www.majalahsains.com
Showing posts with label Rencana. Show all posts
Showing posts with label Rencana. Show all posts

8/9/12

Lailatul Qadar atau SUASANA Lailatul Qadar yang kita nantikan


Setiap kali bulan Ramadhan..setiap kali bulan Ramadhan kita tercari-cari apa makna malam lailatulqadar..penjelasan yang paling munasabah bagi saya buat masa ini tidak lain dan tidak bukan ialah daripada Profesor Dr Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA) 1908-1981. Saya turunkan catatan beliau di bawah. Agak panjang tapi bersabar dan bacalah sepenuhnya berulang-ulang kali.

Dipetik dari buku Renungan Tasawuf : Manisnya Iman (rencana berjudul Lailatul Qadar)

p/s : Baca juga tafsir surah Al-Qadr (http://tafsir.cahcepu.com/surat/alqadr/) - Dari Tafsir Al-Azhar (Karangan HAMKA)



Sudah menjadi adat turun-temurun di kampung, bahawa anak laki-laki tidak boleh tidur di rumah. Mesti tidur di surau atau di masjid.
Kalau datang bulan puasa, anak-anak ke surau berbuka bersama orang tua-tua. Yang tua-tua berjemaah mengerjakan shalat tarawih dan anak-anak bertadarus, iaitu membaca Al-Quran secara bergilir, berlingkar, iaitu seraqa’ seorang. Pukul dua malam baru pulang ke rumah untuk membangunkan ibu dan nenek untuk bertanak parak-siang (sahur). Menunggu nasi masak, kami dapat tidur sebentar. Dan setelah makan sahur tersedia barulah kami dibangunkan. Dengan mata mengantuk kami makan. Kadang-kadang baru sahaja selesai makan, kawan-kawan telah memanggil di halaman untuk pergi ke surau lagi.
Biasanya kami tidak tidur lagi sampai Subuh, sesudah shalat Subuh baru kami tidur. Setelah tinggi hari, baru pulang untuk menolong ibu. Petangnya kami bermain layang-layang. Setelah senja baru pulang buat berbuka. Demikianlah hidup kami di kampong selama bulan puasa.

12/30/10

Senarai Tulisan 2010

Berikut adalah sedikit sebanyak sumbangan rencana sains popular berbahasa Melayu untuk terbitan tempatan.

Rencana : Pemanasan Global: Sejauh Mana Kita Memahaminya
(Dewan Siswa DBP - Februari)

Rencana : Penjanakuasa Nano
(Dewan Kosmik DBP - Februari )

Rencana : Robot Mikro Dalam Pembuluh Darah
(Dewan Kosmik DBP - Mac)

Rencana : Teknologi Biomimetik
(Dewan Kosmik DBP- Mei)

Rencana : Inovasi Mendominasi Dunia
(Estidotmy Utusan Malaysia-Akademik Sains Malaysia, Januari )

Rencana : F1, Persaingan, Kepantasan dan Kemasyhuran
(Estidotmy Utusan Malaysia-Akademik Sains Malaysia,Februari)

Rencana : Nasib Google di China
(Estidotmy Utusan Malaysia-Akademik Sains Malaysia, April)

Rencana : Rekacipta, Kreativiti dan Inovasi
(Estidotmy Utusan Malaysia-Akademik Sains Malaysia, Disember)

Untuk terbitan secara online di MajalahSains.Com dan tidak mendapat sebarang bayaran atau saguhati. Hanya untuk suka-suka dan mengasah bakat. Berikut adalah senarainya.

Rencana Fizik: Kenapa Api Padam Bila Terkena Air
(MajalahSains.Com, Mac)

Rencana Tokoh : Werner Heisenberg : (1901 -1976)
(MajalahSains.Com, Mac)

Rencana Teknologi : Teknologi Nuklear dan Malapetaka Bom Atom
(MajalahSains.Com, Ogos)

Rencana Tenaga : Tenaga dan Masa Depan
(MajalahSains.Com, Ogos)

Rencana Tokoh :Andre Geim dan Konstantin Novoselov : Pemenang Hadiah Nobel Fizik 2010
(MajalahSains.Com, Oktober)


Masih jauh dari sasaran. Usaha perlu dilipatgandakan. Dan saya masih bersemangat, Insyaallah. Jutaan terima kasih juga kepada penyumbang artikel dan rencana untuk MajalahSains.Com. Pening memikirkan insentif untuk mereka yang menyumbang.

Selamat Datang Tahun Baru 2011.
Cheers!


