cemburu 1. iri hati (kerana orang lain pandai, berharta, dll); 2. kurang percaya atau syak wasangka (takut-takut suami mempunyai kekasih lain dll), curiga: hatinya berasa ~ apabila melihat isterinya bercakap-cakap dgn temannya; 3. hati-hati atau berjaga-jaga (kerana takut kesucian adat, agama, dll dikotori atau dinodai): mereka menjaga adat resam mereka dgn perasaan ~; ~ buta cemburu tanpa sebab atau cemburu membuta tuli;
dengki 1. = kedengkian kebencian (kemarahan) kerana perasaan cemburu atau iri hati yg amat sangat, niat jahat yg terpendam terhadap seseorang (disebabkan perasaan iri hati): tiada aku mengadakan segala perkataan ini oleh sebab ~; difitnahkannya pemuda itu kerana ~nya; 2. = berdengki menaruh perasaan benci (niat jahat dsb) terhadap seseorang kerana cemburu atau iri hati yg amat sangat: apalah gunanya kita ~ sesama kita;
Saya belek-belek Kamus Dewan online untuk tengok makna kedua-dua istilah di atas apabila akhbar-akhbar utama dalam negara masih tidak matang memainkan isu-isu yang melibatkan perkauman atau rasis.
Pada saya, sebagai manusia memang sifat cemburu itu adalah normal. Banyak contoh-contoh di sekeliling yang boleh diambil kira dalam melihat makna cemburu. Misalnya, seorang teman membeli kereta baru, lantas timbul di dalam hati sedikit rasa cemburu. Cemburu ini lebih kepada 'mendorong' kita untuk sama-sama bersaing secara sihat. Sudah tentu cemburu buta tidak termasuk dalam kategori ini. Saya sendiri kurang pasti dari mana datangnya istilah cemburu buta.
Ia berbeza dengan dengki. Dengki lebih kepada berniat jahat dan busuk hati. Dengan kata lain, sifat dengki adalah amarah yang penuh dengan api nafsu dan kebencian yang barang tentu dikutuk dan dilaknat dalam agama.
"Ringkas kata, sifat cemburu adalah mendorong, manakala sifat dengki memusnahkan".
Berbalik kepada soal rasis di dalam negara. Sebenarnya cemburu melihat bangsa lain maju dan berjaya dalam ekonomi sepatutnya mendorong kita untuk berfikir, menganalisis dan bekerja dengan lebih kuat. Bukan dengki dan busuk hati dengan kejayaan orang lain sehingga dipaparkan dengan jelas soal-soal perkauman di dalam negara.Akhbar harus berhati-hati dan menggunakan rasional yang tinggi dalam memainkan isu-isu kaum yang jelas merenggangkan hubungan antara kaum majoriti dan kaum-kaum lain.
Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama mencari formula dan pemikiran baru untuk melihat negara kita Malaysia stabil dari segi kepercayaan agama, politik, ekonomi dan kesejahateraan masyarakat. Sekian lama kita bergelut dengan pelbagai masalah, sampai masanya perlu kita duduk dan menikmati keindahan dan kedamaian bersama-sama tanpa banyak menghabiskan masa membahaskan soal rasis, kedengkian dan cemburu buta.
No comments:
Post a Comment