4/26/10

Muhasabah umur

Kelahiran

26 April 2010 adalah ulang tahun kelahiran Tukang Catat yang ke 31. Dilahirkan pada tahun 1979 di sebuah kampung terpencil. Kemudian membesar sebagai anak desa, sebelum memasuki tanah rancangan FELDA kira-kira 25 tahun yang lalu di Daerah Besut, Terengganu. Lima tahun pertama usia kelahiran tidak banyak yang dapat dikenang. Namun yang masih terbayang segar di ingatan sekitar usia tersebut ialah , sang ayah melakukan pelbagai kerja-kerja kampung. Membuat manisan kelapa (gula melaka), menjala, memukat ikan, bersawah padi dan lain-lain. Rumah kami waktu itu ialah rumah papan beratap zink dan bertangga kayu. Di sekeliling rumah terdapat banyak pokok yang terdiri daripada pokok kelapa, sentul, mangga, pokok gajus (ketereh). Sebuah perigi di tepi rumah sebagai sumber bekalan air. Waktu itu kami masih belum menikmati bekalan elektrik dan air paip. Lampu gasolin dan pelita menjadi sumber cahaya pada waktu malam. Televisyen jauh sama sekali tidak ada.

Begitulah serba sedikit gambaran lima tahun pertama selepas kelahiran...

Masuk Tanah Rancangan

Kami masuk te Tanah Rancangan Felda dalam tahun 1985 kalau tidak salah. Waktu itu Tukang Catat berumur 6 tahun. Masih segar di ingatan, bagaimana suasana tanah rancangan waktu itu. Jalan masuk masih tanah merah, tiada lampu jalan, rumah-rumah asal Felda tersusun sebaris-sebaris ibarat tentera yang sedang berkawad. Di sekeliling penempatan dipenuhi dengan ladang kelapa sawit yang luas menghijau.Di samping kami, berbondong-bondong lagi warga yang datang dan mencari rezeki di tanah rancangan kelihatan berpindah randah memunggah barang ke 'rumah baru'.

Pertama kali memasuki sekolah tadika secara rasmi selepas setahun pertama menumpang di tadika kampung. Masih lagi saya dapat menjejaki sisa-sisa runtuhan tadika lama apabila melalui sebatang jalanraya di kampung. Waktu bersekolah tadika di usia 5 tahun di kampung dahulu, masih lagi terbayang bagaimana keadaan di sekitar. Di belakang bangunan terdapat sebatang pokok mempelam yang sudah berusia sebesar pemeluk yang ditumbuhi pokok sirih yang menghijau. Daun sirih ini juga digunakan oleh cikgu untuk menyumbat hidung (menghentikan pengaliran darah) seorang rakan yang berdarah hidungnya akibat bertumbuh. Dunia kanak-kanak! Itu kenangan di usia 5 tahun memasuki tadika kampung.

Tahun 1986 di tanah rancangan felda, sebuah rumah kosong dijadikan tadika sementara. Maka kami sekitar 30 orang murid ditempatkan di sana......bersambung

4/5/10

Dunia fantasi dan hedonisme warga Montreal

Sebelum tiba di sini bulan September tahun 2008 yang lalu, saya mula membaca sedikit tentang suasana dan persekitaran 'kota batu dan taman' Montreal. Sebuah buku panduan pelancongan Montreal dibeli di Kinokuniya, KLCC sebagai rujukan untuk mengenali bandaraya klasik yang menggunakan bahasa Perancis sebagai bahasa utama di daerah Quebec, Kanada ini.

Seperti kebanyakan penghuni atau pelancong baru di mana-mana tempat sekalipun, sudah tentu antara yang terlintas di dalam minda ialah keadaan sosiobudaya masyarakat setempat. Dengan melihat sosiobudaya dan politik merekalah sedikit sebanyak kita dapat menggambarkan apa yang berlaku di sekelilingnya. Kami tidak terkecuali.Antara yang paling penting diberikan perhatian ialah mengenai keselamatan dan keselesaan kawasan kediaman.

Soal keselamatan dan kawasan yang perlu dihindari menurut buku Montreal Guide meliputi kawasan-kawasan hitam yang tidak digalakkan berkunjung kepada orang asing seperti pelancong dan pelajar antarabangsa. Antara tempat tersebut ialah kawasan yang padat dengan penghuni yang mengamalkan seks sejenis, The Village di Rue St Catherine Est. Menyebut namanya sahaja sudah terbayang bahawa kawasan ini adalah kawasan yang dihuni oleh kaum-kaum nabi Lut yang mengamalkan homoseksual. Saya sendiri beberapa kali pernah terserempak dengan beberapa pasangan yang tanpa segan silu malah berbangga dengan kehidupan seperti itu di dalam metro (keretapi bawah tanah), di jalanan dan kawasan-kawasan istirehat. Bermesra dan berpelukan sesama jantina adalah sesuatu yang normal di Montreal. Nauzubillah!

Secara automatik apabila membayangkan kehidupan warga seperti ini, akan datanglah sedikit bayangan sisi-sisi kejahatan yang lain seperti dadah, pelacuran dan jenayah di kawasan sekitarnya. Maka wajarlah buku panduan Montreal Guide menyenaraikan kawasan ini sebagai 'kawasan hitam'.

Selain itu, arak, pelacuran, strip club, pub, disko dan segala macam hiburan lain yang disifatkan sebagai budaya keseronokan melampaui batas (hedonisme) di sini amat berleluasa. Hanya keyakinan dan kepercayaan kepada agama sahajalah yang mampu menghindari manusia dari pengaruh kesesatan ini.

Namun apa yang perlu kita hairankan. Ini negara barat yang sememangnya terkenal dalam memperkenalkan budaya baru. Selain itu mereka juga telah begitu maju dalam segenap segi kebendaan (materi). Hiburan bagi mereka adalah seperti makanan dan menjadi keperluan harian.

Bagaimana dengan kita?
Melalui akhbar-akhbar di dalam negara, saya membaca gejala sosial melampau di Malaysia agak membimbangkan.

Insyaallah akan datang saya akan tulis mengenai beberapa ketertiban & adab yang boleh dipelajari di sini.