Verdun, Montreal
Winter 2010

6/19/10

Perang Teknologi : Islam lawan Barat | Bahagian 2

Kita umat Islam pada masa terdekat ini :


1. Tidak mampu memiliki kekuatan persenjataan yang hebat untuk memerangi Zionis-Israel dan segala ketidakadilan ke atas umat Islam dewasa ini

2. Tidak mampu untuk membentuk satu pakatan ekonomi yang kuat di kalangan negara-negara islam dalam erti kata ekonomi yang dituntut dalam agama. Sistem yang menguasai dunia pada hari ini ialah sistem kapitalis yang bersifat menindas dan penuh dengan riba'

3. Kita tidak mampu melahirkan ramai ilmuan moden yang dapat meraih kejayaan sehingga peringkat tertinggi dan dihormati dunia barat dan timur. (hadiah Nobel dalam bidang sains misalnya)

4. Kita belum mampu untuk mencetuskan idea-idea dan ilmu-ilmu baru dalam bidang sains dan teknologi melainkan mempelajari dan menirunya juga dari barat. Malah usaha penterjemahan bidang ilmu dalam bahasa asing ke Bahasa Melayu juga tidak dapat dilakukan secara agresif dalam masa kurang dari 20 tahun belakangan ini. Lebih terkebelakang adalah tindakan yang diambil untuk menggunakan bahasa asing dalam mengajar warga Malaysia mengenai ilmu-ilmu kritikal seperti Sains dan Matematik dan bukan bahasa yang mudah difahami oleh kaum tersebut.

5. Punca-punca ketidakmampuan ini terlalu banyak. Namun sikap pemerintah yang menguasai fikiran rakyat dengan 'minda yang tertawan dan terjajah' adalah faktor utama dan terbesar mengapa kita tidak mampu bangkit dalam tempoh-tempoh tertentu termasuk Wawasan 2020 yang tinggal 10 tahun lagi untuk digapai. Semua ini adalah retorik yang tidak berkesudahan jika dibandingkan dengan situasi semasa yang berlaku pada hari ini. Pemimpin berperanan menaikkan semangat rakyat untuk sama-sama membangun negara.

Oleh yang demikian, untuk menyatukan kembali kita sebagai umat yang satu pada pandangan saya buat masa ini ialah melalui internet. Gelombang kebangkitan umat dapat digerakkan dengan hujah-hujah dan pemikiran yang dapat mencetuskan rasa bangga dan 'gah' sebagai umat islam dalam menyaingi barat. Satu daripadanya ialah kemunculan Millatfacebook.

Facebook yang diasaskan oleh pemuda berketurunan Yahudi-Amerika lulusan Harvard iaitu Mark Zuckerberg sedang melonjak dengan begitu mendadak. Antara pengguna terbesar laman Facebook ialah umat Islam. Jadi kita boleh menggunakan laman ini sebagai 'senjata makan tuan' untuk mendidik sebahagian warga dunia yang anti Islam. (misalnya kejadian melukis karikatur nabi Muhammad baru-baru ini, atau hak-hak umat Islam yang dipertikaikan di beberapa belahan dunia barat seperti Perancis, Kanada dan sebagainya - isu tudung dan Burqa dan lain-lain.

bersambung bahagian 3

Perang Teknologi : Islam lawan Barat | Bahagian 1

Bercakap soal teknologi, kita sebagai umat islam akui bahawa kita banyak ketinggalan berbanding dengan negara-negara barat. Atau bahasa kasarnya umat Islam masih mundur pencapaiannya dalam bidang sains dan teknologi.Puncanya terlalu banyak untuk dihuraikan. Namun beberapa penyebab yang boleh kita tanamkan di dalam minda kita sebagai umat islam, untuk mencetuskan rasa ingin bangkit dari kelemahan ini antaranya ialah :

1. Tahap kebergantungan kita terhadap teknologi dan sains barat yang keterlaluan

2. Kesan dari penjajahan fizikal dan minda sejak sekian lama

3. Pemerintah atau daya inisiatif kerajaan yang lemah dalam menangani soal sains dan teknologi

4. Sistem pendidikan yang agak ketinggalan

5. Soal-soal kebudayaan setempat yang masih ditakuk lama

6. Penyusunan dan strategi pembangunan ekonomi negara (Islam) yang masih lemah

7. Kekurangan infrastruktur yang dapat menyokong pembangunan Sains dan Teknologi


Rujukan : Kemunduran Sains dan Teknologi : Merenung dan Bertanyakan Persoalan Asas, Azhar Ibrahim Alwee, Institut Pendidikan Nasional, Singapura.


Di sebalik segala kelemahan yang masih wujud dan sedang ditangani ini, ada satu teknologi yang sangat pantas berkembang dan memukau penghuni planet bumi sehingga kini. Tidak lain tidak bukan ialah INTERNET. Internet sebagai wadah menghubungkan segenap pelosok penghuni bumi ini juga turut dikuasai oleh sebahagian besar negara-negara Islam termasuk Malaysia. Walaupun pada asalnya, ia berasal dari US melalui penyelidikan ARPANET pada tahun 1940-an dahulu, kini ia bukan lagi menjadi milik mutlak kepada sesiapa. Teknologi internet turut memberi manfaat kepada seluruh manusia.

Apa yang ingin disampaikan ialah, tentang bagaimana cara untuk kita mengembalikan keghairahan umat menentang kuasa-kuasa jahat yang sedang berusaha untuk menghancurkan Islam. Antaranya ialah melalui kejahatan yang disebarkan melalui Internet (Facebook). Baru-baru ini kita dikejutkan dengan penyebaran tidak bertanggungjawab karikatur gambar Nabi Muhammad dengan niat mempersendakannya. Umat Islam meledak marah lantas sekumpulan pakar IT Pakistan mewujudkan laman Millatfacebook.com sebagai alternatif menyaingi Facebook ciptaan Mark Zuckerberg. Millatfacebook meningkat popularitinya dengan mendadak. Namun kekurangan dana menyebabkannya berlaku masalah teknikal. Jadi apa sebenarnay yang boleh dilakukan oleh umat Islam lain dalam usaha untuk meneruskan perang ini ?

Bersambung bahagian 2..

2/6/10

Bacaan kanak-kanak dan penggemar sains








Gambar-gambar dari Estidotmy Disember 09 dan Januari 2010

11/4/09

Terbaru: Dewan Kosmik November


Kepada yang berminat, boleh dapatkan Dewan Kosmik di pasaran sekarang atau berlanggan di DAWAMA
Cadangan saya, berlanggan lebih baik :-)

p/s: pernah saya menulis status di facebook untuk menulis sedikit isi buku Kenang-kenangan Hidup, Prof Dr Hamka. Insyaallah suatu hari nanti akan muncul di blog ini.

8/28/09

Ramadan dan Jiwa Merdeka!

Beberapa hari lagi negara akan menyambut kedatangan tarikh yang dianggap keramat oleh majoriti warga Malaysia iaitu 31 Ogos sempena Perisytiharan Hari Kemerdekaan 31 Ogos 1957. Tahun ini adalah tahun yang ke-52 kita menyambut tarikh ini selepas British menyerah kalah. Ada yang berhujah tarikh kemerdekaan dan perayaan hari Malaysia ialah pada 16 September 1963 dengan mengambil kira proses pembentukan Malaysia. Walauapapun hujah dan pandangan, yang pasti kita sudah bebas dari cengkaman Belanda, Portugis, British dan Jepun yang telah menjarah tanah melayu lebih 500 tahun lamanya.


Selama yang kita belajar di sekolah dan membaca buku-buku teks sejarah, kita banyak disogokkan dengan maklumat yang menyatakan bahawa kita merdeka tanpa berlakunya pertumpahan darah. Usaha-usaha kemerdekaan dilakukan oleh Bapa Kemerdekaan Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan cara aman dan penuh diplomatik. Sebahagiannya betul! Namun selepas membaca buku-buku lain selain buku teks sekolah, kita dapat melihat banyak lagi gerakan-gerakan lain yang sebelum UMNO telah lama berjuang. Contohnya PKMM, AWAS, API, Hizbul-Muslimin dan lain-lain. Lama sebelum itu muncul wira-wira melayu islam seperti Datuk Bahaman, Tok Sagor, Mat Kilau, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan ratusan malahan ribuan umat islam bangkit menentang penjajah. Tidak mungkin tiada pertumpahan darah yang berlaku. Jadi disyorkan untuk warga merdeka memperbanyakkan membaca dan mengkaji sejarah kewujudan Malaysia sejak keruntuhan Kerajaan Melaka dahulu. Manakala pihak kerajaan pula perlu adil memberikan pengiktirafan kepada pejuang kemerdekaan, bukan hanya mendabik dada mengatakan 'hanya kami yang berjuang'.


Walaupun penjajahan fizikal sudah lama berlalu, datang pula penjajahan bentuk baru yang digeruni dan perlu ditangkis serta dilawan dengan penuh hikmah. Penjajahan bentuk baru ini digelar penjajahan minda dan ketakjuban hati umat dengan segalanya yang datang dari barat. Ia dikenali dalam bahasa arab sebagai al-ghazwul fikr (penjajahan fikiran). Inilah yang digeruni oleh golongan yang tajam mata hati mereka melihat kemungkaran dan kebejatan yang datang hasil idea dari barat. Lihat sahaja globalisasi, dunia tanpa sempadan, Perjanjian Perdagangan WTO dan pemimpin-pemimpin boneka yang direstui barat. Inilah antara penjajahan bentuk baru yang perlu dinilai dengan akal fikiran. Mengapa tidak?..bahaya penjajahan baru ini ialah minda dan watak kita akan dikonstruksi dan diorkestra kan oleh barat. Contohnya budaya-budaya sonsang, hedonistik, moral dan pegangan agama merudum, kecelaruan minda dan pelbagai lagi.


Alim ulama pernah menyatakan bahawa mempertahankan kedaulatan dan agama di zaman pancaroba ini ibarat memegang bara api. Panas dan tidak ramai yang dapt bertahan!

Jadi bagaimana sikap seorang yang merdeka yang sebenar-benarnya merdeka menurut perhitungan agama. Para ulama' ada mengajarkan tentang 8 sifat yang perlu ada dalam jiwa merdeka iaitu BEBAS DARI :


TAKUT & DUKACITA,

LEMAH&MALAS,

BAKHIL & PENGECUT,

HUTANG & MINDA TERJAJAH


Masih banyak perkara-perkara remeh temeh yang perlu disingkirkan dalam hidup kita yang tidak panjang ini. Letakkanlah sasaran hidup ini adalah perjuangan untuk kemuliaan akhirat walaupun zaman ini orang memandang kepada berapa banyak harta kekayaan yang dimilik, berapa besar pangkat dan kedudukan yang dipegang. Kepada pekerja, bekerjalah dengan ikhlas untuk menegakkan agama, kepada pengarang, menulislah untuk membuka minda umat, kepada petani, peladang dan pekebun, berniatlah dengan ikhlas demi Tuhan dalam pekerjaan.


Di dalam diri kita sering bertempur antara kekuatan iman dan kerendahan nafsu jahat. Kadang-kadang iman yang menang dan banyak kali juga kita tersungkur dengan hawa nafsu. Itulah hakikat kehidupan.

Sempena tarikh yang dianggap keramat yang bertepatan pula dengan bulan Ramadan Yang Mulia ini, marilah kita menghidupkan jiwa BEBAS MERDEKA DEMI KEHIDUPAN YANG KEKAL ABADI DI SANA.


MERDEKA!

7/27/09

Artikel terbaru

KRISIS demi krisis telah melanda dunia. Terbaru adalah wabak selsema babi (swine flu) atau H1N1 dan juga dikenali sebagai Influenza.A yang bermula di Mexico dan menjalar ke seluruh dunia mengorbankan lebih seribu nyawa secara mengejut. Malaysia dan negara-negara di sekitarnya juga tidak ketinggalan terkena tempias wabak ini dan berhempas pulas untuk mengawalnya dari merebak.


Sebelum wabak selsema babi, krisis tenaga dan makanan telah menggugah keharmonian penduduk dunia. Di sesetengah negara, kekacauan dan demonstrasi jalanan turut dikaitkan dengan krisis yang melibatkan minyak dan makanan yang tidak kunjung reda. Selain itu, alam semulajadi semakin banyak diterokai dan dimusnahkan atas nama pembangunan. Tidak ketinggalan juga bencana pemanasan global yang sedang dihadapi oleh berbilion-bilion penduduk dunia yang terjadi akibat pelepasan gas rumah hijau dan peningkatan paras karbon ke atmosfera. .....


Untuk bacaan selanjutnya dapatkan Dewan Kosmik Ogos, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka




4/9/09

Rindu Pesta Buku Antarabangsa KL 2009 ke 28 Bhg Pertama

Bagi pencinta buku, pemburu ilmu dan pencari kebenaran kebanyakannya sudah mengetahui dan mencatat di dalam kalendar bahawa setiap tahun akan diadakan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Tahun ini merupakan tahun ke 28 Pesta Buku ini diadakan di Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PDDP) bermula 17-26 April. Sejak 1998, tahun ini merupakan tahun pertama Tukang Catat terlepas mengunjungi 'pesta' ilmu gilang gemilang yang mengalahkan sebarang acara-acara lain di televisyen mahupun di mana-mana sahaja (mengikut ukuran pengunjung pesta ini).

Oleh itu di bahagian pertama kisah Pesta Buku ini saya turunkan fakta-fakta menarik tentang Pesta Buku dan perubahan pola membaca di Malaysia seperi yang dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14 Julai 2008. Fakta ini bertujuan untuk memberi lebih semangat dan keyakinan kepada seluruh rakyat Malaysia tentang peri pentingnya tabiat membaca dan mengembalikan kegemilangan tamadun ilmu yang suatu masa dahulu kita umat islam adalah juaranya.

Renungkan fakta-fakta berikut:


Fakta Perubahan Tabiat Membaca di Malaysia

  • pesta buku pertama diadakan pada tahun 1982 di Changkat Pavilion, KL jumlah pengunjung hanya 40,000

  • lebih sejuta pengunjung menghadiri Pesta Buku Antarabangsa KL ke 27 pada tahun 2007

  • 1.5 juta pada pesta buku antarabangsa KL 2008

  • kajian PNM (Perpustakaan Negara Malaysia) mendapati 98.8 peratus rakyat Malaysia membaca sekurang-kurangnya dua buah buku dalam tempoh setahun (data ini mungkin sudah tidak tepat)

  • sebanyak 56% peratus membaca antara 4-10 buah buku setahun dan 33.1 % membaca 12 buah buku setahun

  • jumlah pendaftaran ahli baru perpustakaan meningkat bagi lima bulan pertama 2007 seramai 15,396 orang manakala dalam tempoh yang sama dalam tahun 2008 seramai 17,551 orang

  • secara kumulatif, sehingga 5 julai lalu, sebanyak 788,541 rakyat Malaysia menjadi ahli perpustakaan

  • kerajaan berhasrat mencapai 100% kadar literasi pada tahun 2020

  • kempen gerakan membaca 1980, tahun membaca 1988, program budaya sekolah-sekolah terengganu 1992, projek bacaan awal universiti kebangsaan Malaysia 1995 dan program Nada Ilmu Amalan Membaca (NILAM) 1998

  • menurut kajian tempatan kadar literasi pada tahun 1957 adalah 57 peratus dan meningkat sehingga 74 peratus pada 1974

  • pada tahun 2005, profil membaca menunjukkan tahap kadar literasi rakyat yang berumur 5 tahun keatas lebih 90 %

  • pada peringkat umur 7 tahun, 97.8% kanak-kanak sudah mengenal huruf dan hampir 87.2 % boleh membaca dengan kelancaran sederhana

  • kerajaan terus giat membudayakan kegiatan membaca antaranya pelancaran kelab membaca kebangsaan yang dinamakan sinar pintar oleh raja permaisuri agung pada 2 julai 2008. ia diadakan sempena Festival Membaca 2008 di PWTC hasil kerjasama PNM dan perpustakaan awam seluruh Malaysia



bersambung ke bahagian seterusnya ...

2/27/09

Lagi tentang menentang PPSMI

Temubual Dato' Dr. Anwar Ridhwan dengan akhbar Siasah Edisi 22-28 Februari 2009

Mereka yang Mengkritik Dasar PPSMI Bukan anti Bahasa Inggeris

(Di salin dari blog Faisal Tehrani)


ISU Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) di dalam bahasa Inggeris akan terus dibantah selagi Kementerian Pelajaran tidak mengembalikan semula ke bahasa Melayu.Bantahan terbesar bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 7 Mac oleh beberapa NGO yang mewakili masyarakat dan pejuang bahasa Melayu.Ia ditegaskan oleh Datuk Dr Anwar Ridhwan,Pengerusi Jemaah Pesara, Dewan Bahasa dan Pustaka di dalam temubual dengan wakil Siasah Zain A Ghani di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 16 Februari baru-baru ini.Temubual itu dapat mendedahkan lagi kelemahan hujah mereka yang mempertahankan PPSMI di dalam bahasa Inggeris:

Bagaimana perkembangan mutakhir isu PPSMI ini, kenapa pihak berwajib masih di dalam kekelam-kabutan dan lambat membuat keputusan; sedangkan ia suatu yang amat penting?

Sangat menghairankan bagaimanakah suatu dasar seperti PPSMI ini yang akan melibatkan nasib masa depan ratusan ribu atau jutaan pelajar dan bagaimana sebuah kementerian boleh melaksanakan suatu dasar yang bertentangan dengan Perkara 152(1) dan 152 (6) Perlembagaan Persekutuan.

Ia juga melanggar dan bertentangan dengan seksyen 17(1) Akta 550,-Akta Pendidikan 1996. Rakyat tentu musykil bagaimana Kementerian Pelajaran telah memperkosa Akta Pendidikannya sendiri, dan memperkosa Perlembagaan Persekutuan, untuk suatu dasar penuh kontroversial.

Mungkin pada masa itu Perdana Menteri yang ada sangat berkuasa dan tidak ada orang Melayu di kalangan pemerintah yang berani membantah?

Ya, mungkin itu suatu perkara, tetapi pada masa yang sama banyak orang menyoal; kenapa diletakkan pengajaran itu kepada Sains dan Matematik.Jika mahu memahirkan anak-anak pelajar kita di dalam bahasa Inggeris, kenapa tidak baiki sahaja pedagogi pengajaran bahasa itu? Anak-anak kita didedahkan dengan bahasa Inggeris selama sebelas tahun di sekolah; iaitu mulai Tahun Satu sehinggalah ke Tingkatan Lima.Itu bermakna ada sesuatu yang tidak kena.

Padahal jika pergi keluar negara untuk belajar bahasa itu, tiga atau enam bulan sudah memadai. Jadi kenapa harus menumpang (memparasitkan) bahasa Inggeris ini kepada dua subjek tadi.Ada juga orang kata kerana beberapa sebab yang lain yang di luar daripada itu.

Bercakap tentang dasar kementerian ia tentulah dasar yang dibuatnya melangkaui dari Perlis hingga Long Pasia atau ke hulu-hulu di seluruh Semenanjung.Pada masyarakat bandar atau kepada anak-anak menteri, mungkin mereka tidak bermasalah kerana penggunaan bahasa Inggeris di rumah dan pelbagai kemudahan yang dapat diakses sebagai alat membantu pembelajaran.Tetapi bagaimana dengan anak-anak miskin dan tiada kemudahan di tempat yang sebutkan tadi?

Hasil daripada dasar yang sudah berjalan lebih kurang enam tahun; saya dengar peratus keputusan peperiksaan Sains dan Matematik menurun, tetapi mereka terpaksa memanipulasi nisbah untuk menunjukkan peningkatan-sesuatu yang tidak sepatutnya terjadi.

Pada pandangan Dr, bilakah tamadun bahasa Melayu bermula di negara kita?

Mengikut tulisan Ismail Raji al-Faruqi, apabila tauhid tiba ke sesebuah negara, maka datanglah bersama tamadun Islam itu.Tetapi jika sesesebuah masyarakat itu mempunyai teknologi yang tinggi, mempunyai bandar-bandar yang besar dan hebat di samping kehidupan yang makmur, namun jika tidak bertauhid ; ia masih tidak dapat dianggap sebagai bangsa yang bertamadun.

Merujuk kepada tamadun kita ia telah bermula pada kurun ke-11 atau ke-12M lagi.Di mana penggunaan tulisan Jawi telah digunakan, dan ia telah dianggap sebagai tamadun Islam.Sejak beratus tahun umpamanya di Aceh, juga di kepulauan Riau, kitab atau buku-buku kita telah membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan falsafah, tasauf dan agama secara mendalam.Di sini jelas menunjukkan bahasa Melayu berkemampuan dan terbukti sebagai bahasa ilmu.

Jadi cara terbaik ialah belajar apa sahaja ilmu termasuk Sains dan Matematik itu harus dengan bahasa ibunda supaya akhirnya memberi kesan besar?

Pakar pendidikan yang jujur menyatakan bahawa sesuatu ilmu itu lebih mudah diajar melalui bahasa sendiri. Tetapi Kementerian Pelajaran berlagak 'bodoh-sombong' sehingga tidak mahu mengakui hakikat bahawa pelajar kita harus belajar sesuatu melalui bahasa ibunda.Tampaknya sehingga hari ini, enggan menarik balik dasar PPSMI itu.

Bilakah kedegilan kementerian berkenaan akan menampakkan kesan besar kepada pelajar-pelajar atau anak-anak kita?

Oleh kerana dasar PPMSI melibatkan semua pelajar termasuk majoriti yang berada di luar bandar dan pedalaman, dasar itu akan membuat ratusan ribu atau jutaan pelajar (dalam jangka panjang) tidak menguasai ilmu Sains dan Matematik, padahal jika mendapat penguasaan ilmu itu besar kemungkinan akan dapat mengubah nasib masa depannya.

Akibatnya, dasar pelik ini hanya akan melahirkan generasi pekerja kelas dua atau kelas tiga, apabila mereka hanya layak 'makan gaji' (dalam bahasa kasar, sebagai 'kuli'- mungkin selama-lamanya) dalam sektor perkhidmatan; bukan sebagai pekerja kelas pertama yang berilmu dan dapat memanfaatkan ilmunya.

Pada jangka panjang ia akan memberi kesan besar kerana anak-anak ini akan tercicir di dalam pelbagai aspek kerana ilmu sains dan matematiknya agak dangkal kerana dasar yang kita sebutkan tadi.

Saya pernah berbual-bual dengan buruh, petani dan nelayan yang menyatakan kesukaran mereka untuk membantu 'kerja rumah' anak-anak mereka dalam bahasa Inggeris.

"Dulu masa sains dan ilmu hisab masih dalam bahasa Melayu, dapat juga pak cik tolong sikit-sikit. Sekarang pak cik tak faham apa-apa. Anak pak cik pun tak faham apa benda." Kalau begitu, dasar ini seolah-olah meneruskan dasar pendidikan zaman penjajahan dulu, yang hanya ingin melahirkan pelajar Melayu menjadi buruh. petani dan nelayan yang lebih berpelajaran sedikit daripada bapa mereka.

Saya difahamkan cendekiawan kita yang mendapat pendidikan melalui bahasa Melayu di UKM juga cemerlang dan tiada masalah menguasai Inggeris bahkan bahasa asing lain…

Tanyalah kepada lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baik dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan, dan lebih-lebih lagi dalam bidang sains dan teknologi, adakah prestasi mereka terhalang dek bahasa Melayu?

Mereka tiada masalah mendapatkan ilmu-ilmu melalui bahasa Melayu; sementara penguasaan bahasa Inggeris turut berkembang seiring dengan pengajian mereka. Sebab itu ramai lulusan UKM boleh melanjutkan pengajian di seberang laut dan mendapat kejayaan cemerlang di sana.

Kalau sistem dan dasar tersebut berjalan dengan baik, mengapa 'gatal tangan' sangat untuk mengubahnya sesuka hati?

Mereka yang mengkritik PPSMI bukan anti bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa dunia yang lain. Jadi untuk memperkuatkan penguasaan sesuatu bahasa, perbaiki pedagogi pengajaran bahasa.

Bukan memparasit subjek sains dan matematik. Kita mahu anak-anak kita mengusai bukan sahaja bahasa Inggeris. Kalau boleh mereka boleh kuasai bahasa Arab, Mandarin, Itali, Sepanyol, Perancis dan sebagainya.

Penguasaan bahasa-bahasa asing kini semakin penting, kerana kerajaan bukan lagi majikan terbesar di negara ini. Justeru itu, pengajaran bahasa-bahasa asing mesti dilakukan dengan kaedah yang lebih sistematik dan berkesan; bukan memparasit subjek lain.

Bagaimana pandangan Dr tentang bahasa kebangsaan di negara-negara maju?

Di mana-mana negara di seluruh dunia, kerajaannya akan mengembangkan bahasa kebangsaan sendiri sebagai bahasa ilmu pengetahuan, bahasa nasional, dan bahasa antarabangsa. Aneh apabila terdapat dasar kerajaan yang dilihat menyekat bahasa kebangsaan menjadi bahasa ilmu, bahasa nasional, dan lebih jauh lagi menjadi bahasa antarabangsa.

Kecualilah negara-negara kecil seperti Singapura yang tidak mempunyai ‘akar’ sendiri dan hanya mementingkan komersil semata-mata.Tetapi negara-negara yang mempunyai ‘akar’ sendiri seperti Jepun, Korea atau Perancis, mereka mahu memantapkan bahasa kebangsaan sendiri.Itu yang tidak berlaku di negara kita sehingga dianggap ‘pelik dan ajaib.’

Temubual ini telah tersiar di Siasah edisi 22-28 Februari 2009

2/19/09

Menentang PPSMI

Menurut hukama, salah satu tanda akan runtuhnya tamadun peradaban bangsa ialah penguasa yang mengabaikan nasihat cendekiawan, alim ulama', ilmuan, cerdik pandai dan apa sahaja istilah yangmengaitkannya dengan orang yang berilmu. Di dalam negara kita Malaysia, kita tidak kalah dengan bangsa asing untuk mencari pakar atau ilmuan yang boleh dirujuk untuk memberi pandangan dan pendapat tentang permasalahan umat. Yang menjadi masalah ialah sanggup kah penguasa mendengar nasihat mereka ini yang kadang kala tegas dan pedas. Masalah kedua ialah, berapa ramai di kalangan umat yang dapat menilai siapakah golongan ilmuan berbanding dengan artis?

Tentang isu yang sedang hangat untuk masa depan bangsa dan negara kita Malaysia iaitu Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, PPSMI, saya turunkan kata-kata Prof Dr Mohd Yusof Haji Othman yang di petik dari kertas kerja beliau yang berjudul Penerbitan Akademik Dalam Bahasa Melayu, yang dibentangkan di Konvensyen Penerbitan Kebangsaan ke-2 anjuran DBP, 1999:

Perihal dan hakikat bahasa

  • bahasa jiwa bangsa
  • bahasa membina budaya bangsa
  • bahasa membina kaedah berfikir bangsa
  • bahasa membina citra dan jatidiri bangsa dan negara
  • bahasa bukan sekadar alat komunkikasi, tetapi dalam bahasa ada harga diri
  • tiada satu bangsapun boleh bangun dengan citra bangsa lain
  • tiada satu bangsapun yang boleh bangun dengan acuan bangsa lain
  • tiada satu bangsapun yan boleh bangun dalam budaya bangsa lain
  • tiada satu bangsapun boleh bangun dengan perspektif bangsa lain
  • tiada satu bangsapun boleh bangun dengan cara berfikir bangsa lain
  • nilai budaya terdapat dalam berbahasa

Dan Ingatlah !!


  • sekiranya kita tidak merancang dan berusaha memajukan bahasa kita, kita sebenarnya merancang untuk memundurkannya
  • sekiranya kita tidak merancang dan berusaha membangunkan bahasa kita, kita sebenarnya merancang untuk merobohkannya
  • sekiranya kita tidak merancang dan berusaha mendaulatkan bahasa kita, kita sebenarnya merancang untuk meminggirkannya
  • sekiranya kita tidak merancang dan berusaha memartabatkan bahasa kita, kita sebenarnya meancang untuk menghinanya
  • sekiranya kita tidak merancang dan berusaha menggunakan bahasa kita, kita sebenarnya merancang untuk menguburkannya


Prof Dr Yusof Hj Othman



Dan kepada mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang kenapa kita perlu menentang PPSMI silalah merujuk ke ruangan tokoh-tokoh ini

Prof Dr Shaharir Mohd Zain

Prof Emeritus Dr Adullah Hassan


dan juga petikan akhbar Berita Harian


Selain itu, kita juga menunggu ulasan dan hasil kajian daripada penyokong PPSMI untuk sama-sama menilai hujah siapakah yang lebih 'masuk akal' !


Sekian!


~tukang catat~ (faizal)



9/23/08

Kita Anak Malaysia

Saya membaca sebuah blog seorang warganegara Malaysia berbangsa cina yang menulis kesedihan beliau tentang tuduhan liar yang dilemparkan kepada kaum cina terutamanya di Malaysia seperti bangsa pendatang, warga tidak berterima kasih, bangsa syaitan yang tidak boleh mendengar azan dan menyuruh pulang ke Tanah Besar Cina. Lebih berat lagi tuduhan ini bukanlah dilakukan oleh penagih dadah, mat rempit, pelacur, pengangkang dan pengemis tetapi diluahkan oleh seorang yang berjawatan tinggi dan berpengaruh. Apa reaksi kita sebagai warganegara yang waras dan boleh berfikir secara sihat. Saya tidak lihat perkara sebegini sebagai sesuatu yang sihat dan boleh dibiarkan berlarutan. Kita sedia maklum bahawa Malaysia tercinta sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum yang unik dan telah termaktub kemas di dalam perlembagaan. Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Murut, Siam dan lain-lain adalah anak Malaysia dan anak semua bangsa. Tidak perlu kita bertelagah tentang isu-isu hak ketuanan melayu dan sebagainya. Terlalu sempit hidup ini kalau hanya difokuskan tentang perkara tersebut.Kita anak semua bangsa. Seharusnya kita berbaik sangka antara satu sama lain. Janganlah disebabkan pembacaan akhbar kita yang sempit dan terpengaruh dengan paparan berita TV yang belum tentu tepat kita sudah melenting tak bertempat lantas menuduh orang itu begitu dan begini.

Kita sedar sebagai kaum melayu, kita masih ketinggalan dalam ekonomi, pendidikan dan alam pemikiran yang matang. Jadi apa yang perlu kita buat. Belajarlah dengan mereka yang sudah di hadapan. Janganlah bodoh sombong! Jangan seperti “enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”, pentingkan diri sendiri! Buang jauh-jauh hasad dengki. Ini tidak, lihat sahaja melayu yang berjaya, macam-macam tuduhan dilemparkan. Ada sahaja bangsa melayu meningkat naik, rasuah lah tuh, bodek la tuh, dan macam-macam lagi. Begitu juga dengan pendidikan. Kalau senior bangsa lain sibuk membahagi-bahagikan nota untuk freshies, bangsa kita sibuk me’raging junior melalak pada waktu dinihari atas alasan orientasi pelajar baru. Siapa yang salah?

Berbalik kepada persoalan asas sebagai warganegara Malaysia, kita perlu bersaing secara waras dan sihat dalam segenap lapangan. Paradigma dan pola berfikir cara baru bangsa kita kalau ingin terkehadapan, mestilah dimulakan dengan membuang sifat-sifat negatif yang sejak zaman-berzaman menghantui kita. Hapuskan pemikiran ‘inferior’ berdasarkan kefahaman kaum dan bangsa yang sempit. Kita anak semua bangsa. Bangsa Malaysia! Tidak ada hak ketuanan Melayu. Yang ada hak ketuanan Islam! Dan islam itu bukan milik melayu sahaja! Cina, India, Murut, Iban, Kadazan dan bangsa siam juga ramai yang beragama islam dan kadang-kadang lebih baik dari islam kaum melayu !

Salam aidilfitri



Maaf zahir & batin

~faizal~

2.45 am, 23 September 2008,

Montreal, Canada

7/11/08

Artikel di Dewan Budaya Julai





Jutaan terima kasih kepada editor Dewan Budaya kerana menyiarkan artikel ini. Di muka surat 4, ruangan Lembaran Pembaca saya mencatatkan rencana berjudul "Budaya Saintifik di Makmal Penyelidikan". Ia berkenaan senario budaya R&D yang diamalkan di makmal-makmal penyelidikan di seluruh dunia termasuk negara kita Malaysia.

Dapatkan di pasaran sekarang