2/29/12

Lynas, Rare Earth, literasi sains & kecoh-kecoh Facebook

Sekarang mood borak pasal isu Rare Earth di facebook. Borak memang sedap, bila diajak baca laporan sama, tak minat nak baca. Terus nak kesimpulan. Susah juga macam ni.

Bila renung-renung balik, betullah kita sebagai rakyat Malaysia perlu celik sains (science literate). Saya tak begitu risau kalau kaum-kaum lain membangkang Lynas dengan membaca (sekurang-kurangnya dari Wikipedia), tapi saya cukup risau kalau bangsa saya sendiri menentang atau menyokong Lynas tanpa ada sedikit pengetahuan (melalui pembacaan) atau rasa ingin tahu tentang apa itu teknologi pengurusan sisa radioaktif.

Dan kalau pun kita tidak tahu, marilah sama-sama bertanya kepada orang yang lebih berpengetahuan dalam bidang ini.

Atas kesedaran rendahnya tahap literasi sains di kalangan rakyat Malaysia (terutama bangsa Melayu), saya mewujudkan MajalahSains.Com. Sekarang saya mahu cari pembantu yang sama-sama mempunyai minat yang sama. Pada masa yang sama, sedang saya usahakan satu lagi laman sains, child of kepada MajalahSains.Com untuk kanak-kanak. Bila siap nanti, akan bergabung bersama MajalahSains.Com.

Saya tutup cerita ini dengan satu artikel oleh Dr Ghazaly Ismail judulnya
"Every Malaysian Must be Science Literate"

http://www.nst.com.my/opinion/columnist/every-malaysian-must-be-science-literate-1.49137

2/5/12

Perkembangan Semasa 2012

Tahun 2012, insyaallah kami berada di tahun terakhir di Montreal. Tahun ini juga adalah tahun terakhir musim sejuk kami di sini. Sepanjang ingatan saya, suhu paling sejuk setakat ini yang dicatatkan ialah -33'C (termasuk tiupan angin seperti yang tercatat di laman web theweathernetwork.com).

Sekarang cuaca sudah kurang sejuk, sekitar -12'C hingga - 25'C. Cuaca sejuk dan pengalaman berada di negeri 4 musim adalah kenangan terbaik sepanjang kehidupan Tukang Catat blog yang masih diberi kesempatan oleh Tuhan. Alhamdulillah! Kami bersyukur dengan segala nikmat kurniaan Allah sepanjang perjalanan kembara kehidupan ini.

Hari ini (5 Februari 2012 bersamaan 12 Jamadilawal 1433 Hijrah) merupakan tarikh keputeraan Baginda Rasulullah S.A.W. Menurut sumber Wikipedia, tarikh kelahiran Nabi Muhammad mengikut Kalendar Gregory ialah 26 April 570. Walau bagaimanapun, banyak pendapat-pendapat lain yang khilaf tentang tarikh ini. Selawat dan salam pada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w

Seperti yang saya muatkan di laman Facebook, Michael H.Hart menyenaraikan Rasulullah berada di kedudukan teratas dalam senarai 100 manusia paling berpengaruh sepanjang sejarah peradaban dunia. Hart (seorang Yahudi) merupakan seorang ahli sains fizik berasal dari Princeton University.

Teringat suatu masa dahulu, saya cuba menyenaraikan ahli-ahli sains Malaysia untuk dibukukan. Pernah idea ini dibincangkan dengan seorang pegawai tinggi di UKM. Beliau teruja, namun masa dan keadaan agak terbatas. Jadi saya pendam dahulu hasrat tersebut di dalam komputer.

Bagi kegiatan menyenaraikan tokoh-tokoh bidang ini adalah penting untuk mencatat sejarah bangsa. Ia boleh dijadikan rujukan masa depan untuk anak-anak cucu kita nanti. Kegiatan ini banyak dilakukan oleh penulis dan pengkaji dari luar negara. Yahudi terutamanya. Insyaallah, suatu masa nanti semoga Tuhan membuka jalan dan diberikan kekuatan untuk melakukan usaha ini.

Perkembangan lain, saya sedang meningkatkan usaha memperbaiki mutu dan persembahan laman web MajalahSains.Com. Hasil usaha selama berada di Montreal yang dimulakan sejak Jun 2009. Kini saya sedang mencari orang yang berminat untuk sama-sama berkolaborasi dalam mengembangkan media penyebaran info sains kepada rakyat Malaysia. Kita tidak mahu lagi mendengar kisah karut marut seperti 'Suara Dari Langit', 'Objek Ganjil di Langit', 'Hantu itu dan Hantu ini' dipaparkan oleh media Malaysia yang ternyata memperbodohkan orang ramai. Ia juga menunjukkan betapa warga Malaysia, melayu terutamanya tidak menggunakan akal yang waras mempertimbangkan sesuatu berita. Jadi saya wujudkan MajalahSains.Com.



Sekian untuk kali ini.
408 4th Ave.
Verdun,

Winter 2012

2/3/12

Ikitibar dari kisah labah-labah - Khutbah


Khutbah Jumaat di Masjid As-Salam, Montreal hari ini membawa kisah labah-labah. Menurut khatib, yang juga bekas pelajar di Concordia University (pernah saya bersembang dengan beliau sewaktu dahulu), spesis labah-labah hampir 400 ribu di seluruh dunia. Tapi tabiat labah-labah ialah, selepas si betina bertelur dan telur menetas mengeluarkan anak labah-labah, si betina akan memakan induk jantan. Si ibu bersama anak-anak yang baru menetas turut menghisap darah si jantan.

Tamsil dari kisah labah-labah ini menurut khatib ialah perihal kehidupan manusia dan keluarga. Muslim menurut khatib begitu menitikberatkan hubungan kekeluargaan. Tidak ada muslim yang baik akan bertengkar dan bergaduh sesama ahli keluarga apatah lagi menganiya ahli keluarga yang lain seperti keluarga labah-labah.

Khatib memberi contoh-contoh yang berlaku dalam kehidupan seharian. Selalu kita mendengar ibu mendera atau membunuh anak. Bapa memukul isteri. Anak menyepak terajang ibubapa atau anak mendera ibubapa dan juga berebut harta sesama ahli keluarga. Mereka sebegini tidak ubah seperti kehidupan keluarga labah-labah.

Labah-labah juga diberikan nama khusus untuk satu surah dalam Al-Quran iaitu Al-Ankabut. Begitulah Allah memberi peringatan kepada manusia supaya menilai kewujudan kita di muka bumi dengan mengambil iktibar dari kisah-kisah yang disebut dalam Al-Quran.

Demikianlah iktibar dari khutbah Jumaat 3 Februari 2012 di Masjid As-Salam, Rue Stanley, Montreal.

408 4th Ave, Verdun