www.majalahsains.com

1/31/09

Berani dan terpuji


Keberanian Perdana Menteri Turki, Tayyip Recep Erdogan meninggalkan perbahasan dalam Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland selepas menyelar Presiden Israel, Simon Peres secara bersemuka minggu lepas sedikit sebanyak mengubat luka hati umat islam selepas Gaza dibedil teruk baru-baru ini. Agaknya, siapa lagi pemimpin negara-negara islam yang lain berani berbuat sedemikian dalam acara-acara besar dunia yang disiarkan secara langsung di TV. Situasi tersebut memberikan kemenangan moral kepada umat islam di atas keberanian dan kejujuran Tuan Tayyip Recep Erdogan. Tahniah!!

Ayuh, beranikan diri menentang kejahatan zionis dalam apa jua lapangan pekerjaan yang kita lakukan.

1/29/09

Zionisme:Musuh sebenar kita

Saya baru sahaja selesai menonton filem Beaufort selepas terkesan dengan ulasan yang diberikan oleh Faisal Tehrani. Ya, saya salah seorang diantara ribuan peminat hasil karya sasterawan muda ini. Karyanya pelbagai genre, bacaannya luas, kupasan beliau juga tajam dan bernas. Faisal Tehrani juga seorang pejuang yang berjuang menegakkan kebenaran melalui mata penanya selain aktif dalam aktiviti-aktiviti seni yang lain.

Filem Beaufort mengisahkan tentang sekumpulan tentera Israel yang berkawal di sebuah kubu yang dinamakan Beaufort semasa mereka cuba memporak-perandakan Hezbollah. Yang menarik, seperti kata FT, tentera Israel yang juga dikenali dengan IDF ini sebenarnya tentera yang penakut. Mereka hanya bergantung kepada teknologi tinggi yang dimiliki serta disokong oleh kuasa-kuasa besar dunia. Dari segi moral dan jatidiri, mereka gagal total.

Melalui dialog-dialog yang diucapkan dalam filem tersebut, nyata ia menunjukkan ketakutan sebenar tentera Yahudi ini berdepan dengan pejuang Hezbollah..

Ada 'benda' yang kita sebagai umat islam boleh belajar dari filem arahan orang Yahudi ini sendiri. Antaranya ialah, janganlah kita terlalu kagum dengan segala 'ke' dan 'an' kaum Yahudi. (Cth: kehebatan, kemajuan, keintelektualan..)Kita juga boleh kalau gerakan dan strategi kita tersusun. Yang penting, jangan berhenti dari terus mencari kebenaran.

p/s: Filem ini menggunakan sepenuhnya Bahasa Hebrew..sila lah download terjemahannya. :-)

1/24/09

Lagi Pencerahan Dari Dr Maza

Bagi mereka yang tinggal di negara-negara beriklim 4 musim, sudah tentu pendapat Dr Asri menjadi rujukan dan semacam satu kelegaan dalam aspek menyempurnakan ibadat terutamanya solat di musim sejuk. Ya memang diakui, waktu siang di negara-negara beriklum 4 musim begitu pendek sehingga solat pun terkejar-kejar dengan masa. Bagi pelajar sudah tentu mereka terikat dengan waktu kuliah, peperiksaan dan sebagainya. Jadi Dr. MAZA dalam artikelnya yang terbaru dalam Mingguan Malaysia, menyatakan bahawa boleh dilakukan "solat jamak tanpa qasar" untuk solat zuhur-asar dan maghrib-isyak.

Itulah keluasan dan kemudahan di dalam Islam..

Untuk artikel penuh boleh merujuk di Mingguan Malaysia dalam kolum Rencana yang berjudul Tegas Berakidah, Luas dalam Fikrah

1/22/09

Syarahan Umum di UKM



Majlis Syarahan Umum FST oleh YBhg. Prof. Dato' Dr. Mohd Yusof Hj. Othman

Dimaklumkan bahawa Majlis Syarahan Umum Fakulti Sains Teknologi, UKM oleh oleh YBhg. Prof. Dato' Dr. Mohd Yusof Hj. Othman yang bertajuk Memartabatkan Sains dan Matematik melalui Acuan Bahasa akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 28 Januari 2009 (Rabu)
Masa: 2:30 petang
Tempat: Dewan Anuwar Mahmud, UKM

Keterangan lanjut sila hubungi Tel: 03-8921 5423.

1/18/09

Cikgu WAFA dan Pilihanraya P036

Pada tahun 1996 saya mengambil SPM di Sekolah Menengah Agama (Atas) Zainal Abidin Kuala Terengganu, atau ringkasnya Smaasza. Tahun 19992-94 saya di Sekolah M.A.Ittifakiah Jerteh, Besut Terengganu. Di tahun 95-96 kami mengenali guru-guru yang berdedikasi dalam mendidik anak muridnya untuk bersedia menghadapi SPM yang merupakan titik penting dalam mengubah haluan hidup selepas tamat zaman persekolahan.

Suatu masa dahulu saya memasukkan entri berkenaan guru-guru yang sangat signifikan dalam mendidik saya sehingga menjadi 'orang' seperti sekarang. Antaranya ialah Cikgu Wan Fatimah Wan Abdullah (Cikgu WAFA) yang selalu berpesan supaya banyakkan membaca akhbar-akhbar terutamanya di bahagian rencana selain buku-buku umum yang lain untuk memperbaiki Bahasa Melayu.

Selepas 13 tahun meninggalkan sekolah, baru semalam saya dapat 'bertemu' kembali cikgu saya yang seorang ini. Itu pun melalui akhbar di internet. Sebelum ini saya tidak tahu yang beliau adalah isteri Ahli Parlimen PAS Kuala Terengganu yang baru iaitu YB Abdul Wahid Endut.

Tahniah cikgu dan keluarga!!

PENGUNDI PERTAMA... Calon PAS, Mohd. Abdul Wahid Endut membuang undi di Sekolah Kebangsaan Chabang Tiga bersama isterinya, Wan Fatimah Wan Abdullah.
Sumber dari mstar


Isteri Abdul Wahid dan dua anak perempuannya sedang berjalan
ke pusat pembuangan undi.

Sumber dari MSO Melayu

1/13/09

Hobi baru

Sebenarnya hobi lama, tapi mencuba benda baru..membaca novel genre sains fiksyen atau sai-fai.

Sebelum ini saya jarang membaca novel kecuali beberapa novel tulisan karya Shahnon Ahmad, Azizi Abdullah, Dr Tuah Iskandar dan juga karya roman buya Hamka seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk, Merantau Ke Deli dan Di Bawah Lindungan Kaabah . Oh ya, pernah juga membaca kisah Benawi oleh Aripin Said, Senjakala (Baharuddin Kahar), Lasykar Pelangi (Andrea Hinata), Tunggu Teduh Dulu (Faisal Tehrani) dan beberapa buah lagi.

Seingat saya, novel fiksyen yang dibaca dan dihadam dengan baik ialah karya pengarang terkenal tanahair saudara Faisal Tehrani berjudul 1515[Kombat]. Kisah futurustik kegemilangan tentera islam menentang musuh.

Sesekali elok juga mencuba sains fiksyen bak kata motivator terkenal Dr Tuah " membaca novel boleh mendidik minda menjadi kreatif".

Jadi sekarang saya mula mengorak langkah membaca genre fiksyen. Sebelum ini pening kepala dengan plot berbelit-belit Neal Stephenson dengan Cryptonomicon dan Snow Crash'nya saya beralih arah ke Richard A. Clarke dengan judul 'Breakpoint'. Nampaknya ia agak serasi dengan jiwa saya. Sudah hampir separuh novel 'tangan kedua' ini diulit..Mengkagumkan!

Lain-lain yangbelum terusik ialah The Best of Isaac Asimov, Einstein Brain (Mark Olshaker), 2061 (Arthur C.Clarke) dan The Machineries of Joy (Ray Bradbury).

Rindu dengan fiksyen melayu, saya menempah beberapa buah buku dari seorang rakan maya baru, pemilik kedai buku online 'OREN-JI' yang juga penulis sai-fai saudari Suri Mawarne. dengan novelnya Virus L.

Semoga rindu buku terubat..hehe!



Selingan! ehehe! auww

1/11/09

'Curious' tentang agama

Jumaat lepas kami ada temujanji dengan 'landlord' untuk menandatangani perjanjian baru sewa rumah. "Setiap awal tahun" kata Nana Chen, pemilik rumah 408 4th Avenue, Verdun Montreal. Tandatangan mengambil masa lima minit selepas membaca dan faham syarat-syaratnya tapi berlarutan hampir 2 jam berborak dengan wanita pertengahan umur, imigran dari China yang telah menetap hampir 20 tahun di sini.

Apa yang kami bualkan?

Persoalan tentang hakikat agama & kehidupan! Dia seorang ateis yang tidak mempercayai agama. Maklumlah, terdidik dalam fahaman komunis selepas Revolusi Kebudayaan China 1966. Persoalan yang ditanya tentang islam meliputi soal-soal poligami, tudung, puasa, sembahyang, Tuhan dan perbezaan bangsa arab dan agama islam yang semuanya kurang difahami dengan baik. Kesemuanya kelihatan negatif di mata seorang yang tidak bertuhan!

Tapi kami senyum-senyum mesra sahaja menjawab setiap soalan yang diutarakan supaya suasana mesra warga asia dan budaya sopan adab melayu tetap terjaga.

Dia beredar pulang selepas beria-ria ingin 'melihat' kami solat maghrib yang waktunya sangat pendek di musim dingin ini. Sebelum pulang sempat juga dia menyatakan ingin mencari buku dan melayari internet tentang Islam.

Kesimpulannya, soalan logik akal perlu dijawab dengan jawapan yang logik juga sambil diselang seli dengan sedikit ketukan di pintu hati. Kalau kena gaya, wanita yang kuat bekerja ini boleh masuk islam!..Mudah-mudahan!

Ya Allah, jauhilah diri ini dari sifat bangga diri dan malas!

p/s: Ahh.. suhu di luar tercatat -15 ' Celcius..

1/7/09

Ketika salji turun

Ketika menulis 'entry' ini di luar sana salji turun agak lebat dan dijangka berterusan sehingga petang khamis menurut theweathernetwork. Sebenarnya agak teruja bila melihat salji turun bagi kami yang baru pertama kali singgah di benua empat musim ini. Di sini sekiranya salji tebal berpanjangan lebih tiga atau empat jam, sudah cukup untuk menyukarkan pergerakan kenderaan apatah lagi pejalan kaki. Kalau sudah dua hari, kita tengoklah apa yang berlaku besok! Walau apapun inilah realiti yang mesti diharungi sepanjang berada di sini. Seronok tetap seronok!

Dalam menghabiskan waktu lapang yang panjang, saya banyak menghabiskan masa dengan membaca buku-buku yang lama dan baru secara berganti-ganti. (macam larian 4 x 100 la pulak) Terkini 4 buah buku sedang ditekuni iaitu:

The Quantum Ten..Sheila Jones (2008),

Snow Crash--Neal Stephenson (1992),

A History of the Sciences--Stephen. F. Mason (1962)

Atom, Journey Across the Subatomic Cosmos - Isaac Asimov (1992)..

Saya agak tertarik dengan buku The Quantum Ten kerana terlalu ingin mengetahui misteri di sebalik fizik moden iaitu kuantum mekanik yang begitu misteri dan unik bagi sesetengah pihak. Apatah lagi bagi orang yang tak tahu apa-apa mengenai fizik teori (dengan matematiknya yang kompleks) seperti saya. Jadi buku ini diharap dapat merungkaikan sejarah dan misteri kuantum mekanik. Insyaallah serba sedikit yang saya faham akan dicatatkan di sini atau di mana sahaja yang dirasakan sesuai.

Ada orang yang menyatakan bahawa gaya bahasa dan tulisan di blog ini sangat berbeza dengan watak saya yang sebenar di luar.. hehe! Sebenarnya saya sedang belajar menulis dengan bahasa dengan lebih baik. Sebahagian hasil latihan menulis ini saya catatkan dalam bentuk rencana dan artikel. Alhamdulillah! Kebanyakannya diterima baik oleh editor dan saya catatkan juga hasil tulisan-tulisan itu di blog saya yang kedua iaitu Teknologi:Dari Mikro ke Nano.

Sejarah menulis blog ini juga agak panjang. Saya bermula dengan mundarmandir pada tahun 2003. Waktu itu blog masih belum terkenal seperti sekarang. Tulisan dan gaya menulis pun hodoh, caca marba dan tiada tujuan. Sekadar melepaskan gian menulis selain untuk tidak ketinggalan dalam teknologi internet. Bermula 2006, mundarmandir versi ke-2 diwujudkan sebagai latihan untuk mencantikkan lagi gaya menulis. Semoga ia bertambah baik!

Ada juga orang bertanya, kenapa saya berhijrah sebentar ke tempat yang sangat sejuk ini, apa yang saya buat, kerja ke tidak, bagaimana dengan kerja di Malaysia dan sebagainya...hehe..saya tinggalkan dahulu soalan-soalan ini dan insyaallah akan di sambung dalam entri-entri akan datang..
.....

p/s: Sama-samalah kita memboikot premis dan produk Amerika & Israel mana yang termampu

1/4/09

Keluh & Resah

Jumaat lalu, mungkin semua khatib di seluruh dunia berkhutbah tentang isu pembantaian Israel Zionis ke atas umat islam Palestin yang sehingga hari ini sudah memasuki hari ke enam. Tak terkecuali juga khatib di Masjid Abu Hurairah di sini ( baca: Montreal). Terus terang saya bukanlah faham 100% khutbah yang disampaikan dalam bahasa arab. Namun pengalaman 5 tahun belajar bahasa arab di sekolah dahulu membolehkan saya menangkap sedikit-sedikit butir perkataan yang diungkapkan disusuli pula dengan gementar tangan sang pemberi khutbah apabila menyebut tentang Gaza, Israel, Qatl dan lain-lain merujuk kepada konflik Israel-Palestin yang berlanjutan sejak tahun 1948. Sudah terlalu lama!


Tapi apa yang dapat kita lakukan! Pada masa kini saya mula teringatkan Iran yang memiliki sedikit kekuatan untuk mengancam Israel secara terang-terangan. Negara Islam lain bagaimana?


Benarlah, kita sudah ibarat buih-buih di lautan atau pun daging-daging bersepah yang menjadi rebutan pemangsa!!


Apa lagi yang tinggal..kala ini kita umat yang tertewas!


Bagaimana mahu bangkit??