3/21/12

Terlalu banyak jenayah - Penyelesaiannya bagaimana?

Ketua Polis Negara : Tan Sri Ismail Omar
(PDRM: Pastikan rakyat Malaysia merasa aman ketika keluar seorang diri membeli sayur atau ikan di luar rumah!!)


Tertekan melihat berita-berita terkini di seluruh suratkhabar perdana Malaysia. Saya membaca hampir kesemua surtakhabar perdana, dan berita akhir-akhir ini tidak dapat memberikan sebarang jaminan keselamatan terhadap warganegara. Jenayah! Jenayah! Jenayah!..setiap hari muncul. Kadang-kadang di muka hadapan.

Jaminan polis bahawa Malaysia selamat dan aman tidak begitu meyakinkan. Paling merisaukan ialah keselamatan kedua ibu bapa saya yang berada di kampung. Anak-anak semua jauh keluar mencari rezeki. Telefon pun mungkin sekali sekala bertanya khabar. Sedangkan penagih dadah, dan penjenayah semakin membiak merata-rata seolah-olah tidak terkawal lagi. Dan mereka boleh sahaja berada di mana-mana.

Saya selalu mengikuti perkembangan di kawasan perumahan bakal tempat kediaman kami bila pulang ke Malaysia nanti melalui group facebook. Di sana banyak dibincangkan tentang kaedah-kaedah mengatasi jenayah yang semakin bertambah. Malah sudah ada kejadian pecah rumah.

Saya tidak boleh membandingkan tahap rasa selamat berada di Montreal ini dengan Malaysia kerana sudah agak lama kami tidak pulang ke tanah air. Adakah jenayah di negara kita benar-benar menakutkan orang ramai atau pun hanyalah gembar-gembur suratkhabar untuk melariskan jualan?

Saya selalu bangkitkan peranan POLIS dalam mengatasi keamanan dan keselamatan penduduk selain kesepakatan jiran tetangga menjaga keamanan. POLIS sememangnya bertanggungjawab memastikan penduduk berasa selamat. Jadi di mana mereka berada ketika rakyat memerlukan?

P/s: Terbaru Tan Sri Lee Lam Thye memberi banyak cadangan untuk mengurangkan jenayah dan mewujudkan masyarakat selamat! Tapi cadangan tinggal cadangan sahaja tanpa ada pelaksanaan yang komprehensif. Terlalu banyak cadangan yang dikemukakan pun tidak berkesan tanpa sifat integriti penguatkuasa.

No comments: