kami bercakap dahulu (beberapa orang yang diizinkannya, termasuk saya). Akhirnya Dr. Mahathir hanya cakap apa yang dia mahu sahaja (dengan tidak menghiraukan apa yang telah kami perkatakan) dengan alasan-alasan mendatarnya dan biasa itu seperti bahasa Inggeris bahasa ilmu, bahasa asal ilmu, tiada cukup ilmu dalam bahasa Melayu, meningkatkan kefasihan bahasa Inggeris kerana zaman globalisasi, tidak mahu maju seperti Jepun dan tak mahu para diplomat kita semakin tidak petah berbahasa Inggeris. Beliau juga dengan naifnya beriya-iya menegaskan pengajaran dalam bahasa Inggeris kini boleh dilakukan dengan mudah (katanya dengan bersungguh-sungguh “guru pun boleh ikut sama”) dengan menggunakan teknologi maklumat (TM). Kami sudah perkatakan semua aspek ini semasa beliau memberi peluang kami bercakap, tetapi seolah-olah dia tidak mahu dengar sahaja kerana akhirnya dia merayu kami (sehingga beliau menangis!) supaya mengizinkan beliau (jangan membantah lagi) meneruskan rancangannya sahaja. “Percayalah saya buat ini untuk kebaikan bangsa,” itu kata akhirnya dan kesimpulannya.

Dr. Mahathir tetap dengan pendiriannya. Umpamanya, reakasinya tentang kononnya pelajar semakin berminat dan mendapat keputusan yang baik dalam Sains dan Matematik Sekolah (setahun selepas dasarnya dilaksanakan) beliau dengan cepat menyatakan itulah natijahnya jika kita belajar dalam bahasa asal ilmu. Beberapa hari selepas itu, ASASI (di bawah pimpinan saya) menyanggah pandangan Dr. Mahathir itu secara terbuka. Ringkasnya, ASASI menegaskan setiap orang yang ikhlas dan tahu sedikit sejarah sains dan matematik apa yang ada dalam Bahasa Inggeris itu bukannya berasal dari ilmu tamadun Inggeris. Bahasa Inggeris itu sudah beberapa tapis dah dipinjam sebelum itu. Kalau abad ke-13, Bahasa Arab yang menguasai; abad ke-15 hingga ke-17, Latin; mulai abad ke-16, Bahasa Perancis pula; dan, kalau abad ke-17 hingga 19 Bahasa Jerman dan Perancis yang kuatnya. Manakala, Bahasa Inggeris ini cuma pada abad ke-20 saja. Itupun hanya di peringkat universiti sahaja. Kalau dari peringkat sekolah, sebenarnya tidak ada negara maju sains dan matematik sekarang pun (yang ada dan ingin memperkukuhkan budaya sendiri) yang menggunakan Bahasa Inggeris selain daripada negara-negara Anglo-Saxon itu (UK, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan sebahagaian Kanada).


ASASI: Tapi, mungkin Dr. Mahathir ikhlas dengan keputusan itu?


SMZ: Hmmm, kalau ikhlas pun dia bertidak di atas landasan yang tidak betul. Malahan kalau tanya orang-orang sekarang, ramai yang berkata Dr. Mahathir memang tidak ikhlas. “Dia buat itu kerana kroni dan duit” kerana ternyata Projek Pengajaran dalam Bahasa Inggeris begitu pantas dilakukan: sudah ada nama-nama kontraktornya meskipun dasar itu baru diumumkan. Perisian komputer sudah siap …. dan sebagainya.


ASASI: Barangkali Dr. Mahathir sebak di dadanya (menangis) di hadapan para cendekiawan yang mengadapnya itu kerana mungkin dia tidak dapat menjawab sanggahan-sanggahan terhadap dasar bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik Sekolah itu. Apa pun, apakah alasan-alasan yang boleh dianggap agak kukuh yang digunakan oleh Dr. Mahathir untuk membenarkan tindakannya?


SMZ: Seperti yang saya sebut di atas, sebab-sebabnya remeh-temeh sangatlah. Pertama, katanya, mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris boleh meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris. Saya fikir dia tidak menghiraukan langsung (kalaupun dianggap dia tahu sebelum kami memberi tahu pada pertemuan itu) hasil penyelidikan tentang hal ini yang dilakukan di banyak buah negara termasuk Kanada dan Amerika Syarikat. Nampaknya dia tidak kisah hal peningkatan pencapaian pelajar dalam subjek sains dan matematik itu sendiri… dia taasub dengan bahasa Inggeris… seoalah-olah hatinya berkata kalau kurang berjaya dalam pencapaian subjek tak apa asalkan Inggeris meningkat! … seolah-olah hatinya berkata kalau bahasa sendiri terpinggir tak apa asalkan bahasa global Inggeris itu meningkat dan mungkin juga subjek berkenaan juga boleh meningkat! Sekarang, saya difahamkan sudah ada yang buat penyelidikan di Malaysia sendiri (setelah dasar ini berjalan beberapa tahun ini) yang menunjukkan bahawa keputusannya adalah sama seperti yang dibuat di seberang laut beberapa tahun dahulu lagi itu: Makin teruk pencapaian pelajar sains dan matematik sekolah itu dan tiada pula peningkatan pelajar yang sama dalam Bahasa Inggerisnya, dasn pencapaian bahasa sendiri pun (Melayu) pun merosot. Saya harap kerajaan sekarang telah berubah dan kembali kepada dasar asal!


ASASI: Tapi kalau disemak dengan arus globalisasi, tuntutan terhadap penggunaan Bahasa Inggeris memang cukup tinggi. Jadi, dengan lingkungan sebegini, bagaimana Bahasa Melayu dapat bertahan dalam keadaan sebegini?


SMZ: Itu adalah persoalan yang dihadapi oleh semua bangsa, dan semua bahasa. Hatta bahasa Perancis dan Jerman sekalipun, dua buah negara yang mencipta sains dan matematik mengatasi bangsa Inggeris sejak dahulu hingga sekarang. Mereka turut menghadapi masalah ini. Namun, mereka tidak pula menukar dasar pendidikan mereka. Yang pentingnya, mereka mencari jalan untuk mengajar Bahasa Inggeris ini dengan lebih berkesan lagi menerusi pendidikan/pengajaran mata pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri. Malah, kalau kita lihat, seperti yang oleh orang pro-dasar mahathir, China dan Jepun pun semakin menekankan kepada penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan bangsanya. Memang betul, China menjadi salah satu negara yang mendadak giatnya mahukan para pelajarnya tahu Bahasa Inggeris. Namun di sekolahnya, tidak ada penggunaan Bahasa Inggeris macam kita ini. Mereka masih belajar ilmu sains dan matematik dalam bahasanya sendiri. Soalan-soalan peperiksaan sains dan matematik di peringkat antarabangsa untuk pelajar-pelajar China, Jepun , Korea dan lain-lain negara-bangsa yang tidak terjajah minda pemimpinnya (termasuk Vietnam, Thailand dan Indonesia), semuanya dalam bahasa mereka masing-masing sahaja, dan pelajarnya memperoleh pencapaian yang gemilang pula sehingga sering mengatasi pelajar Anglo-Saxon pula!

Dalam perihal pembelajaran bahasa Inggeris, di Belanda umpamanya (yang bilangan penduduknya jauh lebih kecil daripada Malaysia), saya diberitahu bahawa Bahasa Inggeris hanya mula-mula diperkenalkan pada pelajar tingkatan satu sahaja; tapi macamana Belanda dapat terus hidup di tengah-tengah benua Eropah itu dalam bahasanya sendiri. Banyak negara seperti ini di Eropah yang bijak menangani isu bahasa global tanpa meninggalkan bahasa dan kebudayaannya sendiri. Inilah kebijaksanaan negara-bangsa yang maju-maju itu yang perlu kita contohi, tidak seperti yang cuba dilakukan oleh pemimpin Malaysia dan negara-negara terjajah minda pemimpinnya, atau pemimpin yang merasa inferior kerana bahasa dan kebudayaannya sendiri.


ASASI: Ya, samalah juga dengan pengalaman kita dewasa ini. Universiti kita menukar dasar bahasa pengajaran kepada Bahasa Inggeris, salah satu alasanya adalah untuk meraikan pelajar luar negara. Namun, yang ada hanya dua orang pelajar asing sahaja di dalam kelas yang terdiri daripada 30 lagi pelajar tempatan.


