www.majalahsains.com

8/20/07

Buah fikiran Tun M


Mengkagumi seseorang dengan membuta tuli tanpa mengetahui perlakuan dan sifat-sifat sebenar dan terpuji yang dimiliki oleh orang itu adalah merugikan. Dalam kes ini kita (termasuk penulis) tidak dapat menyembunyikan kekaguman terhadap bekas pemimpin nombor satu di Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamed sepanjang 22 tahun pentadbirannya walaupun terdapat juga kesalahan-kesalahan beliau yang mungkin sukar dimaafkan. Baru-baru ini penulis telah mendapatkan senaskhah buku berjudul Mahathir on Science and Technology ; A Commemorative Volume in Conjuction with the Conferment of the Honorary Degree of Doctor of Science. Buku ini merupakan sebuah kompilasi ucapan mantan Perdana Menteri Malaysia ke-4 yang mengenai trend dan perkembangan sains dan teknologi di seluruh dunia dan Malaysia khususnya. Buku ini juga diterbitkan sempena penganugerahan Doktor Kehormat Sains dalam majlis konvokesyen kali ke-33 USM dan ulangtahun penubuhannya yang ke-35 pada tahun 2004 yang lalu. Menelusuri pemikiran sains dan teknologi Tun Dr Mahathir kita akan menemui pelbagai perkara baru dan idea segar buah fikiran beliau tentang S&T sesuai dengan latarbelakang beliau yang cemerlang.

8/12/07

Tunggu Teduh Dulu..FT


Menghabiskan novel melayu setebal 678 muka surat bukanlah sesuatu yang mudah jika dibandingkan dengan membaca majalah dan akhbar serta buku-buku lain. tapi itulah aktiviti yang dilakukan bila pulang bercuti di kampung ( Kuala Pilah) hujung minggu baru-baru ini selain melihat keletah anak yang semakin meningkat membesar. Karya Faisal Tehrani (FT)berjudul Tunggu Teduh Dulu (TTD)bukanlah novel pertama yang dibaca lahap oleh penulis. Beberapa novel lain terkesan di hati antaranya ialah Seorang Tua di Kaki Gunung, Karya Azizi Haji Abdullah, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk, HAMKA, Senjakala ( lupa penulisnya..dibaca sewaktu berada disekolah rendah ) dan beberapa novel lain. TTD merupakan novel terbaru yang memberi kesan kepada penulis tentang latar penceritaan dan roh islam yang ditiup penulisnya. Kagum dengan bakat dan usaha gigih yang dimiliki oleh saudara FT dalam kajian serta gaya penceritaan beliau dalam TTD. TTD menceritakan kecekalan seorang wanita bernama Salsabila Fahim bersama rakan yang mengusahakan ladang betik. Tidak terjangkau difikiran dengan latar yang amat mudah tentang gadis dan lading-ladang betik menjadi sebuah cerita yang begitu mengesankan di samping kisah-kisah persahabatan dan percintaan.Sudah tentu percintaan yang dimaksudkan ialah cinta di bawah naungan Tuhan yang diliputi rahmatNya sepanjang plot perjalanan cerita. Membaca TTD mengingatkan penulis tentang seorang ulama’, sasterawan, novelis, pentafsir Al-Quran nusantara yang terkenal Buya HAMKA dalam novelnya yang terkenal Tengelamnya Kapal Van Der Wijk. Kisah-kisah percintaan Zainudin dan Hayati yang digarap dengan begitu indah disulam unsur agama dan ketakwaan seta gejolak cinta remaja yang dinukilkan dengan begitu menarik oleh seorang alim besar dari Indonesia itu. Hal yang seumpama itu berlaku bila kita menyoroti TTD dan penulisnya yang masyhur saudara Faisal Tehrani. Teruskan berjuang!!

8/8/07

50 Tahun Kemerdekaan!

Malam tadi penulis menonton rancangan bual bicara “Debat Perdana” di TV1 yang dihoskan oleh Datuk Johan Jaafar. Dalam temubual selama sejam yang berkisar tentang perpaduan di kalangan penduduk pelbagai kaum dan agama di Malaysia, penulis tertarik dengan komen serta hujah yang disampaikan oleh Profesor Emeritus Dr Khoo Khay Kim dari UM.Apabila ditanya oleh pengerusi bagaimana beliau beliau memandang Islam di Malaysia dari perspektif bukan muslim, beliau menjawab islam di Malaysia tidak berusaha untuk memudahkan bukan islam untuk memahaminya. Di suatu sisi lain, pendekatan yang digunakan oleh kebanyakan orang islam, semakin menjauhkan golongan bukan islam untuk mendekatinya. Pandangan ini selaras dengan tulisan Mufti Perlis dalam akhbar Mingguan Malaysia Ahad lalu bersamaan 5/8/2007 yang membicarakan perihal golongan muslim bila berhadapan dengan non muslim.

Tukang catat tidak mempunyai banyak komen, Cuma bila merujuk Al-Quran dalam surah Al-Kafirun, keseluruhan ayat sudah menjelaskan apakah sikap kita sebagai muslim bila berhadapan dengan bukan islam. Cuma jagalah tataterib dan akhlak murni seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah, para sahabat dan tabi’in serta alim ulamak iaitu dakwah “bilhal” dengan penuh beradab. Dan kita tidak pernah memaksa bukan muslim memeluk agama suci sepanjang zaman ini. Sama-sama lah kita belajar dan bukan menuduh sebelah pihak. Jagalah perpaduan dan berilitizam untuk sama-sama menjaga keharmonian kaum yang telah kita kecapi sepanjang 50 Tahun Kemerdekaan Malaysia.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!