www.majalahsains.com

3/31/12

Tatacara Berfacebook



Suatu masa dahulu pernah saya lampirkan satu rencana mengenai tatacara menggunakan facebook dengan bijak. Boleh lihat semula di sini. (Judul : Penyalahgunaan Facebook memusnahkan umat Islam)

Setiap hari kita mengikuti perkembangan di facebook. Kadang-kadang saya sendiri menghangatkan perbincangan tentang isu-isu semasa di facebook. Menjawab komen-komen di facebook yang bermacam ragam, kadang kala boleh menambah uban di kepala.

Facebook bolehlah saya sifatkan sebagai 'internet di dalam jagatraya internet'. Sebuah dunia baru yang dicipta di dalam internet.Maklumat di dalamnya bersimpang siur dan pelbagai. Tamsilnya seperti sungai yang membawa ikan, air yang bersih, sampah sarap dan kadang-kadang mayat atau bangkai. Pilihlah yang baik. Gunakanlah akal yang waras, sebelum menulis status atau berkongsi sesuatu di Facebook. Kadang-kadang kepantasan menulis di facebook lebih cepat berbanding halaju akal berfikir.

Saya sendiri seboleh-bolehnya cuba menjauhkan diri dari menyebar sesuatu yang tidak jelas atau pasti, terutamanya berkaitan dengan hukum-hakam agama. Kesilapan menyebarkan sesuatu yang kita sendiri tidak pasti dan tidak betah berhujah khususnya dalam bidang agama boleh mendatangkan kemudaratan yang besar terhadap kehebatan Islam.

Saya pernah menegur seseorang yang meletakkan kisah yang sangat mengarut di Facebook yang cuba dikaitkan dengan Islam. Wajah bertukar menjadi khinzir kerana menderhaka, umpamanya. Pernah juga saya jumpa status yang menulis tentang hadis dengan isinya berbunyi 'menguap adalah dari syaitan'. Rasanya tidak perlu untuk saya belajar ilmu mustolahul-hadis untuk mengkritik status sebegini.

Di sini saya salinkan semula status yang ditulis oleh Penolong Ketua Pengarah Jakim, Ustaz Aizam Mas'ud, pemilik blog Muffakir-Islam.

"Ketahuilah, jika kita bertemu sesuatu hadith yg tak diketahui perawinya, takhrijnya, sumbernya, longgar bahasanya, kurang logik maknanya, maka janganlah sewenang2nya ia disebarkan.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang meriwayatkan hadith dan ia (cenderung) melihatnya sebagai bohong, maka dia salah seorang yang pembohong". (Riwayat Muslim)

3/28/12

Umat Islam dan Perihal Membaca

Banyak isu dan perkara yang boleh kita selesaikan dengan membaca. Apatah lagi sebagai umat Islam yang diperintahkan Tuhan supaya MEMBACA seperti wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad. Di bawah saya turunkan petikan kata-kata Imam ALi Khamenei seperti yang dipetik dari buku Perang Kebudayaan.
"
Masyarakat Islami adalah masyarakat yang mampu mencabut buta huruf dan kebodohan sampai ke akar-akarnya, dan mampu melipatgandakan jumlah sekolah agar dapat menampung semua anak untuk menikmati pendidikan dan mereguk pengetahuan dari sekolah-sekolah agama dan universiti-universiti dengan penuh ghairah belajar; demikian pula berbagai kegiatan penyelidikan dan penelitian dapat berjalan lancar. Selain itu minat membaca menempati posisi yang istimewa sehingga gemar membaca dapat dijumpai di semua tempat dan lapisan masyarakat.
Percetakan dan penerbitan buku di tengah masyarakat islami harus memuat bahan yang kaya dan menumbuhkan kesedaran masyarakat luas, meningkatkan ghairah para guru dan ulama dalam melaksanakan tugas dengan giat dan bertenaga, dan menggerakkan semangat para pencipta, seniman, dan penulis agar dinamik dan penuh semangat.

Sumber : http://bukuria-malaysia.com/2009/03/masyarakat-islam-masyarakat-membaca/

Justeru itu, membacalah sepanjang masa dan di mana sahaja! Kita tewas dengan orang barat dalam isu membaca.

3/26/12

Ada Cara Membaca Akhbar

Bila saya post satu gambar artikel yang masuk akhbar Utusan Ahad lalu di FB, ada yang komen hairan menganggap saya memboikot akhbar Utusan sebelum ini, tapi pada masa yang sama menghantar rencana ke Utusan. Diakui bahawa saya kadang-kadang menghentam berita-berita meloyakan yang dilapor oleh akhbar (tidak hanya utusan), tapi harus diakui bahawa saya banyak belajar menulis dari Utusan Malaysia.

Sejak lama dahulu selepas membaca kaedah Billi P.S Lim penulis 'Berani Gagal' yang menulis tentang kaedah mencari maklumat dari akhbar, saya sudah lama berhenti membaca berita-berita tidak penting di akhbar. Billi Lim mempunyai gaya yang lebih ekstrem membaca akhbar iaitu dengan menggunting bahagian-bahagian yang ingin dibaca sahaja, kemudian membuang bahagian yang tidak penting. Untuk saya, cukup dengan hanya menyelak bahagian rencana atau agama, dan mencari nama-nama penulis tertentu yang saya suka belajar darinya seperti Zin Mahmud, Ku Seman Ku Hussein, Roosfa Hashim (kolum rencana buku suatu masa dahulu), DrMaza (dalam kolum Mufti Menulis) dan juga kolum allahyarham Mazlan Nordin (yang meninggal baru-baru ini).

Jadi tidak timbul saya memboikot mana-mana akhbar. Apa yang baik saya ikut, yang haprak seperti berita 'Ummi Hafilda mencerca Anwar Ibrahim' saya tidak pernah buang masa membacanya.

Berikut adalah satu tulisan wartawan kanan utusan yang saya gemari iaitu Ku Seman Ku Hussein. Beliau menulis tentang 'NILAI BERITA AKHBAR'.

http://kayangdailypost.blogspot.ca/2012/03/apa-itu-nilai-berita.html

3/25/12

Catatan Kembara Florida, US

Februari lalu kami melarikan diri sebentar dari kesejukan suhu dingin Montreal mencari 'haba' di Florida, US. Rabu minggu lalu, Tukang Catat menghantar kisah pengalaman ke Florida ke sebuah kolum baru di Utusan Malaysia (Mingguan Malaysia). Semalam, Ahad 25/3/2012 catatan itu tersiar.
Terima kasih kepada pengelola kolum Destinasi Kembara Utusan, Cik Puan Nisa Sulaiman.

Sedikit petikan catatan..
"
SEBUT sahaja Mickey Mouse, Donald Duck, Goofy atau Cinderella, tentu ramai yang terkenang zaman kanak-kanak dengan watak-watak animasi yang menghiburkan di kaca televisyen.
Watak yang menghiburkan ini memenuhi dunia hiburan kanak-kanak yang begitu menyeronokkan.
Selepas empat tahun berada di bumi asing di kotaraya Montreal, Quebec, baru-baru ini kami berpeluang melawat sebuah daerah terkenal di negara yang berjiran dengan Kanada iaitu Amerika Syarikat (AS).

Daerah yang dimaksudkan adalah salah satu destinasi pelancongan yang menjadi tarikan dunia iaitu Disneyworld dan juga Universal Studio, Florida.

Disneyworld juga dikenali sebagai Walt Disney World Resort terletak di Orlando, Florida, di kawasan Tenggara AS.Dibuka pada 1971, ia menempatkan empat taman tema utama iaitu The Magic Kingdom, Epcot, Animal Kingdom dan Studio Disney Hollywood.

Ia juga memiliki dua taman tema air terkenal dikenali sebagai Typhoon Lagoon dan Blizzard Beach.
Menikmati udara nyaman yang agak panas di Florida, membolehkan kami melarikan diri seketika daripada kesejukan musim dingin yang mencecah -20 Celsius di Montreal.





http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pelancongan&pg=pl_01.htm

3/23/12

Kuasa Pelajar: Perjuangan Menuntut Hak

Semalam 22 Mac 2012, isteri saya mendapat emel dari pihak pentadbiran universiti menyatakan bahawa universiti ditutup dan sebarang urusan dibawa ke minggu hadapan. Tujuan penutupan ialah kerana menyokong pergerakan pelajar menuntut supaya pentadbiran kerajaan di Quebec mengkaji semula kenaikan yuran pelajar universiti dan kolej di seluruh kawasan Quebec. Di dalam emel pelajar diberi panduan dan galakan untuk menyertai demo.

Kami mengambil keputusan untuk tidak mencampuri urusan dalaman warga Quebec memandangkan kami adalah rakyat asing di sini. Jadi saya mengambil keputusan untuk merakamkan saat-saat bersejarah pelajar seluruh Quebec berdemonstrasi secara aman di seluruh Bandaraya Montreal bagi menyatakan bantahan mereka. Untuk mereka, perjuangan itu adalah perjuangan menuntut hak mereka yang merasakan seakan-akan dizalimi oleh pemerintah sendiri.

Ada segelintir yang kurang senang dengan demonstrasi tersebut kerana menurut mereka menyebabkan kesesakan lalulintas dan sebagainya. Pada saya, itu hanyalah masalah kecil berbanding isu besar yang mereka perjuangkan. Menurut berita TV dan akhbar tempatan, dianggarkan 200,000 peserta menyertai demontrasi tersebut dan kebanyakan mereka memakai lambang atau logo merah sebagai tanda protes.

Dalam pada itu, ketika sedang asyik merakam gambar kenangan, saya teringat demonstrasi menuntut hak untuk belajar sains dan matematik dalam Bahasa Melayu iaitu demo PPSMI pada tahun 2009 lalu di tanah air. Juga Demonstrasi Bersih 2.0 yang berlansung pada tahun 2011. Ketika rakyat Malaysia berarak untuk menuntuk hak, gas pemedih mata dan FRU menyambut mereka. Huru hara berlaku di ibukota Kuala Lumpur. Bila terkenang Allahyarham Datuk Dr Hassan Ahmad yang datang menyerah memorandum bantahan PPSMI, Sasterawan Negara A.Samad Said dihujani gas pemedih mata, dek kerana ingin mempertahankan Bahasa Ibunda, hati saya jadi sedih. Sampai bila kita terus begini?


 Rue St Catherine, Montreal
 Old Montreal (Old Port)
 St Catherine (Montreal)
 Kuala Lumpur
Kuala Lumpur

3/21/12

Terlalu banyak jenayah - Penyelesaiannya bagaimana?

Ketua Polis Negara : Tan Sri Ismail Omar
(PDRM: Pastikan rakyat Malaysia merasa aman ketika keluar seorang diri membeli sayur atau ikan di luar rumah!!)


Tertekan melihat berita-berita terkini di seluruh suratkhabar perdana Malaysia. Saya membaca hampir kesemua surtakhabar perdana, dan berita akhir-akhir ini tidak dapat memberikan sebarang jaminan keselamatan terhadap warganegara. Jenayah! Jenayah! Jenayah!..setiap hari muncul. Kadang-kadang di muka hadapan.

Jaminan polis bahawa Malaysia selamat dan aman tidak begitu meyakinkan. Paling merisaukan ialah keselamatan kedua ibu bapa saya yang berada di kampung. Anak-anak semua jauh keluar mencari rezeki. Telefon pun mungkin sekali sekala bertanya khabar. Sedangkan penagih dadah, dan penjenayah semakin membiak merata-rata seolah-olah tidak terkawal lagi. Dan mereka boleh sahaja berada di mana-mana.

Saya selalu mengikuti perkembangan di kawasan perumahan bakal tempat kediaman kami bila pulang ke Malaysia nanti melalui group facebook. Di sana banyak dibincangkan tentang kaedah-kaedah mengatasi jenayah yang semakin bertambah. Malah sudah ada kejadian pecah rumah.

Saya tidak boleh membandingkan tahap rasa selamat berada di Montreal ini dengan Malaysia kerana sudah agak lama kami tidak pulang ke tanah air. Adakah jenayah di negara kita benar-benar menakutkan orang ramai atau pun hanyalah gembar-gembur suratkhabar untuk melariskan jualan?

Saya selalu bangkitkan peranan POLIS dalam mengatasi keamanan dan keselamatan penduduk selain kesepakatan jiran tetangga menjaga keamanan. POLIS sememangnya bertanggungjawab memastikan penduduk berasa selamat. Jadi di mana mereka berada ketika rakyat memerlukan?

P/s: Terbaru Tan Sri Lee Lam Thye memberi banyak cadangan untuk mengurangkan jenayah dan mewujudkan masyarakat selamat! Tapi cadangan tinggal cadangan sahaja tanpa ada pelaksanaan yang komprehensif. Terlalu banyak cadangan yang dikemukakan pun tidak berkesan tanpa sifat integriti penguatkuasa.

3/17/12

Angin segar di permulaan musim bunga

Hari ini langit begitu cemerlang. Terang benderang dengan suhu sekitar 12-14 Celcius. Cukup baik untuk keluar mengambil angin musim bunga sekitar downtown Montreal.

Sebulan dua akhir-akhir ini Montreal agak kecoh dengan tunjuk perasaan pelajar-pelajar universiti yang membantah kenaikan yuran. Kemuncak kemarahan pelajar ditambah pula dengan ulangtahun demontsrasi membantah keganasan polis yang disambut pada 15 Mac Jumaat lalu. Sebuah kereta peronda polis diterbalikkan di tengah-tengah laluan utama bandaraya Montreal di Rue St Catherine.

Cuaca nyaman hari ini Tukang Catat habiskan dengan menaiki bas nombor 80 menuju sebuah kedai buku terpakai yang agak terkenal di Montreal iaitu St Welch, di Rue St Viature. Lama tidak berkunjung ke sana. Sepanjang musim luruh dan musim sejuk lalu, tidak berkesempatan ke sana. Jadi hari ini saya mengambil peluang. Di sana, suasana kedai masih tidak berubah. Kedai bagel milik Yahudi dua blok dari kedai buku masih terus dikunjungi pelanggan. Di kawasan-kawasan sekitar, yahudi ortodoks meneruskan kegiatan mereka seperti biasa, berniaga, berjalan-jalan mengambil angin, borak, minum-minum dan makan di kedai kopi berhampiran.

Warga tua dan muda Montreal memenuhi cafe dan kedai makan sepanjang jalan, minum dan makan-makan sambil bergelak ketawa. Saya menghabiskan 2 jam di St Welch membelek-belek helaian-helaian buku sambil bergerak dari satu rak ke rak yang lain. Tangan mencapai sebuah novel 'A Madman Dreams of Turing Machine (Janna Levin). Selesai membayar, terus saya berjalan menunggu bas dan bergerak pula ke kaki bukit Mont Royal kira-kira 20 minit dari St. Viature. Dari sana saya terus berjalan di pinggir Universiti McGill menyusuri lorong-lorong kecil. Di sini kebanyakannya kawasan perumahan pelajar-pelajar McGill.

Dalam perjalanan, ternampak sebuah lagi kedai buku terpakai Le Mot Livres d'occasion (The Word Second Hand Books). Menarik sekali kedai di sini! Tanpa berfikir panjang, terus saya masuk meninjau. Sepanjang jalan sebelum singgah di sini, terserempak dengan ramai anak-anak muda memakai pakaian, topi, jaket, stokin berwarna hijau. Rupa-rupanya hari ini perayaan St Patrick's Day. Riuh rendah mereka merayakan St Patrick dengan bergelak ketawa, menyanyi, memekik melolong. Mabuk!

Saya mabuk buku di Le Mot Livres d'Occasion. Di sini terus saya tangkap 2 buah buku berjudul 'The Art of Mathematics (Jerry P.King) dan The Quantum Universe (Tony Hea & Patrick Walters). Semuanya buku bacaan umum untuk non-scientist. Harga?..lumayan murah! Saya pasti akan datang lagi ke sini!

Dari sana terus saya berjalan-jalan sepanjang lorong meninjau-ninjau keindahan bangunan lama Universiti McGill. Terbayang pula cendekiawan terkenal tanahair Profesor Syed Muhammad Naguib Al-Attas mengharungi salji tebal ketika menuntut di sini pada tahun 1962. McGill melahirkan ramai tokoh-tokoh hebat termasuk pemenang Hadiah Nobel Fizik pada tahun 2009. Kisah kehebatan McGill barangkali saya akan coretkan di lain waktu.

Sebelum menaiki keretapi bawah tanah (metro) ke rumah, sempat saya singgah The Paragraph, sebuah Kedai buku komersial, di seberang jalan pintu pagar utama McGill. Ini antara kedai buku yang saya selalu lepak selain Indigo dan Chapters. Membelek buku-buku baru dan majalah di sini memberi keseronokan yang sukar untuk ditulis dengan perkataan. Kepuasan dalaman kata orang. Tiga puluh minit di sini sudah cukup menyeronokkan. 
 
Sabtu yang cukup indah!

Nota :- Majalah The Economist terbaru (March 19th - 16th 2012), memuatkan laporan khas tentang mengenai masa depan teknologi nuklear. Kulit majalah memaparkan tajuk 'Nuclear Energy : The dream that failed.


    Hasil buruan St. Patrick's Day


   Demonstrasi membantah keganasan polis, Jumaat 15/3 yang lalu, di Rue St Catherine

3/16/12

Mendoakan Keselamatan Warga Malaysia

Hati semakin gelisah melihat perkembangan yang berlaku di Malaysia, terutamanya hak sebagai warganagenara untuk menikmati keamanan dan keselamatan. Kita dikejutkan dengan kes kehilangan kanak-kanak di Johor Baharu yang berakhir dengan kematian yang tragis, dibunuh dan dibakar.

Di zaman saya sebagai kanak-kanak, ibu bapa mungkin tidak begitu bimbang seperti sekarang. Di usia 8-12 tahun, kami bebas bergerak ke mana-mana sahaja tanpa pengawasan ibubapa 24 jam. Sebagai anak kampung dari sebuah penempatan FELDA, segenap sungai dan paya belukar kami 'lawati'. Hutan dan bukit kami redah. Kalau tidak membantu ayah mengutip buah relai atau menyusun pelepah di ladang sawit, kami turun pagi dan pulang senja bermain dan menikmati alam kanak-kanak sebebas-bebasnya. Rumah kami dan kebanyakan warga kampung tentunya tidak berpagar dan berjeriji. Kami hidup seadanya sahaja.

Kini, dunia semakin moden. Teknologi berkembang pesat. Bandar dan penempatan baru semakin banyak dibuka. Pagar dan jeriji dipasang di rumah. Silap-silap penghuni boleh mati terperangkap di rumah sendiri sekiranya berlaku kebakaran. Anak-anak sudah tidak bebas lagi menghirup udara segar di luar rumah, kerana bimbangkan keselamatan. Hiburan anak-anak hanyalah televisyen dan segala gajet elektronik.

Di luar rumah, penagih, penyamun, pembunuh, pencuri dan perompak semakin berkeliaran. Kita cukup bimbang kalau-kalau suatu hari nanti, polis datang ke rumah dan meminta kita menyerahkan DNA. Nauzubillah!

Apa lagi idea kita untuk mengembalikan keharmonian dan keamanan di tanahair kita Malaysia??

3/9/12

Bila salji mencair

Sekarang sudah masuk bulan Mac. Bulan ini adalah penghujung musim sejuk untuk tahun 2012.
Kalau cuaca normal, tidak terganggu dengan fenomena alam yang semakin sukar dijangka, awal bulan April nanti, putik-putik bunga mulai tumbuh. Petani dan peladang mulai sibuk menyemai biji benih jagung, kentang dan seumpamanya untuk tuaian penghujung musim panas nanti. Sungai-sungai dan paya yang membeku mula mencair.

Kurang menarik pandangan mata sewaktu salji mula cair ialah segala apa yang tertimbus akan muncul. Sampah, kotoran, najis haiwan terutamanya anjing (yang cukup banyak dibela di sini). Itu tidak termasuk rutin yang biasa dilalui iaitu lecak. Walaubagaimanapun ia akan dibersihkan oleh pekerja tidak lama lagi. Kasut kanvas atau selipar masih belum boleh digunakan untuk mengelakkan kebasahan. Suhu juga masih agak sejuk sekitar -5 hingga 10 darjah Celsius.

Ahad nanti (11 Mac) waktu akan diubah semula kepada sistem 12 jam lewat berbanding Malaysia. Musim sejuk yang lalu, ia ditambah satu jam menjadikannya lewat 13 jam. Istilah yang digunakan ialah Daylight Saving Time (Memendekkan waktu siang).

Waktu-waktu begini, suasana persekitaran agak berubah. Kedai-kedai kecil menjual aiskrim mula sibuk mengecat dan menyusun atur kerusi dan meja. Perasaan juga turut berubah kerana kebanyakan orang tidak lagi akan bersusah payah mengenakan jaket tebal, memakai baju berlapis-lapis, tingkap-tingkap rumah mula dibuka. Satu perasaan seronok timbul. 'Winter blues' akan berlalu buat sementara waktu. Pelbagai program musim panas mula dirancang. Inilah masa yang ditunggu-tunggu oleh warga Amerika Utara dan Eropah.

Selamat datang musim bunga!

408 4th Ave
Verdun

p/s: Jemput baca temubual MajalahSains.Com bersama pengerusi Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Malaysia (AELB) mengenai isu pembinaan kilang nadir bumi (rare earth), Lynas (M) di http://www.majalahsains.com/2012/03/isu-lynas-wawancara-bersama-pengerusi-aelb/