www.majalahsains.com

4/29/08

Dua artikel terbaru

1. Rencana terbaru di Dewan Kosmik Mei. Lihat di SINI

2. Penat saya memikirkan bagaimana untuk menulis sebuah rencana mengenai binaan dan struktur mega seperti yang dikehendaki oleh editor untuk dimuatkan dalam sisipan Estidotmy bulan April. Pengetahuan saya mengenai perkara ini hampir 'zero' sehinggalah teringat sebuah buku yang pernah dibeli satu masa dahulu yang berjudul "Teori Senibina Frank Lloyd Wright'.
Dengan bantuan buku ini serta pencarian di internet terhasillah sebuah rencana 'Evolusi Bangunan Pencakar Langit' di dalam Estidotmy April. Boleh dilihat di satu lagi blog saya.

4/28/08

Hadiah Hari Lahir



( Tuan Mufti, Dr.MAZA, Prof.Madya Dr. Farouk Musa ..Pengerusi Profesional Muslim Forum, dan Tukang Catat)

Sabtu lepas 26 April 2008 telah dilancarkan suatu pertubuhan NGO As-Sunnah yang yang dikenali Idtibai' As-Sunnah ( seterusnya menubuhkan Institut Al-Mizan)peringkat Negeri Sembilan di Kuala Pilah. Yang menariknya, perasmian dilancarkan oleh Sohibus Samahah Dr.Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Kerajaan Negeri Perlis. Pelancaran dihadiri oleh ratusan ahli dari seluruh pelosok negara termasuk pendokong-pendokong gerakan Sunnah dari Singapura ( Pertubuhan Muhammadiah), cucunda almarhum pelopor gerakan Islam di Indonesia, Hassan Bandung ( lupa namanya), Pertubuhan An-Nida' Kuala Lumpur, Profesional Muslim Forum dan warga Negeri Sembilan.

Gerakan mengembalikan ajaran islam kepada al-quran dan sunah sudah bermula sejak ratusan tahun lampau yang digerakkan oleh Ibnu Taimiyah dan ulama' yang lain untuk membersihkan Islam dari segala kekotoran khurafat dan syirik. Antara penyebab umat islam dan negara-negara islam lemah dan terus lemah ialah tidak kembali kepada ajaran sebenar islam yang disampaikan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad.
(inilah antara intipati ucapan ringkas beliau yang kemudiannya di ulas secara mendalam dalam akhbar Mingguan Malaysia keesokan hari di bawah kolum Pena Mufti)

Tukang catat merasa terpanggil untuk menghadiri majlis ilmu tersebut. Apatah lagi ia dirasmikan oleh Mufti Perlis yang tersohor itu. Tambahan pula, tempat perasmian hanya beberapa KM sahaja dari rumah. Banyak persoalan yang berselirat dalam minda terjawab dalam sesi soal jawab bersama beliau. Penulis juga sempat bertanyakan satu dua soalan. Alhamdulillah!
Niat untuk berjumpa dengan Mufti Perlis dikabulkan Tuhan.

Oh ya, 26 April juga ulang tahun kelahiran penulis yang ke-29. Inilah hadiah ulangtahun yang paling bermakna sepanjang 29 tahun hidup mundar mandir di dunia ini..Alhamdulillah!!

4/6/08

Catatan Pesta Buku 2008



Sabtu lepas, seharian berada di Pesta Buku di PWTC. Bertolak dari Seremban jam 10.15 pagi dan tiba tepat pada pukul 11.30 di Stesen Putra. Kembali semula ke Seremba pada jam 6.30 ptg sebelum bergerak pulang ke K.Pilah. Ikutkan hati mahu sahaja 2 hari dihujung minggu dihabiskan Pesta Buku. Apa yang menarik di sana?

* Buku,buku, buku dan buku



* Dapat bertemu dengan pengarang-pengarang terkenal dan berkenal-kenalan ( antara yang sempat ditemui ialah Faisal Tehrani ( saya membeli 2 buah buku dan mendapatkan tandatangan beliau di gerai Al-Ameen), Prof. Kamil di gerai PTS, dari jauh kelihatan Puan Ainon yang begitu sibuk. Malas saya mengganggu beliau. Di situ juga terserempak beberapa pengarang tersohor antaranya Pak Latip Talib dan Zamri Mohammad. Di gerai MPH, Dr Sheikh Muzaffar melayan peminat beliau sambil menandatangani buku pengalaman beliau di ISS "Reaching for the Stars". Sempat juga bertemu senior yang sedang mencari buku-buku untuk perpustakaan UNIMAP. ( seorang pensyarah metalurgi dan material science di sana).


* Tahun ini mungkin yang penganjuran yang terbesar PBAKL sejak 1986 ( Dewan Tun Razak 2, di seberang sungai juga turut digunakan sebagai ruang pameran dan jualan. Di sini juga lebih tenang dari hiruk pikuk pengunjung dan penjual buku-buku teks sekolah serta promosi produk elektronik. Di sini juga suasana falsafah pesta buku lebih terasa (bagi saya)!!



