www.majalahsains.com

9/17/07

Selak-selak akhbar Ahad..

I

Dalam kolum Mazlan Nordin Menulis Tan Sri Mazlan Nordin menulis tentang pidato Buya HAMKA sempena penganugerahan Dr Kehormat di Majlis Konvokesyen ke-2 UKM pada Tahun 1975. kebetulan Tukang catat ini pula ada menyimpan salinan pidato berhuruf jawi tersebut yang ditulis tangan oleh beliau. Suatu masa dahulu, sekitar bulan Mei penulis mendapatkan salinan pidato terkenal ini dengan saudara Harith Faruqi Sidek, Pustakawan PTSL di bahagian galeri UKM dengan niat untuk menyalin semula ke huruf rumi dan telah pun siap sepenuhnya pada waktu itu juga. Setelah lama tersimpan di dalam laptop penulis dan hampir terlupa tentangnya, sekilas mata terpandang artikel oleh Tan Sri Mazlan Nordin dalam kolumnya yang terkenal dalam Mingguan Malaysia Ahad lepas ( ditulis semula oleh Tan Sri Mazlan Nordin ke huruf rumi) berjudul Pidato Hamka Mengenai Hubungan Malaysia-Indonesia terpampang di dada akhbar. Suatu kebetulan yang mempesonakan.

II

Datuk Johan Jaafar melalui kolum tetapnya Di Luar Lingkaran dalam Berita Minggu setiap Ahad sentiasa melontarkan idea segar dan bernas untuk direnungi oleh pembaca dan individu yang suka menggerakkan selaput mindanya. Terbaru pada Hari minggu lepas, beliau mengulas sebuah buku yang diterbitkan semula oleh DBP berjudul "Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri" yang dikarang oleh jagoan ilmu, bahasa, agama, pemikiran dan aktivis minda yang mendahului zamannya iaitu Pendeta Za’ba. Menurut Datuk Johan Jaafar buku ini perlu dimiliki dan dibaca oleh setiap orang melayu bagi merubah bentuk pemikiran, cara bertindak dan bekerja orang melayu untuk meningkatkan tahap kemajuan umat melayu dirantau ini dan agama islam pada keseluruhannya. Penulis sendiri belum lagi mendapatkan buku ini dan masih di dalam perancangan untuk mendapatkannya. Namun begitu di tangan penulis sekarang ialah sebuah ulasan lengkap tentang satu lagi buku Za’ba berjudul "Pemikiran Za’ba Dalam Falsafah Takdir (1932)" tulisan Nordi Achie. Buku asal Falsafah Takdir oleh Za’ba sukar untuk dimiliki kerana tidak lagi diulang cetak, tetapi di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, bertempat di Seremban, terdapat sebuah buku ini yang diterbitkan semula oleh DBP yang diamanahkan kepada Hamdan Hassan. Sedikit sebanyak buku ini telah dibaca semasa penulis berkunjung ke situ 2 bulan yang lalu. Timbul satu keazaman untuk memiliki kedua-dua buku berjudul Falsafah Takdir dan Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri karangan Pendeta Melayu yang terkenal ini sebagai pendorong untuk memajukan diri.

III

Mufti muda dari Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin terus-terusan membetulkan pemikiran dan kelemahan umat islam di Malaysia melalui tulisan mingguannya di Mingguan Malaysia melalui ruangan tetap beliau Pena Mufti. Ketajaman minda, hujah dan penanya membuatkan segelintir golongan merasa tidak senang. Itulah yang selalu dihadapai oleh golongan pembaharu (tajdid) agama sejak zaman berzaman. Apa yang membanggakan, beliau tidak mudah melatah dengan kritikan dan sindiran yang diterimanya. Lebih enak ialah apabila setiap hujah dan kritikan dapat dipatahkan penuh bergaya. Rupanya perselisihan faham Kaum Tua dan Kaum Muda tidak pernah terhenti, dalam sejarah usaha untuk mencerdikkan umat.

No comments: