www.majalahsains.com

2/19/11

Apabila Borders Bankrap

Heboh di internet di kalangan peminat dan pencinta buku bahawa rangkaian kedai buku terkenal Borders di Amerika memfailkan permohonan diiystiharkan bankrap. Ini suatu berita menyedihkan di kalangan komuniti dunia perbukuan. Sebab dan punca bankrap tidaklah dinyatakan. Tetapi mungkin boleh dibuat andaian bahawa teknologi komputer dan elektronik banyak mempengaruhi dunia termasuk buku dan pembacaan. Kemunculan pembaca elektronik (e-reader), buku elektronik (e-book), dakwat elektronik (e-ink), kerancakan penyelidikan OLED (Oragnic Light Emitting Diode) untuk menghasilkan skrin paparan berkuatiti dan pelbagai produk elektronik lain muncul yang memudahkan pembaca adalah faktor penyumbang utama kemerosotan pembaca buku tradisional.

Bagi peminat buku, kita tidak menolak bahawa memegang, membelek dan menikmati helaian buku adalah suatu nikmat yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Membaca sebuah karya hebat ibarat berdialog dengan pengarangnya. Bayangkan kita sedang membelek dan menikmati buku 'Berani Gagal' tulisan Billi Lim, tentu semangat untuk mencuba sesuatu datang berkobar-kobar. Begitu juga bila membaca The Cuckoo's Egg kita seolah-olah mengejar dan memburu penggodam komputer seperti Cliff Stoll. Juga terasa ingin menjadi penulis pula bila membaca 'Buat Duit Dengan Menulis' karya Jeniri Amir.

Membeli bahan bacaan dan menghabiskan masa di kedai buku juga menjadi satu nikmat yang mungkin kurang difahami oleh orang lain. Kadangkala ditafsirkan sebagai 'tabiat buruk' pula bila ketagihan buku melanda. Apatah lagi sekiranya kedai-kedai buku yang membenarkan pengunjungny santai membaca buku di premis-premis mereka. Borders adalah salah satu di antaranya.

Di Kuala Lumpur saya masih ingat kemunculan Borders pertama kali sekitar tahun 2005 di Berjaya Times Square. Saya juga kerap ke sana selain MPH dan Kinokuniya. Beberapa tahun kemudian premis mereka semakin mengecil. Sekarang kita tidak tahu nasib Borders di sana. Samada akan menrima nasib yang sama seperti Borders Amerika atau bagaimana.

Teknologi semakin berkembang. Kita juga mesti turut berubah seiring dengan teknologi. Dunia semakin kompleks.