www.majalahsains.com

9/25/07

Beberapa catatan Wacana Islam Hadhari


Menghadiri Wacana Islam Hadhari berjudul Keajaiban Al-Quran:Suatu Analisis yang disampaikan oleh Prof Dr Yusof Othman meninggalkan beberapa catatan ini.

Keajaiban Al-Quran:

1. Mengandungi ayat-ayat syifaa' ( ayat menyembuhkan)
2. Menceritakan peristiwa masa lalu
3. Menceritakan peristiwa masa hadapan
4. Menerangkan rahsia-rahsia alam
5. Mempunyai cerita dan pengajaran tentang keajaiban yang tidak dapat dirasionalkan
(di luar batas pemikiran manusia )
6. menerangkan makna sebuah hakikat kehidupan

Beberapa jenis atau bentuk hidayah/petunjuk dari Tuhan:

1. Hidayah al-ilham
2. Hidayah al-hawas - meningkatkan renungan pancaindera
3. Hidayah al-aqal - keterampilan akal
4. Hidayah ad-din - keindahan ajaran agama
5. Hidayah al-taufiq wal maunah

Sebuah kuliah ilmu yang amat berkesan!!

9/17/07

Selak-selak akhbar Ahad..

I

Dalam kolum Mazlan Nordin Menulis Tan Sri Mazlan Nordin menulis tentang pidato Buya HAMKA sempena penganugerahan Dr Kehormat di Majlis Konvokesyen ke-2 UKM pada Tahun 1975. kebetulan Tukang catat ini pula ada menyimpan salinan pidato berhuruf jawi tersebut yang ditulis tangan oleh beliau. Suatu masa dahulu, sekitar bulan Mei penulis mendapatkan salinan pidato terkenal ini dengan saudara Harith Faruqi Sidek, Pustakawan PTSL di bahagian galeri UKM dengan niat untuk menyalin semula ke huruf rumi dan telah pun siap sepenuhnya pada waktu itu juga. Setelah lama tersimpan di dalam laptop penulis dan hampir terlupa tentangnya, sekilas mata terpandang artikel oleh Tan Sri Mazlan Nordin dalam kolumnya yang terkenal dalam Mingguan Malaysia Ahad lepas ( ditulis semula oleh Tan Sri Mazlan Nordin ke huruf rumi) berjudul Pidato Hamka Mengenai Hubungan Malaysia-Indonesia terpampang di dada akhbar. Suatu kebetulan yang mempesonakan.

II

Datuk Johan Jaafar melalui kolum tetapnya Di Luar Lingkaran dalam Berita Minggu setiap Ahad sentiasa melontarkan idea segar dan bernas untuk direnungi oleh pembaca dan individu yang suka menggerakkan selaput mindanya. Terbaru pada Hari minggu lepas, beliau mengulas sebuah buku yang diterbitkan semula oleh DBP berjudul "Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri" yang dikarang oleh jagoan ilmu, bahasa, agama, pemikiran dan aktivis minda yang mendahului zamannya iaitu Pendeta Za’ba. Menurut Datuk Johan Jaafar buku ini perlu dimiliki dan dibaca oleh setiap orang melayu bagi merubah bentuk pemikiran, cara bertindak dan bekerja orang melayu untuk meningkatkan tahap kemajuan umat melayu dirantau ini dan agama islam pada keseluruhannya. Penulis sendiri belum lagi mendapatkan buku ini dan masih di dalam perancangan untuk mendapatkannya. Namun begitu di tangan penulis sekarang ialah sebuah ulasan lengkap tentang satu lagi buku Za’ba berjudul "Pemikiran Za’ba Dalam Falsafah Takdir (1932)" tulisan Nordi Achie. Buku asal Falsafah Takdir oleh Za’ba sukar untuk dimiliki kerana tidak lagi diulang cetak, tetapi di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, bertempat di Seremban, terdapat sebuah buku ini yang diterbitkan semula oleh DBP yang diamanahkan kepada Hamdan Hassan. Sedikit sebanyak buku ini telah dibaca semasa penulis berkunjung ke situ 2 bulan yang lalu. Timbul satu keazaman untuk memiliki kedua-dua buku berjudul Falsafah Takdir dan Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri karangan Pendeta Melayu yang terkenal ini sebagai pendorong untuk memajukan diri.

