"Buku dan bacaan yang baik adalah makanan rohani. Buku memperkayakan akal budi serta mempengaruhi kehidupan"
Ini kata bijak pandai di luar sana, dan ya, saya akui!
Ok, saya tidak mahu berfalsafah. Untuk saya, tanpa buku, hidup sangat membosankan.
Baru-baru ini saya memesan 3 buah buku dari Malaysia. Dari UjanaIlmu, sebuah kedai buku online milik penulis wanita terkenal tanahair Nisah Haron dan suami beliau, Encik Shukri.
Buku pertama ialah mengenai Hakcipta.
Buku ini penting untuk saya untuk memahami selok belok hakcipta dalam penulisan. Saya kini sedang menumpukan usaha untuk memantapkan laman web MajalahSains.Com. Di laman ini, beratus-ratus tulisan dan rencana sains & teknologi berbahasa Melayu dimuatkan hasil sumbangan penulis sains Malaysia. Jadi buku karya Nisah Haron ini, menjadi kitab rujukan utama untuk saya fahami isu-isu hakcipta. Persembahan buku ini ringkas dan bersahaja. Namun isinya padat. Ditambah pula dengan lampiran Akta Hakcipta 1987 di bahagian akhir, menjadikan buku ini penuh informasi. Selain itu, ia juga diselang seli dengan ilustrasi-ilustrasi menarik sebagai hiburan ringan. Dengan latarbelakang pendidikan bidang undang-undang, Nisah Haron bagi saya memang seorang penulis yang tepat untuk menulis tentang isu dan undang-undang HakCipta.
Buku kedua ialah himpunan tulisan bekas mufti Perlis yang terkenal iaitu Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Menarik tentng buku ini ialah, ia diperkemaskan dengan edisi baru yang memuatkan lebih banyak rencana berbanding versi pertama. Seperti yag kita tahu, tulisan beliau banyak mencetuskan gelombang pemikiran baru dalam masyarakat Malaysia. Walaupun banyak kontroversi yang timbul namun Dr Asri tetap relevan dan teguh menyebarkan kebenaran dan membasuh fikiran rakyat Malaysia tentang cara hidup beragama.
Buku ketiga merupakan karya klasik ulamak sanjungan umat, Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA), berjudul Tasawuf Moden. Tasawuf banyak dipandang orang sebagai ilmu yang sukar dan payah dihadam oleh orang-orang awam termasuk saya sendiri pada awalnya. Namun HAMKA dengan segala kebijaksanaan beliau, berjaya mengubah tanggapan orang ramai tentang ilmu tasawuf dengan kelahiran buku beliau Tasawuf Moden yang diterbitkan pertama kali dalam bentuk buku pada tahun 1939 (40 tahun sebelum Tukang Catat dilahirkan). Lama sudah! Namun masih ada yang belum mengenali tokoh Muhammadiah terkenal kelahiran Sumatera ini. Sungguh menyedihkan!
Menarik tentang Tasawuf Moden ialah, ia menjadi ubat mujarab peneguh jiwa kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Sudah kita maklum, bahawa hidup ini ada pasang surutnya. Di waktu kelam, payah cahaya ilahi menembus hati, maka Tasawuf Moden lah yang menjadi peneman, selain Falsafah Hidup dan puluhan karya HAMKA yang lain.
Seperti kebiasaan dalam karya-karya HAMKA, tulisan beliau tepat menembusi hati. Penanya tajam dan tepat ke sasaran.
Buku-buku ini menjadi teman saya sepanjang musim luruh, sementara menanti musim sejuk yang mencucuk tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment