www.majalahsains.com

5/17/11

Suatu kebetulan yang indah

Kerapkali apabila kita teringatkan seseorang, dengan tidak semena-mena orang yang diingati itu akan muncul secara tiba-tiba. Jikapun tidak muncul, orang yang diingati itu akan menelefon atau sekurang-kurangnya teringat pula kepada orang yang mengingatinya. Ini bukan kisah cinta muda mudi yang saling ingat mengingati dan tenggelam dalam khayalan serta hawa nafsu, tetapi lebih kepada pengalaman hidup seharian.

Ahad lalu kami sekeluarga berjalan-jalan disuatu tempat. Aktiviti biasa di hujung minggu. Sewaktu berlegar-legar di suatu kawasan, fikiran tiba-tiba teringatkan seseorang di ofis yang banyak membantu saya tentang selok belok kerja yang harus dilakukan ketika mula-mula masuk bekerja 3 minggu yang lalu. Selang 2-3 minit, tiba-tiba nama saya dipanggil.

Aha...itu dia Puan Malar yang berbaju kurung biru, sedang duduk-duduk bersama temannya yang baru pulang dari aktiviti di gereja katanya. Saya terpinga-pinga dan terkejut seketika sebelum kembali tenang kemudian memperkenalkan isteri dan puteri saya kepada Puan Malar dan rakannya.

Saya pernah terbaca tentang kejadian secara kebetulan begini yang sudah saya lupa apa istilahnya. 'Sub-concious mind' atau gelombang minda atau apa ya ?..sungguh 'misteri' dan menarik untuk diteroka!

5/8/11

Berkhayal lah sebanyak mungkin

Berkhayal lah (berimaginasi) anda sebanyak mungkin. Suatu hari sebahagian khayalan tersebut akan menjadi kenyataan..

Kata-kata di atas saya petik dari buku tulisan pakar motivasi dan penulis terkenal Dr. Hj HM Tuah Iskandar melalui bukunya yang berjudul Membina Imaginasi Cemerlang.

Buku ini saya baca dan hayati berulang-ulang kali lebih 10 tahun yang lalu. Dan beberapa kata-kata motivasi serta buah fikiran beliau saya pegang betul-betul. Sebahagiannya saya salin di atas kertas dan hayati ketika waktu-waktu senggang. Sungguh hebat kuasa khayalan dan ia benar-benar berlaku pada diri saya melalui beberapa pengalaman peribadi.

Jika dahulu saya pernah berkhayal untuk menulis rencana dan disiarkan di dalam majalah, maka ia sudah direalisasikan. Sehingga kini saya sudah menulis lebih 70 rencana untuk majalah. Sebelum membaca buku tersebut pun saya sudah berkahayal menjejak kaki ke negara asing dan berjalan-jalan melihat tempat orang. Kini ia terlaksana juga. Malah, ketika di bangku sekolah pun, pernah saya berangan-angan masuk ke universiti dan mendengar kuliah di dewan kuliah yang menjunam ke bawah (seperti yang pernah ditonton dalam filem). Alhamdulillah, impian tersebut juga terlaksana. Ketika sibuk menguruskan persiapan untuk datang ke Kanada, selepas mengambil cuti tanpa gaji sebagai Pegawai Sains di UKM, saya juga berkhayal memperolehi kerja yang ada kena mengena dengan Malaysia di Kanada. Sudah tentu itu hanya khayalan kosong tanpa arah tujuan.

Tanpa disangka-sangka, baru-baru ini saya dihubungi oleh seseorang yang mencari warga Malaysia yang berada di Montreal untuk bertugas sebagai penterjemah di sebuah syarikat permainan komputer terkenal di sini. Jadual waktu kerjanya juga menepati khayalan saya sebelum ini iaitu selepas menghantar anak ke pusat jagaan kanak-kanak. Memang benar-benar ia berlaku, apabila kerja saya bermula pukul 1.00 tengahhari sehingga 9.30 malam.

Bertolak dari situ, saya mula berfikir keajaiban kuasa khayalan dan rezeki tanpa disangka-sangka dari Allah. Sungguh ajaib kuasa khayalan. Jadi sebelum terlambat saya ingin terus berkhayal dan mengajak rakan-rakan membaca buku "Membina Imaginasi Cemerlang" 





Memang saya seorang yang suka berangan-angan dan berkhayal. Kini saya cuba membayangkan diri sebagai seorang usahawan, mempunyai tenaga kerja yang mantap, memiliki ofis sendiri, membayar gaji pekerja, membantu orang-orang yang kurang bernasib baik, meningkatkan kemahiran diri sendiri...dan..dan..dan...dan.....ahhh...banyak sungguh angan-angan!

Biarkanlah angan-angan tersebut menerawang jauh tanpa jejak dan sempadan, bak kata pepatah orang putih
"Shoot for the moon. Even if you miss, you'll land among the stars"

Jangan kita terperangkap dengan istilah penjajah "angan-angan Mat Jenin"