www.majalahsains.com

10/1/12

Ke Perpustakaan..

Sekarang secara rasmi sudah masuk musim luruh di Utara Amerika dan Eropah. Sementara menunggu dedaun pokok benar-benar kekuningan dan meluruh, hujan turun agak kerap. Mekanisme hubungan kekerapan hujan dan musim luruh ini ada penjelasannya dalam sains. Tapi ini cerita lain.

Minggu ini sahaja hampir seminggu hujan renyai-renyai turun. Petang tadi, rancangan kami untuk hadir memeriahkan Hari Keluarga kampus universiti tempat isteri saya belajar, dibatalkan disebabkan hujan. Kami menukar rancangan mengunjungi Perpustakaan Awam (Grand Bibliotheque).

Di sana kami terus ke bahagian kanak-kanak. Membawa anak kecil agak kurang sesuai untuk merayap di bahagian buku dewasa. Di tingkat paling bawah bahagian kanak-kanak, dipenuhi dengan ibubapa yang membawa anak-anak mereka berhibur dengan bahan bacaan, komputer dan hiburan lain seperti movie dan filem kartun.

Sambil meneman anak kecil mencari buku, mata saya melilau melihat di sekeliling. Hampir keseluruhan kerusi dipenuhi oleh ibubapa dan anak-anak mereka. Kebanyakannya orang Asia terutamanya imigran dari China. Sangat jarang Caucasian (Mat Saleh) dan warga tempatan (Quebecois). Leka sungguh mereka membelek bahan buku. Lepas satu, satu dikumpulnya di atas meja.

Sambil memerhati, saya terkenang apalah agaknya yang dilakukan oleh ibubapa Melayu dan anak-anak mereka di hari minggu. Fikiran saya terus melayang terkenang anak-anak kampung terutamanya di kampung saya di Besut. Tiada perpustakaan awam, tiada tempat belajar komputer dan hampir tiada kemudahan awam yang baik. Padang permainan jauh sekali melainkan padang bola sekolah. Secara peribadi saya yakin, untuk menghapuskan kebosanan dan kekosongan jiwa ialah dengan banyak membaca. Itulah agaknya yang sedang ditanam di minda anak-anak kecil di perpustakaan awam tadi yang saya perhatikan. Tidak hairanlah kebanyakan imigran (terutamanya berbangsa cina) begitu menonjol di mana sahaja mereka berada. 20 tahun nanti, tidak sukar kita bayangkan ke mana mereka akan tuju dan apa yang akan dilakukan mereka. MENGUASAI DUNIA!

Grande Bibliotheque, Berri Uqam
Montreal