III

Mufti muda dari Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin terus-terusan membetulkan pemikiran dan kelemahan umat islam di Malaysia melalui tulisan mingguannya di Mingguan Malaysia melalui ruangan tetap beliau Pena Mufti. Ketajaman minda, hujah dan penanya membuatkan segelintir golongan merasa tidak senang. Itulah yang selalu dihadapai oleh golongan pembaharu (tajdid) agama sejak zaman berzaman. Apa yang membanggakan, beliau tidak mudah melatah dengan kritikan dan sindiran yang diterimanya. Lebih enak ialah apabila setiap hujah dan kritikan dapat dipatahkan penuh bergaya. Rupanya perselisihan faham Kaum Tua dan Kaum Muda tidak pernah terhenti, dalam sejarah usaha untuk mencerdikkan umat.

9/13/07

Khas dari Kota Kinabalu


Buku ini sungguh mengujakan, diimport khas dari Unit Penerbitan UMS KK menggunakan pos...
Karangan Nordie Achie..
Insyaallah sekiranya diberikan kesempatan, akan ada ulasan lanjut tentang buku ini dan sosok peribadi seorang pendita ( bahasa, agama, falsafah, pemikiran dan cara hidup beliau) yang bernama Za'ba..mudah-mudahan diberikan ruang olehNya!!

p/s: Nordie Achie adalah seorang ilmuan yang pernah berhujah melalui penanya secara tuntas, ilmiah dan penuh adab kesopanan sebagai seorang ilmuan dengan seorang tokoh pemikir kontroversi, Kassim Ahmad di dalam Majalah Al-Islam beberapa ketika dahulu

9/12/07

1 Ramadhan 1428H/2007

Marhaban ya Ramadhan!!
Selamat berpuasa kepada semua umat islam...

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu mengerjakan puasa sebagaimana yang diwajibkan kepada orang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu bertakwa : ( Surah Al-Baqarah, ayat 183 )

Doa Ramadhan:

"Ya Allah, jadikanlah puasaku, puasa orang benar-benar berpuasa. Dan ibadah malamku, ibadah orang benar-benar mengerjakan ibadah. Dan jagalah aku dari tidurnya orang yang lalai. Hapuskanlah dosaku wahai Tuhan sekalian alam. Dan Ampunilah aku wahai Tuhan maha pengampun daripada segala dosa."



Jerteh

Jerteh merupakan sebuah pekan kecil di Daerah Besut yang pesat membangun selepas BN mengambil alih pemerintahan daripada PAS pada tahun 2004. Saban tahun, pekan kecil ini terus dibesar dan dilebarkan serta bangunan-bangunan baru berceracak tumbuh bagaikan rumput-rumput segar yang tumbuh seminggu selepas dipotong. Di pekan inilah segala kegiatan jual-beli, pengangkutan, pergerakan manusia keluar masuk dari Kota Bharu ke Terengganu dan sebaliknya. Ia bolehlah dikatakan sebagai tempat berehat dalam perjalanan jauh antara kedua buah negeri Pantai Timur yang berjiran. Sementelahan pula, Daerah Besut agak unik dari segi loghat dan pertuturan harian yang mirip atau hampir sama dengan dialek pertuturan penduduk negeri Cik Siti Wan Kembang ( sesetengah pihak mendakwa, dialek pertuturan orang-orang Besut sama sahaja dengan penduduk Kelantan, bagi Tukang Catat ada sedikit perbezaan sekiranya dihalusi).

Apa yang menarik untuk dikongsi mengenai Pekan Jerteh ini ialah deretan kedai buku. Apa lagi yang boleh dibicarakan oleh peminat buku selain buku, kedai buku, ulasan buku dan segala yang berkaitan dengan buku. Sebenarnya kedai-kedai buku di pekan ini tidaklah banyak, cuma yang menarik untuk diceritakan ialah perkembangannya dari semasa ke semasa. Di Jerteh, terdapat kedai buku Pustaka Timur, Galeri Hidayah, kedai buku Muda Osman, dan beberapa lagi gerai-gerai dan kedai kecil yang menjual pelbagai akhbar, majalah dan bahan-bahan bacaan lain. Dalam kebanyakan kedai buku ini, seingat penulis Pustaka Timur adalah sebuah buku yang paling lama dan konsisten pemasarannya. Menurut suatu sumber, Galeri Hidayah merupakan kembar Pustaka Timur. Sejak di zaman persekolahan sekitar tahun 1990-1994 di S.M.A.Ittifakiah Jerteh, Pustaka Timur menjadi kegemaran setiap kali mengunjungi Pekan Jerteh pada hujung minggu untuk medapatkan majalah Gila-Gila, Gelihati dan akhbar-akhbar lain. Meningkatnya ke alam remaja mula terjebak dengan buku-buku Ibnu Yusof (hehe) dan mula membeli novel, majalah dan sebagainya. Waktu dahulu, Pustaka Timur banyak menjual buku-buku dari DBP, kitab-kitab arab dari Timur Tengah, buku-buku Indonesia dan sebagainya. Nampaknya tradisi itu masih dikekalkan sehingga sekarang. Sesuai dengan perubahan zaman, Pustaka Timur dan Galeri Hidayah berada sebelah menyebelah di bangunan baru bersetentang dengan Pasaraya Econjaya. Setiap kali pulang ke Besut, peluang mengunjungi kedua kedai buku yang banyak membangkitkan kenangan dan nostalgia semasa di alam persekolahan tidak dilepaskan. Hasilnya baru-baru ini penulis mendapatkan beberapa judul buku antaranya ialah:

1. Lembaga Hidup, Perhiasan Insan Gemilang ..HAMKA ( di perbaharui tulisan dan percetakannya oleh Pustaka Dini)

2. Sejarah Pembinaan Baitullah, dan Hikmah Ibadah Haji (Mustafa Suhaimi)

3. Angkatan Baru ( sebuah novel karya Buya HAMKA )

4. Selangkah ke arah memahami al-sunnah ( Dr Mohd Asri Zainul Abidin )

5. Menangkis Pencemaran Terhadap Agama ( Dr Mohd Asri Zainul Abidin)

9/4/07

Doa untuk Tun Mahathir!!

Tun Mahathir akan dibedah untuk kesekian kalinya...selepas persaraan dan di penghujung usia sepatutnya beliau dilayan dengan baik oleh pemerintah..namun apa yang berlaku adalah sebaliknya..di bawah adalah petikan sajak oleh Datuk A Kadir Jasin untuk Tun...
Sedih pula bila menghayati bait-bait sajak ini..

USIAMU serupa usia bapaku
Engkau dan dia pernah sekutu
Berjuang atas nama ibunda
Demi agama, bangsa dan negara
Tapi di situ persamaan terhenti
Kerana engkau Mantan Perdana Menteri
Yang memacu negara ke mercu tinggi
Sedang bapaku kekal seorang petani.

Kini engkau dan dia sama-sama tua
Sudah uzur dimakan usia
Namun jiwamu dan jiwanya
Tetap seperti dahulu juga
Padat sarat dengan perjuangan
Jitu padu dengan kesedaran
Bahawa padanya tiada sisa
Selagi jasad dan nyawa bersama.

Mindamu dan mindanya
Sentiasa segar terus muda
Tidak reput dimakan usia
Tidak patah diuji pancaroba
Tidak tawar dicaci nista
Hatta oleh anak-anak didikmu sendiri
Yang gila kuasa dan lupa diri
Yang tiada lagi budi dan pekerti.

Maka wahai bapa-bapaku
Ketika engkau terlantar
Hati kecilmu gementar
Dengarkanlah ikrar kami
Anak menyambung generasi.

Bahawa legasimu tidak akan mati
Kami tidak akan biarkan itu terjadi
Kerana antara kami
Anak-anak generasi pengganti
Masih ada yang belum diracun korupsi
Yang belum lupa erti jasa dan budi
Yang jiwa merdekanya terus membara
Atas nama agama, bangsa dan negara.

Wahai bapa-bapa pejuang merdeka
Doa kami buatmu semua
Tuhan jaga kamu dalam dakapannya
Dipanjangkan usia
Segar jasad dan minda
Kerana engkaulah pelita
Pujangga dan pendeta
Pemimpin sepanjang usia.




Semoga diampuni dosa-dosa Tun yang telah lalu dan dipermudahkan jalan menuju ke destinasi seterusnya..Ameen Ya Rabbal Alameen..