www.majalahsains.com

9/2/14

Melihat catatan-catatan lama

Gigih berusaha untuk mengembalikan semangat menulis di blog atau di mana-mana sahaja lapangan. Antara usaha yang dilakukan ialah melihat kembali catatan-catatan lama agar semangat dahulu kembali cergas dalam diri. Terus terang saya akui, kegilaan menulis dan membaca menurun dengan mendadak akhir-akhir ini. Banyak buku-buku dan majalah yang dibeli dilonggokkan begitu sahaja tanpa membelek dan membelai seperti yang dilakukan sebelum ini.

Antara kenangan dan catatan yang menerpa minda ialah kedai buku yang dilawati sewaktu di Montreal. Salah satunya ialah kedai buku pertama yang saya jejaki di kawasan kediaman sekitar hujung tahun 2008 dahulu di Verdun. kedai tersebut ialah La Librarie De Verdun.

Saya kenal benar pemilik kedai buku ini. Kathy dan ibunya yang sudah agak berusia. Baru-baru ini, sekitar bulan April saya berpeluang kembali ke Montreal. Antara yang saya sempat lawati ialah kedai buku ini. Sayangnya ia sudah ditutup. Kedainya tinggal kosong dan tidak berpenghuni lagi. Agak sedih mengenangkan kedai buku nan satu ini, kerana ia meninggalkan banyak nostalgia saya sewaktu mendiami kejiranan Verdun selama 4 tahun 6 bulan. Di sinilah saya membeli buku pertama koleksi Asimov. Di sini jugalah saya membelek dan terus membelek buku ditemani sambil berborak dengan Kathy. Paling meninggalkan kesan, ialah kedai buku ini bersetentang dengan tempat jagaan kanak-kanak di mana puteri sulung saya ditinggalkan, sementara saya berlari mengejar Metro ke tempat kerja. 4 musim di selama 4 tahun 6 bulan di sini, tidak pernah gagal saya melintasi kedai buku ini walaupun tidak menjengah di dalamnya. Cukuplah melihat buku-buku terpakai yang dipamerkan dirak kaca di hadapan kedai. Ia sudah cukup membahagiakan!

Kunjungan kali kedua pada April 2014, agak sedih dan terkilan kerana La Librarie De Verdun sudah tidak wujud lagi. Saya berhasrat untuk menghadiahkan sebuah buku yang memuatkan tulisan saya berjudul 'Dunia Buku Montreal' di dalam 'Kapsul Nurani'. Namun agak hampa!