www.majalahsains.com

10/29/10

Siti Balqis Mengajar Melayu Supaya Jangan Jadi Bodoh

Sebelum ini saya ada tulis tentang kisah Jin dan Hantu di Minda Melayu yang masih belum dapat dipisahkan. Di facebook saya turut memprovokasi friendlist di sana tentang masalah kepercayaan dan kebodohan orang Melayu terhadap benda-benda khurafat. Isunya bermula apabila akhbar galak melaporkan kejadian gadis di Daerah Besut yang hilang kononnya dilarikan jin merata tempat.

Seperti biasa apabila provokasi dilakukan untuk menggerakkan minda melayu, maka akan adalah yang terus menuduh kenapa asyik Melayu yang dipersalahkan. Jawapan saya mudah saja!.Saya sayangkan bangsa dan agama sendiri. Bangsa lain sudah tentu mereka mempunyai jaguh-jaguh mereka untuk meningkatkan kefahaman bangsa mereka sendiri. Jadi atas rasa tanggungjawab, lebih baik kita menegur. Tidak perlu terasa apabila bangsa sendiri di berikan sedikit teguran.

Kisah gadis hilang dilarikan hantu dan jin sudah tamat. Akhbar melaporkan kes sudah ditutup apabila polis berjaya membuktikan bahawa ada masalah lain (masalah keluarga) yang membelenggu gadis tersebut sehingga menyebabkannya melarikan diri dan mungkin juga dia menghidap masalah psikologi. Dua minggu sebelum ini, melalui telefon keluarga saya di kampung mengesahkan hal ini. (Disebabkan saya berasal dari daerah yang sama, rasa terpanggil juga untuk mengetahui hal ini lebih lanjut ).

Petikan akhbar di bawah jelas membuktikan bahawa minda bangsa kita masih lagi banyak dengan khurafat dan tahyul yang tidak berasas sama sekali. Dan kebanyakan mereka yang terlibat sudah tertipu dengan bomoh, rawatan secara 'Islam' (yang sebenarnya tidak islamik sama sekali), ilmu ghaib, kejadian aneh dan menyesatkan serta khayalan yang bukan-bukan.

Nah, melalui kisah Balqis ini, kita berharap agar bangsa dan agama kita yang suci tidak dicemari dengan kebodohan yang akhirnya memalukan kita sendiri.

Terima kasih pihak polis yang menamatkan kes ini.


"Balqis beritahu dia tinggal bersama ibu saudaranya selepas ibunya meninggal dunia dalam kemalangan November tahun lalu. Dia turut beritahu rumahnya besar dan ada tujuh bilik lengkap dengan pembantu rumah dan kolam renang," katanya.

Ramlah berkata, pembohongan Siti Balqis terbongkar apabila anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu datang ke rumahnya, kelmarin, berikutan SMS diterima ibu Siti Balqis menggunakan nombor telefon yang didaftarkan atas nama Nurwaniza.

Beliau berkata, ketika menyelongkar beg pakaian Siti Balqis, mereka menemui lebih 20 kad sim yang masih aktif, sejumlah wang, beberapa kad ATM dan sebuah kotak kecil berisi 10 batu delima dalam kain kuning."


Rujuk di sini untuk artikel penuh 

10/21/10

Tiga Buku di Musim Luruh

"Buku dan bacaan yang baik adalah makanan rohani. Buku memperkayakan akal budi serta mempengaruhi kehidupan"

Ini kata bijak pandai di luar sana, dan ya, saya akui!

Ok, saya tidak mahu berfalsafah. Untuk saya, tanpa buku, hidup sangat membosankan.

Baru-baru ini saya memesan 3 buah buku dari Malaysia. Dari UjanaIlmu, sebuah kedai buku online milik penulis wanita terkenal tanahair Nisah Haron dan suami beliau, Encik Shukri.

Buku pertama ialah mengenai Hakcipta.
Buku ini penting untuk saya untuk memahami selok belok hakcipta dalam penulisan. Saya kini sedang menumpukan usaha untuk memantapkan laman web MajalahSains.Com. Di laman ini, beratus-ratus tulisan dan rencana sains & teknologi berbahasa Melayu dimuatkan hasil sumbangan penulis sains Malaysia. Jadi buku karya Nisah Haron ini, menjadi kitab rujukan utama untuk saya fahami isu-isu hakcipta. Persembahan buku ini ringkas dan bersahaja. Namun isinya padat. Ditambah pula dengan lampiran Akta Hakcipta 1987 di bahagian akhir, menjadikan buku ini penuh informasi. Selain itu, ia juga diselang seli dengan ilustrasi-ilustrasi menarik sebagai hiburan ringan. Dengan latarbelakang pendidikan bidang undang-undang, Nisah Haron bagi saya memang seorang penulis yang tepat untuk menulis tentang isu dan undang-undang HakCipta.


Buku kedua ialah himpunan tulisan bekas mufti Perlis yang terkenal iaitu Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Menarik tentng buku ini ialah, ia diperkemaskan dengan edisi baru yang memuatkan lebih banyak rencana berbanding versi pertama. Seperti yag kita tahu, tulisan beliau banyak mencetuskan gelombang pemikiran baru dalam masyarakat Malaysia. Walaupun banyak kontroversi yang timbul namun Dr Asri tetap relevan dan teguh menyebarkan kebenaran dan membasuh fikiran rakyat Malaysia tentang cara hidup beragama.


Buku ketiga merupakan karya klasik ulamak sanjungan umat, Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA), berjudul Tasawuf Moden. Tasawuf banyak dipandang orang sebagai ilmu yang sukar dan payah dihadam oleh orang-orang awam termasuk saya sendiri pada awalnya. Namun HAMKA dengan segala kebijaksanaan beliau, berjaya mengubah tanggapan orang ramai tentang ilmu tasawuf dengan kelahiran buku beliau Tasawuf Moden yang diterbitkan pertama kali dalam bentuk buku pada tahun 1939 (40 tahun sebelum Tukang Catat dilahirkan). Lama sudah! Namun masih ada yang belum mengenali tokoh Muhammadiah terkenal kelahiran Sumatera ini. Sungguh menyedihkan!

Menarik tentang Tasawuf Moden ialah, ia menjadi ubat mujarab peneguh jiwa kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Sudah kita maklum, bahawa hidup ini ada pasang surutnya. Di waktu kelam, payah cahaya ilahi menembus hati, maka Tasawuf Moden lah yang menjadi peneman, selain Falsafah Hidup dan puluhan karya HAMKA yang lain. 

Seperti kebiasaan dalam karya-karya HAMKA, tulisan beliau tepat menembusi hati. Penanya tajam dan tepat ke sasaran.


Buku-buku ini menjadi teman saya sepanjang musim luruh, sementara menanti musim sejuk yang mencucuk tidak lama lagi.

10/16/10

Pabila Mengenang Dosa

Banyak cara untuk kita insaf dengan kesilapan-kesilapan yang kita lakukan sepanjang meniti laluan hidup. Bertaubat, menyesali kesilapan dan berhenti mengulangi dosa itu sudah tentu menjadi cita-cita setiap manusia berakal. Ia juga adalah anjuran Islam, agama yang kita yakini. Melalui lirik lagu yang baik juga kadang-kadang kita boleh menemui kedamaian. Perhatikan bait-bait lirik lagu dendangan M.Nasir berikut:-



Di Jalan Sesat  -  M. Nasir
.
Apakah takdir mimpi ini
Mendatang berulang kali
Berdarah penuh di tanah
Sedang tangan menungkat langit
.
Apakah yang ku perjuangkan
Apakah yang dipertahan
Apakah mesti aku jadi pahlawan
.
Oh Tuhan
Tidaklah aku layak
Untuk SyurgaMu
Namun aku tak berdaya
Menahan panas NerakaMu
.
Curiga di mata orang
Bagai mentari rembang
Bagaikan aku berdosa
Pada siapa saja
.
Sedang Tuhan di mana-mana
Melihat semua dosa
Dalam serata usia
.
Walau ditelan Segitiga Bermuda
Selalu ku mengulangi
Dosa yang telah ku buang
Diikuti kembali
.
Mengapa begini
Mengapa begini
.
Sedang Tuhan tahu sesiapa
Untuk Neraka untuk Syurga
Aku tak terpaksa memilih Syurga
Demi pengertian pada hukum alam
Dan sesungguhnya aku cinta padaMu Tuhan
Walaupun sesat jalan.

~Verdun~
Montreal

10/15/10

Hantu dan Jin di minda Melayu


NORIZAN menunjukkan batu permata dan seketul batu besar yang ditemui terjatuh di dalam rumahnya, semalam.
Laporan Berita Harian (http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Balqis_terbang_/Article)



Seminggu dua ini di daerah kelahiran saya di Besut Terengganu gempar dengan laporan akhbar seorang gadis tiba-tiba 'ghaib' dari rumah dilarikan jin. Dari awal kemunculan cerita ini, hati dan fikiran saya terus menyatakan bahawa ini adalah suatu bentuk kebodohan yang masih dipercayai sungguh-sungguh oleh orang-orang Melayu yang rata-ratanya mengaku beragama Islam.

Sebenarnya kisah-kisah aneh dan khurafat sebegini sudah begitu lama bermain di minda Melayu ditambah pula dengan publisiti meluas oleh akhbar tabloid, akhbar arus perdana dan majalah-majalah tahyul untuk melariskan jualan akhbar mereka. Yang pelik dan jahat, semuanya bacaan berbahasa Melayu. Tidak ada laporan sebegini luas ditulis dalam bahasa Inggeris. (mungkin juga bahasa-bahasa lain )

Tidak dinafikan bahawa makhluk halus seperti jin, syaitan dan iblis ini wujud. Malah Al-Quran sendiri telah mengesahkan kewujudan mereka. Kewujudan jin dan syaitan adalah untuk membuktikan kekuasaan Allah dan untuk menguji iman manusia. Namun kewujudan jin dan syaitan ini telah disalah anggap oleh sebahagian orang Islam (akibat salah faham agama), sehingga boleh melupakan kehebatan dan kekuasaan Allah.

Maka dari hari ke hari, dari mulut ke mulut, muncullah cerita-cerita yang tidak masuk akal seperti 'ghaib', 'dirasuk', 'terbang dibawa hantu', 'disorok hantu', 'masuk ke alam bunian', 'histeria' dan macam-macam keanehan yang lain. Justeru, semakin banyaklah aktiviti-aktiviti pelik seperti 'merawat' bangunan atau kediaman yang kononnya bertapak di atas perkampungan jin, kaedah dan rawatan membuang makhluk halus yang kemudiannya disandarkan kepada Islam untuk mengelakkan dituduh khurafat. Kaedah-kaedahnya pula kelihatan pelik. 'Membawa keluar jin dan makhluk halus menggunakan bas, memasukkannya di dalam botol untuk dibuang ke laut, malah ada yang lebih aneh dibuat pameran hantu-hantu yang dapat ditangkap seperti yang dipamerkan di Muzium Negara beberapa tahun yang lalu melalui Pameran Hantu dan Makhluk Halus, dan dikenakan tiket pula kepada pengunjung. Memang jelas suatu pembohongan!

Oleh yang demikian, sebagai umat Islam yang meyakini bahawa Allah adalah Tuhan sekelian makhluk yang mempunyai 99 nama-nama yang Agung dan Nabi Muhammad sebagai PesuruhNya, marilah kita MEMBUANG sebarang kepercayaan karut tahyul tentang hantu syaitan yang boleh mematikan akal dan merosakkan iman. Yakinlah kita bahawa tiada yang lain selain Allah yang berkuasa ke atas makhlukNya. Bukan hantu syaitan, jin dan bunian seperti yang ada dalam minda Melayu yang mengaku Islam.

p/s : Saya yakin suatu hari nanti kebenaran akan muncul dan pembohongan serta kebodohan melalui cerita 'gadis ghaib' di atas akan terserlah.