www.majalahsains.com

1/21/10

Fenomena baru tabiat membaca di Malaysia

Saya sentiasa megikuti perkembangan dunia membaca di Malaysia melalui internet. Terbaru pada 16 Januari baru-baru ini satu kumpulan kreatif memimpin gerakan yang dinamakan Baca @LRT di facebook. Bebeberapa hari kemudian akhbar-akhbar perdana mula melaporkan perkembangan tersebut. Menakjubkan apabila segerabak penuh LRT dipenuhi dengan penumpang yang memegang dan membaca buku. Satu fenomena yang tidak pernah berlaku di Malaysia.

Saya percaya, lama-kelamaan budaya membaca di mana-mana sahaja di tanah air akan terus subur melalui idea murni yang dicetuskan oleh anak muda Malaysia yang kreatif. Tahniah kepada penganjur! Saya di sini begitu teruja melihat perkembangan tersebut.

Saya juga percaya bahawa, usaha murni ini adalah antara idea yang secara tidak langsung untuk mempromosi Pesta Buku Antarabangsa 2010 yang akan diadakan pada bulan Mac nanti. Satu lagi acara tahunan senarai-wajib-hadir bagi penggemar buku.

Kita selalunya takjub dengan budaya membaca warga barat. Di Montreal ini misalnya, membaca merupakan aktiviti atau pemandangan biasa di mana-mana sahaja. Di dalam keretapi bawah tanah, di dalam bas, sambil menunggu kaunter, di taman-taman dan sebagainya. Kedai-kedai bukunya juga meriah dengan pelbagai jenis buku dan bahan bacaan yang mengghairahkan pen'ggila buku.

Dengan usaha dan sokongan padu rakyat Malaysia, saya yakin suatu hari nanti membaca akan menjadi satu budaya yang popular dan menjadi ikutan ramai. Ia akan menenggelamkan perasaan malu dan segan yang selama ini membelenggu masyarakat kita. Insyaallah dengan kejayaan penganjuran Baca @LRT pertama ini, akan dapat melahirkan warganegara yang celik huruf dan celik maklumat serta sentiasa peka dengan perubahan yang berlaku di sekeliling kita setiap hari.

Marilah kita mula membaca dan menikmati keseronokan membaca buku..






Gambar-gambar dari facebook Baca@LRT

No comments: