www.majalahsains.com

1/30/11

Krisis di Mesir, Malaysia perlu cepat bertindak



Baca berita dari Mesir, kita simpati terhadap penuntut Malaysia di sana. Sama-sama kita berdoa semoga mereka selamat. Ikuti perkembangan warga Malaysia di Mesir melalui laman blog


Kita juga menyeru agar kerajaan segera bertindak untuk menyelamatkan warga Malaysia yang khabarnya berjumlah 8000 lebih di sana. Contohilah negara maju yang lain.

1/21/11

Ini kes rakyat-rakyat yang tertindas...oleh Melayu dan Islam sendiri

Mentang-mentanglah orang ini tiada nama, jawatan dan kekayaan. Inilah nasib Ismail Ariffin a.k.a Lepat Ismail. Sama-samalah kita sokong beliau dengan cara termampu.
Sebarkan melalui blog/fesbuk, etc..etc.




Kronologi kisah brader Lepat Ismail :-

        * Perkahwinan dahulu antara Ismail Arifin (Lepat) dengan Jane Brummit @ Aishah Jane Abdullah mendapat zuriat (seorang anak yang bernama Sunni Sazali yang dilahirkan di Malaysia)
        

        * Februari 1996 – Aishah larikan Sunni ke England kali pertama sebelum Lepat membawa anaknya ke Amsterdam dan kemudian pulang ke Pulau Pinang pada bulan Oktober 1996

        * Pada 1 April 1997, mahkamah berkenaan mengeluarkan perintah membenarkan Aishah bertemu Sunni setiap pagi Sabtu di pekarangan Balai Polis Lebuh Pantai, Georgetown selepas rumah tangga pasangan itu mengalami keretakan

        * 5 Julai 1997 – Sunni dilarikan Aishah buat kali kedua semasa dalam Custody Makhamah Syariah Pulau Pinang dengan menyeberangi sempadan di pintu Bukit Kayu Hitam

        * Kes ini menjadi rumit kerana keluarga Jane Brummit berjaya mendapatkan perintah Mahkamah Crown di Winchester pada Ogos 1997 supaya Ismail Ariffin memulangkan semula Sunni. Jane kemudian pergi ke Malaysia bagi mendapatkan hak penjagaan ke atas Sunni daripada Mahkamah Syariah Pulau Pinang. Kes penjagaan anak itu ditangguh pada bulan Jun 1997.

        * Pada laporan akhbar 18 Mac 2010 (berita Harian), melalui kenyataan Ketua Polis Negara pada masa itu polis tidak pernah menutup kertas siasatan kes bekas isteri pelukis potret, Ismail Ariffin atau Lepat, Aishah Jane Brummit yang melarikan anak mereka, Sunni, ke England, 13 tahun lalu

        * Tiga belas tahun lalu, Aishah melarikan anak hasil perkongsian hidup dengan Lepat, 42, selepas pertemuan dengan anaknya atas perintah Hakim Mahkamah Syariah Pulau Pinang, Othman Ibrahim.

        * Pada 1 April 1997, mahkamah itu mengeluarkan perintah membenarkan Aishah bertemu Sunni, setiap Sabtu di pekarangan Balai Polis Lebuh Pantai, Georgetown. Namun, Aishah mengambil kesempatan itu untuk melarikan Sunni ke England menerusi sempadan negara di Bukit Kayu Hitam.

        * Ketika itu, polis menjalankan siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan, iaitu culik daripada penjagaan yang sah dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun.



p/s : Kisah selanjutnya boleh di baca di BERITA SEMASA.

1/17/11

Bila diri didatangi ujian..baca dan hayatilah doa ini...


Bukan manusia namanya kalau tidak ditimpa dugaan..setiap dugaan adalah hikmah dari Tuhan untuk menguji akal dan daya usaha hambaNya melepaskan diri dari ujian.

Video di atas adalah salah satu dari 4 kuliah subuh HAMKA tentang 8 perkara ajaran Nabi kita Muhammad S.A.W untuk umat baginda yang ditimpa kesukaran dalam hidup.

Pesanan saya, hayatilah kuliah ini di waktu-waktu yang tenang, selepas solat subuh umpamanya atau sewaktu perjalanan jauh. Selain kuliah ini, dapatkan buku-buku penyubur jiwa karya Buya Hamka seperti Tasawuf Moden, Falsafah Hidup, Lembaga Budi, Tafsir Al-Azhar dan lain-lain. Mudah-mudahan kita diberikan kekuatan di zaman yang semakin mencabar ini.

p/s : sambungan video selanjutnya boleh didengar di SINI. 

1/10/11

Jangan Bakar Novel Interlok


Saya tidak pernah membaca novel Sasterawan Negara Abdullah Hussin yang begitu kecoh di Malaysia sekarang ini akibat ada perkataan 'paria' di dalamnya. Novel ini ditulis lebih 40 tahun yang lalu dan dilaporkan sarat dengan nilai-nilai sejarah Tanah Melayu.
Novel ini khabarnya diangkat menjadi teks Komponen Sastera (KOMSAS) bagi pelajar jurusan sastera. Ia menjadi hangat bila sekumpulan bangsa India yang marah dan membakar novel ini baru-baru ini.

Hati saya menjadi panas menggelegak bila membaca berita buku dibakar. Setahu saya budaya membakar buku ini hanya dilakukan oleh penyamun atau penjenayah di zaman Nazi, dan tentera Monggol yang menyerang Baghdad suatu masa dahulu.

Buku yang baik tidak perlu dibakar. Kalau terlalu gian, bakar sahajalah buku-buku separa lucah seperti Majalah Mangga, URTV, dan lain-lain yang bersepah di pasaran sekarang, bukan novel INTERLOK karya Sasterawan Negara.

Kita ingin mengingatkan perkara ini supaya api perkauman tidak tumbuh subur di Malaysia. Kita juga bimbang Tragedi Kampung Medan akan muncul kembali.

Diharap pihak berkuatkuasa cepat bertindak meredakan keadaan. Untuk ahli politik yang bodoh, isu ini bukan untuk anda. Sila beredar!

1/4/11

Buah Delima pula...

Kalau sebelum ni cerita buah Pisang Kaki, kali ni kita sembang pasal buah delima :-)

Saya tidak tahu khasiat buah delima secara saintifik. Sewaktu di kampung dahulu, ayah saya ada menanam dua batang pokok delima dan sempat juga kami merasai buahnya.
Sekarang sudah tiada lagi.
Menurut orang kampung, air akar delima yang direbus baik untuk mereka yang mengalami cirit birit. Itu sahaja yang saya tahu. Datang ke Montreal, di kedai-kedai banyak pula terjumpa buah ini. Besar dan segar!. Saya semak di internet, rupanya ada juga disebut dalam Al-Quran. Buah delima juga banyak dikaitkan dengan kepercayaan agama-agama lain seperti Buddha, Hindu, Yahudi dan Kristian. 

Baca di blog INI tentang khasiat buah delima

Dan Dialah yang menurunkan hujan..Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus dan dari pohon-pohon tamar (kurma) dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.” – Al-An’am:99

Buah delima memang unik dan sedap. Untuk mereka yang berkesempatan, rasalah nikmat yang dikurniakan Allah di atas muka bumi ini. Memang ajaib ciptaan Tuhan.







1/3/11

Perihal Status Facebook dan Budaya Orang kita

Sekali lagi saya tidak mahu bercakap tentang bangsa lain. Kita hanya mahu berbincang dan berkongsi sesuatu tentang bangsa kita sendiri yang kita kasihi. Kali ini tentang facebook.

Zaman sekarang sekiranya tidak ada akaun facebook, blog atau twitter, kita barangkali akan ditertawakan. Apa sahaja teknologi yang muncul kita dituntut untuk menggunakan secara berhemah. Sukar untuk saya tentukan yang mana berhemah. Bolehjadi yang baik-baik sahaja mungkin. Tidak perlu bercerita atau menulis status di facebook tentang benda remeh temeh.

Satu artikel yang menarik ditulis oleh Dr Saodah Abdul Rahman dari UIA tentang salahguna facebook. Bagus untuk renungan bersama. Saya sendiri insyaallah akan lebih berhati-hati produk ciptaan Mark Zuckerberg ini.

Bacalah dengan teliti artikel di bawah.

Penyalahgunaan Facebook memusnahkan umat Islam


Umat Islam sepatutnya menghargai masa jika mereka ingin membangun dan berjaya dalam kehidupan di dunia ini. Kemudahan teknologi komunikasi jika disalah gunakan akan mengundang pelbagai risiko dan kesan negatif dalam kehidupan umat Islam. Peristiwa perceraian melalui pesanan ringkas telefon bimbit sudah menjadi lumrah suami melafazkan talak kepada isteri. Perkahwinan merupakan satu institusi yang mulia di mana melalui perkahwinan, manusia dapat menyalurkan hubungan kasih sayang secara bermaruah. Adat dan cara umat Islam menyambut hari perkahwinan dengan begitu meriah menunjukkan bahawa hubungan suami isteri merupakan simbol kebahagiaan.

Bagi membina kebahagiaan rumah tangga, tanggung jawab dan peranan suami isteri perlu difahami secara jelas. Jika seorang lelaki mempunyai kewibawaan dan bertanggungjawab, beliau tidak akan melafazkan talak melalui SMS kepada isterinya.
Perceraian merupakan satu perkara diharuskan walaupun dibenci oleh Allah. Apabila wanita dilamar dengan pelbagai adat dan istiadat, maka perceraian juga perlu mengikut adat dan istiadat. Sejauh manakah lelaki Islam dapat menghayati konsep hidup berumah tangga merupakan persoalan yang sering terukir dalam minda wanita masa kini. 

Konteks kehidupan masa kini memerlukan satu reformasi minda di kalangan lelaki dan wanita supaya perubahan zaman dapat menjamin kebahagiaan rumah tangga. Apabila isteri keluar rumah mencari nafkah dan menunaikan tanggungjawab masyarakat dan negara, maka suami sepatutnya merenung dan berfikir betapa penat dan letihnya isteri membantu beliau mencari nafkah kehidupan. Ketika ini, terdetik dalam hati nurani suami bahawa pengorbanan isteri perlu dihargai dengan cara membantu isteri melaksanakan tugas rumah tangga, bukan asyik melayan internet mencari rakan melalui Facebook dan seumpamanya.

Penat dan lelah kerana bekerja tidak memungkinkan wanita menunaikan kehendak naluri suami secara sempurna. Lelaki Islam masa kini sepatutnya melihat perubahan zaman dan konteks kehidupan masyarakat Islam secara rasional, bukannya memaksa isteri akur kepada budaya yang memenatkan dan meletihkan. Dalam konteks kehidupan masyarakat Islam di Malaysia kini, wanita yang bekerja di luar rumah membantu suami mencari nafkah, hidup mereka lebih terbeban berbanding dengan wanita yang menjadi suri rumah tangga sepenuhnya.

Mencari nafkah dan menentukan kesempurnaan hidup berumah tangga merupakan tanggungjawab khusus suami mengikut perspektif Islam. Oleh itu, hak talak diberi kepada lelaki secara mudah berdasarkan kepada beban tanggung jawab mereka terhadap ahli keluarga.

Tetapi hari ini, tugas menentukan nafkah kehidupan keluarga turut dikongsi oleh isteri. Struktur sosial masyarakat Islam dalam negara kini memberi peluang kepada suami berhibur dan menghabiskan masa lapang dengan pelbagai kegiatan menyeronokkan. 

Kecanggihan teknologi komunikasi memberi banyak peluang kepada suami yang tidak bertanggung jawab menghabiskan masa mencari rakan dan teman untuk berceloteh melalui Facebook dan melayari laman web yang menyeronokkan, sedangkan para isteri dengan tenaga yang lemah memaksa diri melayani anak-anak dan menyediakan makanan untuk ahli keluarga.

Facebook juga boleh dianggap sebagai racun jiwa atau kerohanian jika seseorang itu tidak prihatin terhadap masa. Teknologi komunikasi sepatutnya digunakan untuk mendapat maklumat yang boleh membina pemikiran dan ilmu pengetahuan. Malangnya, ramai di kalangan umat Islam masa kini menggunakan teknologi tersebut untuk menghabiskan masa lapang dengan berceloteh dalam Facebook sehingga terlupa tanggungjawab dan tugas sebagai suami atau isteri. 

