www.majalahsains.com

4/3/08

Blogger:A.Kadir Jasin



Teknologi komputer dan internet sekali lagi memberi peluang kepada mereka yang memanfaatkannya sebaik mungkin ke jalan yang betul seterusnya memberikan manfaat yang bukan sedikit kepada orang ramai.

Terbaru ialah buah tangan seorang penulis, pemberita, pemikir, pengkritik dan wartawan yang tidak asing lagi yang telah sekian lama menghambakan diri dalam dunia penulisan sejak tahun 1969 sehingga kini. Buah tangan yang dimaksudkan ialah sebuah buku berjudul ”Blogger A. Kadir Jasin”. Di dalam negara nama A Kadir Jasin tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia akhbar dan penerbitan.

Dalam sejarah kerjaya, beliau pernah menyandang jawatan penting dalam dunia penerbitan dan akhbar antaranya ialah Editor Kumpulan NST Sdn Bhd, Ketua Editor NSTP Sdn Bhd dan Ketua Editor sebuah syarikat penerbitan terkenal , Berita Publishing Sdn Bhd.

Beliau pernah mencurahkan buah fikiran dan ideanya berbentuk tulisan dalam sebuah kolum yang tersendiri “Other Thots” di dalam majalah Malaysian Business sewaktu ketika dahulu. Selain itu beliau juga merupakan penulis beberapa buah buku yang menarik seperti Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006) dan terkini ialah Blogger A. Kadir Jasin (2006).

A.Kadir Jasin telah mengambil inisiatif untuk melebarkan tulisan dan pandangan beliau melalui blog beliau di internet (www.kadirjasin.blogspot.com) ke dalam bentuk buku untuk dikongsi bersama dengan pembaca di Malaysia dengan judul ”Blogger A Kadir Jasin”.

Buku kecil terbitan 2006 setebal 241 halaman ini dimulakan dengan pengenalan tentang budaya menulis dan salah satu produk kecanggihan teknologi internet iaitu blog. Blog ataupun weblog menurut takrifan wikipedia, sebuah ensiklopedia percuma dalam talian merupakan laman web yang memuatkan bahan-bahan yang berbentuk dan bergaya jurnal atau diari oleh individu atau berkumpulan.

Penulis blog yang dikenali sebagai blogger akan memuatkan hasil karya dan tulisan mereka yang dinamakan tampalan (posting) ke dalamnya mengikut gaya dan kemampuan mereka yang tersendiri.

Penulisan di blog atau weblog ini bersifat rencam dan pelbagai. Ada yang menulis sekadar suka-suka tanpa ada sebarang tujuan tertentu atau sekadar untuk tidak tertinggal di belakang dalam kelimpahan teknologi internet. Ada yang menulis sekadar untuk mencari kawan dan hiburan serta mencatat aktiviti harian mereka. Ada juga penulis blog yang sudah dikenali ramai di luar, namun masih menggunakan saluran alternatif melalui weblog untuk meyampaikan buah fikiran, gagasan dan idea mereka melalui medium internet. Kebanyakan mereka ini mempunyai peminat dan penggemar setia yang selalu mengikuti perkembangan tulisan penulis-penulis ini baik di luar mahupun di dalam talian.

Ini lah yang dilakukan oleh A. Kadir Jasin. Beliau yang sudah pun mempunyai nama besar di luar menggunakan medium ini untuk terus menyampaikan pandangan dan pendapat beliau melalui teknologi internet yang mempunyai pengikutnya yang tersendiri dan hasilnya ialah sebuah blog yang segar, menarik, kritis dan kadang kala menyengat. Gaya tulisan beliau yang cermat, spontan, mesra dan bermaklumat terus meruntun minat pembaca untuk terus mengikuti tulisan-tulisan beliau lewat blog di internet.

Selain itu menurut penulis, blog merupakan media baru penyampaian selain akhbar, radio dan televisyen hasil dari pekembangan teknologi ICT sejak tahun 1990-an lagi. Tulisan berbentuk blog adalah lebih murah, cepat dan mudah serta boleh dilakukan di mana-mana sahaja selagi ada kemudahan telekomunikasi internet. Dengan cara ini beliau boleh terus berinteraksi dengan pembaca dengan lebih pantas dan mesra.

A Kadir Jasin memulakan tulisan pertama beliau di blog pada 28hb Februari 2006 dengan judul ”Mengatasi Beban Kenaikan Harga Minyak”. Sejak itu beliau telah menulis lebih dari 130 buah rencana berbahasa melayu dan inggeris mengenai pelbagai topik dan isu yang berlaku di dalam negara. Buku yang memuatkan tulisan beliau ini merupakan jilid pertama dari dua jilid yang akan diterbitkan. Di dalam keluaran ini dimuatkan 16 rencana tulisan beliau dengan pelbagai judul menarik dengan 4 daripadanya berbahasa Inggeris dengan tajuk ”Apologize and You Shall be Pardoned”, Can We Not Be a Vulgar?’, Cut Down on the Debate” dan ”Every Generation Has Its Heroes”. 12 lagi kupasan beliau yang mendapat perhatian pembaca menerusi tajuk-tajuk antaranya ialah “Rakyat dan Kakitangan Awam Sama Penting”, PM Janji Agihan Adil”, Bumiputera Terus Ketinggalan dan “Apabila Ahli Politik Bergegas ke Mahkamah”.

Apa yang menarik ialah, beliau turut memuatkan komentar-komentar bernas dari pembaca yang berkongsi pendapat dan pengalaman mereka tanpa sebarang suntingan disebabkan limitasi teknikal pelayan web blogger. Namun begitu kebanyakan komen dan pendapat ini dilakukan dengan jujur dan berhemah sesuai dengan saranan penulis supaya setiap pembaca dan pengkritik hendaklah berani dan jujur dalam memperkatakan sesuatu.

Buku ini merupakan produk yang baik hasil dari kecanggihan teknologi internet yang ditangani dengan berkesan oleh seorang penulis berwibawa dan berkarisma seperti A Kadir Jasin. Ia sesuai dibaca oleh semua golongan yang berminda terbuka dan berminat dengan isu-isu semasa yang berlegar sekitar Malaysia tanah air tercinta.


p/s : Ulasan buku ini ditulis tahun lepas. Pernah cuba dihantar ke media, tapi gagal!! hehe ;-)

No comments: