www.majalahsains.com

3/24/09

Lawan dengan hujah & fakta, bukan emosi

Sebagai salah seorang yang menyanjung tinggi budaya ilmu dan membaca, saya berpendapat tidak ada manfaat sekiranya kita terus berhujah dengan para penyokong PPSMI yang hanya bersandarkan kepada hujah Tun Dr Mahathir seorang sahaja tanpa mengemukakan hujah-hujah berasaskan kajian pakar-pakar sains, bahasa, budayawan dan karyawan lain. Kepada penyokong PPSMI juga saya menyeru supaya mereka ini digerakkan hati membaca buku MENGAPA KAMI BANTAH yang boleh diperolehi secara percuma melalui e-book atau pun membeli dikedai-kedai buku dengan harga yang kurang dari RM30 demi kefahaman dan tindak tanduk kita untuk anak bangsa pada masa akan datang.

Selain itu, pihak penyokong PPSMI juga perlu ingat, dengan meneruskan dasar PPSMI ini, ahli politik pembangkang mendapat senjata tambahan yang ampuh untuk menentang pemerintah. Jadi gunakanlah kebijaksanaan anda untuk mengendalikan isu yang melibatkan masa depan bangsa dan negara sebaik-baik mungkin.


Saya secara konsisten tetap menentang PPSMI demi bangsa, bahasa dan kefahaman saya yang masih cetek ini untuk memartabatkan sains dan teknologi di samping tidak akan pernah berhenti untuk menggali dan mendapatkan ilmu dalam bahasa apa sekalipun yang dirasakan perlu.



p/s: Emosi yang dimaksudkan ialah emosi yang tidak dipandu oleh akal waras dan fikiran yang jernih

3/12/09

Ulasan Buku di Dewan Kosmik

Rencana buku berjudul Ignited Minds:Unleashing the Power Within India tersiar di Majalah Dewan Kosmik bulan Mac. Ini pertama kali saya menulis ulasan buku dalam majalah sains dan teknologi berbahasa Melayu yang tersohor ini.Buku ini dipesan dari amazon tahun lalu selepas membaca tentangnya dalam akhbar New Straight Times dalam kolum yang ditulis oleh Naib Canselor USM Prof. Tan Sri Dato' Dr. Dzulkifli Abd Razak.

Buku ini bagi saya sangat menarik kerana ditulis oleh seorang bekas presiden yang juga saintis ulung India iaitu APJ Kalam. Buku ini kecil sahaja tetapi mempunyai gagasan besar penulisnya. Saya baca berulang kali dan terakhir semasa dalam perjalanan panjang KL-Montreal 6 bulan yang lalu.



3/7/09

Dari jauh aku melihat pejuang menentang PPSMI

Sehingga catatan ini ditulis, laporan perarakan penyerahan Memorandum Menentang PPSMI ke Istana Negara oleh GMP bertalu-talu masuk ke dalam jaringan internet. Sehingga kini juga, tukang catat membaca lebih 10 laporan dari pelbagai sumber.

Paling menyayat hati dan sedih apabila melihat tokoh-tokoh masyarakat dan cendekiawan bangsa mengalir air mata kepedihan akibat tembakan gas pemedih mata. Inilah rupanya sambutan 'budi bahasa' pihak berkuasa apabila rakyat ingin berjumpa raja mereka.

Perdana Menteri tidak perlu lagi berdolak-dalik tentang bahayanya PPSMI kepada anak bangsa. Ia perlu ditamatkan segera sebelum akar budaya bangsa yang ingin maju ke hadapan diporak peranda kan oleh mereka-mereka yang bersifat feudal dan amat jauh sekali dari golongan masyarakat walaupun mulut mereka berbuih menyatakan bahawa perjuangan mereka adalah untuk rakyat dan negara.

Kehidupan mereka yang menyokong PPSMI mungkin terdiri daripada golongan bangsawan dan orang-orang kaya yang tidak mengenal apa itu cangkul, sabit, lembu, kerbau dan anak-anak orang miskin di kampung-kampung yang sebenarnya tempat kita datang dahulu.

Rakyat jelata mengimpikan pemimpin dan raja-raja melayu mengikis sikap feudalisme mereka dan bersama-sama mendepa tangan menyambut dan menerima masalah rakyat.

Kepada pemerintah, bertindaklah dengan segera sebelum gambar-gambar di bawah menghantui kehidupan dan kematiaan mu!


Sasterawan Negara A.Samad Said yang sudah berusia 72 tahun menekup muka menahan serangan gas pemedih mata

Air mata berlinangan demi perjuangan bangsa dan tanah air

Penyerahan memorandum kepada Pegawai Istana Negara

Datuk Dr. Hassan Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Induk Gerakan Mansuhkan PPSMI, (GMP)

Himpunan 100 ribu Gerakan Mansuhkan PPSMI, (GMP) pada 7 Mac 09


p/s:Gambar-gambar di atas diambil dari pelbagai sumber di internet

Video di bawah boleh membantu mereka yang ingin tahu lebih lanjut tentang isu PPSMI

3/6/09

Artikel di Dewan Budaya Mac

Rencana terbaru disiarkan di majalah Dewan Budaya keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka. Kali ini menceritakan pengalaman peribadi latihan menulis melalui blog dan anjuran supaya pembudayaan menulis dan memblog menjadi aktiviti baru yang bermanfaat dalam masyarakat kita.


Selamat membaca dan dapatkan Dewan Budaya Mac di pasaran.
~Sekian~

3/3/09

Bagel, Yahudi dan Realiti Umat Islam



Bagel adalah sejenis makanan berupa roti yang banyak terdapat di negara-negara yang mempunyai komuniti Yahudi yang besar di dunia termasuk Montreal yang kami diami sementara ini. Sejarah kewujudan bagel ini juga bermula dari kaum Yahudi sejak ribuan tahun dahulu dan ia termasuk di dalam kategori Kosher Food atau makanan yang halal dimakan oleh orang-orang Yahudi . Untuk pengetahuan Kosher Food juga halal dimakan oleh orang islam kecuali jika kaedah penyediaan dan pembuatannya yang tidak menurut hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh agama kita. Ia sama seperti konsep makanan halal dalam islam yang cuba untuk dibisneskan dan diperluaskan melalui konsep Halal Food. Entah apa status perkembangannya sekarang saya sendiri pun kurang arif. Harap-harap dapatlah seluruh dunia mengenali dan memahami dengan baik konsep makanan halal ini dan tidak hanya digunakan untuk mengaut keuntungan semata-mata.

Pertama kali saya terjumpa perkataan 'bagel' ialah apabila membaca tulisan Hishamuddin Rais dalam rencana Pelarian 7300 Hari di dalam Majalah Fantasi beberapa tahun yang lalu. Kisah bagaimana dia terpikat dengan kejelitaan seorang perempuan Yahudi penjual bagel di Kota London.

Kini saya berpeluang melihat sendiri bagaimana rupanya bagel yang terkenal di kalangan orang Yahudi malah pernah mencubanya juga. Sebenarnya tidak ada yang menarik dan pelik tentang bagel ini. Ia hanyalah roti biasa seperti yang kita dapati di Malaysia juga termasuk bahan-bahan yang digunakan untuk membuatnya kecuali ia telah melalui inovasi dalam tempoh yang panjang sehingga melahirkan bagel pelbagai bentuk, rupa dan rasa di seluruh dunia.

Kenapa saya tertarik untuk bercerita tentang makanan orang Yahudi ini. Tidak lain ialah untuk mengaitkannya dengan perpaduan di kalangan orang Yahudi itu sendiri. Seluruh dunia terutamanya orang islam begitu hairan dan kadang-kala takjub melihat kesatuan dan perpaduan kaum yang dilaknat Tuhan ini (baca Yahudi-Zionis) sehingga boleh memporak perandakan dunia. Sebut sahaja bidang apa yang mereka tidak jaguh baik sukan, budaya ilmu, sains&teknologi, media, hiburan, fesyen hatta makanan seperti bagel ini sekalipun boleh menyatupadukan kaum yang populasinya hanyalah 13.8 juta orang sahaja diseluruh dunia berbanding umat islam sejumlah 1.5 bilion. Mengapa? Inilah yang selalu menjadi persoalan kepada umat islam dan kita bertanggungjawab untuk perpecahan umat ini.

Di Montreal, saya seringkali memerhatikan kaum Yahudi ini. Mereka tidak ubah seperti kaum-kaum yang lain juga. Mereka memiliki Syanogogue yang agam, rabi-rabi mereka tetap dengan pakaian hitam kemas, anak rambut berpintal dan bertutup kepala. Di hospital milik mereka, tulisan hebrew boleh didapati di mana-mana termasuk bilik doktor yang merawat pesakit dan mereka juga turut berdemonstrasi mempertahankan tindakan Israel merempuh Gaza di Palestin baru-baru ini di tengah-tengah kota Montreal. Buku-buku, majalah, akhbar, TV juga turut sama melaporkan laporan berat sebelah menyebelahi kezaliman mereka dengan pantas dan cekap sehingga melekakan umat islam yang hanya marah seketika bila melihat kekejaman Zionis, kemudian kembali mengerumuni semula premis-premis Yahudi di seluruh dunia selepas reda kemarahan. Bagaimana untuk kita terus sedar akan bahayanya propaganda dan jarum halus musuh nombor wahid ini. Satu lagi persoalan yang perlu disemat di dalam dada setiap umat islam.

Mengapa kita selalu berpecah dan berselisih pendapat tentang perkara titik bengik yang sangat merugikan. Sukarkah kita kembali kepada Allah Yang Satu dan ajaran Muhammad dengan merujuk Quran dan Sunnah.

Marilah kita insaf, bahawa roda umat islam sedang berada di bawah! Entah bila roda ini akan berpusing semula, semuanya terletak di atas kudrat kita. Teruskan memohon petunjuk Allah di atas kelemahan kita ini supaya beroleh kekuatan!

p/s: Saya kini sedang menyelak helaian-helaian buku Gideon Spies: The Secret History of the Mossad..ada yang berminat ingin berdiskusi tentang buku ini ?
p/s/s: Rencana Estidotmy Februari di blog MikroNano

3/1/09

Adakah kita Menyintai Bahasa Sendiri

Ada beberapa tajuk dan cerita tentang kehidupan di Montreal untuk Tukang Catat muatkan dalam blog mundar mandir ini. Namun ia masih tersimpan di bahagian draft dan belum lagi mahu di terbitkan sebagai entri terbaru blog. Kenapa? Kerana saya masih tertarik dengan isu-isu yang berkaitan bangsa dan bahasa serta dunia penulisan dan juga perbukuan di dalam negara kita Malaysia tercinta nan bertuah.

Mohd Arif Atan misalnya dalam rencana beliau terbaru di Utusan Malaysia hari ini (2/3/09) menyoal pembaca supaya jujur menjawab, judul buku berbahasa melayu apakah yang telah kita baca sepanjang tahun 2000 sehingga sekarang yang diterbitkan oleh DBP misalnya. Termasuk juga buku-buku bahasa melayu lain terbitan penerbit selain DBP . Penulis rencana juga mendedahkan bahawa semakin ramai orang melayu yang mengabaikan bahasa sendiri. Ironinya, bangsa asing dari Korea, Jepun, Amerika Syarikat, Belanda, Jerman dan Sepanyol giat mempelajari bahasa melayu. Di sesetengah tempat seperti China, Jerman dan Belanda telah diwujudkan Kursi Pengajian Melayu untuk mereka yang berminat mempelajari bahasa melayu. Pengalaman saya sendiri di Montreal pernah bertemu dengan seorang rakan warga Pakistan di sebuah Masjid yang menyapa kumpulan kami dalam bahasa melayu dengan fasih. Kagum dan terkejut saya seketika dengan sapaan beliau!

Tidak usah kita bising kalau kaum cina, india dan lain-lain kaum di Malaysia yang masih tidak fasih berbahasa melayu dengan baik. Bukan orang lain yang salah melainkan kita sendiri.

Maka atas alasan apa lagi bangsa kita yang bersungguh-sungguh mengabaikan bahasa melayu sehingga kadang-kadang malu dan segan untuk bertutur dengan bahasa sendiri sesama warganegara.

Sama-samalah kita fikirkan !