www.majalahsains.com

1/31/10

Beberapa tulisan untuk bulan Februari


Baca rencana Fokus Bulan Februari dalam Dewan Siswa
Pemanasan Global: Bumi Kian Tenat

Rencana 'Penjanakuasa Nano' (Nanogenerator) dalam Dewan Kosmik Februari

Dapatkan di pasaran sekarang atau terus berlanggan melalui DAWAMA


p/s: Juga artikel untuk Estidotmy

Januari 2010 dengan tajuk 'Budaya Inovasi Penentu Masa Depan (MOSTI-Akademi Sains-Utusan Malaysia)

Disember 2009 : Sains Untuk Masyarakat (MOSTI- Akademi Sains-Utusan Malaysia)


1/21/10

Fenomena baru tabiat membaca di Malaysia

Saya sentiasa megikuti perkembangan dunia membaca di Malaysia melalui internet. Terbaru pada 16 Januari baru-baru ini satu kumpulan kreatif memimpin gerakan yang dinamakan Baca @LRT di facebook. Bebeberapa hari kemudian akhbar-akhbar perdana mula melaporkan perkembangan tersebut. Menakjubkan apabila segerabak penuh LRT dipenuhi dengan penumpang yang memegang dan membaca buku. Satu fenomena yang tidak pernah berlaku di Malaysia.

Saya percaya, lama-kelamaan budaya membaca di mana-mana sahaja di tanah air akan terus subur melalui idea murni yang dicetuskan oleh anak muda Malaysia yang kreatif. Tahniah kepada penganjur! Saya di sini begitu teruja melihat perkembangan tersebut.

Saya juga percaya bahawa, usaha murni ini adalah antara idea yang secara tidak langsung untuk mempromosi Pesta Buku Antarabangsa 2010 yang akan diadakan pada bulan Mac nanti. Satu lagi acara tahunan senarai-wajib-hadir bagi penggemar buku.

Kita selalunya takjub dengan budaya membaca warga barat. Di Montreal ini misalnya, membaca merupakan aktiviti atau pemandangan biasa di mana-mana sahaja. Di dalam keretapi bawah tanah, di dalam bas, sambil menunggu kaunter, di taman-taman dan sebagainya. Kedai-kedai bukunya juga meriah dengan pelbagai jenis buku dan bahan bacaan yang mengghairahkan pen'ggila buku.

Dengan usaha dan sokongan padu rakyat Malaysia, saya yakin suatu hari nanti membaca akan menjadi satu budaya yang popular dan menjadi ikutan ramai. Ia akan menenggelamkan perasaan malu dan segan yang selama ini membelenggu masyarakat kita. Insyaallah dengan kejayaan penganjuran Baca @LRT pertama ini, akan dapat melahirkan warganegara yang celik huruf dan celik maklumat serta sentiasa peka dengan perubahan yang berlaku di sekeliling kita setiap hari.

Marilah kita mula membaca dan menikmati keseronokan membaca buku..






Gambar-gambar dari facebook Baca@LRT

1/19/10

Perihal senyum



Senyum adalah satu reaksi spontan yang mudah diungkap, namun untuk melaksanakannya ia dianggap sukar bagi sesetengah individu. Ada yang berpendapat bahawa senyum adalah satu bahasa yang dapat difahami oleh semua manusia di muka bumi ini (bahkan haiwan dan tumbuhan juga menurut sesetengah pendapat). Dengan menguntum senyuman ikhlas, semua dapat memahami bahawa individu tersebut senang dan ikhlas dengan kita atau sebaliknya.

Senyum sangat penting dalam kehidupan seharian. Kalau tidak, masakan kerajaan Malaysia dahulu pernah menjalankan kempen senyum dengan 'senyum seindah suria' (kalau tidak silap) dan ditulis satu lagu yang indah liriknya oleh seorang komposer.

Senyum seindah suria
Yang membawa cahya
Senyumlah dari hati
Duniamu berseri

Senyum umpama titian
Dalam kehidupan
Kau tersenyum ku tersenyum
Kemesraan menguntum

Senyum... kepada semua
Senyumanmu amatlah berharga
Senyum... membahagiakan
Dengan senyuman terjalinlah
Ikatan...

Tukang Catat membangkitkan perihal senyum apabila cuba membandingkan kisah peniaga muslim (melayu kalau di Malaysia) dan bukan muslim yang kerap diperhatikan. Kelmarin kami ke sebuah kedai muslim, membeli peralatan elektrik. Peniaga dan pekerjanya jelas beragama islam (berbangsa arab). Pernahkah anda bayangkan sekiranya kita membeli sesuatu barangan, pemilik kedai tidak menguntumkan senyuman atau bertentang mata melayan pelanggan. Betapa hati kita sakit melihat perilaku sedemikian rupa yang saya kira tidak pernah berlaku di mana-mana kedai yang pemiliknya bukan islam (Cina misalnya). Kami tidak mempunyai banyak pilihan dan terpaksa membeli juga di situ dengan hati yang agak panas. Banyak lagi yang kami perhatikan perilaku muslim arab yang berniaga di sini berbanding bangsa bukan muslim. Apakah menjadi satu kesalahan atau 'dosa' memberikan senyuman kepada pelanggan?

Cerita senyum dan berkomunikasi dengan sesiapa sahaja di dunia sebenarnya akan terpancar dari wajah seseorang terutamanya melalui isyarat mata. Orang yang tajam mata hatinya akan memiliki sepasang bebola mata yang tajam juga untuk melihat keikhlasan seseorang melalui karakter matanya.

Pernahkah anda berhadapan dengan situasi apabila kita bersalaman dengan seseorang, matanya tidak melihat mata kita. Hati yang halus perasaanya akan merasa sakit dengan kelakuan tersebut, begitu jugalah dengan peniaga, penjaga kaunter, customer service dan sesiapa sahaja yang urusannya adalah berhubung dengan keperluan melayani orang lain secara bertentang mata. Oleh yang demikian, sesiapa sahaja yang berada di situasi tersebut, belajarlah untuk senyum. Kita tidak perlu membayar harga untuk memberikan senyuman.

~Verdun~
Montreal

1/16/10

Kisah Solat Jumaat- Centre Cultural Musulman de Montreal

Antara yang menarik untuk dijejak di bandaraya Montreal selain kedai buku, tempat-tempat bersejarah, hiburan dan warganya ialah tempat ibadat. Masjid untuk orang islam dan gereja-gereja lama bagi orang kristian yang sebahagiannya sudah dijadikan muzium disebabkan golongan kristian tidak lagi mempedulikan agama. Malah sebuah kuil Freemason seperti yang aku ceritakan dahulu juga telah disewa oleh warga muslim dari University of Concordia untuk dijadikan sebagai tempat menunaikan solat Jumaat.

Kelmarin aku bersolat di Centre Cultural Musulman de Montreal dan di dalamnya terdapat masjid yang dinamakan Masid Al-Ommah Al-Islamiah. Masjid ini terletak di St Dominique, Montreal QC berhampiran dengan kawasan perniagaan cina yang terkenal di seluruh dunia dengan nama Chinatown.(Kisah Chinatown aku akan ceritakan kemudian). Di hadapan masjid terdapat beberapa pintu belakang bar dan kelab-kelab manusia yang sudah hilang harga diri menjual tubuh. Kawasan ini aku kira sebagai Lorong Haji Taib atau Chow Kit lah kalau di Malaysia. Cuma jalan disini dinamakan Rue St. Laurent.

Berbalik kepada masjid. Dari luar kelihatan kecil seperti di mana-mana masjid di seluruh dunia dan dindingnya juga ditulis dengan grafiti bertulisan arab. Kurang jelas untuk aku membacanya. Di pintu masjid kelihatan beberapa warga yang kurang upaya meminta sedekah. Pemandangan biasa di mana-mana. Masjid ini di dalamnya amat selesa dan luas. Karpetnya tersusun, jaket-jaket musim sejuk tergantung rapi oleh para jemaah, mimbarnya indah, dindingnya tergantung ukiran-ukiran kayu bercirikan budaya islam. Aku mengambil masa beberapa minit untuk berjalan dan meninjau di beberapa bahagian masjid. Bilik air dan tempat berwuduknya bersih, tidak berbau dan selesa. Cuma di bahagian rak kasut, bau hapak menyergah hidung. Ini dapat dimaafkan disebabkan sekarang musim dingin, jadi stokin dan kasut mungkin agak lembap.

Para jemaahnya juga pelbagai jenis bangsa. Majoriti warga timur tengah, sedikit Pakistan, sesekali terlintas 'black muslim' dan seorang dua berbangsa Asia termasuk kami bertiga. Sesuai benarlah tempat ini dinamakan Centre Cultural.

Paling menarik, khutbah Jumaat kali ini disampiakn dalam tiga bahasa. Bahasa arab yang lancar, bahasa Perancis (bahasa utama di Quebec) dan bahasa inggeris. Seperti biasa, Tukang Catat mencatat isi khutbah yang berkisar tentang adab-adab dan tatacara ke masdij dan bagaimana menghormati rumah Allah. Tidak banyak bezanya dengan isi khutbah di Malaysia cuma, khatib terus terang menegur sebilangan jemaah yang kurang prihatin tentang aurat semasa menunaikan solat terutamanya lelaki yang berbaju ketat dan singkat. Kebiasaannya bila waktu sujud, baju akan terangkat dan aurat di belakang terdedah, itu sebenarnya sudah membatalkan solat.

Sebelum berangkat pulang, sempat juga aku mencapai bahan bacaan percuma bertajuk 'Understanding Islam and the Muslim'. Sekeping pizza panas di kedai berhampiran masjid menjadi hidangan kami sebelum berangkat ke tempat-tempat lain sekitar kawasan St. Catherine yang sibuk sepanjang masa dengan manusia yang mundar-mandir mencari tujuan hidup masing-masing pada hari itu.

Sekian catatan jumaat 15/1/2010.