Ada beberapa tajuk dan cerita tentang kehidupan di Montreal untuk Tukang Catat muatkan dalam blog mundar mandir ini. Namun ia masih tersimpan di bahagian draft dan belum lagi mahu di terbitkan sebagai entri terbaru blog. Kenapa? Kerana saya masih tertarik dengan isu-isu yang berkaitan bangsa dan bahasa serta dunia penulisan dan juga perbukuan di dalam negara kita Malaysia tercinta nan bertuah.
Mohd Arif Atan misalnya dalam rencana beliau terbaru di Utusan Malaysia hari ini (2/3/09) menyoal pembaca supaya jujur menjawab, judul buku berbahasa melayu apakah yang telah kita baca sepanjang tahun 2000 sehingga sekarang yang diterbitkan oleh DBP misalnya. Termasuk juga buku-buku bahasa melayu lain terbitan penerbit selain DBP . Penulis rencana juga mendedahkan bahawa semakin ramai orang melayu yang mengabaikan bahasa sendiri. Ironinya, bangsa asing dari Korea, Jepun, Amerika Syarikat, Belanda, Jerman dan Sepanyol giat mempelajari bahasa melayu. Di sesetengah tempat seperti China, Jerman dan Belanda telah diwujudkan Kursi Pengajian Melayu untuk mereka yang berminat mempelajari bahasa melayu. Pengalaman saya sendiri di Montreal pernah bertemu dengan seorang rakan warga Pakistan di sebuah Masjid yang menyapa kumpulan kami dalam bahasa melayu dengan fasih. Kagum dan terkejut saya seketika dengan sapaan beliau!
Tidak usah kita bising kalau kaum cina, india dan lain-lain kaum di Malaysia yang masih tidak fasih berbahasa melayu dengan baik. Bukan orang lain yang salah melainkan kita sendiri.
Maka atas alasan apa lagi bangsa kita yang bersungguh-sungguh mengabaikan bahasa melayu sehingga kadang-kadang malu dan segan untuk bertutur dengan bahasa sendiri sesama warganegara.
Sama-samalah kita fikirkan !
No comments:
Post a Comment