Hari ini selesai membaca buku panduan menulis Karya Nan Indah oleh FT. Suatu panduan yang cukup menarik dan segar. Sembilan cerpen di bahagian akhir buku ini belum sempat dibaca. Tuhan menganugerahkan bakat menulis dan mentafsir yang baik kepada FT selain usaha gigih beliau bertahun-tahun untuk mencapai kesempurnaan. Buku ini sedikit sebanyak menyuntik semangat baru!


[Update pada 10/4/08]..

Hari ini sekali lagi penulis ke Pesta Buku. Kali ini tidak lagi berseorangan, isteri menjadi teman menyelongkar buku-buku di sana. Tujuan utama sebenarnya ialah untuk dapatkan buku Mencari Jalan Pulang, Daripada Sosialisme kepada Islam, sebuah autobiografi Kassim Ahmad. Sebelum ini tidak pula tahu bahawa buku ini telah pun dilancarkan sehinggalah terbaca di blog Jiwarasa tentang kewujudan buku yang ditunggu-tunggu ini di gerai buku PTS yang diterbitkan oleh Zi Publication. Rasa bangga dan seronok apabila buku ini telah menjadi milik penulis. Dan sehingga saat blog ini dikemaskini, penulis telah selesai membaca buku ini. Ringkasnya, memoir Dr Kassim Ahmad adalah sebuah catatan panjang 3 zaman yang dilaluinya sepanjang berkelana dalam mencari hakikat kehidupan yang adil dan saksama. Kata pengantar buku ini ditulis oleh Tun Dr Mahathir. Ulasan lanjut akan dimuatkan dalam blog ini tidak lama lagi.

Selain buku Kassim Ahmad beberapa buah lagi buku menjadi milik penulis!


Sambungan [13 april 2008]


Sebelum ini penulis telah menghabiskan bacaan memoir Kassim Ahmad yang sangat menarik. Di dalam buku tersebut, ada seorang lagi rakan beliau dan cukup popular sebagai penulis pada tahun 60an iaitu Anis Sabirin yang dicatat oleh Dr Kassim. Rupa-rupanya Anis Sabirin juga telah menulis memoir beliau yang berupa catatan pengalaman sepanjang 27 tahun berada di Amerika sebagai ahli perniagaan, pensyarah, penulis dan juga pemerhati yang tajam di sana. Menurut catatan memoir tersebut, yang berjudul Dua Dunia, Anis Sabirin menyatakan bahawa beliau kenal benar dengan Kassim Ahmad dan menurut beliau semasa menuntut di Universiti Malaya di Singapura, Kassim Ahmad telah menunjukkan kecenderungan menjadi seorang cendekiawan. Kedua-dua memoir tokoh besar ini saling kait berkait walaupun hanya catatan ringkas antara keduanya. Memoir Anis Sabirin saya habiskan bacaan semasa dalam perjalanan komuter dari stesen Putra ke Seremban.

Berikut adalah senarai buku dan majalah yang menjadi milik penulis sepanjang PBAKL08 berlangsung.

1. Karya Nan Indah ...Faisal Tehrani ( Ameenbooks)
2. Bedar Sukma Bisu ..Faisal Tehrani ( DBP)
3. Budaya Yang Tercabar ..Shamsul Amri Baharuddin (DBP)
4. Dua Dunia ..Anis Sabirin (DBP)
5. Laskar Pelangi --Adrea Hirata (PTS)
6. Suami Mithali Isteri Sejati --Dr.Juanda Jaya (BukuPrima)
7. Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme kepada Islam ..Kassim Ahmad (Zi Publication)
8. Budaya Kreativiti (Akademik Sains Malaysia)
9. Mengenal Hacking ..Firrar Utdirartatmo (AndiPublisher)

Suasana yang sungguh mengghairahkan di Pesta Buku!!

4/3/08

Blogger:A.Kadir Jasin



Teknologi komputer dan internet sekali lagi memberi peluang kepada mereka yang memanfaatkannya sebaik mungkin ke jalan yang betul seterusnya memberikan manfaat yang bukan sedikit kepada orang ramai.

Terbaru ialah buah tangan seorang penulis, pemberita, pemikir, pengkritik dan wartawan yang tidak asing lagi yang telah sekian lama menghambakan diri dalam dunia penulisan sejak tahun 1969 sehingga kini. Buah tangan yang dimaksudkan ialah sebuah buku berjudul ”Blogger A. Kadir Jasin”. Di dalam negara nama A Kadir Jasin tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia akhbar dan penerbitan.

Dalam sejarah kerjaya, beliau pernah menyandang jawatan penting dalam dunia penerbitan dan akhbar antaranya ialah Editor Kumpulan NST Sdn Bhd, Ketua Editor NSTP Sdn Bhd dan Ketua Editor sebuah syarikat penerbitan terkenal , Berita Publishing Sdn Bhd.

Beliau pernah mencurahkan buah fikiran dan ideanya berbentuk tulisan dalam sebuah kolum yang tersendiri “Other Thots” di dalam majalah Malaysian Business sewaktu ketika dahulu. Selain itu beliau juga merupakan penulis beberapa buah buku yang menarik seperti Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006) dan terkini ialah Blogger A. Kadir Jasin (2006).

A.Kadir Jasin telah mengambil inisiatif untuk melebarkan tulisan dan pandangan beliau melalui blog beliau di internet (www.kadirjasin.blogspot.com) ke dalam bentuk buku untuk dikongsi bersama dengan pembaca di Malaysia dengan judul ”Blogger A Kadir Jasin”.

Buku kecil terbitan 2006 setebal 241 halaman ini dimulakan dengan pengenalan tentang budaya menulis dan salah satu produk kecanggihan teknologi internet iaitu blog. Blog ataupun weblog menurut takrifan wikipedia, sebuah ensiklopedia percuma dalam talian merupakan laman web yang memuatkan bahan-bahan yang berbentuk dan bergaya jurnal atau diari oleh individu atau berkumpulan.

Penulis blog yang dikenali sebagai blogger akan memuatkan hasil karya dan tulisan mereka yang dinamakan tampalan (posting) ke dalamnya mengikut gaya dan kemampuan mereka yang tersendiri.

Penulisan di blog atau weblog ini bersifat rencam dan pelbagai. Ada yang menulis sekadar suka-suka tanpa ada sebarang tujuan tertentu atau sekadar untuk tidak tertinggal di belakang dalam kelimpahan teknologi internet. Ada yang menulis sekadar untuk mencari kawan dan hiburan serta mencatat aktiviti harian mereka. Ada juga penulis blog yang sudah dikenali ramai di luar, namun masih menggunakan saluran alternatif melalui weblog untuk meyampaikan buah fikiran, gagasan dan idea mereka melalui medium internet. Kebanyakan mereka ini mempunyai peminat dan penggemar setia yang selalu mengikuti perkembangan tulisan penulis-penulis ini baik di luar mahupun di dalam talian.

Ini lah yang dilakukan oleh A. Kadir Jasin. Beliau yang sudah pun mempunyai nama besar di luar menggunakan medium ini untuk terus menyampaikan pandangan dan pendapat beliau melalui teknologi internet yang mempunyai pengikutnya yang tersendiri dan hasilnya ialah sebuah blog yang segar, menarik, kritis dan kadang kala menyengat. Gaya tulisan beliau yang cermat, spontan, mesra dan bermaklumat terus meruntun minat pembaca untuk terus mengikuti tulisan-tulisan beliau lewat blog di internet.

Selain itu menurut penulis, blog merupakan media baru penyampaian selain akhbar, radio dan televisyen hasil dari pekembangan teknologi ICT sejak tahun 1990-an lagi. Tulisan berbentuk blog adalah lebih murah, cepat dan mudah serta boleh dilakukan di mana-mana sahaja selagi ada kemudahan telekomunikasi internet. Dengan cara ini beliau boleh terus berinteraksi dengan pembaca dengan lebih pantas dan mesra.

A Kadir Jasin memulakan tulisan pertama beliau di blog pada 28hb Februari 2006 dengan judul ”Mengatasi Beban Kenaikan Harga Minyak”. Sejak itu beliau telah menulis lebih dari 130 buah rencana berbahasa melayu dan inggeris mengenai pelbagai topik dan isu yang berlaku di dalam negara. Buku yang memuatkan tulisan beliau ini merupakan jilid pertama dari dua jilid yang akan diterbitkan. Di dalam keluaran ini dimuatkan 16 rencana tulisan beliau dengan pelbagai judul menarik dengan 4 daripadanya berbahasa Inggeris dengan tajuk ”Apologize and You Shall be Pardoned”, Can We Not Be a Vulgar?’, Cut Down on the Debate” dan ”Every Generation Has Its Heroes”. 12 lagi kupasan beliau yang mendapat perhatian pembaca menerusi tajuk-tajuk antaranya ialah “Rakyat dan Kakitangan Awam Sama Penting”, PM Janji Agihan Adil”, Bumiputera Terus Ketinggalan dan “Apabila Ahli Politik Bergegas ke Mahkamah”.

Apa yang menarik ialah, beliau turut memuatkan komentar-komentar bernas dari pembaca yang berkongsi pendapat dan pengalaman mereka tanpa sebarang suntingan disebabkan limitasi teknikal pelayan web blogger. Namun begitu kebanyakan komen dan pendapat ini dilakukan dengan jujur dan berhemah sesuai dengan saranan penulis supaya setiap pembaca dan pengkritik hendaklah berani dan jujur dalam memperkatakan sesuatu.

Buku ini merupakan produk yang baik hasil dari kecanggihan teknologi internet yang ditangani dengan berkesan oleh seorang penulis berwibawa dan berkarisma seperti A Kadir Jasin. Ia sesuai dibaca oleh semua golongan yang berminda terbuka dan berminat dengan isu-isu semasa yang berlegar sekitar Malaysia tanah air tercinta.


p/s : Ulasan buku ini ditulis tahun lepas. Pernah cuba dihantar ke media, tapi gagal!! hehe ;-)