Seorang lelaki bergelar suami sepatutnya menggunakan masa sebaik mungkin untuk menambah nafkah hidup keluarga dengan melakukan kegiatan yang boleh memberi sumber rezeki. Sikap gemar berceloteh melalui Facebook dan SMS boleh menyebabkan seseorang itu menjadi malas dan terbantut akal fikiran. 

Apabila fikiran tidak didedahkan kepada suasana yang boleh memberi kesedaran tentang tanggungjawab dan amanah maka ia boleh mendorong lelaki menjadi penggemar hiburan melalui teknologi komunikasi. Sikap begini bukan sahaja boleh menyebabkan lelaki menjadi cuai terhadap rumah tangga, malah ia juga menggoncang kebahagiaan rumah tangga.

Jika seorang wanita gemar berceloteh di dalam Facebook dan SMS, beliau juga akan cuai terhadap tugasnya sebagai seorang isteri. Sikap gemar meluahkan perasaan kecewa dan kesunyian di dalam Facebook bukan sahaja boleh menyebabkan rahsia rumah tangga terbongkar tetapi juga mengundang orang yang menangguk di air keruh mengambil kesempatan untuk menghancurkan rumah tangga. Hal ehwal rumah tangga sepatutnya dibincang bersama ahli keluarga kedua belah pihak seperti mana dianjurkan oleh Allah di dalam al-Quran.

Konsep perkahwinan di dalam Islam adalah berasaskan kepada tanggungjawab dan amanah, bukan hanya sekadar untuk menunaikan tuntutan hawa nafsu. Perkahwinan yang tidak berasaskan kepada amanah dan kasih sayang sejati sering kecundang apabila tuntutan hawa nafsu tidak dapat dinikmati sepenuhnya. 

Keresahan jiwa jika tidak dipandu mengikut fitrah ciptaan roh/kerohanian boleh menyebabkan suami atau isteri mencari jalan hidup berunsurkan hedonisme (keseronokan) yang boleh menyebabkan mereka lalai terhadap tugas dan tanggungjawab. Hasilnya, rumah tangga yang dibina di atas dasar cinta yang diwarnai dengan impian indah hancur berkecai dan kasih sayang bertukar menjadi kebencian.
Fitrah ciptaan manusia ialah berkomunikasi dengan masyarakat dan bekerjasama untuk menjayakan kehidupan di dunia dan di akhirat. Realiti kebanyakan umat Islam masa kini dalam negara ini lebih cenderung ke arah yang boleh menyeronokkan diri sehingga terlupa asas dan fitrah kehidupan mereka. Kemudahan komunikasi sepatutnya digunakan untuk menyelami pelbagai ilmu dan pelajaran supaya corak pemikiran umat Islam menjadi lebih terbuka dan matang dalam memahami konteks kehidupan dalam era globalisasi. Hakikatnya, kecanggihan teknologi komunikasi disalah gunakan untuk tujuan keseronokan dan keghairahan.

Facebook juga boleh memberi peluang yang besar kepada penjenayah untuk mengesan mangsanya secara mudah. Setiap maklumat berkaitan dengan mangsa dapat diperoleh dengan mudah. Wanita Islam yang menjadi mangsa kepada pengedar dadah antarabangsa dan penipuan adalah hasil daripada berkenalan dengan orang asing melalui Facebook. 

Facebook sepatutnya digunakan untuk memperkembangkan karier seseorang melalui pertukaran fikiran dalam bidang masing-masing. Di negara barat, masyarakatnya menggunakan Facebook untuk memajukan kehidupan mereka seperti berurusan dalam perniagaan dan seumpamanya. Banyak pergerakan dan organisasi bukan kerajaan menggunakan Facebook untuk menambah ahli persatuan dan menghubungkan persatuan mereka dengan persatuan antarabangsa.

Nampaknya, kemudahan dan teknologi komunikasi yang berkembang di negara ini tidak difahami masyarakat Islam. Mereka lebih cenderung menggunakannya sebagai sumber hiburan sehingga berlaku perpecahan rumah tangga. Ini terjadi akibat daripada kejutan teknologi komunikasi. 

Oleh itu, kesedaran terhadap faedah dan keburukan teknologi komunikasi perlu diperjelaskan kepada masyarakat supaya mereka memahami akibat salah guna teknologi komunikasi.

Dr. Saodah Abd Rahman
Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.