www.majalahsains.com

1/16/10

Kisah Solat Jumaat- Centre Cultural Musulman de Montreal

Antara yang menarik untuk dijejak di bandaraya Montreal selain kedai buku, tempat-tempat bersejarah, hiburan dan warganya ialah tempat ibadat. Masjid untuk orang islam dan gereja-gereja lama bagi orang kristian yang sebahagiannya sudah dijadikan muzium disebabkan golongan kristian tidak lagi mempedulikan agama. Malah sebuah kuil Freemason seperti yang aku ceritakan dahulu juga telah disewa oleh warga muslim dari University of Concordia untuk dijadikan sebagai tempat menunaikan solat Jumaat.

Kelmarin aku bersolat di Centre Cultural Musulman de Montreal dan di dalamnya terdapat masjid yang dinamakan Masid Al-Ommah Al-Islamiah. Masjid ini terletak di St Dominique, Montreal QC berhampiran dengan kawasan perniagaan cina yang terkenal di seluruh dunia dengan nama Chinatown.(Kisah Chinatown aku akan ceritakan kemudian). Di hadapan masjid terdapat beberapa pintu belakang bar dan kelab-kelab manusia yang sudah hilang harga diri menjual tubuh. Kawasan ini aku kira sebagai Lorong Haji Taib atau Chow Kit lah kalau di Malaysia. Cuma jalan disini dinamakan Rue St. Laurent.

Berbalik kepada masjid. Dari luar kelihatan kecil seperti di mana-mana masjid di seluruh dunia dan dindingnya juga ditulis dengan grafiti bertulisan arab. Kurang jelas untuk aku membacanya. Di pintu masjid kelihatan beberapa warga yang kurang upaya meminta sedekah. Pemandangan biasa di mana-mana. Masjid ini di dalamnya amat selesa dan luas. Karpetnya tersusun, jaket-jaket musim sejuk tergantung rapi oleh para jemaah, mimbarnya indah, dindingnya tergantung ukiran-ukiran kayu bercirikan budaya islam. Aku mengambil masa beberapa minit untuk berjalan dan meninjau di beberapa bahagian masjid. Bilik air dan tempat berwuduknya bersih, tidak berbau dan selesa. Cuma di bahagian rak kasut, bau hapak menyergah hidung. Ini dapat dimaafkan disebabkan sekarang musim dingin, jadi stokin dan kasut mungkin agak lembap.

Para jemaahnya juga pelbagai jenis bangsa. Majoriti warga timur tengah, sedikit Pakistan, sesekali terlintas 'black muslim' dan seorang dua berbangsa Asia termasuk kami bertiga. Sesuai benarlah tempat ini dinamakan Centre Cultural.

Paling menarik, khutbah Jumaat kali ini disampiakn dalam tiga bahasa. Bahasa arab yang lancar, bahasa Perancis (bahasa utama di Quebec) dan bahasa inggeris. Seperti biasa, Tukang Catat mencatat isi khutbah yang berkisar tentang adab-adab dan tatacara ke masdij dan bagaimana menghormati rumah Allah. Tidak banyak bezanya dengan isi khutbah di Malaysia cuma, khatib terus terang menegur sebilangan jemaah yang kurang prihatin tentang aurat semasa menunaikan solat terutamanya lelaki yang berbaju ketat dan singkat. Kebiasaannya bila waktu sujud, baju akan terangkat dan aurat di belakang terdedah, itu sebenarnya sudah membatalkan solat.

Sebelum berangkat pulang, sempat juga aku mencapai bahan bacaan percuma bertajuk 'Understanding Islam and the Muslim'. Sekeping pizza panas di kedai berhampiran masjid menjadi hidangan kami sebelum berangkat ke tempat-tempat lain sekitar kawasan St. Catherine yang sibuk sepanjang masa dengan manusia yang mundar-mandir mencari tujuan hidup masing-masing pada hari itu.

Sekian catatan jumaat 15/1/2010.

No comments: