www.majalahsains.com

12/12/06

Eksplorasi ke Teratak Za'ba



Benarlah Tuhan itu Maha Adil dan Maha Mengasihi hamba-hambanya. Sepanjang kehidupan manusia di bumi ini akan ada sahaja pemimpin-pemimpin terbaik yang diturunkanNya untuk menyuluh kegelapan yang dilalui oleh umat di zaman itu. Di alam melayu, nama Za’ba tidaklah dapat kita lupakan baik untuk generasi kini mahupun yang terdahulu. Secara ringkas Tan Sri Pendita Zainal Abidin bin Ahmad atau Za’ba ( 16 September1895 – 23 Oktober 1973 )terkenal kebesarannya bukan sahaja dalam bidang bahasa dan sastera tetapi juga melangkaui bidang politik dan agama. Di samping itu beliau juga begitu terkehadapan dalam memperkatakan kelemahan dan kemiskinan orang melayu serta menulis banyak artikel-artikel menarik yang kritis untuk direnungi oleh umat dalam membina peradaban.

Kesempatan tukang catat ini mengunjungi Teratak Za’ba yang terletak di batu Kikir Negeri Sembilan pada cuti Keputeraan Sultan Selangor baru-baru ini menimbulkan seribu satu kenangan dan pengalaman yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Di sana dipamerkan bekas-bekas peninggalan beliau berupa perkakasan dan peralatan yang digunakan oleh beliau semasa hayat. Selain itu , Teratak Za’ba juga menyediakan pelbagai info menarik tentang jejak langkah perjuangan beliau.

Sesungguhnya terlalu banyak usaha yang dilakukan oleh Za’ba untuk memajukan orang melayu. Hasil perjuangan beliau berjaya mengangkat bangsa melayu untuk terus maju melawan gelombang hidup. Cuma yang agak dikesalkan ialah apabila bahasa melayu yang cuba diangkat beliau ke tempat sewajarnya sekarang semakin terpinggir dan tidak mendapat tempat. Kekecewaan itu telah dirakamkan oleh Nisah haron dalam puisi beliau yang dimuatkan dalam antologi Manuskrip Luka Bangsa. Di sini tukang catat menurunkan sajak tersebut untuk kita renungkan.

FATA MORGANA NADIM-ZA'BA

Andainya Za’ba dibawa ke menara ini
Pasti pilu rawan seorang pendeta
Raungnya kan terdengar dan menggegar
Dari kota hingga ke penghujung nusantara,
“Kalian apakan Pelita Bahasa Penggal Satu hingga Tiga?
Namaku abadi pada kolej sekolah dan asrama
Desah perjuanganku tercampak entah di sudut mana.”

Sudah lebih tiga dekad
Songkok Pendetamu belum ada pewarisnya
Anak-anak kita pun semakin
Tak pandai mengira “satu dua dan tiga”
Kononnya, membilang dengan bahasa ini
Sekadar berlegar dalam tempurung sendiri;
Meskipun dijamin Perkara 152
Dipagar kemas
Akta Dewan Bahasa dan Pustaka
Akta Bahasa Kebangsaan
Akta Pendidikan

Namun
Selagi bahasa ini tidak menjadi jati diri
Selagi tidak mengalir dalam urat dan nadi,
Semua akta boleh dikarung,
Dipaku dalam larung
Dicampak dalam gaung
Dan
Kau dan aku hanya meraung
Dalam talkin tanpa penghujung.

Selepas engkau tiada, Pendeta
Menara ini semakin tinggi membayangi bangunan lama
Ada hasrat memanjat, ada harapan ke hadapan
Namun keris bahasa hanya indah dalam sarungnya
Tak pernah terhunus menentang rempuhan penjajah kali kedua
Sedang, Sang Pemanas kerusi empuk di peterana
Mampu mengeluh semata.

Siapakah ibu bertuah menghamilkan seorang Za’ba lagi
Tidak digelar Nadim jika dibawa ke menara ini
Lahirnya kembar keris dan pena
Menikam dengan lisan
Menujah dengan tulisan
Berfirasat dengan isyarat.

Dialah pembawa pulang manuskrip moyangku dari Leiden.
Di Beijing, Sydney, London dan Capetown
Langsung ke seluruh dunia
Bukan sekadar bangga berbahasa dengan lidah ibunda
Malah tuturnya fasih bicaranya lancar
Melafazkan semua bahasa di jagat raya.

Apakah ini angan-angan kita
Mencari Za’ba seperti memandang fata morgana
Munculnya seketika selepas ini tiada
Begitukah nasib bahasa kita.

Di alaf ini semoga lahir si Nadim cendekia
Memakai songkok sang pendeta
Menghunus keris bahasa
Berjuang dengan lidah kita
Meredakan
Tangis seorang Za’ba.

oleh:
Nisah Haji Haron
5 Julai 2006
Ampangan

12/5/06

Selesai !!

Alhamdulillah!!ICSE2006 telah berakhir. Program selama 3 hari bermula 29 Nov- 1 Dis bertempat di Prince Hotel & Residence Kuala Lumpur. Segalanya berjalan lancar tanpa ada sebarang kesulitan. Insya Allah jumpa lagi pada tahun 2008!!