www.majalahsains.com

8/29/09

Mahu jadi apa kita? (Quo Vadis?)

Gara-gara kelemahan kepimpinan, satu demi satu isu yang begitu penting dan dijaga rapi dalam masyarakat majmuk di tanah air kita hampir terburai. Isu perkauman dan sensitiviti agama merupakan tonggak utama perpaduan kaum yang diamalkan dalam negara kita selepas termeterainya kemerdekaan dan perjanjian kontrak sosial antara kaum. Negara hampir lumpuh suatu ketika dahulu apabila tragedi 13 Mei 1969 tercetus. Punca berlakunya tragedi tersebut tidak lain adalah melibatkan isu perkauman atau rasis/racist sehingga memaksa negara ditadbir oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Kisah menyayat hati ini boleh dibaca dimana-mana sahaja di laman internet dan juga buku-buku yang berkaitan.

Apa yang mengejutkan, baru-baru ini timbul pula isu perarakan membantah pembinaan kuil hindu di Shah Alam. Perarakan yang khabarnya dilakukan secara tersusun, aman dan teratur tiba-tiba dihangatkan dengan perarakan membawa kepala lembu. Setiap warga seharusnya maklum bahawa lembu dan kaum india yang beragama hindu mempunyai pertalian yang rapat berdasarkan kepercayaan agama mereka. Oleh yang demikian, perarakan secara terbuka sebegitu adalah jelas bersikap untuk menghina agama lain yang dilarang keras di dalam agama suci umat islam berdasarkan kefahaman penulis tentang ayat al-Quran yang bermaksud

’ Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. [6:108]

(Saat ini saya mula merindukan Tafsir-Al-Azhar, HAMKA 30 juzuk yang tersusun kemas di rak koleksi ilmu di Kuala Pilah)

Jadi jelas, mencerca agama lain dengan menghina amalan mereka adalah dikecam dalam islam. Zaman ini adalah zaman tajdid atau gerakan pembersihan amalan karut-marut di dalam islam, maka wajar kita kembali kepada Al-Quran dalam memperbetulkan setiap langkah dan tindakan kita. Membabi-buta dalam bertindak merupakan kegopohan yang tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah. Al-Quran adalah petunjuk sepanjang zaman dulu, kini akan datang dan selamanya selagi dunia ini belum kiamat. Tidak ada argumen yang menyatakan Quran tidak dapat difahami oleh golongan awam, kerana itu menunjukkan kemalasan dan kerendahan akal kita yang malas mengkaji serta tertawan dengan godaan dunia. Islam adalah agama yang hidup dan dinamik. Memeluk islam bukan alasan untuk kita mengisytiharkan diri kita kaku dan lembik. Islam bukan letaknya di kopiah dan serban malah bukan juga milik imam dan lebai sahaja. Islam sesuai dianuti dan dipatuhi oleh keseluruhan makhluk yang ada di cakerawala ini. Yang menyatakan islam itu teroris, sempit, lemah, miskin, hina, menyekat kebebasan dan statik adalah mereka yang sudah diselaputi kotoran hitam di minda dan hati mereka. Maka beristighfarlah segera!

Selepas tercetusnya isu ini, maka berderet-deretlah komentar pelbagai pihak tentang isu perkauman dan agama di Malaysia ini. Saya tidak bermaksud untuk menyenaraikan kesemuanya, tetapi cukuplah satu contoh di bawah yang dikutip dari laman facebook milik Tukang Catat yang berbunyi:


Komen 1 (Pak Latif Talib ..pengarang tersohor novel sejarah Melayu)
“bila sesuatu kejadian yang menimpa orang Melayu, tidak ramai yang berasa sensitif tetapi bila orang lain terutamanya (Cina dan India), seolah-olah hari sudah hampir kiamat seperti tidak ada isu lain yang hendak dibincangkan lagi” demikian tulisan Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dalam Utusan Malaysia.

Contoh, Tidak lama dulu ada yang meletakkan kepala babi di sebuah surau di Melaka tetapi isu itu senyap begitu saja.


Benar! Say juga bersetuju dengan tulisan penulis yang saya kagumi ini. Namun isunya di sini ialah sikap berdendam, berlawan dan bermusuh yang cuba ditimbukan oleh kedua-dua belah pihak. Kedua belah pihak ingin menunjukkan api. Bukankah api dengan api sifatnya memarakkan. Kenapa tidak disambut api dengan air yang boleh memadamkan nyalaan. Kewarasan akal harus mengatasi emosi dan dendam kesumat. Isu babi dan lembu jelas menunjukkan kebodohan berpolitik kedua-dua pihak. Tidak akan timbul kedua-dua isu sensitif ini kalau pemimpin kedua-dua parti bersifat toleran dan ikhlas membantu rakyat. Wahai pemimpin, anda harus ingat..kekuasaan hanya titipan Allah ke atas kamu buat sementara waktu. Sejarah telah membuktikan, betapa ramai pemimpin yang kuasanya diambil semula oleh Pemilik Kekuasaan. Ada mereka yang jatuh dalam keadaan hina. Ada yang turun kekuasaan mereka dengan penuh terhormat dan kemuliaan. Kesemuanya titipan!

Jadi apa pilihan kamu wahai pemimpin. Perlu juga diingatkan, kematian tidak mengira usia. Sekian ramai manusia meninggalkan dunia fana ini tanpa sempat berpesan apa-apa pun kepada handai taulan. Bagaimana pula sekiranya nyawa kamu sebagai pemimpin diambil secara tiba-tiba sedangkan banyak tanggungjawab kamu masih terabai di muka bumi. Sama-samalah kita menggunakan akal. Namun bagaimana pula akal akan berfungsi, sekiranya perut kamu kekenyangan dengan hasil mahsul dari rasuah, penyelewengan, mungkar dan perbuatan terkutuk. Kesempatan bertaubat masih ada. Tuhan tidak menzalimi manusia sekiranya manusia tidak menzalimi diri sendiri. Di bulan ramadan yang mulia ini, sama-samalah kita bermuhasabah. Perut yang lapar dan cuaca ramadan yang indah, mendekatkan diri kita dengan Yang Maha Mencipta Makhluk. Bersihkanlah hatimu wahai pemimpin yang bertanggungjawab memimpin rakyat.

Saya sebagai generasi-X, generasi selepas merdeka ini tertanya-tanya kemana halatuju yang cuba dibawa pemimpin kita di Malaysia. Pelbagai slogan dan saranan diajukan untuk rakyat sehinggakan sudah naik jemu kita melihatnya. Tidak sempat memahami slogan, sudah muncul slogan baru. Apakah kerja pemimpin hanya menukar-nukar slogan setiap kali berkuasa. Namun selepas pemimpin bersilih-ganti bertukar, suasana semakin memburuk malah meruncing sampai ke satu tahap yang sangat menggerunkan. Ahli politik tetap selalu ditanya rakyat yang dipimpin; they- are- talking- the- talk, but- are- they- walking- the- walk? Itu soalan rakyat yang sejak lama berkumandang.

Kesimpulan awal Tukang Catat ialah, kaedah apa pun yang digunapakai dalam menyelesaikan sesuatu isu ia tidak akan ke mana-mana pun sehinggalah mereka kembali merujuk kepada Al-Quran. Sehebat mana fikiran manusia pun, tidak dapat melawan kehebatan Yang Maha Pencipta manusia. Kembali lah kepada Al-Quran. Di sana terdapat semua jalan penyelesaian untuk mentadbir alam menurut pimpinan Tuhan. Cabaran besar yang dihadapi umat sekarang ialah untuk mencari para pentafsir Al-Quran yang benar-benar adil dan ikhlas dalam pentafsirannya.

Sekian
Salam Ramadan
Verdun, Montreal

1 comment:

Hard Drive Repairs Lubbock said...

This is a ggreat post thanks