Beberapa hari lagi negara akan menyambut kedatangan tarikh yang dianggap keramat oleh majoriti warga Malaysia iaitu 31 Ogos sempena Perisytiharan Hari Kemerdekaan 31 Ogos 1957. Tahun ini adalah tahun yang ke-52 kita menyambut tarikh ini selepas British menyerah kalah. Ada yang berhujah tarikh kemerdekaan dan perayaan hari Malaysia ialah pada 16 September 1963 dengan mengambil kira proses pembentukan Malaysia. Walauapapun hujah dan pandangan, yang pasti kita sudah bebas dari cengkaman Belanda, Portugis, British dan Jepun yang telah menjarah tanah melayu lebih 500 tahun lamanya.
Selama yang kita belajar di sekolah dan membaca buku-buku teks sejarah, kita banyak disogokkan dengan maklumat yang menyatakan bahawa kita merdeka tanpa berlakunya pertumpahan darah. Usaha-usaha kemerdekaan dilakukan oleh Bapa Kemerdekaan Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan cara aman dan penuh diplomatik. Sebahagiannya betul! Namun selepas membaca buku-buku lain selain buku teks sekolah, kita dapat melihat banyak lagi gerakan-gerakan lain yang sebelum UMNO telah lama berjuang. Contohnya PKMM, AWAS, API, Hizbul-Muslimin dan lain-lain. Lama sebelum itu muncul wira-wira melayu islam seperti Datuk Bahaman, Tok Sagor, Mat Kilau, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan ratusan malahan ribuan umat islam bangkit menentang penjajah. Tidak mungkin tiada pertumpahan darah yang berlaku. Jadi disyorkan untuk warga merdeka memperbanyakkan membaca dan mengkaji sejarah kewujudan Malaysia sejak keruntuhan Kerajaan Melaka dahulu. Manakala pihak kerajaan pula perlu adil memberikan pengiktirafan kepada pejuang kemerdekaan, bukan hanya mendabik dada mengatakan 'hanya kami yang berjuang'.
Walaupun penjajahan fizikal sudah lama berlalu, datang pula penjajahan bentuk baru yang digeruni dan perlu ditangkis serta dilawan dengan penuh hikmah. Penjajahan bentuk baru ini digelar penjajahan minda dan ketakjuban hati umat dengan segalanya yang datang dari barat. Ia dikenali dalam bahasa arab sebagai al-ghazwul fikr (penjajahan fikiran). Inilah yang digeruni oleh golongan yang tajam mata hati mereka melihat kemungkaran dan kebejatan yang datang hasil idea dari barat. Lihat sahaja globalisasi, dunia tanpa sempadan, Perjanjian Perdagangan WTO dan pemimpin-pemimpin boneka yang direstui barat. Inilah antara penjajahan bentuk baru yang perlu dinilai dengan akal fikiran. Mengapa tidak?..bahaya penjajahan baru ini ialah minda dan watak kita akan dikonstruksi dan diorkestra kan oleh barat. Contohnya budaya-budaya sonsang, hedonistik, moral dan pegangan agama merudum, kecelaruan minda dan pelbagai lagi.
Alim ulama pernah menyatakan bahawa mempertahankan kedaulatan dan agama di zaman pancaroba ini ibarat memegang bara api. Panas dan tidak ramai yang dapt bertahan!
Jadi bagaimana sikap seorang yang merdeka yang sebenar-benarnya merdeka menurut perhitungan agama. Para ulama' ada mengajarkan tentang 8 sifat yang perlu ada dalam jiwa merdeka iaitu BEBAS DARI :
TAKUT & DUKACITA,
LEMAH&MALAS,
BAKHIL & PENGECUT,
HUTANG & MINDA TERJAJAH
Masih banyak perkara-perkara remeh temeh yang perlu disingkirkan dalam hidup kita yang tidak panjang ini. Letakkanlah sasaran hidup ini adalah perjuangan untuk kemuliaan akhirat walaupun zaman ini orang memandang kepada berapa banyak harta kekayaan yang dimilik, berapa besar pangkat dan kedudukan yang dipegang. Kepada pekerja, bekerjalah dengan ikhlas untuk menegakkan agama, kepada pengarang, menulislah untuk membuka minda umat, kepada petani, peladang dan pekebun, berniatlah dengan ikhlas demi Tuhan dalam pekerjaan.
Di dalam diri kita sering bertempur antara kekuatan iman dan kerendahan nafsu jahat. Kadang-kadang iman yang menang dan banyak kali juga kita tersungkur dengan hawa nafsu. Itulah hakikat kehidupan.
Sempena tarikh yang dianggap keramat yang bertepatan pula dengan bulan Ramadan Yang Mulia ini, marilah kita menghidupkan jiwa BEBAS MERDEKA DEMI KEHIDUPAN YANG KEKAL ABADI DI SANA.
MERDEKA!
No comments:
Post a Comment