SMZ: Itu memang perangai Melayu Malaysia! Apabila dia berkomunikasi dengan bangsa lain yang mahu menggunakan bahasa Melayu pun dia rasa tidak senang, malah mahu menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu telor bangsa yang di hadapannya itu. Bahkan amat jarang orang Melayu Malaysia yang bercakap dengan orang Indonesia dengan gaya bahasa Melayu Malaysia! Hal inilah yang terjelma dalam konteks pengajaran yang sdr. sebutkan itu, dan dalam upacara perasmian mana-mana khalayak seperti itu. Saya katakan perangai Melayu Malaysia kerana Melayu Indonesia lain sekali, apatah lagi bangsa-bangsa maju yang lain. Bagi Melayu Malaysia nampaknya 50 tahun merdeka tetapi masih tidak berubah, malah nampaknya semakin berminda penjajah! Negara-Negara Maju dalam bahasanya sendiri tidak pun menyahut globalisasi dengan menjadikan bahasa pengantar sains dan matematik di sekolah dan di universiti-universitinya kepada bahasa pengantar Inggeris, walaupun mereka juga mengakui kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi global.


ASASI: Ya, padahal kita tengok saja seminar Seminar Sehari Sains Matematik Rumpun Melayu yang dianjurkan oleh INSPEM, UPM baru-baru ini pun bahasa Melayu masih dipersaksikan kehebatannya. Ketika itu ada Dr. Bill Barton, penceramah undangan dari The University of Auckland. Seminar itu tetap dijalankan di dalam bahasa Melayu sepenuhnya. Apabila beliau diminta oleh pihak penganjur seminar supaya memilih tidak berada di sepanjang seminar itu, beliau menjawab “I’m happy in this Seminar, I’ll stay.” Mungkin benar dia tidak pun terasa tidak dirai/dihormati! Saya dapat tahu Dr. Barton begitu berminat dengan makalah-makalah di seminar itu sehingga pelajarnya dari Malaysia dimintanya menterjemah beberapa makalah yang dia minatinya. Namun bukankah ini membantut penyebaran ilmu kita?


SMZ. Saya lihat seminar INSPEM itu satu kelainan yang amat positif dan tentunya dihormati oleh sarjana-sarjana Negara Maju seperti Barton itu. Ilmu yang bermutu sentiasa dikejar oleh bangsa yang menghargai ilmu itu, walau dalam bahasa apa sekalipun. Hal yang berlaku pada Dr. Barton itu tidaklah perkara yang aneh dalam dunia akademik. Saya kadang-kadang melakukannya hal yang sama seperti Dr. Barton itu untuk bidang penyelidikan saya dan saya percaya ramai sarjana kita yang sering meminta pihak tertentu menterjemah ilmu yang diminatinya daripada bahasa lain daripada bahasa Inggeris seperti Jerman, Perancis, Pertugis, Sepanyol atau Jepun. Selain daripada itu, memang ada beberapa tulisan saya dan rakan-rakan saya dalam bahasa Melayu yang ternyata dirujuk oleh sarjana-sarjana di luar Alam Melayu ini sekalipun (di Eropah, Amerika Syarikat, di negara-negara di Asia). Sekali gus kebudayaan Melayu (khususnya bahasa Melayu) dikenali oleh sarjana-sarjana ini menerusi ilmunya.

Bahasa perantaraan ilmu sebenarnya mengikut kesesuaian khalayak sahaja. Seseorang sarjana tulen harus bijak menyesuaikan dirinya dengan khalayaknya. Perkara yang sama yang dilaporkan atau dibicarakan di seminar INSPEM itu tentunya lebih sesuai dibicarakan dalam bahasa L jika majoriti hadirinya berbahasa L. Namun memang benar, kajian bibliometrik sarjana Dunia Ketiga memang menunjukkan sarjananya suka menulis dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa penjajahnya yang lain kerana mereka merasakan tulisannya tidak akan dibaca orang jika ditulis dalam bahasanya sendiri. Hakikatnya penyelidikan bibliometrik itu juga menunjukan jumlah tulisan daripada sarjana Negara Ketiga ini tidak melebihi 5% daripada keseluruhannya, dan bilangan yang dirujuk oleh sarjana-sarjana Negara Maju itu pun amatlah sedikit sekali sama seperti tulisan itu ditulis dalam bahasanya sendiri sahaja. Jadi budaya menulis ilmu dalam bahasa bukan bahasa sendiri ini lebih merupakan “syok sendiri” sahaja; dan yang lebih tidak disedari lagi ilmu itu tidak mungkin menjadi ilmu bangsanya! Bagaimana kita mahu membangun tamadun bangsa sendiri, seperti yang dilaung-laungkan itu, jika tiada khazanah ilmu sains dan matematik dalam bahasa kita sendiri? Saya tidak mengatakan sarjana kita tidak sepatutnya menulis dalam bahasa global semasa (Inggeris khususnya) tetapi dia perlu bertindak seimbang (sekurang-kurangnya sekali-sekali menulis dan berkomunikasi juga dengan bahan karyanya dalam bahasanya sendiri). Seseorang sarjana yang tidak pernah menulis karyanya dalam bahasanya sendiri tidak mungkin menjadi sarjana bangsanya dan menajdi penyumbang ketamadunan bangsanya. Dia hanya sarjana satelit bangsa lain sahaja! Dia pengukuh tamadun bangsa lain sahaja! Kita masih terlalu ramai melahirkan sarjana seperti ini dan dasar pendidikan berpengantarkan bahasa Inggeris akan mengukuhkan keadaan ini lagi.


ASASI: Jadi, makna antarabangsa kepada kita itu nampaknya terbalek. Kita tenggelam dalam mereka?


SMZ: Ya, nampaknya kita kena buang yang kita ada, dan ambil yang mereka, baru konon-kononnya kita jadi antarabangsa. Maka, tidak ada usaha untuk mengantarabangsakan yang kita, sama ada dari segi ilmu, kebudayaan, atau sebagainya. Sedikit sahaja yang sedar agaknya bahawa cara begini paling-paling baik sekali pun kita hanya menjadi satelit mereka yang sudah maju itu dan yang pastinya kita hanya menjadi pak turut, jurujual ilmu dan tukang sorak ilmu sahaja.


ASASI: Tapi ada satu ulasan dari ahli etnomatematik, yang juga disebut sama oleh Dr. Bill Barton tersebut, bahawa globalisasi ini memberi dua implikasi. Yang pertama, ialah budaya tempatan akan tenggelam, macam, yang terdekat dengan kita, singapura. Yang kedua, budaya tempatan akan menjadi antarabangsa, macam negara-negara yang kini kita kelaskan Negara-Negara Maju itu. Jadi, itu semua bergantung kepada kita untuk memilih implikasi yang mana. Bukan begitu?


SMZ: Ya, memang macam itu. Jadi, kenapa globalisme ini dipopularkan oleh barat sebab mereka mahu semua orang ikut caranya. Memang itu yang mereka mahu.


ASASI: Tapi, implikasi yang kedua, adalah lawan kepada yang sebelumnya.


SMZ: Ya, yang kedua sebenarnya, kalau kita mahu benar-benar mempertahankan bahasa-kebudayaan kita, maka yang kita juga akan cepat jadi global. Namun kebanyakan kita ini terdiri daripada manusia yang mindanya terjajah atau terpasung. Jadi, kita redha dan malah mahu menenggelamkan budaya sendiri sepertimana dalam implikasi yang pertama tadi, kononnya demi memperoleh kemajuan! Kita anggap, kita tak boleh lawan mereka! Kita tidak pernah insaf bahawa implikasi globalisme pertama itu yang kita redha berlaku itu sebenarnya tidak akan menjadikan kita lebih maju seperti yang kita impikan itu. Teori sandaran teori dan dalil empiris yang boleh berlakunya impian itu!

Benar dengan globalisme kita terasa lebih terhimpit untuk maju dalam acuan kita sendiri, sebab dengan globalisme, kita akan diserang dengan agresifnya untuk meninggalkan kebudayaan kita. Dulu secara tabii sahaja. Sekarang, suasana tidak begitu lagi. Misalnya, ada tekanan untuk tidak mengajar/mendidik anak bangsa kita perkara-perkara yang kononnya tidak mudah diakui antarabangsa (=pemain globalis sekarang) yang setengah berselindung di sebalik nama-nama yang hebat seperti ISO, dan macam-macam lagilah. Padahal, itu semua nilai, cara dan piawai mereka. Jadi, akhirnya memanglah kita gagal membina nilai, cara dan piawai kita sendiri yang dahulunya kita amat percaya keunggulannya seperti nilai-nilai Islam umpamanya. Walhal, sepatutnya kita boleh pergi mencipta implikasi kedua tadi.


ASASI: Dr. Bill Barton ini nampaknya menulis tentang politik juga, antaranya hubungan antara etnomathematik dan politik. Sebab tentunya etnik dan politik akan ada kaitan. Malah, di negaranya, di New Zealand, di pihak orang Maori, Mat Salleh itu memang musuhnya. Kiranya Dr. Barton ini ada sentimen Maori juga. Mungkin macam Ubiratán D´Ambrosio jugalah, iaitu pengasas bidang etnomatematik ini.


SMZ: Ya, D´Ambrosio itu sarjana Brazil yang sering juga menulis dalam bahasa penjajahnya, Portugis, selain bahasa yang dianggap lebih global, bahasa Inggeris. Bahasa Brazil memang telah lama diabaikan, tetapi beliau seorang terkecuali dalam arus kesarjanaan di negaranya yang menginsafi keperluan menggali khazanah lama tamadun bangsanya. Bill Barton juga sarjana kecuali di New Zealand yang mendapat didikan atau inspirasi daripada D’Ambrosio dan ditambah pula dengan, saya difahamkan, beliau juga ada darah Maorinya. Sebenarnya ada satu lagi faktor yang menyebabkan semakin ramai sarjana Barat sekalipun berminat pada kebudayaan lain untuk kerja penyelidiannya. Faktor itu ialah terbit daripada keyakinan mereka bahawa kebudayaan lain juga kaya dengan idea-idea yang lain daripada idea yang telahpun habis terbongkar daripada kebudayaannya sendiri. Sekaligus inilah juga menjadikan terbongkarnya kebodohan sarjana-sarjana Dunia Ketiga yang mahu mengabaikan kebudayaannya sendiri itu.


ASASI: Yang menariknya, Dr. Barton ada menyatakan terkejutnya beliau bahawa di Malaysia terdapat ahli matematik tulen yang terlibat dalam etnomatematik. Berbeza di tempatnya kerana yang terlibat adalah terdiri daripada ahli pendidikan, ahli sosiologi dan ahli sejarah sahaja. Bukankah ini bermakna kita kita lebih maju daripada mereka, sekurang-kurangnya berbanding New Zealand? Bukankah kita akan lebih pantas dikenali lagi di seluruh dunia jika kumpulan etnomatematik Malaysia ini lebih agresif menghebahkan penulisannya dalam bahasa Inggeris sahaja?


SMZ: Pada saya, matlamat saya ialah untuk mencari kebenaran saja. Tidak kiralah dalam bahasa apa pun. Jadi, saya tidaklah kejar sangat menulis dalam Bahasa Inggeris, dalam erti kata “sikit-sikit dalam bahasa Inggeris sahaja”. Namun ini tidak bermakna kami tidak menulis dalam bahassa Inggeris terutamanya apabila kami dipinta berbuat demikian seperti Prof. Frank J. Swetz (seorang ahli etnomatematik) meminta saya menulis tentang angka Melayu, maka saya tulislah A Note on the Decimal System yang kemudiannya diterbitkan di Humanistic Mathematics Network Journal terbitan Amerika Syarikat dalam isu 2001 yang sebahagiannya sudahpun terbit dalam jurnal matematik Malaysia (dalam bahasa Melayu terbitan 1997 yang diketahui oleh beliau). Begitu juga dalam Seminar Fizik Kebangsaan 2007 di Kuala Terengganu sebelum ini yang saya paparkan kritikan (dalam bahasa Melayu) terhadap Teori Kenisbian Einstein mengikut perspektif kebudayaan Melayu. Pihak penganjur mohon saya tulis dalam Bahasa Inggeris (dengan lebih ringkas lagi) sebab mereka mahu terbitkan dengan kerjasama American Institute of Physics (AIP). Maka saya menerima baik harapannya itu dan tulisan saya itu kini sudah terbit dalam penerbitan AIP itu dan sekaligus saya dapat mengetengahkan karya-karya saya yang terdahulu dalam bahasa Melayu menerusi rujukan-rujukan saya dalam makalah itu. Dalam penulisan dalam bahasa Inggeris dari kalangan sarjana bukan Inggeris di Eropah pun banyak yang seperti ini, iaitu mengandungi rujukan karya dalam bahasa bukan Inggeris. Jadi, ini satu daripada unsur budaya dunia akademik.

Sebenarnya, saya nak buat macam Jepun. Maknanya, idea awal kita dalam Bahasa Melayu, dan kemudian pada satu tahap yang sudah agak matang (dalam bahasa Melayu) maka barulah hebahan ilmu itu dalam bahasa Inggeris dengan rujukan-rujukannya dalam Bahasa Melayu dilakukan dengan penuh keyakinan. Kadang kala ini boleh berlaku hampir serentak, walaupun biasanya tidak. Memang banyak jugalah karya saya macam itu. Jadi, apabila mereka tertarik dengan makalah kita, maka mereka terpaksa belajar Bahasa Melayu untuk tahu lebih lanjut, ataupun sekurang-kurangnya suruh orang lain yang terjemahkan.


ASASI: Saya dimaklumkan oleh seorang rakan seperjuangan Dr. bahawa buku Dr. iaitu, Pengenalan Sejarah dan Falsafah Sains, terbitan pertamanya 1987 dan suntingan ke-2-nya 2000 itu telah menjadi rujukan dekat Gerhard Mercator University. Buku itu mereka gunakan sebagai rujukan dalam bidang Sains Islam. Betulkah begitu?


SMZ: Begitulah yang saya dimaklumkan juga. Bahasa Melayu di Eropah bukanlah bahasa asing seperti yang dibayangkan oleh para pecinta Inggeris. Mungkin sebab peranan Belanda terutamanya yang menjadikan bahasa Melayu Indonesia dikenali di Eropah. Ini menjadi satu lagi contoh kepada sarjana kita bahawa penulisan dalam bahasa Melayu juga dibaca oleh orang-orang Eropah. Saya menulis buku itu untuk masyarakat Malaysia sahaja! Ini sesuai dengan satu daripada matalamat ilmu iaitu untuk menyelesai masalah umat sarjana itu dahulu dan jika penyelsaiannya bagus, makaumat lain pun turut mengambilnya untuk menyelesaikan masalah umatnya pula … begitulah tabii ilmu… sebenarnya. Mengambil contoh lain, alangkah peliknya saya dapati ahli sains biologi kita tidak dapat mengenali/memberi nama sains setiap pokok dan haiwan yang ada di tanah airnya sendiri sebelum haiwan itu diterjemahkan kepadas bahasa Inggeris! Ada banyak hidupan kita yang tiada terjemahan dalam bahasa Inggeris pun. Saya pernah menyenaraikan nama-nama hidupan ini yang dipakai dalam peribahasa Melayu dan ternyata ahli biologi kita tidak mengenalinya dan yang menyedihkan saya, nampaknya mereka tidak juga tercabar pun! Siapa yang patut menyelesaikan masalah ini kalau bukan ahli sains kita sendiri? Perkara seperti ini berlaku dalam semua bidang ilmu kerana kita salah faham tujuan mencari atau berkarya ilmu!


ASASI: Tapi, mungkin sukar untuk berjaya jika gerakan ini hanya sendirian?


SMZ: Saya buat begitu sebab saya tidak kejar Key Performance Indicators (KPI) yang menjadi dasar rasmi semua universiti sekarang. Sebenarnya, benda ini perjuangan. Dan mahu cari orang yang berjuang, memanglah susah. Kalau perjuangan kita, hanya menunggu habuan rupawi, maka tidak ada apa-apalah. Sebenarnya, sebelum Malaysia dihanyutkan oleh pengejaran “globalisme” dan “taraf dunia” kerja yang seperti saya lakukan ini pernah menjadi dasar institusi, sekurang-kurangnya di UKM. Ramailah sarjana masa itu nampaknya mahu berkarya dalam bahasa Melayu di samping dalam bahasa Inggeris. Sejak alaf ini, “gerakan” ini malap dan semacam padam. Namun sekarang pun saya tidak bersendirian: kumpulan saya (atas nama ASASI, MATEMADESA, atau KuPELEMA) tetap bergerak merealisasikan impian menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu SAKTI (sains, kesihatan, kejuruteraan dan teknologi), sama seperti, kalau boleh saya bandingkan, dengan kumpulan sarjana Perancis abad ke-16 (diketuai oleh Mersenne dengan ahlinya termasuklah Descartes, Fermat dan Pascal) yang berjuang menjadikan bahasa Perancis sebagai bahasa sains dan matematik bagi menggantikan bahasa Latin.

Yang masalahnya, masih ramai sarjana kita yang merasa dirinya bagus hanya apabila mereka menulis dalam Bahasa Inggeris, iaitu menghayati ungkapan terkenal seorang pelakon popular yang mengatakan “I sound stupid when I speak Malay”. Padahal, orang Inggeris ini tidak juga pernah baca pun tulisan kita!


ASASI: Saya terdengar bahawa Pusat Penterjemahan Negara Malaysia (ITNM) sedang bergiat untuk menterjemah (kepada bahasa Inggeris) karya-karya agung Melayu iaitu karya sarjana Melayu abad sebelum kurun ke-18 dahulu seperti buku Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu itu. Bukankah ini aneh?


SMZ: Memang songsang! Tugas ITNM asalnya ialah untuk menterjemah karya-karya agung bangsa lain ke dalam bahasa kita dan sekaligus mencipta zaman penterjemahan kita sendiri sebagaiana yang berlaku pada bangsa-bangsa yang telah maju itu. Mana-mana karya agung kita yang sedia ada memang pastinya sudah diterjemah oleh bangsa-bngsa besar dunia itu. Khususnya buku Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu dan lain-lain karya agung Melayu itu memang sudah diterjemah ke bahasa-bahasa besar Eropah (termauk Inggeris) sejak zaman Inggeris, Belanda dan Perancis menjajah di Alam Melayu ini dahulu lagi, dan dilakukan oleh sarjana-sarjana mereka sendiri. Orang Eropah lebih awal tahu ilmu kita itu dan tak perlu kita menyuruhnya membaca sekarang! Kita yang perasan sahaja…


ASASI: Tapi baru-baru ini ada juga buku bahasa lain (terutamanya Inggeris) yang diterjemahkan oleh ITNM. Adakah Dr. fikir pilihan buku-buku itu wajar?


SMZ: Buku-buku yang saya tahu itu adalah buku yang bukan bertaraf karya besar Inggeris. Umpamanya mereka terjemah buku sejarah matematik yang bukan dianggap karya besar, malah banyak fakta yang sudah ketinggalan zaman pula atau terlampau berpusatkan Eropah. Inilah hasil kerja yang tidak dirancang atau dirundingi dengan sarjana. Jika mereka serius dengan buku sejarah sains tentunya buku Introduction to the History of Science, oleh George Sarton itu menjadi pilihan utama dan disanjung tinggi oleh ramai pihak. Kalau yang agak baru dan sesuai dengan hasrat yang tesirat dalam Wawasan 2020 yang mahu “maju dalam acuan sendiri” tentunya terjemahan buku-buku sejarah dan falsafah sains yang mengupas tabii sains yang tidak bebas nilai atau sarat dengan nilai penciptanya/pengaryanya patut menjadi pilihan seperti buku klasik The Ethnomethodological Foundations of Mathematics tulisan Eric Livingston 1987. ITNM sebenarnya memerlukan reformasi besar setelah tujuan dan falsafah penubuhan sudah dihanyutkan oleh arus dasar “pengInggerisan sains dan teknologi negara” dan “pengkomersilan ilmu” sejak alaf baru ini. Pendokong Mahathirisme mengatakan terjemahan tidak relevan dan tidak mampu melonjak ilmu bangsa kita kerana kononnya tidak terkejar dengan penerbitan buku-buku dalam bahasa Inggeris itu. Tiada bangsa maju dalam dunia ini yang tidak melakukan terjemahan hatta bangsa Ingeris sekarang masih melakukan terjemahan ilmu dari bahasa-bahasa lain. Tinjauan saya tentang pengeluaran buku sains matematik (termasuk teknologi maklumat) dalam bahasa Inggeris ialah sekitar 450 buah sebulan tetapi yang mengandungi ilmu baru tidak sampai 10% pun dan yang akan menjadi buku klasik lagi sedikit. (Lihat Warkah Berita PERSAMA 2005) Sekarang kita sudah ada lebih kurang 1000 orang sarjana dalam sains dan matematik. Bayangkan kalau ITNM berjaya memobilsaikan “modal insan” ini. Tentunya kita boleh membuktikan Mahathirisme itu tidak berlaku pada bangsa kita juga bukan sahaja memang telah tidak berlaku pada bangsa-bangsa yang telah maju itu.


ASASI: Ya, memang menarik. Sebab Livingston ini menunjukkan bagaimana Bukti Gödel (teorem Gödel tentang ketidaklengkapan matematik) juga merupakan bidang etnomatematik (matematik yang sarat dengan nilai-nilai Jerman, karya asalnya pun dalam bahasa Jerman). Jadi gagasan matematik ini adalah juga gagasan pengetnomatematikan, pemeribumian matematik atau pemajuan matematik mengikut acuan sendiri. Namun selalu dikatakan orang, bahawa secara sistematik matematik adalah sama dengan lojik/mantik yang walaupun sudah dibuktikan oleh Russell tidak tepat sejak 1950-an dahulu lagi. Jadi, karya Livingston ini tentunya sukar diterima lagi oleh masyarakat Malaysia khususnya.


SMZ: Ya. Ulasan itu memang benar. Sebenarnya masyarakat malah sarjana kita pun tidak sedar bahawa kalau pun benar sains atau matematik itu mantik atau lojik sahaja, itu tidak menjadikan hasilnya terus semesta, sejagat atau objektif sahaja seperti yang difahami selama ini. Ini ialah kerana mantik itu sendiri tidak semesta: mantik Yunani, Ya-Tak, (mantik 2-nilai, aljabar Boole) itu tidak semestinya benar, malah terbukti tidak benar dalam dunia atom (Mekanik Quantum) dan tentunya tiada manusia sebenar menggunakannya dalam membuat apa-apa keputusan sehingga kini dibina mantik kabur, mantik pelbagai bahasa dan bangsa (mantik Melayu umpamanya dikatakan sebagai “mantik budi”) dan mantik undang-undang (mantik awa-tersaur).


ASASI: Tapi apakah KPI tidak ada diindeks untuk kegiatan terjemahan?


SMZ: Mana ada sukatan “impak” untuk terjemahan? Sebab itu sarjana kita sekarang tiada yang berminat dalam peterjemahan! Sebab itu saya katakan, kita punya mentaliti terhadap Bahasa Inggeris memang sesat dan menyesatkan. Ini menjangkau hingga kepada nama institusi atau pusat-pusat penyelidikan kita. Misalnya setiap universiti kini nampaknya menjenamakan semula pusat-pusat penyelidikannya sabagi RMC daripada Research Management Centre, dan Universiti Terbuka kepada Open University, Pusat Penyelidikan Tenaga Nuklear kepada MINT daripada Malaysian Institute for Nuclear Technology Research , dan banyak lagi …, semata-mata kerana mereka fikir bahawa mereka lebih mudah mencapai taraf antarabangsa menerusi nama Inggeris itu.

Sehubungan dengan ini saya sedih dalam marah apabila tengok nama Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) tiba-tiba dihapuskan dalam hebahan program The Asian Technology Conference in Mathematics, dan digantikan dengan terjemahannya Malaysian Mathematical Scieces Society, tentunya atas sebab yang sama. Dashyat betul!

Mungkin mereka ini jugalah yang merasa malu dengan namanya sendiri yang tidak keInggerisan! Memang pun kerana majoriti sarjana Melayu kita menggunakan nama bapanya sebagai nama sarjananya!

WACANA ILMU


WACANA ILMU


Tajuk : Upaya Bahasa Melayu Sebagai Wahana Ilmu Perubatan

Penceramah : Pengarah Pusat Perubatan UKM, Profesor Dato' Dr Lokman Saim

Tarikh : 10 April 2009
Masa : 9.00 pagi
Tempat : Dewan Seminar, Aras 2, Dewan Bahasa & Pustaka
Kuala Lumpur


Anjuran :
Persatuan Linguistik Malaysia
(PLM)
dengan kerjasama DBP


Maklumat lanjut sila hubungi Pn Zaiton Ismail (zaiton3@dbp.gov.my)/03-21482797
atau
Dr Zaitul Azma Zainon Hamzah (azmahamzah@yahoo.com)
sebelum 6 April 2009