www.majalahsains.com

8/29/09

Estidotmy Ogos 09



Estidotmy adalah sisipan Utusan Malaysia yang diterbitkan setiap hujung bulan dengan kerjasama MOSTI-Akademi Sains Malaysia (ASM). Koleksi percuma estidotmy boleh diperolehi dari laman ASM

Mahu jadi apa kita? (Quo Vadis?)

Gara-gara kelemahan kepimpinan, satu demi satu isu yang begitu penting dan dijaga rapi dalam masyarakat majmuk di tanah air kita hampir terburai. Isu perkauman dan sensitiviti agama merupakan tonggak utama perpaduan kaum yang diamalkan dalam negara kita selepas termeterainya kemerdekaan dan perjanjian kontrak sosial antara kaum. Negara hampir lumpuh suatu ketika dahulu apabila tragedi 13 Mei 1969 tercetus. Punca berlakunya tragedi tersebut tidak lain adalah melibatkan isu perkauman atau rasis/racist sehingga memaksa negara ditadbir oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Kisah menyayat hati ini boleh dibaca dimana-mana sahaja di laman internet dan juga buku-buku yang berkaitan.

Apa yang mengejutkan, baru-baru ini timbul pula isu perarakan membantah pembinaan kuil hindu di Shah Alam. Perarakan yang khabarnya dilakukan secara tersusun, aman dan teratur tiba-tiba dihangatkan dengan perarakan membawa kepala lembu. Setiap warga seharusnya maklum bahawa lembu dan kaum india yang beragama hindu mempunyai pertalian yang rapat berdasarkan kepercayaan agama mereka. Oleh yang demikian, perarakan secara terbuka sebegitu adalah jelas bersikap untuk menghina agama lain yang dilarang keras di dalam agama suci umat islam berdasarkan kefahaman penulis tentang ayat al-Quran yang bermaksud

’ Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. [6:108]

(Saat ini saya mula merindukan Tafsir-Al-Azhar, HAMKA 30 juzuk yang tersusun kemas di rak koleksi ilmu di Kuala Pilah)

Jadi jelas, mencerca agama lain dengan menghina amalan mereka adalah dikecam dalam islam. Zaman ini adalah zaman tajdid atau gerakan pembersihan amalan karut-marut di dalam islam, maka wajar kita kembali kepada Al-Quran dalam memperbetulkan setiap langkah dan tindakan kita. Membabi-buta dalam bertindak merupakan kegopohan yang tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah. Al-Quran adalah petunjuk sepanjang zaman dulu, kini akan datang dan selamanya selagi dunia ini belum kiamat. Tidak ada argumen yang menyatakan Quran tidak dapat difahami oleh golongan awam, kerana itu menunjukkan kemalasan dan kerendahan akal kita yang malas mengkaji serta tertawan dengan godaan dunia. Islam adalah agama yang hidup dan dinamik. Memeluk islam bukan alasan untuk kita mengisytiharkan diri kita kaku dan lembik. Islam bukan letaknya di kopiah dan serban malah bukan juga milik imam dan lebai sahaja. Islam sesuai dianuti dan dipatuhi oleh keseluruhan makhluk yang ada di cakerawala ini. Yang menyatakan islam itu teroris, sempit, lemah, miskin, hina, menyekat kebebasan dan statik adalah mereka yang sudah diselaputi kotoran hitam di minda dan hati mereka. Maka beristighfarlah segera!

Selepas tercetusnya isu ini, maka berderet-deretlah komentar pelbagai pihak tentang isu perkauman dan agama di Malaysia ini. Saya tidak bermaksud untuk menyenaraikan kesemuanya, tetapi cukuplah satu contoh di bawah yang dikutip dari laman facebook milik Tukang Catat yang berbunyi:


Komen 1 (Pak Latif Talib ..pengarang tersohor novel sejarah Melayu)
“bila sesuatu kejadian yang menimpa orang Melayu, tidak ramai yang berasa sensitif tetapi bila orang lain terutamanya (Cina dan India), seolah-olah hari sudah hampir kiamat seperti tidak ada isu lain yang hendak dibincangkan lagi” demikian tulisan Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dalam Utusan Malaysia.

Contoh, Tidak lama dulu ada yang meletakkan kepala babi di sebuah surau di Melaka tetapi isu itu senyap begitu saja.


Benar! Say juga bersetuju dengan tulisan penulis yang saya kagumi ini. Namun isunya di sini ialah sikap berdendam, berlawan dan bermusuh yang cuba ditimbukan oleh kedua-dua belah pihak. Kedua belah pihak ingin menunjukkan api. Bukankah api dengan api sifatnya memarakkan. Kenapa tidak disambut api dengan air yang boleh memadamkan nyalaan. Kewarasan akal harus mengatasi emosi dan dendam kesumat. Isu babi dan lembu jelas menunjukkan kebodohan berpolitik kedua-dua pihak. Tidak akan timbul kedua-dua isu sensitif ini kalau pemimpin kedua-dua parti bersifat toleran dan ikhlas membantu rakyat. Wahai pemimpin, anda harus ingat..kekuasaan hanya titipan Allah ke atas kamu buat sementara waktu. Sejarah telah membuktikan, betapa ramai pemimpin yang kuasanya diambil semula oleh Pemilik Kekuasaan. Ada mereka yang jatuh dalam keadaan hina. Ada yang turun kekuasaan mereka dengan penuh terhormat dan kemuliaan. Kesemuanya titipan!

Jadi apa pilihan kamu wahai pemimpin. Perlu juga diingatkan, kematian tidak mengira usia. Sekian ramai manusia meninggalkan dunia fana ini tanpa sempat berpesan apa-apa pun kepada handai taulan. Bagaimana pula sekiranya nyawa kamu sebagai pemimpin diambil secara tiba-tiba sedangkan banyak tanggungjawab kamu masih terabai di muka bumi. Sama-samalah kita menggunakan akal. Namun bagaimana pula akal akan berfungsi, sekiranya perut kamu kekenyangan dengan hasil mahsul dari rasuah, penyelewengan, mungkar dan perbuatan terkutuk. Kesempatan bertaubat masih ada. Tuhan tidak menzalimi manusia sekiranya manusia tidak menzalimi diri sendiri. Di bulan ramadan yang mulia ini, sama-samalah kita bermuhasabah. Perut yang lapar dan cuaca ramadan yang indah, mendekatkan diri kita dengan Yang Maha Mencipta Makhluk. Bersihkanlah hatimu wahai pemimpin yang bertanggungjawab memimpin rakyat.

Saya sebagai generasi-X, generasi selepas merdeka ini tertanya-tanya kemana halatuju yang cuba dibawa pemimpin kita di Malaysia. Pelbagai slogan dan saranan diajukan untuk rakyat sehinggakan sudah naik jemu kita melihatnya. Tidak sempat memahami slogan, sudah muncul slogan baru. Apakah kerja pemimpin hanya menukar-nukar slogan setiap kali berkuasa. Namun selepas pemimpin bersilih-ganti bertukar, suasana semakin memburuk malah meruncing sampai ke satu tahap yang sangat menggerunkan. Ahli politik tetap selalu ditanya rakyat yang dipimpin; they- are- talking- the- talk, but- are- they- walking- the- walk? Itu soalan rakyat yang sejak lama berkumandang.

Kesimpulan awal Tukang Catat ialah, kaedah apa pun yang digunapakai dalam menyelesaikan sesuatu isu ia tidak akan ke mana-mana pun sehinggalah mereka kembali merujuk kepada Al-Quran. Sehebat mana fikiran manusia pun, tidak dapat melawan kehebatan Yang Maha Pencipta manusia. Kembali lah kepada Al-Quran. Di sana terdapat semua jalan penyelesaian untuk mentadbir alam menurut pimpinan Tuhan. Cabaran besar yang dihadapi umat sekarang ialah untuk mencari para pentafsir Al-Quran yang benar-benar adil dan ikhlas dalam pentafsirannya.

Sekian
Salam Ramadan
Verdun, Montreal

8/28/09

Ramadan dan Jiwa Merdeka!

Beberapa hari lagi negara akan menyambut kedatangan tarikh yang dianggap keramat oleh majoriti warga Malaysia iaitu 31 Ogos sempena Perisytiharan Hari Kemerdekaan 31 Ogos 1957. Tahun ini adalah tahun yang ke-52 kita menyambut tarikh ini selepas British menyerah kalah. Ada yang berhujah tarikh kemerdekaan dan perayaan hari Malaysia ialah pada 16 September 1963 dengan mengambil kira proses pembentukan Malaysia. Walauapapun hujah dan pandangan, yang pasti kita sudah bebas dari cengkaman Belanda, Portugis, British dan Jepun yang telah menjarah tanah melayu lebih 500 tahun lamanya.


Selama yang kita belajar di sekolah dan membaca buku-buku teks sejarah, kita banyak disogokkan dengan maklumat yang menyatakan bahawa kita merdeka tanpa berlakunya pertumpahan darah. Usaha-usaha kemerdekaan dilakukan oleh Bapa Kemerdekaan Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan cara aman dan penuh diplomatik. Sebahagiannya betul! Namun selepas membaca buku-buku lain selain buku teks sekolah, kita dapat melihat banyak lagi gerakan-gerakan lain yang sebelum UMNO telah lama berjuang. Contohnya PKMM, AWAS, API, Hizbul-Muslimin dan lain-lain. Lama sebelum itu muncul wira-wira melayu islam seperti Datuk Bahaman, Tok Sagor, Mat Kilau, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan ratusan malahan ribuan umat islam bangkit menentang penjajah. Tidak mungkin tiada pertumpahan darah yang berlaku. Jadi disyorkan untuk warga merdeka memperbanyakkan membaca dan mengkaji sejarah kewujudan Malaysia sejak keruntuhan Kerajaan Melaka dahulu. Manakala pihak kerajaan pula perlu adil memberikan pengiktirafan kepada pejuang kemerdekaan, bukan hanya mendabik dada mengatakan 'hanya kami yang berjuang'.


Walaupun penjajahan fizikal sudah lama berlalu, datang pula penjajahan bentuk baru yang digeruni dan perlu ditangkis serta dilawan dengan penuh hikmah. Penjajahan bentuk baru ini digelar penjajahan minda dan ketakjuban hati umat dengan segalanya yang datang dari barat. Ia dikenali dalam bahasa arab sebagai al-ghazwul fikr (penjajahan fikiran). Inilah yang digeruni oleh golongan yang tajam mata hati mereka melihat kemungkaran dan kebejatan yang datang hasil idea dari barat. Lihat sahaja globalisasi, dunia tanpa sempadan, Perjanjian Perdagangan WTO dan pemimpin-pemimpin boneka yang direstui barat. Inilah antara penjajahan bentuk baru yang perlu dinilai dengan akal fikiran. Mengapa tidak?..bahaya penjajahan baru ini ialah minda dan watak kita akan dikonstruksi dan diorkestra kan oleh barat. Contohnya budaya-budaya sonsang, hedonistik, moral dan pegangan agama merudum, kecelaruan minda dan pelbagai lagi.


Alim ulama pernah menyatakan bahawa mempertahankan kedaulatan dan agama di zaman pancaroba ini ibarat memegang bara api. Panas dan tidak ramai yang dapt bertahan!

Jadi bagaimana sikap seorang yang merdeka yang sebenar-benarnya merdeka menurut perhitungan agama. Para ulama' ada mengajarkan tentang 8 sifat yang perlu ada dalam jiwa merdeka iaitu BEBAS DARI :


TAKUT & DUKACITA,

LEMAH&MALAS,

BAKHIL & PENGECUT,

HUTANG & MINDA TERJAJAH


Masih banyak perkara-perkara remeh temeh yang perlu disingkirkan dalam hidup kita yang tidak panjang ini. Letakkanlah sasaran hidup ini adalah perjuangan untuk kemuliaan akhirat walaupun zaman ini orang memandang kepada berapa banyak harta kekayaan yang dimilik, berapa besar pangkat dan kedudukan yang dipegang. Kepada pekerja, bekerjalah dengan ikhlas untuk menegakkan agama, kepada pengarang, menulislah untuk membuka minda umat, kepada petani, peladang dan pekebun, berniatlah dengan ikhlas demi Tuhan dalam pekerjaan.


Di dalam diri kita sering bertempur antara kekuatan iman dan kerendahan nafsu jahat. Kadang-kadang iman yang menang dan banyak kali juga kita tersungkur dengan hawa nafsu. Itulah hakikat kehidupan.

Sempena tarikh yang dianggap keramat yang bertepatan pula dengan bulan Ramadan Yang Mulia ini, marilah kita menghidupkan jiwa BEBAS MERDEKA DEMI KEHIDUPAN YANG KEKAL ABADI DI SANA.


MERDEKA!

8/27/09

Juadah berbuka

Allahumma lakasumna, wabika amanna, wa'la rizkika aftorna, birohmatika, ya arhamarrohimin

(Ya Allah, bagi Engkau kami berpuasa, dengan Engkau kami beriman dan dengan rezeki yang Engkau anugerahkan, kami berbuka dengan rahmat Engkau, whai yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang )


Rutob aka kurma separa masak (dari Timur Tengah)

Selepas digigit (sedap juga ! :-)

Roti Daging

Buah pear (Quebec)

Prunes (Quebec)

Sotong sambal (Alaska)

Kari ayam (Quebec)

Ulam timun (Quebec)

Jagung rebus Montreal

Pisang dari Equador

Alhamdulillah dengan nikmat pemberian Tuhan, ini rezeki kami berbuka.
Ramadhan Kareem!!

8/20/09

Tentang MajalahSains.Com

Terasa ingin menguar-uarkan projek terbaru. Sekarang saya dan seorang sahabat telah mewujudkan satu laman khas yang dikenali sebagai MajalahSains.Com dan bertindak sebagai editor manakala sahabat saya bertanggungjawab menguruskan hal ehwal teknikal. Secara rasmi, ia telah dilancarkan pada hari Selasa bersamaan 16 Jun 2009.

Laman ini diwujudkan untuk memuatkan rencana-rencana sains dan teknologi atas kesedaran bahawa masih terlalu banyak lompang yang perlu diisi untuk memupuk budaya saintifik dan budaya membaca di kalangan kita. Rencana-rencana tersebut merupakan koleksi yang ditulis oleh saya sendiri dan juga sumbangan penulis-penulis sains lain yang ikhlas dalam memperjuangkan sains untuk masyarakat Malaysia mengikut kemampuan diri masing-masing. Sehingga kini sudah ada 34 artikel yang dimuatkan di MajalahSains.Com dan bertambah dari semasa ke semasa insyaallah.

Berikut adalah beberapa komentar terpilih tentang kewujudan MajalahSains.Com

Assalamualaikum,
Saya berbangga dengan usaha keilmuan untuk masyarakat seperti yang sdr usahakan. Semoga berjaya dan diberikan ganjaran serta rahmat-Nya. Teruskan kerja yang mulus ini

Dato’ BahaZain



Tahniah. Saya pun suka membaca MajalahSains.com. Buatlah yang baru untuk bahasa dan bangsamu.
Lebih-lebih lagi apabila seluruh bangsamu sudah mula lupa.

Prof Emeritus Abdullah Hassan



I am very busy but taking time to write to you as i applaud what you are doing.
I like what you are doing as this is what i have been pushing for.
We need to engage more of academics , Professors in what i call Communication of science to The Public. Personally i think, very few are interested in this

Prof. Datin Farida Shah (Molecular Biology, UTAR )


8/17/09

Panas!


32' Celcius...Suhu di luar rumah agak panas. Dalam rumah pun berpeluh-peluh. Di tempat-tempat lapang, ramai warga Montreal mengerumuni kawasan air pancut membasahkan badan.

Waktu dingin dahulu, suhunya menjunam sehingga -25' Celcius. Ini antara cabaran bermukim di wilayah empat musim. Cabaran suhunya yang esktrim !

8/6/09

Dunia kini terlalu kecil dan pantas

Seorang blogger yang berada di Waseda University, Jepun menulis dalam blognya tentang kewujudan buku-buku Melayu Malaysia dan Indonesia yang agak banyak di perpustakaan universiti tersohor tersebut. Antara yang menarik ialah buku-buku lama karangan Prof Hamka, Shahnon Ahmad, A Samad Said dan sebagainya. Saya teruja dengan satu buku karangan Buya Hamka berjudul Kenang-Kenangan Hidup. Buku ini sudah lama saya baca, kira-kira 10 tahun lalu di Perpustakaan Tun Sri Lanang, Universiti Kebangsaan Malaysia. Saya tidak menaruh harapan yang tinggi untuk memiliki buku ini kerana sedar, ia 'barang' lama. Entah bagaimana mahu memilikinya pun saya kurang pasti. Namun dengan bantuan 'Lebai Google' (meminjam istilah Hishamudin Rais), rupanya Pustaka Dini di Malaysia, sudah mencetak edisi terkini buku tersebut. Ah, hati ini berbunga kembali untuk memegang dan membelek 'Kenang-kenangan Hidup, buah tangan Prof Hamka.


p/s. insyaallah dalam masa tidak kurang dari dua bulan, buku tersebut akan terbang jauh dari Malaysia ke Montreal, Kanada melalui Pos Malaysia.

8/2/09

Summer 09, Jazz Festival

Setiap tahun di Montreal diadakan Jazz Festival. Bertempat di Place De Arts, tahun ini merupakan ulangtahun ke-30 pesta muzik jazz besar-besaran di adakan di sini.

Saya buta seni namun berminat dengan alunan muzik. Tidak kira apa genre muzik dari punk rock sampai irama klasik keroncong Melayu , semuanya boleh dilayan asalkan sedap didengar dan tidak membosankan. Jazz agak baru bagi saya dan tidak pernah saya saksikan persembahan jazz secara 'live'. Di Malaysia penyanyi yang pernah dinobatkan sebagai ratu jazz ialah Sheila Majid.Entah siapa yang memberikan anugerah tersebut, saya kurang pasti. Ya, saya suka mendengar lagu-lagu Sheila Majid seperti Hitam Putih Kehidupan, Satu, Sinaran dan lain-lain.

Peluang berada di Montreal yang terkenal dengan kota hiburan dan muzikalnya, Tukang Catat tidak melepaskan peluang menghadirkan diri menyaksikan konsert jazz secara 'live' dan percuma. Meriah dan menarik! Walaupun satu-satunya penghibur yang saya kenal ialah Stevie Wonders :-).

Pengalaman menyaksikan muzikal jazz memperkenalkan beberapa instrumen muzik jazz yang agak baru bagi saya (baca: buta seni) dimainkan. Antaranya yang menarik ialah Trombone, Clarinet dan Double Bass. Tidak ketinggalan 'drum' dan 'piano' yang dimainkan dengan begitu cantik sekali.

Nah gambar-gambar di bawah sebagai bukti: Untuk melihat lebih banyak gambar sila ke laman facebook atau flickr.