www.majalahsains.com

3/16/12

Mendoakan Keselamatan Warga Malaysia

Hati semakin gelisah melihat perkembangan yang berlaku di Malaysia, terutamanya hak sebagai warganagenara untuk menikmati keamanan dan keselamatan. Kita dikejutkan dengan kes kehilangan kanak-kanak di Johor Baharu yang berakhir dengan kematian yang tragis, dibunuh dan dibakar.

Di zaman saya sebagai kanak-kanak, ibu bapa mungkin tidak begitu bimbang seperti sekarang. Di usia 8-12 tahun, kami bebas bergerak ke mana-mana sahaja tanpa pengawasan ibubapa 24 jam. Sebagai anak kampung dari sebuah penempatan FELDA, segenap sungai dan paya belukar kami 'lawati'. Hutan dan bukit kami redah. Kalau tidak membantu ayah mengutip buah relai atau menyusun pelepah di ladang sawit, kami turun pagi dan pulang senja bermain dan menikmati alam kanak-kanak sebebas-bebasnya. Rumah kami dan kebanyakan warga kampung tentunya tidak berpagar dan berjeriji. Kami hidup seadanya sahaja.

Kini, dunia semakin moden. Teknologi berkembang pesat. Bandar dan penempatan baru semakin banyak dibuka. Pagar dan jeriji dipasang di rumah. Silap-silap penghuni boleh mati terperangkap di rumah sendiri sekiranya berlaku kebakaran. Anak-anak sudah tidak bebas lagi menghirup udara segar di luar rumah, kerana bimbangkan keselamatan. Hiburan anak-anak hanyalah televisyen dan segala gajet elektronik.

Di luar rumah, penagih, penyamun, pembunuh, pencuri dan perompak semakin berkeliaran. Kita cukup bimbang kalau-kalau suatu hari nanti, polis datang ke rumah dan meminta kita menyerahkan DNA. Nauzubillah!

Apa lagi idea kita untuk mengembalikan keharmonian dan keamanan di tanahair kita Malaysia??

No comments: