www.majalahsains.com

6/24/09

Nikmat panas

Sekitar 6 bulan dahulu, suhu jatuh sehingga ke -20, sekarang nikmat panas pula sedang bermula. Titik-titik peluh sudah berani keluar, orang sudah mulai memakai sandal dan capal. Sana sini warga Montreal mula bergembira dengan kehadiran musim panas. Kaum lelaki sudah ramai berbasikal dan berjoging tanpa baju, kaum wanita juga berpakaian se minimum mungkin. Di tempat-tempat istirehat awam,di taman-taman, padang, pinggiran bukit (Mount-Royal), tikar-tikar dibentang dan berdamparan lah mereka menikmati hawa panas. Kanak-kanak juga riang-ria bergembira menyambut kedatangan musim panas. Peluang mereka bermain juga agak panjang. Subuh bermula seawal jam 3 dan matahari terbenam sekitar 8.45 malam.

Musim panas bermula pada 21 Jun yang lalu di Hemisfera Utara (Kanada, Sebahagian Utara Amerika dan Eropah). Waktu ini, planet bumi condong 23 darjah dari garis lintang khatulistiwa dan pancaran matahari tepat pada Garisan Sartan. Waktu siang di Hemisfera Utara lebih panjang berbanding siang di Hemisfera Selatan (Australia dan N.Zealand).

Setiap fenomena alam menunjukkan bukti kebesaran Allah. Bukankah Tuhan telah berfirman, di sebalik pergantian siang dan malam ada bukti-bukti tanda kekuasaan Allah bagi mereka yang berfikir.

p/s; Montreal jauh daripada kawasan laut dan pantai namun mempunyai sungai yang besar dan bersejarah iaitu Sungai St. Lawrence.

6/12/09

Dengki, Cemburu & Rasis

cemburu 1. iri hati (kerana orang lain pandai, berharta, dll); 2. kurang percaya atau syak wasangka (takut-takut suami mempunyai kekasih lain dll), curiga: hatinya berasa ~ apabila melihat isterinya bercakap-cakap dgn temannya; 3. hati-hati atau berjaga-jaga (kerana takut kesucian adat, agama, dll dikotori atau dinodai): mereka menjaga adat resam mereka dgn perasaan ~; ~ buta cemburu tanpa sebab atau cemburu membuta tuli;

dengki 1. = kedengkian kebencian (kemarahan) kerana perasaan cemburu atau iri hati yg amat sangat, niat jahat yg terpendam terhadap seseorang (disebabkan perasaan iri hati): tiada aku mengadakan segala perkataan ini oleh sebab ~; difitnahkannya pemuda itu kerana ~nya; 2. = berdengki menaruh perasaan benci (niat jahat dsb) terhadap seseorang kerana cemburu atau iri hati yg amat sangat: apalah gunanya kita ~ sesama kita;


Saya belek-belek Kamus Dewan online untuk tengok makna kedua-dua istilah di atas apabila akhbar-akhbar utama dalam negara masih tidak matang memainkan isu-isu yang melibatkan perkauman atau rasis.

Pada saya, sebagai manusia memang sifat cemburu itu adalah normal. Banyak contoh-contoh di sekeliling yang boleh diambil kira dalam melihat makna cemburu. Misalnya, seorang teman membeli kereta baru, lantas timbul di dalam hati sedikit rasa cemburu. Cemburu ini lebih kepada 'mendorong' kita untuk sama-sama bersaing secara sihat. Sudah tentu cemburu buta tidak termasuk dalam kategori ini. Saya sendiri kurang pasti dari mana datangnya istilah cemburu buta.

Ia berbeza dengan dengki. Dengki lebih kepada berniat jahat dan busuk hati. Dengan kata lain, sifat dengki adalah amarah yang penuh dengan api nafsu dan kebencian yang barang tentu dikutuk dan dilaknat dalam agama.

"Ringkas kata, sifat cemburu adalah mendorong, manakala sifat dengki memusnahkan".

Berbalik kepada soal rasis di dalam negara. Sebenarnya cemburu melihat bangsa lain maju dan berjaya dalam ekonomi sepatutnya mendorong kita untuk berfikir, menganalisis dan bekerja dengan lebih kuat. Bukan dengki dan busuk hati dengan kejayaan orang lain sehingga dipaparkan dengan jelas soal-soal perkauman di dalam negara.Akhbar harus berhati-hati dan menggunakan rasional yang tinggi dalam memainkan isu-isu kaum yang jelas merenggangkan hubungan antara kaum majoriti dan kaum-kaum lain.

Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama mencari formula dan pemikiran baru untuk melihat negara kita Malaysia stabil dari segi kepercayaan agama, politik, ekonomi dan kesejahateraan masyarakat. Sekian lama kita bergelut dengan pelbagai masalah, sampai masanya perlu kita duduk dan menikmati keindahan dan kedamaian bersama-sama tanpa banyak menghabiskan masa membahaskan soal rasis, kedengkian dan cemburu buta.

6/9/09

Bahasa Inggeris wajib lulus! Ya atau Tidak?

Idea Kementerian Pelajaran untuk mewajibkan syarat lulus untuk calon SPM saya kira sesuatu yang amat baik dengan syarat PPSMI dihapuskan. Sebelum ini hanya 3 matapelajaran wajib lulus yang disyaratkan iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik (betulkan saya kalau silap).

Dengan mengenakan syarat wajib lulus BI, saya yakin pelajar dan guru akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memajukan pembelajaran bahasa kedua ini di Malaysia. Saya masih ingat bagaimana guru bahasa melayu kami dahulu pada tahun 1995-96 (isteri ahli parlimen Kuala Terengganu) semasa di Smaasza dahulu iaitu Puan Wan Fatimah, mengajar kami dengan baik sekali bagaimana untuk menguasai Bahasa Melayu penulisan dan kefahaman. Beliau menggalakkan kami membaca buku-buku yang baik dan juga menyuruh kami membaca rencana-rencana utama akhbar perdana berbahasa Melayu disamping mengurangkan membaca ruangan berita semasa (kemalangan, gosip, hiburan dan sebagainya). Dengan cara begitu, sedikit sebanyak bahasa melayu dapat ditingkatkan. Percakapan seharian kami langsung tidak menggunakan bahasa melayu yang baik, kerana kami berasal dari ceruk kampung juga dan bahasa seharian hanyalah menggunakan dialek dan loghat tempatan.

Bahasa Inggeris juga sepatutnya begitu. Di sini saya kira tidak ada masalah bagi pelajar-pelajar luar bandar untuk menguasai bahasa inggeris kerana, jika didedahkan dengan bahan bacaan yang baik serta galakan berterusan dari guru-guru, insyaallah kualiti dan kefahaman bahasa kedua tersebut dapat ditingkatkan. Inilah yang sebenarnya dimahukan oleh Perdana Menteri ke-empat dahulu. Alasan untuk mewujudkan PPSMI untuk kecemerlangan sains dan teknologi hanyalah dongeng dan khayalan beliau yang tidak dapat dipertanggungjawabkan atas dasar apa sekalipun.

Oleh yang demikian, saya menyokong penuh idea Kementerian Pelajaran di bawah kepimpinan yang baru untuk mewajibkan calon SPM untuk LULUS Bahasa Inggeris, DENGAN SYARAT PPSMI DIHAPUSKAN SAMA SEKALI.

Cikgu Bahasa Melayu kami (Puan Wan Fatimah Wan Abdullah) bersama suaminya YBG. Haji Abdul Wahid Endut semasa membuang undi di K. Terengganu baru-baru ini.